Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

November 2, 2015

Penyelarasan Kadar Tambang Perkhidmatan Kenderaan Awam, Bukti Najib Mungkir Janji


Pembentangan Bajet 2016 yang bertemakan “Pro-Rakyat” nyata sekali lagi memasuki senarai janji yang dimungkiri Perdana Menteri Najib Razak, apabila saban hari, kenaikan demi kenaikan harga barangan dan kos sara hidup secara berterusan atas nama penyelarasan tanpa adanya usaha proaktif dari kerajaan untuk menangani masalah bebanan ini dari pundak rakyat.

Terbaru, pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar tentang kelulusan kabinet terhadap kertas kerja cadangan penyelarasan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel adalah bukti nyata Najib Razak tidak beramanah dengan janji yang dibuatnya.

Atas nama penyelarasan, kadar tambang perkhidmatan LRT, monorel dan Komuter akan mengalami peningkatan seawal-awalnya, dijangka perubahan tersebut akan efektif bermula 2 Disember. Peningkatan kadar tambang untuk warga pengguna Lembah Klang, nyata bukanlah suatu tindakan yang bijak oleh kerajaan dalam situasi ekonomi yang serba mendesak hari ini.

Pemuda AMANAH memberi amaran, sebarang pemotongan subsidi terhadap pengangkutan awam, sama sekali tidak berkesan terhadap usaha kerajaan untuk menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan kenderaan awam, bahkan tindakan itu tidak lebih akan terus memaksa rakyat hidup dalam keadaan ekonomi yang semakin menjerut leher mereka sendiri.

Pemuda AMANAH berpandangan, langkah penyelarasan sebagai alasan berlapik untuk terus memerah duit rakyat adalah tindakan tidak waras, sementelah baru sahaja sebulan yang lepas Prasarana Malaysia Bhd. mengumumkan jangkaan peningkatan pendapatan sebanyak 30% pada tahun hadapan hasil Program Hak Penamaan Stesen.

Mengambil kira kedudukan ekonomi semasa, dan pengumuman Perdana Menteri sendiri dalam Bajet 2016 mengenai jumlah kutipan GST yang menjangkaui unjuran awal, Pemuda AMANAH mendesak Perdana Menteri dan kabinet untuk membuat penilaian semula terhadap kelulusan kertas kerja penyelarasan kadar tambang perkhidmatan kenderaan awam di Lembah Klang.

Tindakan kerajaan berterusan menabur falasi kononnya kenaikan kadar tambang bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kenderaan awam, seterusnya menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, berbunyi sungguh jelik dan tidak beretika.

Adalah tiada justifikasi lain yang lebih munasabah dalam isu ini, selain dari Pemuda AMANAH menuntut kerajaan agar beramanah terhadap janji yang dibuat, dan seterusnya, benar-benar berusaha untuk meleraikan bebanan kos sara hidup yang mencengkam setiap denyut urat dan nadi rakyat terbanyak saban hari.

Muhamad Azan Safar
Naib Ketua (Pembangunan Masyarakat)
Pemuda AMANAH Nasional

October 25, 2015

Kenyataan Media: Azan Safar selaku Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Sumber: Sinar Harian



SDR AZAN SAFAR - NAIB KETUA PEMUDA AMANAH NASIONALBeliau yang berusia 26 tahun, adalah merupakan bekas aktivis mahasiswa yang giat aktif memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan termasuklah kebebasan akademi dan autonomi universiti dan juga isu-isu nasional terutamanya yang melibatkan soal kepentingan rakyat terbanyak. Berlatarbelakangkan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan seorang Hafiz berkelulusan Darul Quran wal Qiraat JAKIM, beliau telah diberi kepercayaan selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bagi sesi 2013/2014.Ketika memegang posisi Presiden GAMIS, beliau secara proaktif telah memimpin gerakan mahasiswa turun ke dalam masyarakat secara langsung termasuklah melibatkan GAMIS secara aktif dalam menjayakan siri-siri himpunan bantahan rakyat. Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Azan Safar telah memimpin Gerakan Tolak Kerajaan UMNO/BN (TOLAK) dan mengetuai siri jelajah TOLAK ke seluruh negara bagi memberi penerangan dan berkempen kepada masyarakat untuk menolak kepimpinan lemah UMNO/BN pada pemilihan yang lalu.Antara sumbangan beliau paling signifikan dan memberi impak yang besar kepada landskap perjuangan rakyat tertindas adalah kejayaan beliau mengasaskan dan memimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau popular dengan panggilan Gerakan TURUN yang berobjektifkan untuk mengangkat isu-isu utama yang bertemakan penindasan rakyat terutamanya isu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal.Melalui gerakan TURUN, beliau telah berjaya mengumpul sokongan ratusan ribu rakyat dengan siri jelajah penerangannya di seluruh negara dan berjaya mengetuai Himpunan TURUN secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam sambutan Tahun Baru 2014, sehingga telah menyebabkan kerajaan bereaksi terhadap gelombang kebangkitan itu dengan membuat tahanan lokap terhadap beliau dan mendakwanya atas tuduhan untuk menggulingkan kerajaan.Hari ini, Azan Safar, telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
Posted by Parti Amanah Negara on Thursday, October 22, 2015

