Showing posts with label AMANAH. Show all posts
Showing posts with label AMANAH. Show all posts

October 25, 2015

Kenyataan Media: Azan Safar selaku Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Sumber: Sinar Harian



SDR AZAN SAFAR - NAIB KETUA PEMUDA AMANAH NASIONALBeliau yang berusia 26 tahun, adalah merupakan bekas aktivis mahasiswa yang giat aktif memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan termasuklah kebebasan akademi dan autonomi universiti dan juga isu-isu nasional terutamanya yang melibatkan soal kepentingan rakyat terbanyak. Berlatarbelakangkan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan seorang Hafiz berkelulusan Darul Quran wal Qiraat JAKIM, beliau telah diberi kepercayaan selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bagi sesi 2013/2014.Ketika memegang posisi Presiden GAMIS, beliau secara proaktif telah memimpin gerakan mahasiswa turun ke dalam masyarakat secara langsung termasuklah melibatkan GAMIS secara aktif dalam menjayakan siri-siri himpunan bantahan rakyat. Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Azan Safar telah memimpin Gerakan Tolak Kerajaan UMNO/BN (TOLAK) dan mengetuai siri jelajah TOLAK ke seluruh negara bagi memberi penerangan dan berkempen kepada masyarakat untuk menolak kepimpinan lemah UMNO/BN pada pemilihan yang lalu.Antara sumbangan beliau paling signifikan dan memberi impak yang besar kepada landskap perjuangan rakyat tertindas adalah kejayaan beliau mengasaskan dan memimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau popular dengan panggilan Gerakan TURUN yang berobjektifkan untuk mengangkat isu-isu utama yang bertemakan penindasan rakyat terutamanya isu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal.Melalui gerakan TURUN, beliau telah berjaya mengumpul sokongan ratusan ribu rakyat dengan siri jelajah penerangannya di seluruh negara dan berjaya mengetuai Himpunan TURUN secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam sambutan Tahun Baru 2014, sehingga telah menyebabkan kerajaan bereaksi terhadap gelombang kebangkitan itu dengan membuat tahanan lokap terhadap beliau dan mendakwanya atas tuduhan untuk menggulingkan kerajaan.Hari ini, Azan Safar, telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
Posted by Parti Amanah Negara on Thursday, October 22, 2015

Beliau yang berusia 26 tahun, adalah merupakan bekas aktivis mahasiswa yang giat aktif memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan termasuklah kebebasan akademi dan autonomi universiti dan juga isu-isu nasional terutamanya yang melibatkan soal kepentingan rakyat terbanyak.

Berlatarbelakangkan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan seorang Hafiz berkelulusan Darul Quran wal Qiraat JAKIM, beliau telah diberi kepercayaan selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bagi sesi 2013/2014.

Ketika memegang posisi Presiden GAMIS, beliau secara proaktif telah memimpin gerakan mahasiswa turun ke dalam masyarakat secara langsung termasuklah melibatkan GAMIS secara aktif dalam menjayakan siri-siri himpunan bantahan rakyat.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Azan Safar telah memimpin Gerakan Tolak Kerajaan UMNO/BN (TOLAK) dan mengetuai siri jelajah TOLAK ke seluruh negara bagi memberi penerangan dan berkempen kepada masyarakat untuk menolak kepimpinan lemah UMNO/BN pada pemilihan yang lalu.

Antara sumbangan beliau paling signifikan dan memberi impak yang besar kepada landskap perjuangan rakyat tertindas adalah kejayaan beliau mengasaskan dan memimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau popular dengan panggilan Gerakan TURUN yang berobjektifkan untuk mengangkat isu-isu utama yang bertemakan penindasan rakyat terutamanya isu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Melalui gerakan TURUN, beliau telah berjaya mengumpul sokongan ratusan ribu rakyat dengan siri jelajah penerangannya di seluruh negara dan berjaya mengetuai Himpunan TURUN secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam sambutan Tahun Baru 2014, sehingga telah menyebabkan kerajaan bereaksi terhadap gelombang kebangkitan itu dengan membuat tahanan lokap terhadap beliau dan mendakwanya atas tuduhan untuk menggulingkan kerajaan.

