December 22, 2014

2015 : Ekonomi Sengsara Rakyat

2015 yang bakal menjelang tidak kurang dari 2 minggu dari sekarang, menjengah rakyat terbanyak dalam serba wajah baru. Pertamanya, tentulah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST bermulanya 1 April. Walaupun kerajaan telah memberi jaminan dari sudut senarai barangan yang tidak dikenakan GST, namun hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah pastinya tempias GST itu akan melata jua menjadi rantaian kepada peningkatan kos sara hidup rakyat jelata.

2015 yang kita akan sambut ini, menyediakan kita suatu ranah statistik ekonomi yang cukup menggerunkan. Alasan paling logik untuk kita cuba memahami tindakan kerajaan tergesa-gesa melaksanakan GST adalah kerana kerajaan sudah tidak berduit lagi. Kerajaan memerlukan suntikan imunisasi segera bagi memperlahankan kesan kegawatan ekonomi lantaran hutang yang begitu mencanak.

Jadinya, mereka berpaling kepada rakyat terbanyak – golongan kelas bawahan dan menengah – dan menagih setiap sen yang bersisa dalam poket untuk membantu kerajaan, atas nama melestarikan pembangunan dan kemakmuran. Hayatilah iklan-iklan GST yang bertebaran di kaca televisyen, semua nampak indah belaka.

GST yang bakal kita raikan awal 2015 ini bakal melengkapkan cerita kesengsaraan hidup rakyat terbanyak. Kita tidak akan melupakan angka-angka lain yang menjadi bukti bahawa 2015 tidak akan menjanjikan sebuah kemakmuran seperti yang dikhabarkan saban malam.

2015 disambut dengan lebih dari 216,868 isi rumah masih berada di bawah paras kemiskinan dan hampir 90% dari jumlah itu adalah Bumiputra. Statistik tidak akan menipu, walaupun ianya boleh juga dieksploitasi untuk menipu rakyat terbanyak. Dalam pada berdesas desus makmurnya ekonomi apabila GST dilaksanakan, kita kena ingat bahawa lebih dari 50% Bumiputra masih berpendapatan di bawah RM3000.

Mereka ini semua, walaupun awal tahun depan akan disogok BR1M berjumlah RM300 sehingga RM900, akan bersesak nafas menopang ekonomi negara yang tenat melalui GST yang tentunya bakal mencekik leher mereka lagi dan lagi. Mungkin sebelum ini mereka berpagian dengan roti canai, tetapi demi memenuhi saranan kerajaan untuk bijak berbelanja, mereka belajar berjimat dengan paginya cuma beralas air kosong.

Tidak beroti canai masih boleh berkira lagi, tetapi untuk mengerat susu tepung anak kecil mereka, tentulah hakikat ini menghiris ulu hati kita semua. Inilah wajah ekonomi 2015 yang rakyat terbanyak akan tempuhi dan nikmati, di sebalik topeng-topeng cerita iklan GST yang serba indah.

Kita perlu bertanya khabar, bagaimanalah cerita mereka yang tergolong dalam angka 5% isi rumah berpendapatan  di bawah RM800 menjalani hidup di tahun baru ini. Juga tanyakan khabar para graduan universiti dan belia yang hampir mencecah angka 50% masih menganggur, tiada pekerjaan, makan tanggung atau merempat di kota besar. Mereka ini, yang tiada pekerjaan dan wang ini, GST tidak segan untuk menyapa mereka.

Gembiranya kita untuk menyambut 2015, yakni semakin dekat kita dengan jendela 2020 – suatu mimpi indah Mahathir – kita tidak harus lupa untuk bertanyakan khabar apakah ekonomi tahun depan ini ada sedikit ihsan pada mereka yang berpendapatan rendah, yang mengimpikan sebuah rumah demi melindung keluarga mereka dengan harga yang penuh manusiawi. 2015 ini tiba dengan peringatan-peringatan awal, bahawasanya ekonomi Malaysia akan mengalami kejutan awal, berbeza kitaran di negara lainnya akibat kelemahan pengurusan kita sendiri.

Sebagai rakyat terbanyak yang tergolong dalam angka-angka statistik di atas, kita cuma tinggal 2 pilihan. Pertamanya, kita menurut dan membiarkan kerajaan berterusan dengan segala keparat, mengorbankan masa depan generasi anak-anak kita di depan mata sendiri. Tuhan memberi kita pilihan kedua, bangun dan bangkit melawan.

Jika kita seorang manusia, yang punya hati nurani, kita akan memilih pilihan kedua yang diberi oleh tuhan. Selamat datang 2015, selamat datang ekonomi GST, dan bersiagalah sang pemuda sekalian – untuk menggarap perubahan!

Kita jumpa 31 haribulan nanti di Dataran Merdeka demi menyambut 2015 Tahun Penindasan Buat Rakyat!

Muhamad Azan Safar
Pengerusi,
Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)