Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

October 8, 2015

Isu Pelarian Syria ke Malaysia: Usaha Murni, Tapi Perlu Bijak

Semalam saya membaca kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bahawa KDN akan membentangkan secara terperinci tentang pelarian Syria seramai 3000 orang yang akan mendapat perlindungan di Malaysia selama 3 tahun susulan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dalam Persidangan Perhimpunan Agung PBB ke-70 baru-baru ini.

Mengikut data terbaru yang dikeluarkan European Comission, dianggarkan hampir 12 juta rakyat Syria yang memerlukan bantuan kemanusiaan dalam negara mereka sendiri sedangkan 5 juta daripada mereka berada dalam kawasan yang terkepung.

Sejak 2011 pula, sudah hampir 9 juta rakyat Syria yang menjadi pelarian dan separuh daripada angka tersebut telah melarikan diri ke negara jiran seperti Turki, Jordan dan Lebanon.

Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah bagaimana German, salah sebuah negara keanggotaan EU secara bersendirian telah membuat sasaran mereka akan menerima 800,000 pelarian Syria sehingga hujung tahun ini. Hujung minggu ini sahaja, kota Munich telah menerima 12000 kemasukan pelarian Syria.

Walaupun pelbagai konflik yang mereka terpaksa hadapi sepanjang proses ini (termasuk keengganan kebanyakan negara EU yang lainnya untuk menyerap sama bebanan yang ditanggung dalam masa yang sama terpaksa berhadapan dengan fobia rakyat terhadap sejarah pelarian di negara mereka), namun hal ini tetap mengangkat kemuliaan sifat kemanusiaan yang ada pada mereka.

Di Turki, mereka telah menerima kemasukan sehingga mencecah jumlah terkumpul seramai 1.9 juta pelarian Syria ke negara mereka dan Turki telah membelanjakan lebih 7.6 bilion untuk kepentingan ini. Sebuah negara sekular yang ‘Islamnya’ lebih dari sebuah negara Islam yang 2.6 bil boleh dibelanjakan ke dalam akaun peribadi Perdana Menterinya.

Sekurangnya, kemasukan pelarian ke negara mereka telah mengangkat taraf ekonomi mereka apabila rakyat Turki tidak lagi mengisi kerja di pasaran buruh kerana telah digantikan dengan pelarian Syria, dan menjadikan rakyat Turki boleh mengisi kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih baik.

Namun kalau di Malaysia sudah bersetuju untuk menerima 1.5 juta kemasukan rakyat Bangladesh sebelum ini, apakah mungkin hal yang sama berlaku di Turki boleh berlaku di negara sendiri walaupun dapatan awal menunjukkan negara-negara yang menerima pelarian akan berjaya dapat mengurangkan kadar kemiskinan di negara mereka.

Barangkali ini tidak akan berlaku di Malaysia yang menerima pekerja asing sedangkan rakyat sendiri masih ramai pula yang menganggur.

Maka saya berpandangan bahawa usaha untuk membawa pelarian Syria ke Malaysia ialah usaha yang murni, namun mestilah dalam perangkaan yang bijak dan tepat supaya selain kita menzahirkan sifat sayang kita kepada kemanusiaan dalam masa yang sama kita mampu mengangkat taraf hidup rakyat di atas sumbangan apa yang kita lakukan.

Kalau Donald Trump dalam kempen presidennya begitu terpapar jelas sifat antinya terhadap kelompok migran terutamanya dari negara jiran, Mexico, atas alasan yang akan menyusahkan negaranya selepas ini, Malaysia tidak wajar mengambil sikap yang sama seperti Trump.

Belum terlambat untuk Malaysia menurut jejak langkah negara bukan Islam German dan Turki dalam dasar luarnya. Ia lebih Islam dari negara Muslim sendiri.

Wallahualam.

October 7, 2015

Apakah Masih Bersisa Sinar Harapan Untuk Malaysia?

Hari semalam melabuhkan tirainya dengan keresahan bersarang di dada setiap anak bangsa Malaysia. Kekalahan Azmi Sharom dalam kesnya mencabar Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Persekutuan menyaksikan Malaysia hakikatnya belum benar-benar faham erti bebas merdeka.

Walau Artikel 10 menjamin hak setiap warganegara untuk bersuara, namun ianya tidaklah memaksudkan sebagaimana apa yang tercatat dalam kasus itu.

Apa yang terjadi hari ini juga mengundang kepada jawapan yang hampir pasti iaitu seluruh rakan-rakan aktivis saya, ahli akademik yang lantang dan ahli politik oposisi yang terdakwa di bawah akta hasutan, seolah-olah tidak mampu melarikan diri lagi.

Namun begitu, secara langsung ianya menjadi peringatan bahawa ini perjuangan yang sangat panjang untuk mendepani pemerintah yang arrogant, angkuh dan lagi menindas.

Dalam keluhan takziah ringkas saya pada malam ini kepada seluruh anak bangsa Malaysia, seruan saya hanya satu, marilah kita membuka mata seluasnya, menyingsing tangan dan terus bekerja demi cita-cia mulia ini.

Berjanjilah, demi Malaysia yang lebih baik bahawa kita tidak akan lagi terus membiarkan episod penindasan dan cengkaman ini berlaku saban waktu dan ketika.

Menjadi rakyat yang pasif dan memilih untuk melihat sambil mendiamkan diri bukanlah pilihan yang terbaik buat masa ini. Melihat orang yang cedera dipukul, tapi kita hanya memilih untuk melihat dan merakam lalu membiarkan mangsa yang memerlukan bantuan begitu sahaja, itu zalim bukan?

Kini, Malaysia sudah menjadi mangsanya dan kitalah yang sedang menyaksikannya.

Ayuh, generasi baru yang sedar, kita tidak lagi boleh membuang masa. Masa kita tersangat suntuk. Masa untuk membebaskan Malaysia daripada kemusnahan dan kehancuran.

Dante mengingatkan kita dalam karya agungnya The Divine Comedy, “The darkest places in hell are reserved for those who maintain their neutrality in times of moral crisis.

Takziah buat seluruh anak bangsa Malaysia. Demi Malaysia, demi masa depan anak-anak Malaysia, tiada kata lain yang boleh diungkapkan di sini, melainkan: ayuh, kita bangkit melawan!