July 11, 2012

UMNO dan Ikhwanul Muslimin


Saya hanya tersenyum melihat komentar sebahagian pemimpin dan pengikut UMNO yang mengaku bahawa perjuangan mereka sama dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin. Ibaratnya merekalah juga Ikhwan di Malaysia ini yang ingin menyelamatkan Malaysia dari ancaman kezaliman,penipuan, penindasan dan sebagainya.

Mengarut.

Sebelum jatuhnya regim Mubarak, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang menyokong perjuangan Ikhwanul Muslimin di sana. Ketika Ikhwan ditindas di Bumi Kinanah Mesir tiada siapa pun dikalangan pemimpin UMNO yang diterajui Barisan Nasional menghulurkan bantuan buat para Ikhwan. 



Bahkan, UMNO begitu cukup takut dengan usrah-usrah anak muda di kampus-kampus dengan menganggap usrah sebagai amalan militan puak Hasan Al-Banna yang suka melawan kerajaan.

Hari ini mereka mengaku bahawa perjuangan Ikhwan sama dengan perjuangan mereka. Apa mereka lupa siapa pengasas Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna yang sungguh ditakuti pemikirannya diresap oleh anak-anak muda di Malaysia? Dasar perjungan nasionalisme UMNO itu sendiri berbeza dengan Ikhwan Muslimin yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangannya.

Ibrah Badar  

Saya masih ingat kisah sebelum berlakunya peperangan Badar yang akhirnya menjadi faktor kepada penurunan ayat Allah di dalam Surah Al-Anfaal ayat ke 19. 



Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu) dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun dia lebih ramai dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman.

Kisahnya apabila Abu Jahal berdoa kepada Allah, agar ditimpakan kekalahan kepada kelompok yang lebih sesat di antara dua kelompok (Musyrikin dan Mukmin), iaitu kelompok yang membawa ajaran baru yang tidak diketahui serta banyak memutuskan hubungan silaturrahim kekeluargaan di antara mereka. Itulah doa Abu Jahal dengan harapan Allah akan memberikan kemenangan kepada mereka.

Namun siapa sangka takdir Allah, walaupun dengan jumlah Muslimin yang sedikit Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka hasil bantuan daripadaNya.

Seusai peperangan yang menyaksikan kekalahan Musyrikin, Allah menempelak mereka dengan ayat yang Allah turunkan ;

Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu.

Mereka menyangka mereka berada di pihak yang benar, namun Allah telah datangkan keputusan yang jauh lebih nyata di dalam peperangan penentuan hak dan batil itu, menunjukkan mereka kaum Musyrikin ialah golongan yang syirik dan menentang Rasulullah yang diutuskan.

Umno Bagaimana?

Saya tersenyum sendirian.

Tiada apa yang perlu saya huraikan melainkan mereka harus malu dengan kenyataan yang mereka keluarkan. Letakkan dulu Islam dan hukum-hukum Allah di hadapan sebelum mahu mengaku perjuangan anda dan Ikhwan adalah sama.

Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyebut syiriknya Musyrikin bukanlah kerana mereka tidak mempercayai Allah sebagai tuhan. Berhala-berhala yang mereka bina juga bukanlah sebagai  sembahan secara total, bahkan ia hanyalah pengantara untuk menghubungkan mereka lebih dengan dengan Allah S.W.T, tetapi apa yang jauh lebih besar kenapa mereka itu di anggap syrik di sisi Alah, apabila mereka tidak mempercayai kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum-hukum adalah mutlak hak milik Allah berbanding dengan sistem-sistem Jahiliyyah yang lebih mereka imani.

Lalu, UMNO bagaimana?

Moga mereka tumbang dalam Pilihanraya Umum 13 nanti. Dan saya akan menempelak, itulah perjuangan Ikhwan mereka.

May 18, 2012

Nota Nasihat Daripada Adik-Adik Usrah

Semalam ialah hari yang menenangkan bagi saya apabila Blackberry saya menerima nota-nota nasihat daripada adik-adik usrah kesayangan saya.

Sesuai dengan satu hadith yang diriwayatkan Muslim berkaitan hak muslim ke atas saudaranya yang lain :

Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya:

“Apakah wahai Rasulullah?.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ucapkanlah salam jika berjumpa dengannya,”
“Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya,”
“Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat,”
“Jika dia bersin dan memuji Allah, maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah),”
“Jika ia sakit, maka ziarahilah dia,”
“Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya,”

Kepingan Nota Yang Membahagiakan

Lalu saya sertakan disini nota-nota nasihat yang sungguh membahagiakan dan menenangkan. Walalupun sebahagiannya adalah potongan kata-kata para sahabat atau ulama’, namun saya yakin setiap pemberian nota-nota ini pasti dari sanubari hati yang penuh tulus dan ikhlas.

"Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. berkata kepada sebahagian sahabatnya ;- Aku berwasiat kepadamu enam perkara :1) Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.2) Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.3) Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.4) Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.5) Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.6) Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.”
"Apabila kamu terlanjur melakukan sesuatu dosa , maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu , kerana kadang kala ia merupakan dosa terkahir yang ditakdirkan ke atas kamu ” - (Ibn Athaillah) 
“Allah SWT tidak akan menguji hambaNya, melainkan hambaNya itu mampu menghadapinya. Bersabarlah atas segala ujianNya. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar..” 
“Sollu ‘ala nabi”

Tidak kurang dicelah-celah nasihat yang saya perolehi, saya juga dinasihatkan untuk cepat-cepat berkahwin. Macam-macam adik usrah saya ini, tetapi yang pastinya saya sangat menghargai setiap nota nasihat yang saya perolehi.

