May 18, 2012

Nota Nasihat Daripada Adik-Adik Usrah

Semalam ialah hari yang menenangkan bagi saya apabila Blackberry saya menerima nota-nota nasihat daripada adik-adik usrah kesayangan saya.

Sesuai dengan satu hadith yang diriwayatkan Muslim berkaitan hak muslim ke atas saudaranya yang lain :

Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya:

“Apakah wahai Rasulullah?.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ucapkanlah salam jika berjumpa dengannya,”
“Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya,”
“Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat,”
“Jika dia bersin dan memuji Allah, maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah),”
“Jika ia sakit, maka ziarahilah dia,”
“Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya,”

Kepingan Nota Yang Membahagiakan

Lalu saya sertakan disini nota-nota nasihat yang sungguh membahagiakan dan menenangkan. Walalupun sebahagiannya adalah potongan kata-kata para sahabat atau ulama’, namun saya yakin setiap pemberian nota-nota ini pasti dari sanubari hati yang penuh tulus dan ikhlas.

"Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. berkata kepada sebahagian sahabatnya ;- Aku berwasiat kepadamu enam perkara :1) Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.2) Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.3) Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.4) Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.5) Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.6) Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.”
"Apabila kamu terlanjur melakukan sesuatu dosa , maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu , kerana kadang kala ia merupakan dosa terkahir yang ditakdirkan ke atas kamu ” - (Ibn Athaillah) 
“Allah SWT tidak akan menguji hambaNya, melainkan hambaNya itu mampu menghadapinya. Bersabarlah atas segala ujianNya. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar..” 
“Sollu ‘ala nabi”

Tidak kurang dicelah-celah nasihat yang saya perolehi, saya juga dinasihatkan untuk cepat-cepat berkahwin. Macam-macam adik usrah saya ini, tetapi yang pastinya saya sangat menghargai setiap nota nasihat yang saya perolehi.

Saya punyai ramai adik-adik usrah. Sungguh, saya sangat sayangkan mereka. Dan sayang saya kepada mereka pasti adalah kerana Allah S.W.T.

Terima kasih buat adik-adik usrahku.

May 6, 2012

Saya Mendapat Keluarga Baru..


Setelah hampir 2 bulan bertungkus lumus, akhirnya Festival Isnpirasi Islam 2011 anjuran Ikatan Studi Islam UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Univeriti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) melabuhkan tirainya. Bekerja menguruskan festival ini di kala sesi kuliah sepanjang 2 bulan ini lain tekanannya dengan bekerja di kala cuti dari sesi kuliah walaupun hanya seminggu. Fokus dapat diberikan jauh lebih baik. Namun, saya masih menyedari tuntutan sebagai seorang pelajar tetap tidak boleh diabaikan. Siapa suruh buat festival dikala waktu kuliah, padan muka saya!

Apapun, saya masih bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetuai pasukan terbaik dalam menggerakkan FII ’12 ini. Dengan berinspirasikan FII ’12 ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap Islam khususnya  ISIUKM, kita tampil dengan wajah berbeza dengan membawa konsep Y-Avenue untuk meraikan anak muda sekarang yang lebih gemar dengan trend mereka yang tersendiri. Saya juga turut rasa bertuah apabila dalam FII ’12 ini juga kami berkesempatan untuk meneruskan tradisi ISIUKM dengan penganjuran Konsert Malam Apresiasi Seni (MANIS) kali ke-6 setelah penganjurannya yang terakhir di zaman kepimpinan Ustaz Mohd Idris pada tahun 2008.

Ramai artis seperti kumpulan nasyid UNIC dan Mestica menyatakan rasa keseronokan sekali lagi berada di UKM di atas pentas Konsert MANIS setelah sudah lama tidak diadakan. Ibarat mengenangkan nostalgia silam mereka tampil dengan persembahan yang penuh bertenaga malam tersebut.

