October 13, 2015

AMANAH Terengganu: Utamakan Agenda Kebajikan Rakyat

Selama 2 hari saya sempat bersama dengan kepimpinan AMANAH Negeri Terengganu di seluruh peringkat dalam melakar sanggar kerja AMANAH Terengganu di Sutra Beach Resort, Merang Terengganu.

Saya yang menghadiri program tersebut di atas kapasiti saya sebagai Ketua Pemuda AMANAH Besut merakamkan ucapan tahniah di atas kecemerlangan program dalam mengeluarkan satu blueprint rangka kerja AMANAH Terengganu bagi tempoh 2 tahun yang mendatang.

Sebagai perwakilan termuda yang hadir, gemar untuk saya memberikan perspektif terhadap pengamatan saya kepada suasana di Negeri Terengganu dan bagaimana AMANAH harus mendepaninya.

Perspektif ini saya lontarkan dalam keadaan saya yang tidak pernah melibatkan diri dalam budaya kerja parti di Terengganu sebelum ini walaupun saya adalah exco Pemuda Pas Malaysia bagi penggal yang lepas.

Perspektif saya mungkin naif kerana dianggap tidak mengakar daripada realiti, namun ia boleh jadi sebuah perspektif yang penuh kelainan kerana saya tidak pernah terjebak dalam kerangka dan budaya mana-mana parti politik yang memualkan.

Namun saya pulangkan kepada pembaca untuk meletakkan justifikasi terhadap 4 perspektif yang saya utarakan dengan harapan untuk melihat AMANAH Terengganu berjaya mendapat tempat di hati rakyat.

Pertama, AMANAH Terengganu mesti sedar diri bahawa untuk berhadapan PRU-14 akan datang, AMANAH Terengganu adalah parti yang paling lemah daripada kesemua parti ‘perdana’ yang bertanding di sana.

Sebagaimana ahli PAS pada tahun 2008 jengkel dengan kehadiran PKR yang tiba-tiba memunculkan diri untuk bertanding di ‘Negeri Islam’ Terengganu, tanpa jentera, tanpa sokongan dan tanpa dana yang banyak, seperti itu jugalah realiti AMANAH Terengganu dalam berhadapan PRU-14.

Sedar diri ini tak merugikan, untuk terus dianggap berada dalam status ‘underdog’ tidaklah menghinakan. Ini sebenar adalah penting untuk mengelakkan daripada AMANAH Terengganu tenggelam dalam perasaan bahawa mereka adalah sebuah parti yang kuat terutamanya apabila terlalu reaktif dengan pengaruh parti PAS di Terengganu yang sememangnya diakui mempunyai akar umbi yang kuat.

Perkara yang penting juga adalah untuk mengelakkan daripada ahli AMANAH terus terjebak dalam peperangan tak berkesudahan dengan kawan-kawan daripada parti lama iaitu PAS yang akhirnya menambah muak rakyat dan orang awam yang mengikuti.

Sifat untuk membandingkan program siapa yang lebih hebat juga perlu dielak memandangkan sumber utama AMANAH yang belum kukuh untuk dibandingkan dengan parti yang lain.

Cadangan saya biarkan sebahagian mereka yang masih berminat dengan skrip untuk menyerang AMANAH, namun ahli AMANAH haruslah konsisten menggerakkan program yang mampu meninggalkan kesan kepada rakyat.

Kedua, Semaksimum mungkin AMANAH Terengganu mesti menonjolkan dasar parti baru AMANAH ini iaitu Islam. Maka segala gerak kerja, tawaran dan tindakan mestilah digerakkan dalam roh sebagai sebuah parti Islam.

Sebuah negeri yang mempunyai lebih 95% masyarakat Melayu Muslim, terletaknya di Pantai Timur yang kawasan luar bandarnya lebih dominan maka hal ehwal agama menjadi perkara yang sangat fundamental. Walaupun ia tidak diterjemahkan dari sudut cara fikir, tindakan dan amalan mereka namun dari sudut kepercayaan mereka ini adalah perkara yang sakral.

