November 23, 2009

Sekadar Perkongsian..

1.
Saya tidak dapat menahan kesedihan saya di atas kepulangan Ust Wan Nor ke Malaysia. Mungkin di atas sebab beliau yang terlalu ‘hampir’ dengan saya (atau kami) menjadikan ia sedikit terkesan. Tambahan pula, saya tidak berpeluang untuk bertemunya buat kali terakhir di Airport akibat beliau terlebih awal lagi ditangkap dan terus dibawa ke Airport oleh pihak berkuasa. Nampak gaya selepas ini, kami tidak lagi akan dapat merasa sentuhan keilmuan & motivasi dari Ustaz Wan. Juga senyuman dan gurauan bersama Busyra & Asma’. Mungkin juga sentuhan masakan dari Kak Majdiah. Apapun, kami akan tetap sentiasa merindui kalian.

6 bulan yang berlalu Ustaz telah membuka jalan untuk kami, maka bagi saya, untuk 6 bulan yang ke hadapan ini adalah
jalan untuk saya berjalan di atas kaki sendiri. Insya Allah. Terima kasih Ustaz !!

2.
Saya ingin mengucapkan ribuan kemaafan kepasa sahabat-sahabat dan teman-teman yang memberikan ucapan selamat hari lahir kepada saya baru-baru ini, namun saya tidak dapat membalasnya. Semuanya akibat saya kehabisan kredit Celcom dan MTN. Apapun, saya ucapkan ribuan terima kasih buat kalian. Saya benar-benar menghargainya.

Juga saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada teman-teman di Syria yang mengadakan ‘surprise party’ di dalam Jamuan Kesyukuran Bro Firdaus di rumahnya. Ketegangan dan tekanan saya untuk menghadapi muzakarah keesokan harinya sedikit terubat dengan jasa kalian. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih.

3.
Saya ingin mengucapkan tahniah dan takziah kepada barisan pimpinan PPMS sesi 09/10 yang telah dipilih dalam AGM baru-baru ini. Barisan Kepimpinan PPMS 09/10 yang diketuai oleh tuan sifu, Ustaz Nasruddin Noori, semestinya adalah barisan kepimpinan yang terbaik. Kalian adalah pilihan Allah yang terbaik untuk memegang amanah ini.

Saya ingin mengulas berkenaan AGM PPMS ini di dalam blog ini, tetapi mungkin dalam sehari dua lagi akibat saya masih ada satu muzakarah yang perlu saya hadapi esok iaitu bagi madah Nahu sebelum bermulanya cuti Eid Adha.

4.
Saya juga ingin mengucapkan salam tahniah dan takziah buat barisan kepimpanan PERKEMAT DQ yang baru bagi sesi 09/10 di atas pemilihan kalian di dalam PRK baru-baru ini. Moga-moga amanah yang dikendong akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Saya pasti akan merindui setiap detik dan setiap saat ketika bersama kalian di sana dahulu.

Apapun, salam juang buat kalian !!

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

November 13, 2009

Khadam Di Saat Yang Terakhir - Siri 2

Baru sahaja selesai imtihan bagi madah Tazkiyah dan Balaghah untuk 2 hari ini sebelum imtihan ini akan bersambung pada minggu hadapan. Saya kira baik juga kalau saya gunakan sedikit masa yang ada ini untuk menyambung artikel sebelum ini yang tidak berkesudahan. Bukan sahaja tidak berkesudahan, malahan tidak sempat untuk masuk ke dalam tajuk pun lagi akibat dari celoteh saya yang terlalu panjang.

Sebenarnya apa yang ingin saya khabarkan dalam tajuk yang saya bawakan ini ialah berkenaan dengan penyesalan dan kerugian yang saya rasakan pada masa ini. Ini semua adalah kerana mentor dan murabbi saya, Ustaz Wan Nor yang akan pulang ke tanah air tidak lama lagi.

Terlalu banyak manfaat yang masih belum sempat saya kutip daripada Ustaz walaupun kami sebenarnya hidup berjiran dan hampir setiap hari ustaz akan duduk bersama-sama kami.

Bila diungkap kembali daunan kenangan ketika bersama-sama dengan ustaz, saya rasakan terlalu banyak perkara yang telah mendatangkan manfaat untuk membina diri saya sehingga ke hari ini.