Bezanya kami sekali lagi membawa nafas baru ke dalam roh konsert ini apabila kami tidak lagi hanya membawa konsep kesenian Islam tetapi  kepelbagaian seni dan budaya yang kita terapkan  sebagai satu langkah baru dalam ISIUKM meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam Negara kita khususnya di UKM. Chinese non-Muslim turut membuat persembahan Wushu yang menakjubkan selain dari persembahan instrumental piano dan Magic Show sebagai sedikit humor di dalam konsert. Terima kasih kepada Timb Naib Cancelor HEPA UKM yang sudi memeriahkan konsert kami dengan kehadiranya sebagai tetamu VIP.
TNC HEPA memberi ucapan ketika Konsert MANIS IV
FII ’12 Hilang Roh Islamnya

Ada beberapa keluhan yang saya dengar, mungkin datangnya dari ahli-ahli ISIUKM sendiri, mahupun mungkin alumni-alumni kami yang prihatin terhadap perkembangan ISIUKM berkaitan konsep yang diketengahkan dalam FII ’12 kali ini dilihat tidak terlalu berunsurkan agenda Islamik tetapi lebih terbuka seolah menghilangkan identiti ISIUKM sebagai sebuah Persatuan Islam induk di UKM.

Saya ingin jelaskan bahawa ini hanyalah salah satu program dan aktiviti dari banyak lagi kepelbagaian program yang akan kita tonjolkan. Sudah pasti dalam festival kali ini kita ingin menonjolkan satu persepsi bahawa mahasiswa Islam turut boleh merapati golongan anak muda yang mempunyai citarasa pelbagai disamping kita tidak pernah menggugurkan prinsip kita sebagai seorang da’I untuk menonjokkan syiar Islam disebalik setiap aktiviti yang kita jalankan. Sekurangnya masyarakat dapat membuka mata bahawa persatuan Islam juga tiada masalah untuk melaksanakan program selari dengan tuntutan minat anak muda sekarang.

Kalau ditanya tentang bedah buku, pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan agenda Islamis yang lain, jangan dirisaukan kerana kami masih ada 1 tahun tenure kepimpinan untuk kami tonjolkan syiar Islam dan dakwah Islamiyah dari dimensi yang pelbagai.

Berakhirnya Sebuah Kisah

Puas.

Itulah perasaan saya sebaik sahaja Majlis Perasmian Penutupan FII ’12 pagi Jumaat yang lepas. Saya tahu semenjak saya berhempas-pulas untuk menjayakan FII ’12 ini, saya mula mendapat ahli keluarga yang baru. Ya, Keluarga FII ’12. Sangat membahagiakan. Mereka sangat menceriakan dan sentiasa bersama dalam susah senang, jatuh bangun sepanjang menjayakan festival ini.

Sebahagian Besar Keluarga FII '12

Saya begitu terhutang budi dengan mereka di atas kesungguhan dan komitmen yang mereka tonjolkan. Sanggup bersekang mata sehingga ke Subuh, kemudian seharian ke hulu ke hilir di Pusanika mahupun Panggung Seni dan Masjid untuk menjayakan program dan mencari mad’u, mereka tidak pernah merungut bahkan mereka sentiasa menjadi golongan yang menawarkan diri untuk membantu. Mereka tak pernah kenal erti lelah. Ini belum lagi saya bongkarkan satu persatu kisah suka duka unit program, publisiti, gerai, pemasaran dan unit-unit lain dalam menjayakan tugas meraka. Meraka sungguh kuat.

Allahurabbi.

Hanya Allah yang boleh membalas jasa mereka. Mereka tidak pernah berkira dalam melaksanakan kerja-kerja Islam ini. Ya Allah, mudahan Engkau juga tidak berkira dalam mengurniakan rahmat dan kasih sayangMu kepada mereka. Berikanlah kejayaan dan kebahagiaan kepada mereka dunia dan akhirat kerana mereka adalah adik beradikku yang telah bersusah payah dalam menjayakan agenda ummah ini.

Hari ini saya mendapat keluarga baru. Keluarga yang cintakan agenda dakwah untuk Ummah. Itulah mereka. Nyata saya sangat bahagia selama bergerak kerja bersama mereka.

Semoga ukhwah kita lestari selamanya.