Saya punyai ramai adik-adik usrah. Sungguh, saya sangat sayangkan mereka. Dan sayang saya kepada mereka pasti adalah kerana Allah S.W.T.

Terima kasih buat adik-adik usrahku.

May 6, 2012

Saya Mendapat Keluarga Baru..


Setelah hampir 2 bulan bertungkus lumus, akhirnya Festival Isnpirasi Islam 2011 anjuran Ikatan Studi Islam UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Univeriti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) melabuhkan tirainya. Bekerja menguruskan festival ini di kala sesi kuliah sepanjang 2 bulan ini lain tekanannya dengan bekerja di kala cuti dari sesi kuliah walaupun hanya seminggu. Fokus dapat diberikan jauh lebih baik. Namun, saya masih menyedari tuntutan sebagai seorang pelajar tetap tidak boleh diabaikan. Siapa suruh buat festival dikala waktu kuliah, padan muka saya!

Apapun, saya masih bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetuai pasukan terbaik dalam menggerakkan FII ’12 ini. Dengan berinspirasikan FII ’12 ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap Islam khususnya  ISIUKM, kita tampil dengan wajah berbeza dengan membawa konsep Y-Avenue untuk meraikan anak muda sekarang yang lebih gemar dengan trend mereka yang tersendiri. Saya juga turut rasa bertuah apabila dalam FII ’12 ini juga kami berkesempatan untuk meneruskan tradisi ISIUKM dengan penganjuran Konsert Malam Apresiasi Seni (MANIS) kali ke-6 setelah penganjurannya yang terakhir di zaman kepimpinan Ustaz Mohd Idris pada tahun 2008.

Ramai artis seperti kumpulan nasyid UNIC dan Mestica menyatakan rasa keseronokan sekali lagi berada di UKM di atas pentas Konsert MANIS setelah sudah lama tidak diadakan. Ibarat mengenangkan nostalgia silam mereka tampil dengan persembahan yang penuh bertenaga malam tersebut.

Bezanya kami sekali lagi membawa nafas baru ke dalam roh konsert ini apabila kami tidak lagi hanya membawa konsep kesenian Islam tetapi  kepelbagaian seni dan budaya yang kita terapkan  sebagai satu langkah baru dalam ISIUKM meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam Negara kita khususnya di UKM. Chinese non-Muslim turut membuat persembahan Wushu yang menakjubkan selain dari persembahan instrumental piano dan Magic Show sebagai sedikit humor di dalam konsert. Terima kasih kepada Timb Naib Cancelor HEPA UKM yang sudi memeriahkan konsert kami dengan kehadiranya sebagai tetamu VIP.
TNC HEPA memberi ucapan ketika Konsert MANIS IV
FII ’12 Hilang Roh Islamnya

Ada beberapa keluhan yang saya dengar, mungkin datangnya dari ahli-ahli ISIUKM sendiri, mahupun mungkin alumni-alumni kami yang prihatin terhadap perkembangan ISIUKM berkaitan konsep yang diketengahkan dalam FII ’12 kali ini dilihat tidak terlalu berunsurkan agenda Islamik tetapi lebih terbuka seolah menghilangkan identiti ISIUKM sebagai sebuah Persatuan Islam induk di UKM.

Saya ingin jelaskan bahawa ini hanyalah salah satu program dan aktiviti dari banyak lagi kepelbagaian program yang akan kita tonjolkan. Sudah pasti dalam festival kali ini kita ingin menonjolkan satu persepsi bahawa mahasiswa Islam turut boleh merapati golongan anak muda yang mempunyai citarasa pelbagai disamping kita tidak pernah menggugurkan prinsip kita sebagai seorang da’I untuk menonjokkan syiar Islam disebalik setiap aktiviti yang kita jalankan. Sekurangnya masyarakat dapat membuka mata bahawa persatuan Islam juga tiada masalah untuk melaksanakan program selari dengan tuntutan minat anak muda sekarang.

Kalau ditanya tentang bedah buku, pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan agenda Islamis yang lain, jangan dirisaukan kerana kami masih ada 1 tahun tenure kepimpinan untuk kami tonjolkan syiar Islam dan dakwah Islamiyah dari dimensi yang pelbagai.

Berakhirnya Sebuah Kisah

Puas.

Itulah perasaan saya sebaik sahaja Majlis Perasmian Penutupan FII ’12 pagi Jumaat yang lepas. Saya tahu semenjak saya berhempas-pulas untuk menjayakan FII ’12 ini, saya mula mendapat ahli keluarga yang baru. Ya, Keluarga FII ’12. Sangat membahagiakan. Mereka sangat menceriakan dan sentiasa bersama dalam susah senang, jatuh bangun sepanjang menjayakan festival ini.

Sebahagian Besar Keluarga FII '12

Saya begitu terhutang budi dengan mereka di atas kesungguhan dan komitmen yang mereka tonjolkan. Sanggup bersekang mata sehingga ke Subuh, kemudian seharian ke hulu ke hilir di Pusanika mahupun Panggung Seni dan Masjid untuk menjayakan program dan mencari mad’u, mereka tidak pernah merungut bahkan mereka sentiasa menjadi golongan yang menawarkan diri untuk membantu. Mereka tak pernah kenal erti lelah. Ini belum lagi saya bongkarkan satu persatu kisah suka duka unit program, publisiti, gerai, pemasaran dan unit-unit lain dalam menjayakan tugas meraka. Meraka sungguh kuat.

Allahurabbi.

Hanya Allah yang boleh membalas jasa mereka. Mereka tidak pernah berkira dalam melaksanakan kerja-kerja Islam ini. Ya Allah, mudahan Engkau juga tidak berkira dalam mengurniakan rahmat dan kasih sayangMu kepada mereka. Berikanlah kejayaan dan kebahagiaan kepada mereka dunia dan akhirat kerana mereka adalah adik beradikku yang telah bersusah payah dalam menjayakan agenda ummah ini.