Beliau yang berusia 26 tahun, adalah merupakan bekas aktivis mahasiswa yang giat aktif memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan termasuklah kebebasan akademi dan autonomi universiti dan juga isu-isu nasional terutamanya yang melibatkan soal kepentingan rakyat terbanyak.

Berlatarbelakangkan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan seorang Hafiz berkelulusan Darul Quran wal Qiraat JAKIM, beliau telah diberi kepercayaan selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bagi sesi 2013/2014.

Ketika memegang posisi Presiden GAMIS, beliau secara proaktif telah memimpin gerakan mahasiswa turun ke dalam masyarakat secara langsung termasuklah melibatkan GAMIS secara aktif dalam menjayakan siri-siri himpunan bantahan rakyat.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Azan Safar telah memimpin Gerakan Tolak Kerajaan UMNO/BN (TOLAK) dan mengetuai siri jelajah TOLAK ke seluruh negara bagi memberi penerangan dan berkempen kepada masyarakat untuk menolak kepimpinan lemah UMNO/BN pada pemilihan yang lalu.

Antara sumbangan beliau paling signifikan dan memberi impak yang besar kepada landskap perjuangan rakyat tertindas adalah kejayaan beliau mengasaskan dan memimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau popular dengan panggilan Gerakan TURUN yang berobjektifkan untuk mengangkat isu-isu utama yang bertemakan penindasan rakyat terutamanya isu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Melalui gerakan TURUN, beliau telah berjaya mengumpul sokongan ratusan ribu rakyat dengan siri jelajah penerangannya di seluruh negara dan berjaya mengetuai Himpunan TURUN secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam sambutan Tahun Baru 2014, sehingga telah menyebabkan kerajaan bereaksi terhadap gelombang kebangkitan itu dengan membuat tahanan lokap terhadap beliau dan mendakwanya atas tuduhan untuk menggulingkan kerajaan.

Hari ini, Azan Safar, telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

October 24, 2015

Kenyataan Media: Mendesak Kerajaan Mendedahkan Isi Kandungan Perjanjian Konsesi Tol

Mendesak Kerajaan Mendedahkan Isi Kandungan Perjanjian Antara Kerajaan dan Pemegang Konsesi Tol Dengan Mengubah Status Perjanjian Dari Terus Tertakluk di Bawah Akta Rahsia Rasmi 1972


Premis I: Kewajaran perjanjian konsesi tol


Kami, Pemuda AMANAH Nasional, berpandangan bahawa beberapa ratifikasi perjanjian antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol adalah wajar dan mempunyai justifikasi yang absah, sementelah ianya dilaksanakan atas dasar untuk syarikat yang bertanggungjawab mendapat balik modal pelaburan, faktor keuntungan perniagaan yang dilaksanakan dan bayaran semula pinjaman kepada bank, atas alasan syarikat konsesi tidak boleh rugi kerana perlu bertanggungjawab kepada pemegang saham syarikat.

Premis II: Lebuh raya adalah untuk kemudahan rakyat, bukan sebaliknya


Walau bagaimanapun, adalah menjadi maklum kepada semua bahawa tujuan lebuh raya dibina adalah sebagai infrastruktur untuk kemudahan rakyat. Walaupun alasan lebuh raya dibina sebagai infrastruktur kemudahan rakyat tidaklah mencapai taraf legitimasi dalam banyak contoh kes yang berlaku di luar negara, kerana infrastruktur lebuh raya dibina sebagai suatu alternatif yang bersifat luxury, dalam erti kata lain, rakyat mempunyai pilihan lain selain menggunakan opsyen lebuh raya untuk sampai ke suatu destinasi tertentu.

Masalahnya di Malaysia, opsyen tersebut tidak wujud atau semakin berkurangan apabila kerajaan giat menaiktarafkan sesebuah jalan raya utama kepada lebuh raya atas alasan untuk meningkatkan kemudahan infrastrukturnya, kemudiannya mengenakan bayaran tol kepada pengguna yang terpaksa melalui lebuh raya tersebut akibat tiada pilihan lain lagi. Ditambah pula dengan perjanjian konsesi tol yang tidak adil dan dirahsiakan daripada umum, menyebabkan tiada langsung usaha kerajaan untuk menghalang keadaan ini daripada menjadi semakin parah.