Hari ini, Azan Safar, telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

October 13, 2015

AMANAH Terengganu: Utamakan Agenda Kebajikan Rakyat

Selama 2 hari saya sempat bersama dengan kepimpinan AMANAH Negeri Terengganu di seluruh peringkat dalam melakar sanggar kerja AMANAH Terengganu di Sutra Beach Resort, Merang Terengganu.

Saya yang menghadiri program tersebut di atas kapasiti saya sebagai Ketua Pemuda AMANAH Besut merakamkan ucapan tahniah di atas kecemerlangan program dalam mengeluarkan satu blueprint rangka kerja AMANAH Terengganu bagi tempoh 2 tahun yang mendatang.

Sebagai perwakilan termuda yang hadir, gemar untuk saya memberikan perspektif terhadap pengamatan saya kepada suasana di Negeri Terengganu dan bagaimana AMANAH harus mendepaninya.

Perspektif ini saya lontarkan dalam keadaan saya yang tidak pernah melibatkan diri dalam budaya kerja parti di Terengganu sebelum ini walaupun saya adalah exco Pemuda Pas Malaysia bagi penggal yang lepas.

Perspektif saya mungkin naif kerana dianggap tidak mengakar daripada realiti, namun ia boleh jadi sebuah perspektif yang penuh kelainan kerana saya tidak pernah terjebak dalam kerangka dan budaya mana-mana parti politik yang memualkan.

Namun saya pulangkan kepada pembaca untuk meletakkan justifikasi terhadap 4 perspektif yang saya utarakan dengan harapan untuk melihat AMANAH Terengganu berjaya mendapat tempat di hati rakyat.

Pertama, AMANAH Terengganu mesti sedar diri bahawa untuk berhadapan PRU-14 akan datang, AMANAH Terengganu adalah parti yang paling lemah daripada kesemua parti ‘perdana’ yang bertanding di sana.

Sebagaimana ahli PAS pada tahun 2008 jengkel dengan kehadiran PKR yang tiba-tiba memunculkan diri untuk bertanding di ‘Negeri Islam’ Terengganu, tanpa jentera, tanpa sokongan dan tanpa dana yang banyak, seperti itu jugalah realiti AMANAH Terengganu dalam berhadapan PRU-14.

Sedar diri ini tak merugikan, untuk terus dianggap berada dalam status ‘underdog’ tidaklah menghinakan. Ini sebenar adalah penting untuk mengelakkan daripada AMANAH Terengganu tenggelam dalam perasaan bahawa mereka adalah sebuah parti yang kuat terutamanya apabila terlalu reaktif dengan pengaruh parti PAS di Terengganu yang sememangnya diakui mempunyai akar umbi yang kuat.

Perkara yang penting juga adalah untuk mengelakkan daripada ahli AMANAH terus terjebak dalam peperangan tak berkesudahan dengan kawan-kawan daripada parti lama iaitu PAS yang akhirnya menambah muak rakyat dan orang awam yang mengikuti.

Sifat untuk membandingkan program siapa yang lebih hebat juga perlu dielak memandangkan sumber utama AMANAH yang belum kukuh untuk dibandingkan dengan parti yang lain.

Cadangan saya biarkan sebahagian mereka yang masih berminat dengan skrip untuk menyerang AMANAH, namun ahli AMANAH haruslah konsisten menggerakkan program yang mampu meninggalkan kesan kepada rakyat.

Kedua, Semaksimum mungkin AMANAH Terengganu mesti menonjolkan dasar parti baru AMANAH ini iaitu Islam. Maka segala gerak kerja, tawaran dan tindakan mestilah digerakkan dalam roh sebagai sebuah parti Islam.

Sebuah negeri yang mempunyai lebih 95% masyarakat Melayu Muslim, terletaknya di Pantai Timur yang kawasan luar bandarnya lebih dominan maka hal ehwal agama menjadi perkara yang sangat fundamental. Walaupun ia tidak diterjemahkan dari sudut cara fikir, tindakan dan amalan mereka namun dari sudut kepercayaan mereka ini adalah perkara yang sakral.

Tanpa dinafikan bahawa cara fikir mereka terhadap agama telah dimanipulasikan oleh pemain politik pemerintah semenjak sekian lama, maka inilah cabaran AMANAH untuk membetulkan cara fikir mereka agar kembali sebagai seorang Muslim yang sebenar.

AMANAH Terengganu tidak perlu terikut-ikut dengan rentak pendekatan AMANAH di peringkat nasional kerana sasarannya yang berbeza, suasana dan tempatnya yang berbeza serta penerimaan yang berbeza.