Hari ini saya mendapat keluarga baru. Keluarga yang cintakan agenda dakwah untuk Ummah. Itulah mereka. Nyata saya sangat bahagia selama bergerak kerja bersama mereka.

Semoga ukhwah kita lestari selamanya.


January 20, 2012

Baiah Kek Coklat..

Selesai peperiksaan akhir semalam, saya mengambil ruang berkongsi-kongsi pandangan dan pelbagai cerita bersama teman-teman. Kami semua berceloteh panjang. Masing-masing punyai cita-cita yang besar dan impian yang tinggi melangit untuk ummah. Seronok melihat teman-teman saya dalam melontarkan idea pandang dan konsisten mereka dalam perbincangan. Semuanya kerana jiwa mereka yang cintakan perjuangan.

Kami juga bermuhasabah. Membuang karat-karat lama untuk dibersihkan. Akhlak diperkasa, ilmu dibina. Niat disegarkan kembali. Azam dipasang untuk tekad, siap untuk berpencak.

Lagi manis apabila kami sama-sama mengikat janji. Mematri janji nyata untuk bersama. Usah difikir di mana kita walau tercampak jauh merata. Jatuh bangun kita pasti tetap bersama, terus membina ummah harapan untuk semua.

Kami membaca masa hadapan, begitu banyak yang perlu ditempuhi. Lain cabarannya, lain ujiannya daripada masa sekarang. Namun atas harapan melihat gerakan terus kehadapan, kami tidak gentar untuk melakukan perubahan.

Ya, saya berpegang dengan baiah itu. Pasti sekali memberikan inspirasi buat saya dan teman-teman. Saya namakan ia Baiah Kek Coklat kerana terkejut dengan kek coklat yang dihidangkan selepas itu. Manis. Semanis ukhwah yang dilestari. Semanis aspartame.

Baiah Kek Coklat
Jangan disekat impian kami kerana makin disekat makin laju kami mara. Makin diuji makin kuat kami bersama.

Ayuh teruskan perjuangan teman-teman..!


 M.A.H.A.S.A.R.I

January 13, 2012

Ini Bukan Tarbiyah Kita..

Beberapa hari yang lepas, masuk satu emel ke dalam inbox Gmail saya dari seorang sahabat. Penuh dengan luahan kebimbangannya terhadap situasi yang menimpa ahli gerakan pada hari ini. Solusi dan respon dipinta. Saya pula terkelu. Senyap tanpa jawapan balas. Saya mengerti kebimbangannya.

Hari ini menerima jemputan sebuah kampus untuk bersama mengimarahkan qiamullail yang di adakan. Jumlah muslimin yang berjemaah 4 orang termasuk imam. Muslimat dalam lingkungan 12 orang barangkali.

‘Mungkin fatrah exam,’ Detik hati saya.

Tapi menurut maklumat dari seorang sahabat, 'Paling ramai pun 15 orang di kalangan muslimin dan 20 orang dikalangan muslimat, sepanjang setiap minggu qiamullail di adakan. Itu paling ramai,'

‘Mereka qiam di kolej barangkali, Nabi pesan hidupkan solat di rumah-rumah kamu, jangan jadikannya seperti kubur, mungkin hadis ini yang dipegang, bimbang kolej dan rumah menjadi kubur’ Hati saya berkata mungkin.

Mungkin juga mesej jemputan diterima setiap minggu sehingga lali dan dilihat biasa. Kita kan suka perkara yang luar biasa. Benda yang grand

Teringat pesan naqib saya, Ustaz Idris ketika berusrah dengannya di PitStop.

‘Sejauh mana pun kalau kita nak memacu gerakan kita, ada 3 perkara yang kita tak boleh lari. Fikrah, Tarbiyah dan Ukhwah,’ Saya bermuhasabah.

Masih terngiang-ngiang kisah bagaimana teman-teman PKS di Indonesia menjaga amal tarbawi mereka. Seorang ahli parlimen PKS yang tidak berusrah selama sebulan akan digantung keahlian. Dasyat tarbiyah mereka.

Amal-amal tarbawi dilihat besar dari pandang sisi mereka walaupun mereka sudah jauh ke hadapan dalam memacu gerakan. Dan kita, masih di dalam paradigma kita yang tersendiri. Tasawwur tarbiyah begitu sempit sekali. Bila disebut tarbiyah, pasti amalan ruhiyyah sepeti qiamullail, ceramah, usrah, dan tamrin yang tergambar.

Sudahlah sempit, itupun bermusim. Amalan-amalan ruhiyyah yang disebut hanya akan dipraktiskan dengan jayanya di program-program tarbiyah tapi gagal di alam realiti. Kemudian muncul pula di dalam Pilihan Raya Kampus. Ahli diseru untuk banyakkan zikir, bangun malam, banyakkan munajat untuk peroleh kemenangan. Setelah selesai, Cahaya ruhiyyah malap kembali.

Mungkin mengharap rahmat dan berkat Allah untuk turun, namun kita menghampiriNya pun mengikut syarat dan musim.

Aduh, rahmat dan berkat apa yang kita nantikan sebenarnya kalau begini?

Saya hanya bimbangkan survival ahli gerakan di masa akan datang kalau terus begini caranya kita sekarang.

January 9, 2012

Gila Facebook..

Satu malam saya tidak dapat melelapkan mata. Jam sudah menunjukkan jam 2.30 pagi. Tekak terasa sangat kering memerlukan air untuk dibasahi. Saya turun ke tingkat bawah dan melihat Afiq masih lagi belum melelapkan matanya, study. Saya hanya berlalu keluar melalui pintu rumah dan sempat saya menjenguk semula ke dalam.

