Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

October 14, 2015

Perutusan Maal Hijrah 1437H

Suatu pagi yang indah untuk diungkapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang dikurniakan dalam setiap hela nafas dan ketika, moga setiap saat yang mendatang, tidak pula kita akan terputus walau sedikit dari rahmat dan kasih sayang-Nya.

Pagi yang menyegarkan ini, di awal permulaan tahun yang baru dalam kalendar umat Islam haruslah di sambut dengan rasa syukur di atas anugerah Tuhan yang masih memberikan peluang kepada kita untuk menambah baik diri insani, agar benar-benar kita termasuk di dalam kumpulan mereka yang beruntung iaitu yang hari esoknya lebih baik daripada hari ini, dan hari ini lebih baik dari semalam.

Menikmati awal Muharram di bumi tercinta, Malaysia haruslah dengan lebih keinsafan di atas ke berantakan politik, ekonomi dan sosialnya yang mengundang rasa ketakutan kepada rakyat dalam meniti hari demi hari di sini.

Kerosakan dan ke berantakan yang berlaku ini seharusnya di jadikan iktibar bahawa inilah kerja buat tangan manusia yang rakus dan tamak, bukanlah dipasrahkan keadaan kepada takdir semata-mata.

Firman Allāh,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum: 41)

Sewajarnya peristiwa hijrah Nabi dan para sahabat di jadikan satu ibrah umat yang besar. Itulah hijrah yang memaknakan sebuah pengorbanan yang hakiki, yang bukan hanya bersifat fizikal lahiriah semata-mata.

Keluar dari sebuah daerah yang tiadalah lebih dicintai dari yang lain, kerana di sinilah tanah kelahiran mereka, tanah mereka dibesarkan, tanah di mana segala harta dikumpulkan, bahkan keluarga dan sanak-saudara yang tiada lagi di tempat lain.

Tapi dek kerana tujuan untuk mengangkat martabat manusia dan umat, menjulang agama dan ketamadunan, serta mengusung sebuah janji kebenaran mereka keluar walau apa jua risiko dalam menempuh sebuah perjuangan menentang kezaliman.

Inilah roh yang wajar ada dalam setiap jadi diri rakyat Malaysia pada hari ini.

Menumbangkan kezaliman yang membebani dan menghantui rakyat sekian lama, bukanlah boleh ditumpaskan dengan laungan kosong, fikiran dan jiwa yang kontang, tujuan dan misi yang kabur.

Ia mestilah sarat dengan roh kepahlawanan dan keperwiraan yang dahsyat. Nah, Nabi telah meninggalkan sirahnya untuk diteladani, dalam naratif peristiwa yang mirip sama, watak dan perwatakan yang tiada bezanya.

Tanggalkanlah baju keegoan dan ketakutan, sarungkanlah baju baru iaitu tekad dan keberanian di permulaan awal tahun yang baik ini. Dengan sebuah harapan mentari indah akan muncul di balik pengorbanan dan jihad rakyat Malaysia untuk membebaskan tanah watannya dari tangan pemerintah yang rakus penuh haloba.

Salam Maal Hijrah buat rakyat Malaysia.