Tanpa dinafikan bahawa cara fikir mereka terhadap agama telah dimanipulasikan oleh pemain politik pemerintah semenjak sekian lama, maka inilah cabaran AMANAH untuk membetulkan cara fikir mereka agar kembali sebagai seorang Muslim yang sebenar.

AMANAH Terengganu tidak perlu terikut-ikut dengan rentak pendekatan AMANAH di peringkat nasional kerana sasarannya yang berbeza, suasana dan tempatnya yang berbeza serta penerimaan yang berbeza.

Namun secara prinsip, AMANAH Terengganu mestilah beramanah dengan agama agar ia tidak pula dimanipulasikan untuk kepercayaan dan kepentingan politik semata-mata.

Ketiga, AMANAH mesti meletakkan kepentingan kebajikan rakyat adalah perkara yang paling utama kepada segenap lapisan rakyat di negeri Terengganu. AMANAH tidak boleh terbuai dengan program yang bersifat grand dan populis tapi mesti terus menggerakkan usaha kebajikan yang terus kepada rakyat.

AMANAH mesti pastikan supaya tiada satu lorong pun yang tidak dilalui malah tiada satu pintu rumah pun yang tidak diketuk dalam melaksanakan misi ini. Sikap yang betul dalam menguruskan kebajikan rakyat ini sangat penting. Sebahagian dari pemain politik hanya menjaga kebajikan rakyat untuk memperoleh undi dengan contoh program kebajikan yang bersifat one-off.

Namun AMANAH perlu lebih daripada itu, AMANAH mestilah menjadikan kebajikan rakyat adalah sebagai satu tanggungjawab untuk diselesaikan di bawah satu kepercayaan bahawa tugas sebagai agen dalam sebuah parti Islam AMANAH ialah menyebarkan rahmat Islam kepada semua.

Dalam masa yang sama, walaupun gerak kerja ini adalah gerak kerja kebajikan ia tetaplah mesti dilakukan dalam keadaan yang sangat strategik dan berdata.

AMANAH perlu pastikan untuk setiap kelompok masyarakat disentuh termasuk untuk menarik sokongan daripada semua tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh termasuk tuan imam, ketua kampung, tokoh perniagaan, dan lain-lain untuk mendapatkan perhatian yang luas daripada masyarakat setempat.

Keempat, ahli AMANAH mestilah rajin untuk turun mendominasi dalam majlis yang melibatkan rakyat dan orang kampung. Maka menjadi satu kewajipan kepada ahli AMANAH untuk istiqamah dalam menunaikan solat fardu secara berjemaah di surau ataupun masjid mukim masing-masing.

Ini adalah satu langkah sosial bagi membina kebolehpercayaan rakyat kepada parti AMANAH di negeri Terengganu. Walau ia hanyalah perkara yang ringkas, tapi kesannya lebih besar apabila kita turut memberi komitmen dalam setiap aktiviti masjid dan surau di mukim masing-masing.

Ketokohan di luar bandar mudah terserlah apabila berjayanya mereka untuk muncul di majlis-majlis rakyat, kenduri kendara, majlis orang mati dan sebagainya. Cuma apa yang membezakan ahli AMANAH dengan orang lain yang turut sama dalam majlis-majlis di atas adalah political will.

Maka ahli AMANAH perlu menzahirkan secara baik cita-cita politik dan wawasan yang dimiliki untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada Parti AMANAH Negara khususnya di kawasan luar bandar.

Adalah menjadi satu bonus tambahan kepada AMANAH Terengganu sekiranya berjaya mendapatkan penyertaan seramai mungkin para agamawan bersama mereka. Kumpulan ustaz adalah kumpulan yang dipercayai oleh masyarakat.

Persepsi rakyat terhadap AMANAH sebagai kuda tunggangan DAP juga boleh diketepikan dengan ramainya penyertaan ustaz ke dalam AMANAH selain mereka mampu menjadi agen yang menyerap masuk kepada setiap lapisan untuk memberikan pemurnian terhadap dogma mereka kepada AMANAH.