‘Afiq, Seven E jom,’ Saya mempelawa Afiq.

‘Tak nak lah, nanti nta belanja ana, segan,’ Afiq membalas.

‘La kenapa pulak, ok kalau macamtu jom, ana tak belanja nta,’ Saya faham Afiq bagaimana orangnya.

‘Kalau macamtu jom,’ Afiq menyertai saya berjalan kaki membelah malam untuk ke Seven Eleven mencari air untuk membasahkan tekak. Sudah 2 malam begini dan Afiq jugalah yang menjadi temannya.

Seperti biasa kalau bersama Afiq ini, ada sahaja macam-macam cerita yang ingin berkongsi. Saya memulakan cerita.

‘Afiq, ana tak minat la kalau ana ada update terbaru kat dalam blog, lepas tu nak post kat FB untuk promote,’

‘La, kenapa pulak, nta da ada update terbaru ke selepas Cerita Exam tu?’ Tanya Afiq.

‘aah ada tapi ntah, ana jadi tak minat nak post kat FB, tak tahu kenapa. Rasa segan kot macam tak bermanfaat pun untuk nak suruh orang baca,’ jawab saya.

‘Paling kurang letak la kat blog kita-kita. Kawan-kawan kita jugak baca,’ Afiq memujuk.

‘Nanti kalau terlebih rajin update, group kita tu dipenuhi dengan promosi blog ana je,’ Kata saya sambil tergelak.

‘Nta macam nak kata kat ana je, terasa ana,’

‘Eh, tak kata kat nta pun, ana suka baca blog kawan-kawan ana,’

Saya menambah, ‘Nta tau tak ana cuba buat perbandingan antara 2 artikel ana. Satu Cerita Exam yang ana post kat FB, satu lagi Cerita Dengan Tok Guru yang ana post lepas subuh pagi tadi tapi tak post kat FB. 3 kali ganda hits pengunjung Cerita Exam lebih banyak dari Cerita Dengan Tok Guru. Cerita Exam capaian hits dia dalam 50 something, dan Cerita Dengan Tok Guru 15 something je untuk hari tu,’

Afiq hanya mendengar.  Mungkin mengiyakan.

Sesudah subuh esok saya mengambil keputusan untuk post kan entri terbaru saya di beberapa group tertentu di FB. Kebetulan selesai saya post update terbaru saya di FB, seorang sahabat saya yang baru menulis entri terbaru di blognya turut post di FB. Saya sempat membaca respon seorang kenalan saya di ruang komen di FB.

kenapa semua semua pakat nk tnjuk blog msg2 ni... hu2 ^^,

Saya hanya tersenyum dan saya dah agak. Tapi saya tahu kenapa saya post juga di FB walaupun pada asalnya saya kurang berminat.

Pengaruh Facebook

Selepas dari penelitian yang saya buat, FB adalah ruang komunikasi yang sangat canggih sekarang. Facebook bukan hanya ruang komunikasi kepada mereka yang hanya kita kenal tetapi juga kepada mereka yang tidak dikenali pun. Tidak lupa, dia adalah ruang promosi yang sangat dasyat.

Saya meneliti daripada 2 artikel yang saya pernah tulis Cerita Exam yang saya postkan di FB dan Cerita Tok Guru yang saya tidak postkan. Capaian hits bagi entri Cerita Exam mencecah 53 dan Cerita Dengan Tok Guru hanya 15 dalam masa sehari. Oleh kerana jarak antara kedua entri ini hanyalah sehari, jadi saya kira tak salah untuk saya buat perbandingan sebegini.

Kemudian selepas saya mengambil keputusan untuk poromosikan entri Cerita Dengan Tok Guru di dalam group-group terpilih, capaian hits naik secara mendadak walaupun tidak dapat mengatasi entri Cerita Exam kerana entri ini telah di ‘share’ oleh teman saya dalam ruang-ruang umum di FB.

Ini bukti perbandingannya, jumlah hits terkumpul bagi setiap artikel dalam tempoh satu minggu. Entri Cerita Exam jauh mendahului lebih 3 kali ganda hasil perkongsian di Facebook berbanding 2 entri yang lain.


Mungkin sebahagian orang melihat jumlah itu masih sedikit dan tak perlu kecoh dalam entri ini pun. Setakat 200. Tapi jumlah tersebut saya mengira sudah cukup bagi saya sebagai seorang blogger amatur dan bukan blog ini pun bukan untuk dipromosikan untuk semua orang pun.

Apapun, saya sudah melihat kesannya dan inilah pengaruh Facebook sebagai ruang terbaik untuk mempromosikan segala benda yang kita inginkan. Sebelum ini saya hanya terfikir, kalau seseorang post apa-apa artikel ataupun video di Facebook saya tidak dapat kenalpasti berapa orang sebenarnya yang akan melihatnya, tetapi dari pembuktian ini saya yakin, promosikanlah apa sahaja sekalipun pasti akan mendapat sambutan di Facebook walaupun kita tidak mengetahui jumlah views yang sebenar.

Manfaatkan Untuk Dakwah

Meneliti kepada realiti fakta ini, maka saya mengatakan bahawa ruang facebook adalah ruang yang belum ada tandingan dari laman sosial yang wujud sekarang ini. Hari ini, kalau semua muslim berperanan dalam menggerakkan facebook sebagai ruang dakwah yang baik, saya mengira pasti akan mendatangkan hasil yang lumayan pastinya.