Pada pemerhatian sekarang, adalah jelas keadaan isi kandungan perjanjian antara kerajaan dan pemegang-pemegang konsesi tol tidak mencerminkan semangat tersebut, dan telah menyebabkan bayaran tol yang dikenakan bagi menampung kehendak perjanjian sudah bersifat berat sebelah, dengan jangkaan keuntungan dan kemudahan yang melebihi jangkauan kepada pihak pemegang konsesi berbanding subjek utama, iaitu pengguna lebuh raya.

Sehingga ke hari ini, berdasarkan jawapan balas oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Ir. Mohd. Zin bin Mohamed (ketika itu) dalam Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 7 Mei 2008, sebanyak 22 perjanjian konsesi tol sedang beroperasi dan dinyatakan bahawa jumlah keseluruhan pendapatan dan keuntungan kumulatif bagi syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkenaan semenjak diswastakan sehingga ke tahun tersebut adalah seperti berikut iaitu, jumlah keseluruhan pendapatan kumulatif ialah RM27.6 bilion dan jumlah keseluruhan keuntungan kumulatif ialah RM3.5 bilion.

Keadaan ini secara jelas terjadi akibat daripada kesan isi kandungan perjanjian tersebut yang tidak menyebelahi kehendak rakyat, atas faktor paling utama iaitu penganugerahan hak konsesi secara rundingan terus, sebagaimana beberapa ratifikasi yang telah dipersetujui, antaranya perjanjian 50 tahun konsesi tol yang bernilai RM1.55 bilion dianugerahkan kepada AZRB dengan pinjaman mudah RM635 juta dan juga penganugerahan konsesi tol Lebuhraya Pantai Barat dengan perjanjian 60 tahun bernilai RM5.2 bilion ditawarkan kepada Europlus, yang kedua-duanya itu dilakukan secara rundingan terus.

Tentu sekali dibimbangkan perjanjian tersebut sudah menjadi lombong emas kepada beberapa syarikat pemegang konsesi yang dikhuatiri pemiliknya berlegar dalam kalangan kroni-kroni kerajaan dan pihak-pihak tertentu sahaja, sedangkan isi kandungan perjanjian yang berat sebelah, telah mengehendaki kerajaan membayar pampasan dengan jumlah yang tidak masuk akal jikalau klausa perjanjian tidak dipenuhi akan melibatkan dana awam dan duit rakyat keseluruhannya.

Premis III: Mendesak ketelusan perjanjian dengan mendedahkan isi kandungan perjanjian yang telah dipersetujui dan mengklasifikasikan semula kesemua perjanjian konsesi tol yang telah dibuat


Justeru, kami mendesak agar kerajaan mengambil kira faktor beban kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing akibat ketidaktentuan ekonomi mutakhir, dengan menyemak semula isi kandungan perjanjian yang telah diratifikasikan itu secara beramanah dan penuh bertanggungjawab, agar ketidakadilan yang berlaku akibat perjanjian yang berat sebelah ini boleh diatasi dan mengurangkan tuntutan pihak pemegang konsesi terhadap kadar kenaikan secara berterusan tanpa sebarang justifikasi yang wajar dan partisipasi penuh pengguna lebuh raya melalui konsultasi awam.

Oleh yang demikian, kami mendesak agar kerajaan membuat pengelasan semula (declassification) atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi tol agar perjanjian tersebut dan dokumen perjanjian tersebut tidak lagi terus tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan setiap perjanjian konsesi yang telah dipersetujui antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol.

Adalah ditegaskan bahawa, tindakan kerajaan terus menerus memberi muka kepada syarikat pemegang konsesi tol, dengan terus mengekalkan status rahsia terhadap perjanjian tersebut yang ditandatangani melalui pintu belakang dengan memperalatkan Akta Rahsia Rasmi, adalah suatu bentuk pengkhiatanan terang-terangan terhadap janji “rakyat didahulukan” yang dicanang saban masa oleh Perdana Menteri.

Pengekalan status rahsia dengan tujuan untuk mengeksploitasi dan menimba laba, dan memberi manfaat pada sekelompok kecil kroni kerajaan sahaja, hanya mengundang risiko defisit kepercayaan rakyat yang semakin merudum terhadap sistem berkerajaan dan keluhuran perlembagaan dalam menjaga hak-hak rakyat yang terutama.

MUHAMAD AZAN SAFAR
Naib Ketua
Pemuda AMANAH Nasional

23 Oktober 2015