Bersama dengan Ustaz Wan lah, saya mula mengenali setiap susuk tubuh ulama’ di Syam ini khususnya dan dunia ini amnya. Bukan sekadar itu, saya juga mengenali cerita-cerita disebalik keizzahan yang ada pada mereka.

Saya telah dikhabarkan perihal sejarah dan detik-detik hitam yang pernah mencemari keizzahan dunia ulama’ di Syam dan dunia. Konspirasi beberapa pakatan ulama’ dan kerajaan untuk menjatuhkan Rabithah Ulama’ Syam yang pada ketika itu diketuai oleh Sheikh Hassan Habannakah.

Ustaz Wan juga membawa saya mengenali karya-karya mereka yang sehingga kini menjadi tatapan dan rujukan dunia. Keikhlasan dalam penghasilan karya mereka menyebabkan karya-karya mereka tidak mati ditelan zaman sehingga ke hari ini.

Saya turut di bawa untuk mengenali kitab-kitab utama yang penting dalam setiap kemahiran dan bidang serta kitab-kitab yang seharusnya saya miliki. Dari judul kitab sehinggalah kepada pentahqiq-pentahqiq yang ahsan dalam jurus tahqiq dan ta’liknya.

Saya di ajar bagaimana untuk bermuamalat dengan orang arab di sekeliling. Walaupun muamalat kita kadang-kadang dengan cara yang kasar, saya melihat Ustaz Wan pasti akan mengakhirkannya dengan senyuman dan kasih sayang.

Lagi seronok apabila ustaz menarik kami untuk tinggal bersamanya berdekatan dengan Jamik Manjak di jazmatiyeh. Satu kawasan yang paling strategik untuk mengikuti kelas pengajian umum di jamik-jamik seluruh Dimasyq, di samping mengambil keberkatan dari madrasah ( Jamik Manjak ) yang telah melahirkan ulama' kontemporari masa kini termasuk Sheikh Dr Said Ramadhan Al-Bouty, Sheikh Dr Mustafa Dib Al-Bugha, Syeikh Qurayyim, Dr Wahbah Zuhaili dan ramai lagi ulama' yang melata di Syam ini hasil didikan Sheikh Hassan Habannakah di sana.

Lebih dari itu, ustaz juga akan menjadi tempat untuk saya berkongsi rasa dan sumber mencari kekuatan serta semangat dikala kelemahan datang menjengah dalam diri. Berbeza sebenarnya apabila kita memperoleh nasihat dan taujihat dari orang yang benar-benar berpengalaman. Oleh sebab itu, banyak lontaran dari ustaz yang berjaya membuka paradigma jiwa saya untuk saya meneruskan survival keilmuan di sini.

Saya kira terlalu banyak sebenarnya untuk saya coretkan satu persatu perkara-perkara yang telah banyak banyak mendidik dan mengajar saya. Mudah untuk saya katakan bahawa Ustaz Wan telah mengajar diri saya bagaimana untuk hidup berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri di dalam alam yang penuh dengan cabaran ini.

Namun, segalanya tampak makin berakhir. Masa yang tinggal untuk saya bersama dengan Ustaz Wan berbaki tidak lebih dari 2 minggu sahaja lagi.

Saya masih ingat kata-kata saya kepada ustaz dalam 2 minggu yang lepas, “Ustaz kalau nak pegi mana-mana ajak ana sekali ya, terutama kalau ustaz nak pergi Halbuni,”

Semenjak dari itu, dalam seminggu, hampir tiga atau empat kali saya akan ke Halbuni (Markaz Penjualan Kitab) bersama-sama ustaz. Matlamat saya, selain dari dapat memberikan khidmat terakhir kepada ustaz, saya juga dapat berada bersama ustaz lebih lama disamping ingin mencari dan memperoleh thaqafah am, pengalaman dan skill yang kadang-kadang kita hanya akan perolehinya secara tidak formal.

Saya juga rasa bertuah apabila di bawa ustaz untuk ke kelas pengajian khususinya bersama Syeikh Abu Anas yang merupakan murid kanan kepada sheikh besar di Syam, Sheikh As’ad. Saya dapat melihat sendiri gaya pengajian dan adab berguru yang dipamerkan oleh ustaz bersama para masyaikh.