Empat perspektif yang saya fikirkan ini bukanlah perkara yang menyeluruh kepada gerak kerja parti keseluruhannya, namun ia menjadi basic rule kepada AMANAH dan ahlinya dalam meluaskan pengaruh di kawasan Melayu luar bandar.

Saya menjangkakan bahawa PRU-14 bukanlah lagi masa untuk AMANAH mendapat tempat di Terengganu. Namun sekiranya jika AMANAH berjaya untuk mengukuhkan usaha sebagaimana pandangan yang diberikan di atas saya percaya PRU-15, AMANAH akan muncul sebagai sebuah parti yang unggul di Pantai Timur.

Muhamad Azan Safar
Ketua Pemuda
AMANAH Besut

October 8, 2015

Isu Pelarian Syria ke Malaysia: Usaha Murni, Tapi Perlu Bijak

Semalam saya membaca kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bahawa KDN akan membentangkan secara terperinci tentang pelarian Syria seramai 3000 orang yang akan mendapat perlindungan di Malaysia selama 3 tahun susulan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dalam Persidangan Perhimpunan Agung PBB ke-70 baru-baru ini.

Mengikut data terbaru yang dikeluarkan European Comission, dianggarkan hampir 12 juta rakyat Syria yang memerlukan bantuan kemanusiaan dalam negara mereka sendiri sedangkan 5 juta daripada mereka berada dalam kawasan yang terkepung.

Sejak 2011 pula, sudah hampir 9 juta rakyat Syria yang menjadi pelarian dan separuh daripada angka tersebut telah melarikan diri ke negara jiran seperti Turki, Jordan dan Lebanon.

Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah bagaimana German, salah sebuah negara keanggotaan EU secara bersendirian telah membuat sasaran mereka akan menerima 800,000 pelarian Syria sehingga hujung tahun ini. Hujung minggu ini sahaja, kota Munich telah menerima 12000 kemasukan pelarian Syria.

Walaupun pelbagai konflik yang mereka terpaksa hadapi sepanjang proses ini (termasuk keengganan kebanyakan negara EU yang lainnya untuk menyerap sama bebanan yang ditanggung dalam masa yang sama terpaksa berhadapan dengan fobia rakyat terhadap sejarah pelarian di negara mereka), namun hal ini tetap mengangkat kemuliaan sifat kemanusiaan yang ada pada mereka.

Di Turki, mereka telah menerima kemasukan sehingga mencecah jumlah terkumpul seramai 1.9 juta pelarian Syria ke negara mereka dan Turki telah membelanjakan lebih 7.6 bilion untuk kepentingan ini. Sebuah negara sekular yang ‘Islamnya’ lebih dari sebuah negara Islam yang 2.6 bil boleh dibelanjakan ke dalam akaun peribadi Perdana Menterinya.

Sekurangnya, kemasukan pelarian ke negara mereka telah mengangkat taraf ekonomi mereka apabila rakyat Turki tidak lagi mengisi kerja di pasaran buruh kerana telah digantikan dengan pelarian Syria, dan menjadikan rakyat Turki boleh mengisi kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih baik.

Namun kalau di Malaysia sudah bersetuju untuk menerima 1.5 juta kemasukan rakyat Bangladesh sebelum ini, apakah mungkin hal yang sama berlaku di Turki boleh berlaku di negara sendiri walaupun dapatan awal menunjukkan negara-negara yang menerima pelarian akan berjaya dapat mengurangkan kadar kemiskinan di negara mereka.

Barangkali ini tidak akan berlaku di Malaysia yang menerima pekerja asing sedangkan rakyat sendiri masih ramai pula yang menganggur.

Maka saya berpandangan bahawa usaha untuk membawa pelarian Syria ke Malaysia ialah usaha yang murni, namun mestilah dalam perangkaan yang bijak dan tepat supaya selain kita menzahirkan sifat sayang kita kepada kemanusiaan dalam masa yang sama kita mampu mengangkat taraf hidup rakyat di atas sumbangan apa yang kita lakukan.