Namun secara prinsip, AMANAH Terengganu mestilah beramanah dengan agama agar ia tidak pula dimanipulasikan untuk kepercayaan dan kepentingan politik semata-mata.

Ketiga, AMANAH mesti meletakkan kepentingan kebajikan rakyat adalah perkara yang paling utama kepada segenap lapisan rakyat di negeri Terengganu. AMANAH tidak boleh terbuai dengan program yang bersifat grand dan populis tapi mesti terus menggerakkan usaha kebajikan yang terus kepada rakyat.

AMANAH mesti pastikan supaya tiada satu lorong pun yang tidak dilalui malah tiada satu pintu rumah pun yang tidak diketuk dalam melaksanakan misi ini. Sikap yang betul dalam menguruskan kebajikan rakyat ini sangat penting. Sebahagian dari pemain politik hanya menjaga kebajikan rakyat untuk memperoleh undi dengan contoh program kebajikan yang bersifat one-off.

Namun AMANAH perlu lebih daripada itu, AMANAH mestilah menjadikan kebajikan rakyat adalah sebagai satu tanggungjawab untuk diselesaikan di bawah satu kepercayaan bahawa tugas sebagai agen dalam sebuah parti Islam AMANAH ialah menyebarkan rahmat Islam kepada semua.

Dalam masa yang sama, walaupun gerak kerja ini adalah gerak kerja kebajikan ia tetaplah mesti dilakukan dalam keadaan yang sangat strategik dan berdata.

AMANAH perlu pastikan untuk setiap kelompok masyarakat disentuh termasuk untuk menarik sokongan daripada semua tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh termasuk tuan imam, ketua kampung, tokoh perniagaan, dan lain-lain untuk mendapatkan perhatian yang luas daripada masyarakat setempat.

Keempat, ahli AMANAH mestilah rajin untuk turun mendominasi dalam majlis yang melibatkan rakyat dan orang kampung. Maka menjadi satu kewajipan kepada ahli AMANAH untuk istiqamah dalam menunaikan solat fardu secara berjemaah di surau ataupun masjid mukim masing-masing.

Ini adalah satu langkah sosial bagi membina kebolehpercayaan rakyat kepada parti AMANAH di negeri Terengganu. Walau ia hanyalah perkara yang ringkas, tapi kesannya lebih besar apabila kita turut memberi komitmen dalam setiap aktiviti masjid dan surau di mukim masing-masing.

Ketokohan di luar bandar mudah terserlah apabila berjayanya mereka untuk muncul di majlis-majlis rakyat, kenduri kendara, majlis orang mati dan sebagainya. Cuma apa yang membezakan ahli AMANAH dengan orang lain yang turut sama dalam majlis-majlis di atas adalah political will.

Maka ahli AMANAH perlu menzahirkan secara baik cita-cita politik dan wawasan yang dimiliki untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada Parti AMANAH Negara khususnya di kawasan luar bandar.

Adalah menjadi satu bonus tambahan kepada AMANAH Terengganu sekiranya berjaya mendapatkan penyertaan seramai mungkin para agamawan bersama mereka. Kumpulan ustaz adalah kumpulan yang dipercayai oleh masyarakat.

Persepsi rakyat terhadap AMANAH sebagai kuda tunggangan DAP juga boleh diketepikan dengan ramainya penyertaan ustaz ke dalam AMANAH selain mereka mampu menjadi agen yang menyerap masuk kepada setiap lapisan untuk memberikan pemurnian terhadap dogma mereka kepada AMANAH.

Empat perspektif yang saya fikirkan ini bukanlah perkara yang menyeluruh kepada gerak kerja parti keseluruhannya, namun ia menjadi basic rule kepada AMANAH dan ahlinya dalam meluaskan pengaruh di kawasan Melayu luar bandar.

Saya menjangkakan bahawa PRU-14 bukanlah lagi masa untuk AMANAH mendapat tempat di Terengganu. Namun sekiranya jika AMANAH berjaya untuk mengukuhkan usaha sebagaimana pandangan yang diberikan di atas saya percaya PRU-15, AMANAH akan muncul sebagai sebuah parti yang unggul di Pantai Timur.

Muhamad Azan Safar
Ketua Pemuda
AMANAH Besut