Yang pastinya, saya akan pergi ke mana sahaja bersama ustaz walaupun ke pasar untuk menukar duit kerana saya tahu itu adalah jalan yang saya akan memperoleh manfaat dari ustaz.

Saya masih berharap waktu dan peluang yang ditawarkan masih banyak walaupun saya hanya sempat menjadi khadam hanya di saat yang terakhir ini.

Mudah-mudahan, masa-masa yang terakhir ini akan menjadi kenangan yang abadi dan terindah dalam saya menyemai pengalaman dan keilmuan ketika berada di Bumi Syam ini.

Terima kasih di atas segala ilmu dan tunjuk ajar yang telah ustaz dberikan. Mohon maaf di atas setiap kesilapan dan kesalahan sepanjang bergelar murid dan adik. Moga Allah sentiasa akan memberkati kehidupan ustaz dan keluarga mudah-mudahan. Barakallahu fiikum.

“..Doakan ana berjaya seperti ustaz..”

Al-Faqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

p/s : Saya ingin berkongsi gambar-gambar kenangan bersama Ustaz Wan Nor di dalam blog ini, namun seperti biasa, kerenah internet di sini tidak mengizinkan untuk saya sertakan gambar-gambar tersebut. Mungkin saya akan kongsikan di dalam Flickr saya nanti.

November 10, 2009

Khadam Di Saat Yang Terakhir...

Sememangnya sudah terlalu lama saya tidak mengemaskini blog ini. Pengajian yang bermula sejurus tamat aidilfitri yang lalu memberi satu kejutan baru dalam jadual aktiviti kehidupan saya. Pengajian saya di tahun 3 Ta’hili Abu Nour melibatkan pengajian 19 madah dalam ruang masa 26 jam seminggu benar-benar menarik sebahagian besar masa saya sekarang untuk bergelumang dengan dunia baru ini.

Mana tidaknya, kefahaman yang sukar di dalam beberapa madah yang dipelajari memaksa saya untuk memberikan tumpuan tambahan kepada madah tersebut baik dengan cara bersifu khususi mahupun melalui pembacaan tambahan. Sepastinya, saya sudah lama tidak dapat berkongsi pengalaman mahupun cerita-cerita menarik yang dapat dimanfaatkan bersama di dalam blog ini.

Teringat kisah saya bersama salah seorang sahabat baik saya Ust Redzwan yang sekarang bermusafir ilmu di Bumi Indonesia. Saya menceritakan bagaimana saya sebenar di sini agak kekurangan rakan dan teman untuk berkongsi kisah suka duka. Begitu juga untuk berkongsi idea dan pendapat. Saya juga menceritakan, seandainya saya jatuh ataupun tersungkur di sini, belum tentu saya cukup kuat untuk bangun kembali kerana ketiadaan teman-teman disisi untuk memangkin kembali semangat yang hilang.

Jawab Ustaz Redzwan mudah, “Siapa cakap tiada teman untuk berkongsi? Ramai yang menanti perkongsian nta dalam blog tu, kenapa tak update?,”

Walaupun jawapan itu hanyalah satu jawapan yang mudah atau dengan kata lain slumber, tapi saya cuba untuk mengambil apa yang positif darinya. Saya tidak rasakan ramai yang menjadi pembaca setia untuk blog ini, tapi sekurang-kurangnya blog ini boleh menjadi teman buat saya berkongsi. Ya, bagi saya mungkin. Walaupun tidaklah saya akan menceritakan perihal peribadi dan masalah saya di dalam ini dari A sampai Z yang menyebabkan orang naik muak dengan penulisan saya tanpa sebarang percambahan faedah dan isi serta perkembangan idea.

Agaknya saya ini suka memberi alasan kerana saya masih lagi ingin berkongsi tentang kehidupan saya di sini sejak kebelakangan ini. (Untuk orang yang nak baca sahaja)

Permasalahan yang berlaku melibatkan pengguna kad ATM BSN di sini apabila gagal untuk melakukan transaksi pengeluaran wang sedikit sebanyak juga memberi kesan dalam kehidupan saya. Orang lain yang masih lagi mempunyai baki simpanan wang di tangan ataupun di dalam akaun bank yang lain menjadi satu kelebihan bagi mereka buat masa ini.