Kalau Donald Trump dalam kempen presidennya begitu terpapar jelas sifat antinya terhadap kelompok migran terutamanya dari negara jiran, Mexico, atas alasan yang akan menyusahkan negaranya selepas ini, Malaysia tidak wajar mengambil sikap yang sama seperti Trump.

Belum terlambat untuk Malaysia menurut jejak langkah negara bukan Islam German dan Turki dalam dasar luarnya. Ia lebih Islam dari negara Muslim sendiri.

Wallahualam.

October 7, 2015

Apakah Masih Bersisa Sinar Harapan Untuk Malaysia?

Hari semalam melabuhkan tirainya dengan keresahan bersarang di dada setiap anak bangsa Malaysia. Kekalahan Azmi Sharom dalam kesnya mencabar Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Persekutuan menyaksikan Malaysia hakikatnya belum benar-benar faham erti bebas merdeka.

Walau Artikel 10 menjamin hak setiap warganegara untuk bersuara, namun ianya tidaklah memaksudkan sebagaimana apa yang tercatat dalam kasus itu.

Apa yang terjadi hari ini juga mengundang kepada jawapan yang hampir pasti iaitu seluruh rakan-rakan aktivis saya, ahli akademik yang lantang dan ahli politik oposisi yang terdakwa di bawah akta hasutan, seolah-olah tidak mampu melarikan diri lagi.

Namun begitu, secara langsung ianya menjadi peringatan bahawa ini perjuangan yang sangat panjang untuk mendepani pemerintah yang arrogant, angkuh dan lagi menindas.

Dalam keluhan takziah ringkas saya pada malam ini kepada seluruh anak bangsa Malaysia, seruan saya hanya satu, marilah kita membuka mata seluasnya, menyingsing tangan dan terus bekerja demi cita-cia mulia ini.

Berjanjilah, demi Malaysia yang lebih baik bahawa kita tidak akan lagi terus membiarkan episod penindasan dan cengkaman ini berlaku saban waktu dan ketika.

Menjadi rakyat yang pasif dan memilih untuk melihat sambil mendiamkan diri bukanlah pilihan yang terbaik buat masa ini. Melihat orang yang cedera dipukul, tapi kita hanya memilih untuk melihat dan merakam lalu membiarkan mangsa yang memerlukan bantuan begitu sahaja, itu zalim bukan?

Kini, Malaysia sudah menjadi mangsanya dan kitalah yang sedang menyaksikannya.

Ayuh, generasi baru yang sedar, kita tidak lagi boleh membuang masa. Masa kita tersangat suntuk. Masa untuk membebaskan Malaysia daripada kemusnahan dan kehancuran.

Dante mengingatkan kita dalam karya agungnya The Divine Comedy, “The darkest places in hell are reserved for those who maintain their neutrality in times of moral crisis.

Takziah buat seluruh anak bangsa Malaysia. Demi Malaysia, demi masa depan anak-anak Malaysia, tiada kata lain yang boleh diungkapkan di sini, melainkan: ayuh, kita bangkit melawan!

December 22, 2014

2015 : Ekonomi Sengsara Rakyat

2015 yang bakal menjelang tidak kurang dari 2 minggu dari sekarang, menjengah rakyat terbanyak dalam serba wajah baru. Pertamanya, tentulah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST bermulanya 1 April. Walaupun kerajaan telah memberi jaminan dari sudut senarai barangan yang tidak dikenakan GST, namun hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah pastinya tempias GST itu akan melata jua menjadi rantaian kepada peningkatan kos sara hidup rakyat jelata.

2015 yang kita akan sambut ini, menyediakan kita suatu ranah statistik ekonomi yang cukup menggerunkan. Alasan paling logik untuk kita cuba memahami tindakan kerajaan tergesa-gesa melaksanakan GST adalah kerana kerajaan sudah tidak berduit lagi. Kerajaan memerlukan suntikan imunisasi segera bagi memperlahankan kesan kegawatan ekonomi lantaran hutang yang begitu mencanak.