Kalau kita berceramah, mungkin tidak ramai yang akan datang untuk mendengarnya. Kalau kita buat usrah, orang tak dapat merasai pun kemanisan sebagaimana yang kita rasa. Tapi hari ini dengan Facebook dan media-media baru ini, kita mampu untuk membuatkan mereka rasa sebagaimana kita rasa, sebagaimana apa yang kita dapat kerana media baru sentiasa dapat menyelinap masuk ke dalam setiap ruang termasuk bilik-bilik tidur mereka.

Justeru, ayuh perkasakan penguasaan media baru untuk dakwah. Ini sebagai satu ruang yang jangan dikesampingkan bagi aktivis dakwah. Cuma satu nasihat saya ialah jangan kita pula yang terpengaruh dengan facebook, twitter, blog dan sebagainya sehingga kita leka dan lupa kerja-kerja kita yang perlu untuk lebih diutamakan dan perlu diberikan tumpuan masa yang lebih.

Aktivis dakwah di kampus sekarang masih sangat kurang ilmunya. Itu lebih baik untuk diutamakan. Musahabah bersama.

January 7, 2012

Cerita Dengan Tok Guru..

Buat kesekian kalinya saya mendapat lagi sms dari Encik Budia, jawatankuasa Surau Al-‘Abqori, Taman Universiti.

‘Salam Ustaz. Saya Budia dr Surau Al-‘Abqori, Taman Universiti ingin menjemput ustaz untuk menyampaikan kuliah maghrib di surau kami pada 08-Jan-12 hari Ahad. Harap dapat jawapan dari ustaz. Syukran’

Saya hanya mampu untuk menghela nafas yang panjang.

Ini bukan kali pertama saya mendapat sms ini dari jawatankuasa Surau Al-‘Abqari, sudah hampir 4-5 kali sejak dari bulan Ramadhan yang lalu, namun semua saya menolaknya dengan baik. Sehinggakan saya memaklumkan dalam satu bulan itu saya tidak dapat memberikan masa di hujung minggu kerana jadual yang padat. Namun selepas sebulan tersebut mesej jemputan tiba kembali.

Anak Murid Derhaka

Sebenarnya di awal bulan ramadhan yang lepas, saya pernah memberi kuliah Subuh di sana. Itupun untuk memenuhi kehendak anak usrah saya, Saifullah dan Mukrim yang menjadi imam terawikh di sana sepanjang Ramadhan.

Saya tiba di Surau Al-‘Abqari pagi itu ketika imam sudah pun mengangkat takbiratul ihram. Saya mengikuti solat tersebut dengan tenang sekali. Mungkin kerana bacaan imamnya yang lunak dan sedap telinga untuk mendengar. Seusai sahaja solat saya cuba menjenguk-jenguk ke hadapan untuk melihat siapa kelibat yang menjadi imam Subuh tersebut. Saya cuba amati betul-betul.

Seperti sudah dapat mengesan. Saya hanya tunduk dan mengelengkan kepala.

‘Ini Ustaz Asmadi, pensyarah aku, aduh..’ getus hati saya

Habis sahaja imam berwirid, Ustaz Asmadi bangun dan bertanya ‘Mana penceramah kuliah subuh hari ini?’

Saya terus bangun dan berlalu ke hadapan ke arah imam.

‘Eh, ini anak murid saya’ Ustaz bersuara.

‘Erk itulah ust, saya pun tak teringat Ust ada kat sini, kalau tak saya tak datang dah,’ Saya bergurau bernada serius.

‘Kenapa pulak, bagus la tu, ust pun nak dengar kuliah nta,’ jawab Ustaz.

‘Eh takpe takpe ustaz, ustaz balik la dulu ke rumah ustaz, saya segan juga nak kasi kuliah kalau ustaz ada, sungguh ni ustaz,’ Kali ini nada yang nampak bergurau tapi penuh dengan pengharapan.

‘Kalau macamtu ustaz lagi nak duduk di sini dengar kuliah nta,’

‘Aduh!’

Mungkin Ustaz Asmadi dapat membaca riak muka dan keadaan saya pada ketika itu kemudian ustaz pun berkata, ‘Takpelah kalau macamtu, ustaz pun nak kena pulang ke kampung pagi ini dengan zaujah ustaz, lepas subuh ingat nak gerak terus, ustaz balik dulu la ya,’

Saya menghela nafas lega, dalam hati saya hanya terlintas, ‘Teruknya aku, anak murid derhaka sungguh,’

Secara hakikatnya, Ustaz Asmadi tidak pernah pun mengajar saya di dewan kuliah. Sepanjang 3 semester saya di UKM, saya belum lagi berkesempatan untuk belajar dengannya secara formal di kuliah. Ini kerana Ustaz Asmadi hanya mengajar pelajar-pelajar di tahun akhir dan mungkin juga di semester 4 nanti bagi mereka yang mengambil pengkhususan hadith.  Kepakarannya sangat masyhur dalam bidang hadith.

Cuma perkenalan saya bersama Ustaz Asmadi lebih awal apabila saya  bertanyakan beberapa permasalahan dalam Ulum Hadith kepadanya. Ustaz akan menyapa saya kalau kami berselisih dan ustaz juga pernah membawa saya keluar makan di luar apabila ustaz melihat saya keseorangan di Singgahan Ilmu FPI ketika itu. Ustaz tak menunjukkan bahawa beliau hanya seorang muallim yang benar-benar alim bahkan juga seorang muaddib dan mursyid.

Bahkan, nama beliau sudah saya kenal sejak tahun pertama saya di Darul Quran JAKIM lagi apabila guru quran saya, Ustaz Hanaffi merupakan anak murid kesayangan Ustaz Asmadi.  