Yang lagi menekankan, apabila kad ATM Maybank saya juga gagal berfungsi tidak sebagaimana orang lain. Tidak dapat tidak, sudah 2 minggu saya hidup dengan ihsan orang lain walaupun hanya untuk membayar tambang menaiki servis ke kuliah yang bernilai 10 lira setiap hari.

Dalam keadaan yang sebegini, saya rasa tidak patut pula bagi saya mengorbankan duit kepada tuan cyber café untuk mengakses internet mahupun untuk melihat perkembangan isu semasa sedangkan tambang untuk ke kuliah pun tidak mencukupi.

Kebiasaannya, saya membaca blog sahabat-sahabat saya mahupun mana-mana blog yang menjadi tatapan setia saya hanya melalui Nokia N82 saya. Sepastinya saya rasakan, sayalah orang pertama yang akan membaca tulisan mereka setiap kali mereka mengemaskini blog kerana saya akan mendapat isyarat bahawa mereka sudah mengeluarkan post yang baru. Namun, di atas masalah ‘sekatan ekonomi’ yang berlaku ini menyebabkan hampir 2 minggu sudah saya tidak dapat mengikuti perkembangan sahabat-sahabat saya serta perkembangan isu-isu baru dan sensasi di Malaysia melalui blog-blog yang sentiasa menjadi tatapan di mana saya berada dengan Nokia N82. Semuanya gara-gara tiada lagi saki baki wang ditangan saya untuk menambah nilai dalam talian MTN saya.

Keadaan ini juga menyebabkan saya sudah lama tidak dapat online Yahoo Messanger. Saya mohon maaf kepada sahabat-sahabat di Syria yang tersangkut untuk menghubungi saya dan memaksa kalian untuk hanya menelefon ataupun menyampaikan pesan melalui orang lain sahaja.

Saya mengharapkan agar saya segera dapat mengatasi masalah ini supaya dapat meneruskan kehidupan saya seperti biasa dengan lebih tenang dan aman tanpa sebarang kebergantungan yang berlebihan kepada orang lain.

Dalam sudah lama saya tidak diizinkan untuk mengemaskini blog ini, sudah terlalu banyak coretan yang tertangguh yang mungkin saya akan kongsikan setiap kali bila tiba masa yang saya fikirkan sesuai.

Terasa iri hati pula kepada sahabat-sahabat saya di Jordan, Mesir dan Malaysia yang mempunyai akses internet yang mudah dan juga saya boleh katakan murah. Moga-moga saya sentiasa dapat mengikuti perkembangan mereka yang agak laju di sana.

Persoalannya, apa kena artikel ini dengan tajuk di atas?

Sebenarnya, sememangnya saya ingin menulis artikel ini berkenaan dengan Khadam Di Saat Yang Terakhir. Namun, akibat muqaddimah artikel ini sudah menjadi terlalu panjang, maka saya fikirkan tajuk ini akan saya ceritakan dalam post yang akan datang.

Saya harapkan post yang akan datang itu adalah dalam masa yang terdekat.

Mana tidaknya, kerana bermula esok pula, saya akan bermuzakarah (exam) bagi setiap madah dalam pengajian saya. 19 madah bermakna 19 hari pengajian akan saya tempuh untuk menghadapi peperiksaan awal tersebut. Nampak gaya, Ta’hili ini memang membawa saya masuk bergelumang di dalam dunianya. Namun saya bersyukur kerana dunia ini adalah dunia yang penuh dengan keberkatan bagi saya.

Mudah-mudahan Allah melemparkan kekuatan kepada diri ini untuk meneruskan perjuangan yang tidak berkesudahan ini.

Buat sahabat-sahabat, doakan buat saya agar terus istiqamah. Bukan hanya istiqamah untuk mengemaskini blog, tetapi istiqamah dalam perjuangan yang sedang saya berdiri di atasnya kini. Moga-moga Allah merahmati kalian.

Apapun, saya tetap menginsafi diri saya dengan satu kata-kata ;

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalil”

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

p/s : Ini kalau naqib saya di Malaysia terbaca, tentu mengeleng kepala sebab panjang dan banyak sangat alasan yang saya berikan. Apapun, mohon maaf ya Mr. President.