October 24, 2015

Kenyataan Media: Mendesak Kerajaan Mendedahkan Isi Kandungan Perjanjian Konsesi Tol

Mendesak Kerajaan Mendedahkan Isi Kandungan Perjanjian Antara Kerajaan dan Pemegang Konsesi Tol Dengan Mengubah Status Perjanjian Dari Terus Tertakluk di Bawah Akta Rahsia Rasmi 1972


Premis I: Kewajaran perjanjian konsesi tol


Kami, Pemuda AMANAH Nasional, berpandangan bahawa beberapa ratifikasi perjanjian antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol adalah wajar dan mempunyai justifikasi yang absah, sementelah ianya dilaksanakan atas dasar untuk syarikat yang bertanggungjawab mendapat balik modal pelaburan, faktor keuntungan perniagaan yang dilaksanakan dan bayaran semula pinjaman kepada bank, atas alasan syarikat konsesi tidak boleh rugi kerana perlu bertanggungjawab kepada pemegang saham syarikat.

Premis II: Lebuh raya adalah untuk kemudahan rakyat, bukan sebaliknya


Walau bagaimanapun, adalah menjadi maklum kepada semua bahawa tujuan lebuh raya dibina adalah sebagai infrastruktur untuk kemudahan rakyat. Walaupun alasan lebuh raya dibina sebagai infrastruktur kemudahan rakyat tidaklah mencapai taraf legitimasi dalam banyak contoh kes yang berlaku di luar negara, kerana infrastruktur lebuh raya dibina sebagai suatu alternatif yang bersifat luxury, dalam erti kata lain, rakyat mempunyai pilihan lain selain menggunakan opsyen lebuh raya untuk sampai ke suatu destinasi tertentu.

Masalahnya di Malaysia, opsyen tersebut tidak wujud atau semakin berkurangan apabila kerajaan giat menaiktarafkan sesebuah jalan raya utama kepada lebuh raya atas alasan untuk meningkatkan kemudahan infrastrukturnya, kemudiannya mengenakan bayaran tol kepada pengguna yang terpaksa melalui lebuh raya tersebut akibat tiada pilihan lain lagi. Ditambah pula dengan perjanjian konsesi tol yang tidak adil dan dirahsiakan daripada umum, menyebabkan tiada langsung usaha kerajaan untuk menghalang keadaan ini daripada menjadi semakin parah.

Pada pemerhatian sekarang, adalah jelas keadaan isi kandungan perjanjian antara kerajaan dan pemegang-pemegang konsesi tol tidak mencerminkan semangat tersebut, dan telah menyebabkan bayaran tol yang dikenakan bagi menampung kehendak perjanjian sudah bersifat berat sebelah, dengan jangkaan keuntungan dan kemudahan yang melebihi jangkauan kepada pihak pemegang konsesi berbanding subjek utama, iaitu pengguna lebuh raya.

Sehingga ke hari ini, berdasarkan jawapan balas oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Ir. Mohd. Zin bin Mohamed (ketika itu) dalam Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 7 Mei 2008, sebanyak 22 perjanjian konsesi tol sedang beroperasi dan dinyatakan bahawa jumlah keseluruhan pendapatan dan keuntungan kumulatif bagi syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkenaan semenjak diswastakan sehingga ke tahun tersebut adalah seperti berikut iaitu, jumlah keseluruhan pendapatan kumulatif ialah RM27.6 bilion dan jumlah keseluruhan keuntungan kumulatif ialah RM3.5 bilion.

Keadaan ini secara jelas terjadi akibat daripada kesan isi kandungan perjanjian tersebut yang tidak menyebelahi kehendak rakyat, atas faktor paling utama iaitu penganugerahan hak konsesi secara rundingan terus, sebagaimana beberapa ratifikasi yang telah dipersetujui, antaranya perjanjian 50 tahun konsesi tol yang bernilai RM1.55 bilion dianugerahkan kepada AZRB dengan pinjaman mudah RM635 juta dan juga penganugerahan konsesi tol Lebuhraya Pantai Barat dengan perjanjian 60 tahun bernilai RM5.2 bilion ditawarkan kepada Europlus, yang kedua-duanya itu dilakukan secara rundingan terus.

Tentu sekali dibimbangkan perjanjian tersebut sudah menjadi lombong emas kepada beberapa syarikat pemegang konsesi yang dikhuatiri pemiliknya berlegar dalam kalangan kroni-kroni kerajaan dan pihak-pihak tertentu sahaja, sedangkan isi kandungan perjanjian yang berat sebelah, telah mengehendaki kerajaan membayar pampasan dengan jumlah yang tidak masuk akal jikalau klausa perjanjian tidak dipenuhi akan melibatkan dana awam dan duit rakyat keseluruhannya.

Premis III: Mendesak ketelusan perjanjian dengan mendedahkan isi kandungan perjanjian yang telah dipersetujui dan mengklasifikasikan semula kesemua perjanjian konsesi tol yang telah dibuat


Justeru, kami mendesak agar kerajaan mengambil kira faktor beban kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing akibat ketidaktentuan ekonomi mutakhir, dengan menyemak semula isi kandungan perjanjian yang telah diratifikasikan itu secara beramanah dan penuh bertanggungjawab, agar ketidakadilan yang berlaku akibat perjanjian yang berat sebelah ini boleh diatasi dan mengurangkan tuntutan pihak pemegang konsesi terhadap kadar kenaikan secara berterusan tanpa sebarang justifikasi yang wajar dan partisipasi penuh pengguna lebuh raya melalui konsultasi awam.

Oleh yang demikian, kami mendesak agar kerajaan membuat pengelasan semula (declassification) atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi tol agar perjanjian tersebut dan dokumen perjanjian tersebut tidak lagi terus tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan setiap perjanjian konsesi yang telah dipersetujui antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol.

Adalah ditegaskan bahawa, tindakan kerajaan terus menerus memberi muka kepada syarikat pemegang konsesi tol, dengan terus mengekalkan status rahsia terhadap perjanjian tersebut yang ditandatangani melalui pintu belakang dengan memperalatkan Akta Rahsia Rasmi, adalah suatu bentuk pengkhiatanan terang-terangan terhadap janji “rakyat didahulukan” yang dicanang saban masa oleh Perdana Menteri.

Pengekalan status rahsia dengan tujuan untuk mengeksploitasi dan menimba laba, dan memberi manfaat pada sekelompok kecil kroni kerajaan sahaja, hanya mengundang risiko defisit kepercayaan rakyat yang semakin merudum terhadap sistem berkerajaan dan keluhuran perlembagaan dalam menjaga hak-hak rakyat yang terutama.

MUHAMAD AZAN SAFAR
Naib Ketua
Pemuda AMANAH Nasional

23 Oktober 2015