Jadinya, mereka berpaling kepada rakyat terbanyak – golongan kelas bawahan dan menengah – dan menagih setiap sen yang bersisa dalam poket untuk membantu kerajaan, atas nama melestarikan pembangunan dan kemakmuran. Hayatilah iklan-iklan GST yang bertebaran di kaca televisyen, semua nampak indah belaka.

GST yang bakal kita raikan awal 2015 ini bakal melengkapkan cerita kesengsaraan hidup rakyat terbanyak. Kita tidak akan melupakan angka-angka lain yang menjadi bukti bahawa 2015 tidak akan menjanjikan sebuah kemakmuran seperti yang dikhabarkan saban malam.

2015 disambut dengan lebih dari 216,868 isi rumah masih berada di bawah paras kemiskinan dan hampir 90% dari jumlah itu adalah Bumiputra. Statistik tidak akan menipu, walaupun ianya boleh juga dieksploitasi untuk menipu rakyat terbanyak. Dalam pada berdesas desus makmurnya ekonomi apabila GST dilaksanakan, kita kena ingat bahawa lebih dari 50% Bumiputra masih berpendapatan di bawah RM3000.

Mereka ini semua, walaupun awal tahun depan akan disogok BR1M berjumlah RM300 sehingga RM900, akan bersesak nafas menopang ekonomi negara yang tenat melalui GST yang tentunya bakal mencekik leher mereka lagi dan lagi. Mungkin sebelum ini mereka berpagian dengan roti canai, tetapi demi memenuhi saranan kerajaan untuk bijak berbelanja, mereka belajar berjimat dengan paginya cuma beralas air kosong.

Tidak beroti canai masih boleh berkira lagi, tetapi untuk mengerat susu tepung anak kecil mereka, tentulah hakikat ini menghiris ulu hati kita semua. Inilah wajah ekonomi 2015 yang rakyat terbanyak akan tempuhi dan nikmati, di sebalik topeng-topeng cerita iklan GST yang serba indah.

Kita perlu bertanya khabar, bagaimanalah cerita mereka yang tergolong dalam angka 5% isi rumah berpendapatan  di bawah RM800 menjalani hidup di tahun baru ini. Juga tanyakan khabar para graduan universiti dan belia yang hampir mencecah angka 50% masih menganggur, tiada pekerjaan, makan tanggung atau merempat di kota besar. Mereka ini, yang tiada pekerjaan dan wang ini, GST tidak segan untuk menyapa mereka.

Gembiranya kita untuk menyambut 2015, yakni semakin dekat kita dengan jendela 2020 – suatu mimpi indah Mahathir – kita tidak harus lupa untuk bertanyakan khabar apakah ekonomi tahun depan ini ada sedikit ihsan pada mereka yang berpendapatan rendah, yang mengimpikan sebuah rumah demi melindung keluarga mereka dengan harga yang penuh manusiawi. 2015 ini tiba dengan peringatan-peringatan awal, bahawasanya ekonomi Malaysia akan mengalami kejutan awal, berbeza kitaran di negara lainnya akibat kelemahan pengurusan kita sendiri.

Sebagai rakyat terbanyak yang tergolong dalam angka-angka statistik di atas, kita cuma tinggal 2 pilihan. Pertamanya, kita menurut dan membiarkan kerajaan berterusan dengan segala keparat, mengorbankan masa depan generasi anak-anak kita di depan mata sendiri. Tuhan memberi kita pilihan kedua, bangun dan bangkit melawan.

Jika kita seorang manusia, yang punya hati nurani, kita akan memilih pilihan kedua yang diberi oleh tuhan. Selamat datang 2015, selamat datang ekonomi GST, dan bersiagalah sang pemuda sekalian – untuk menggarap perubahan!