Selepas ustaz pulang ke rumahnya seusai solat subuh pagi itu, saya terlintas. Saya tersilap masuk tempat rupanya. Taman Universiti ini adalah antara kawasan perumahan guru-guru saya. Ustaz Dr Arif Nazri, juga guru hadith saya di UKM, Ustaz Luqman guru saya di Darul Quran, mereka juga menetap di sana. Saya bernasib baik Dr Arif Nazri tidak ada pagi itu kerana kuliah di luar, kalau tidak sudah pasti sudah menjadi bahan di dalam kelas bersamanya di UKM.   

Sayalah antara murid Dr Arif di kelas yang tidak pernah mengikuti kelas pengajian hadith di rumahnya. Kawan-kawan saya semua istiqamah dalam kelas tersebut. Inikan kalau saya pula yang memberi kuliah di depan Dr Arif di sana, lagi malu saya dibuatnya. Hakikatnya, saya sentiasa dalam kesempitan masa pada malam Jumaat itu untuk ke kuliahnya walau punyai keinginan, kalau tidak sudah pasti saya juga salah  seorang yang turut istiqamah mengikuti kelas pengajiannya setiap minggu.

Takut Atau Segan

Bukan niat saya dengan sengaja mahu menolak jemputan kuliah di sana, tetapi mungkin atas pertimbangan saya hanya seorang murid biasa yang baru belajar. Mana mungkin untuk saya sampaikan kuliah saya di depan guru-guru yang saya kenal susuk peribadinya yang jauh lebih alim daripada saya.  

Kalau di Syria, guru saya pelajar master di sana mengharamkan untuk merekod isi pengajiannya bimbang kalau terlepas pada orang lain. Katanya beliau masih lagi sedang belajar dan kelas ini juga proses pengajian bagi beliau.

Saya pula secara peribadi, tiada masalah untuk dikritik di atas kesalahan saya kerana Itulah namanya proses belajar. Tetapi untuk menghadap diri di depan tuan guru yang mulia dengan ilmu kita yang ibarat celah gigi ini memberatkan hati saya. Mungkin itu satu kelemahan yang perlu di atasi dengan adaptasi adab. Kalau nak minta izin dulu daripada mereka, bimbang-bimbang rajin pula mereka untuk hadir ke sana nanti. Tidak berkuliah nanti jadinya.

Saya hanya terfikir, alangkah baik kalau saya menyampaikan kuliah di sana, kemudian memberikan impak yang positif kepada jemaah. Bila ditanya siapa guru saya, pasti saya akan menaikkan nama guru-guru yang mendidik saya. Alangkah beruntungnya begitu. Namun malangnya, kerisauan saya ialah apabila saya menyampaikan kuliah di sana dan tidak dapat berikan apa yang terbaik, sudah pasti guru saya juga yang terpalit nama kerana mereka mengetahui siapa guru-guru saya.

Apapun, selepas melihat kesungguhan pihak surau yang tidak jemu menjemput saya, saya pula yang serba salah. Saya juga tidak mahu kecewakan jawatankuasa surau buat kesekian kalinya. Akhirnya saya tetap menerima jemputan untuk menyampaikan kuliah maghrib ahad malam ini di sana. Sambil meletakkan pertimbangan guru-guru saya pasti menyampaikan kuliah maghrib di luar kawasannya pada ketika itu.

Yang penting, penyampaian saya perlu berdasarkan disiplin ilmu yang betul, bukan sembarangan. Ditambah dengan nilai adab dan keyakinan yang tinggi saya kira kalau siapa-siapa pun dihadapannya pasti kita tiada masalah untuk menghadapinya.


Ini menjadi satu motivasi yang cukup baik untuk saya benar-benar kuasai tasawwur setiap asas ilmu yang saya pelajari terutamanya dalam bidang hadith. Allahumma ameen.

Ini hanya sekadar coretan perkongsian. Mungkin tidak memberi manfaat tetapi ia satu lakaran kenangan buat saya. Tangan saya, biarkanlah dia terus menulis.

January 5, 2012

Ini Cerita Exam..

Sekarang kebanyakan mahasiswa di kampus sedang melalui fasa yang mencabar dalam pengajian di kampus. Kalau sebelum ini masa banyak untuk dihabiskan di kedai makan lepak-lepak sambil tengok bola, kini tidak lagi, yang sibuk dengan berpersatuan pun sebahagiannya mula menutup kaunter untuk menerima pelawaan mengurus program mahupun menghadiri meeting, ada juga yang mula berpuasa dari bermuka buku dan internet, yang dulu-dulu tak pernah berjaga selepas subuh kini semuanya segar, surau-surau kolej sedikit sebanyak bertambah jemaah dari kebiasaan. Itu tandanya bulan exam telah datang. Bulan yang membawa perubahan diri, emosi, spiritual dan mengubah segalannya.

Apa yang menarik ialah semuanya berusaha untuk buat yang terbaik untuk exam. Penentu hayat samada cemerlang atau sebaliknya. Alangkah kalau azab kubur itu di depan mata, masanya pula ditentukan bila, dunia ini pasti dihuni oleh sekalian manusia berupa malaikat. Tetapi Allah tetap menyebut bahawa manusia memang diciptakan untuk sentiasa diuji, kehidupan manusia adalah ujian untuk Allah menilai siapa yang lebih baik amalannya.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”  Al-Mulk : 2
Cerita Exam Orang Kuat Persatuan

Kita buka semula cerita exam di kampus. Sebenarnya keresahan menghadapi exam semua merasainya, walaupun orang itu adalah seorang pelajar cemerlang. Jadi, mereka-mereka yang kerap tak masuk ke kelas apatah lagi risaunya. Samalah juga yang banyak menghabiskan masa untuk berpersatuan, juga satu golongan yang suka malakukan kerja-kerja dakwah di kampus, kerja mulia yang tak ramai yang sanggup untuk menggalas kerja ini.

Apa yang menarik, kebiasaan ayat yang berlegar kedengaran bila dah tak keruan untuk menghadapi exam bagi golongan-golongan berpersatuan ini;

‘Jangan risau syeikh, kita sibuk buat kerja Allah, Allah akan bantu kita’

‘Rileks la bro, exam je pun, Allah akan bantu kita’

‘Insya Allah cemerlang, moga usaha kita dibayar dengan kejayaan’

Semuanya hasil keimanan kita kepada ayat Allah dalam Surah Muhammad ayat ke 7.

" Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu"

Ini yang mengkagumkan saya, golongan ini menyandarkan keyakinan dirinya kepada Allah sepenuhnya. Namun kadang-kadang golongan ini kecewa, apabila bantuan mereka kepada Allah seolah-olah tidak terbalas. Pointer lebih teruk dari dulu bila join persatuan dan mula buat kerja-kerja dakwah. Apabila tiba di dalam dewan peperikasaan mula terasa 1001 perasaan.

Sempit,

Serabut

Tekanan

Bungkam

Hati tidak pernah rasa tenang dan lapang, ilham tidak kunjung tiba malah terus menanti di mana pertolongan daripada Allah ini. Keluar dewan, kecewa dan sedih. Melainkan memang mereka yang telah meletakkan akademik ini bukan sebagai satu survival mereka dalam pengajian di universiti. Itu cerita lain.

Bagi mereka yang menerimanya sebagai satu ketentuan, hanya pasrah dengan takdir. Bagi yang terus kecewa, memerlukan masa untuk kembali mengangkat senjata untuk berjuang.

Muhasabah

Ada dua muhasabah sebenarnya yang kita boleh mengambil pengajaran dari ayat yang sentiasa menjadi keimanan utuh ketika menjelang peperiksaan bagi golongan Ansarallah ini.

Pertamanya ialah dalam apa yang Allah kurniakan kepada kita, itu tetap ujian daripada Allah, kerana sebagaimana dalam ayat di atas tadi, kehidupan kita adalah satu ujian untuk Allah menilai yang mana lebih baik amalannya. Dalam masa yang sama, itu tidak menunjukkan bahawa Allah tidak membenarkan janjiNya, tetapi janji Allah itu belum tiba. Kalaulah bukan di dunia sekalipun, kita kena tetap lapangkan hati kita kerana Allah pasti akan memberi janjiNya di akhirat kelak.

Yang keduanya dan ini apa yang saya ingin tekankan ialah sejauh mana kita memahami maksud ayat Allah taala dengan ‘sekiranya kamu membantu agama Allah’. Hari ini ramai yang mengatakan dirinya sibuk berjuang di jalan Allah, tetapi hakikatnya benarkah sedemikian. Bimbangnya perjuangan kita hanya rasa semangat yang kosong, cintakan Allah itu hanya sekadar mainan di bibir.

Hari ini kalau benar perjuangan kita kerana cinta kita kepada Allah dan rasul, maka kita perlu tunaikan hak Allah tanpa sebarang pilihan dan tanpa sebarang syarat. Mana mungkin kita ‘beriman’ dengan sebahagian perjuangan dan kita ‘tidak beriman’ dengan apa yang kita rasa susah dan berat buat kita.

Dikala dipanggil untuk menyahut seruan program, kitalah calon favourite untuk menjadi jawatankuasanya, kalau dipanggil demonstrasi kitalah yang menjadi front liner, kalau dipanggil meeting kitalah orang yang paling tepat masa hadirnya. Itu tandanya kita sayangkan Allah.

Namun adakah benar kita berjuang kerana cintakan Allah.

Azan berkumandang kitalah yang paling berat untuk solat berjemaah.

Masuk subuh kitalah orang yang selalu terlepas jemaahnya.

Bertembung kerja kitalah yang melewatkan solat.

Masa kosong untuk membaca Al-Quran kitalah yang berat sekali untuk membacanya.

Amalan sunat kitalah yang selalu menganggapnya enteng

Diajak menuntut ilmu kitalah yang sentiasa ada alas an.

Di mana kita menunaikan hak Allah di sini. Atau laungan kita di dalam program-program dakwah, motivasi mahupun demonstrasi hanya slogan kosong. Berjuang hanya kerana semangat. Berjuang hanya kerana nama. Maka saya langsung tidak hairan apabila tidak munculnya  ‘nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu’ kalau laungan sekiranya kamu membantu agama Allah’ hanyalah retorik semata.

Maka kita sama-sama bermuhasabah agar kita tidak termasuk dalam golongan sebegini. Saya yang menulis bukan sudah istiqamah tetapi sebagai satu muhasabah untuk kita saling menegur dan bermuhasabah.

Jadikan keikhlasan kerana benar-benar cintakan Allah dalam berjuang dan percayalah Allah akan bantu perjuangan dan meneguhkan kedudukan kita walau di dunia ini.

Tulisan tidak teratur tapi jujur dari sebuah hati yang juga mendambakan pertolongan Allah itu. Dan saya tidak hairan kalau mengapa pertolongan Allah itu terhijab buat diri saya. Namun saya terus mengharap padaNya.

Salam Imtihan dan Salam Kejayaan.

p/s : Tapi kalau cakap dalam bab assignment, memang menyusahkan saya. Saya menghargai kepada setiap insan yang telah membantu saya dalam survival akademik ini. Saya doakan mereka yang terbaik. Saya janjikan MFC untuk mereka. huhu.. :-)

  

January 2, 2012

Tahun Baru yang Baik..