Kita jumpa 31 haribulan nanti di Dataran Merdeka demi menyambut 2015 Tahun Penindasan Buat Rakyat!

Muhamad Azan Safar
Pengerusi,
Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)

July 11, 2012

UMNO dan Ikhwanul Muslimin


Saya hanya tersenyum melihat komentar sebahagian pemimpin dan pengikut UMNO yang mengaku bahawa perjuangan mereka sama dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin. Ibaratnya merekalah juga Ikhwan di Malaysia ini yang ingin menyelamatkan Malaysia dari ancaman kezaliman,penipuan, penindasan dan sebagainya.

Mengarut.

Sebelum jatuhnya regim Mubarak, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang menyokong perjuangan Ikhwanul Muslimin di sana. Ketika Ikhwan ditindas di Bumi Kinanah Mesir tiada siapa pun dikalangan pemimpin UMNO yang diterajui Barisan Nasional menghulurkan bantuan buat para Ikhwan. 



Bahkan, UMNO begitu cukup takut dengan usrah-usrah anak muda di kampus-kampus dengan menganggap usrah sebagai amalan militan puak Hasan Al-Banna yang suka melawan kerajaan.

Hari ini mereka mengaku bahawa perjuangan Ikhwan sama dengan perjuangan mereka. Apa mereka lupa siapa pengasas Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna yang sungguh ditakuti pemikirannya diresap oleh anak-anak muda di Malaysia? Dasar perjungan nasionalisme UMNO itu sendiri berbeza dengan Ikhwan Muslimin yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangannya.

Ibrah Badar  

Saya masih ingat kisah sebelum berlakunya peperangan Badar yang akhirnya menjadi faktor kepada penurunan ayat Allah di dalam Surah Al-Anfaal ayat ke 19. 



Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu) dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun dia lebih ramai dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman.

Kisahnya apabila Abu Jahal berdoa kepada Allah, agar ditimpakan kekalahan kepada kelompok yang lebih sesat di antara dua kelompok (Musyrikin dan Mukmin), iaitu kelompok yang membawa ajaran baru yang tidak diketahui serta banyak memutuskan hubungan silaturrahim kekeluargaan di antara mereka. Itulah doa Abu Jahal dengan harapan Allah akan memberikan kemenangan kepada mereka.

Namun siapa sangka takdir Allah, walaupun dengan jumlah Muslimin yang sedikit Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka hasil bantuan daripadaNya.

Seusai peperangan yang menyaksikan kekalahan Musyrikin, Allah menempelak mereka dengan ayat yang Allah turunkan ;

Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu.

Mereka menyangka mereka berada di pihak yang benar, namun Allah telah datangkan keputusan yang jauh lebih nyata di dalam peperangan penentuan hak dan batil itu, menunjukkan mereka kaum Musyrikin ialah golongan yang syirik dan menentang Rasulullah yang diutuskan.

Umno Bagaimana?

Saya tersenyum sendirian.

Tiada apa yang perlu saya huraikan melainkan mereka harus malu dengan kenyataan yang mereka keluarkan. Letakkan dulu Islam dan hukum-hukum Allah di hadapan sebelum mahu mengaku perjuangan anda dan Ikhwan adalah sama.

Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyebut syiriknya Musyrikin bukanlah kerana mereka tidak mempercayai Allah sebagai tuhan. Berhala-berhala yang mereka bina juga bukanlah sebagai  sembahan secara total, bahkan ia hanyalah pengantara untuk menghubungkan mereka lebih dengan dengan Allah S.W.T, tetapi apa yang jauh lebih besar kenapa mereka itu di anggap syrik di sisi Alah, apabila mereka tidak mempercayai kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum-hukum adalah mutlak hak milik Allah berbanding dengan sistem-sistem Jahiliyyah yang lebih mereka imani.

Lalu, UMNO bagaimana?

Moga mereka tumbang dalam Pilihanraya Umum 13 nanti. Dan saya akan menempelak, itulah perjuangan Ikhwan mereka.