Saya mengikuti perkembangan teman-teman saya yang berhimpun di UPSI pada malam tahunbaru bagi menunjukkan solidariti dalam menuntut hak terhadap Adam Adli dan juga hak kebebasan akademik.

Tidak perlu dibicarakan soal kronologi pokok pangkalnya sehingga berlaku kes berdarah semalam kerana BEBAS yang menampilkan solidariti front-front mahasiswa sudah lama berpencak dalam menuntut hak kebebasan Akademik dan pemansuhan AUKU. Tinggal lagi ialah adakah kita seorang yang cakna dalam perkara ini ataupun tidak? Kemuncaknya pada 17 Disember 2011 yang lepas apabila mereka sama-sama turun ke jalanan menyatakan pendirian yang jelas kepada rakyat dan kerajaan bahawa mahasiswa sudah tidak inginkan dunia akademik dicemari dengan tangan-tangan luar yang telah menghilangkan nilai murni akademik itu sendiri.

Bahkan, sebagai isyarat yang nyata, penurunan seketika bendera Dato’ Seri Najib Tun Razak oleh Adam Adli dan diganti dengan bendera Academic Freedom menunjukkan bahawa mahasiswa sudah tidak lagi yakin dan percaya kepada pemerintahan pentadbiran Malaysia pada hari ini yang dikuasai oleh Barisan Nasional.


Apapun, saya mengira kerajaan mahupun rakyat harus sedar apakah mesej yang ingin disampaikan oleh mahasiswa ini. Mereka berada di lapangan akademik yang sebenar dan mereka melihat bagaimana dunia akademik telah dilumuri dengan najis yang telah menghilangkan kesuciannya. Mereka bukan aktivis politik, mereka bukan penjawat awam tetapi mereka adalah mahasiswa, mereka yang berautoriti untuk menyatakan pendirian dalam lapangan mereka.


Apabila Kekuasaan Menafikan Segalanya

Kejadian malam tahun baru semalam hakikatnya telah memberi gambaran yang sangat buruk kepada pihak keselamatan negara pada hari. Belum cukup isu BERSIH 2.0 yang telah menyaksikan kegananasan mereka, sehingga saya pun menjadi salah seorang mangsa terpilih untuk menaiki trak biru mereka ke PULAPOL, kali ini mereka tampil untuk menunjukkan mereka adalah raja di Malaysia. Ya, sebenanrnya bukan imej yang buruk buat pihak keselamatan sahaja, bahkan mereka yang memegang ‘remote control’ si polis ini jauh lebih teruk keadaanya. Menafikan hak untuk bersuara dengan keganasan dan kekerasan, itu sahaja pilihan mereka. Itu cara pondan dan sangat tidak profesioanal.



Sahabat saya, Safwan Anang selaku teman saya di dalam GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS terlantar di hospital angkara kejadian semalam, ramai lagi teman-teman saya yang ditangkap dan diheret dengan kekerasan ke meja soal siasat. Ganas sangatkah mahasiswa melakukan kekecohan sehingga mereka terpaksa di perlakukan sedemikian rupa ataupun polis yang sengaja dibiarkan lapar untuk melapah musuh di malam tahun baru tersebut. Sedangkan teman-teman saya, tidaklah bertemankan senjata api, senjata tajam, mahupun senjata yang mendatangkan ancaman, mereka hanya bertemankan dengan pelekat-pelekat, kain rentang, heller, suara-suara lantang dan bersama mereka juga adalah jiwa yang besar untuk melihat perubahan baru dalam negara kita. Polis masih gagal menunjukkan professional mereka dalam melayan anak-anak buda yang beridealisme ini, kerana polis sendiri sungguh jauh dari idealismnya, intelektualnya entah ke mana, kerana mereka hanya fikir soal menjaga periuk nasi keluarganya di rumah. Barangkali itu sahaja saya fikir.

Saya tidak memukul rata polis secara keseluruhannya kerana ramai polis yang saya temui baik-baik dan hebat agamanya, ayah teman-teman saya turut ramai polis yang bagus ini, Cuma selain mereka, saya tetap lebih menyalahkan mereka yang memegang remote control pihak keselamatan ini kerana mereka sangat-sangat takut untuk berhadapan dengan kuasa idealisme dan intelektual mahasiswa sedangkan mereka mempunyai autoriti yang besar untuk menyelesaikan kes ini dengan baik. Namun si pengecut memang begitu, hujah dibalas dengan kekerasan. Tubuh sahabat saya, Safwan bukanlah besar sangat sehingga perlu untuk dilakukan sedemikian rupa, tapi apa yang ada pada Safwan ialah jiwanya yang besar sehingga menggeruni mereka yang tercabar.


Permulaan Yang Baik

Apapun, ini adalah permulaan yang baik untuk dunia mahasiswa khususnya untuk kita menyaksikan perubahan baru di tahun 2012 ini. Saya tidak teragak-agak bahawa anak-anak muda dan rakyat pasti akan menyatakan pendirian mereka sebaik sahaja mereka diberi pilihan untuk memilih dalam pihan raya umum nanti. Jangan menyesal dengan keganasan dan kelakuan yang anda lakukan sedemikian rupa kepada kami.

Saya secara jujur sangat kecewa dengan keadaan Malaysia hari ini. Dan ingat, saya juga turut bersama Safwan Anang, Adam Adli dan seluruh teman-teman mahasiswa saya yang lain pasti akan menuntut perubahan baru untuk Malaysia baru. Jangan dicabar suara dan kuasa anak muda, Arab Spring telak membuktikan kuasa mereka dan kini giliran Malaysia untuk membuktikan.

Selamat Datang Tahun 2012, Tahun Perubahan!