September 25, 2009

Kelas Intensif Untuk Saya..

Seusai selesai muqabalah Maahad Tahili beberapa hari sebelum Ramadhan berakhir, rasanya tidak sabar pula saya untuk menanti kelas yang akan dibuka tidak lama lagi. Maklumlah, telah lama berehat dari kelas rasmi sejak dari bermula Ramadhan yang lalu.

Selain dari pengajian rasmi di Abu Nour, saya juga mengikuti kelas khususi pengajian Bahasa Arab bersama 2 orang sifu bahasa saya, Ustaz Farid Faizul (Setiausaha Agung PPMS) dan Ustaz Nasruddin(Exco Dakwah dan Tarbiyah PPMS).

Bersama Abg Din, beliau akan membukakan kitab Durusun Nahwiyah kepada saya sebelum pada akhir sesi kelas, saya pula yang akan membaca kitab Muqaddimat Hadharahul Islam karangan Dr. Mustafa As-Sibai’ kepadanya untuk di semak bacaan saya.

Syawal Untuk Meraikan Kemenangan...

(Artikel ini ditulis bagi memenuhi kehendak WARKAH yang akan diterbitkan bagi Edisi Raya)

Setelah hampir sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, akhirnya Syawal menjelang tiba. Maka, seluruh umat Islam digalakkan bergembira untuk meraikannya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan takbir ketila tibanya Aidilfitri ini sebagai tanda kesyukuran kita yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta. Firman Allah di dalam Al-Quran;

"Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." - Surah Al Baqarah : 185

Banyak lagi perkara-perkara sunat yang telah dianjurkan oleh Nabi kita agar kita sama-sama meraikan Aidilfitri ini dengan penuh makna dan penuh rasa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Syawal Tanda Kemenangan

Hari Raya Aidilfitri ialah hari meraikan kemenangan dan kesyukuran kepada umat Islam sehingga 1 Syawal adalah hari yang tertegahnya kita berpuasa padanya. Setelah hampir sebulan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga, berterawih, bersedekah, dan pelbagai lagi amal kebajikan yang telah kita lakukan, mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran TAQWA yang telah ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada kita di bulan Ramadhan yang lalu.

Aidilfitri adalah hari perayaan dan dikatakan sebagai hari kemenangan buat umat Islam ialah sebagai tanda telah berjayanya kita menundukkan nafsu dan menewaskan sifat syaitan yang ada dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan.

Sebab itulah Hari Raya Aidilfitri ini disebut sebagai Eid Fitri. Ini adalah kerana Hari Raya Aidilfri yang disambut ini menunjukkan kembalinya manusia kepada fitrahnya setelah menjalani proses pembersihan selama sebulan di bulan Ramadhan.

Manusia menjadi kembali kepada bersih sebagaimana mula-mula dilahirkan setelah Madrasah Ramadhan telah mendidik jiwa dan nafsu mereka menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah.

Memaknai Syawal Dengan Taqwa

Firman Allah s.w.t ;

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” - Surah al-Baqarah : 183

Al-Quran menunjukkan bagaimana Ramadhan itu adalah proses yang sangat baik untuk mendapatkan TAQWA dalam diri manusia. Justeru, segala amalan dan ibadah kita di bulan Ramadhan sebenarnya adalah satu proses yang cantik dalam mendatangkan TAQWA dalam diri kita.

Sebagai hamba yang dijanjikan Taqwa di bulan Ramadhan, seharusnya kita juga adalah hamba yang benar-benar bertaqwa sejurus tamatnya Ramadhan. Taqwa tersebutlah yang akan menjadi benteng buat diri kita untuk menghadapi ujian nafsu dan syaitan di bulan-bulan yang lain.

Firman Allah di dalam Al-Quran;

Kitab (Al-Quran) itu tidak syak lagi menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. – Surah Al-Baqarah : 2

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Al-Quran adalah sebagai manual book dalam memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian kita khususnya buat orang-orang yang bertaqwa. Terlalu banyak pengajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Justeru, marilah kita sama-sama memaknai Syawal ini dengan sifat Taqwa yang diperolehi di bulan Ramadhan dengan mentaati segala perintah dan larangan Allah yang telah terkandung di dalam Al-Quran kerana ia menjadi satu simbol yang menunjukkan keberkesanan ibadah kita di bulan Ramadhan benar-benar menatijahkan Taqwa di dalam diri kita.

Namun seandainya perkara yang sebaliknya berlaku, percayalah sebenarnya kita adalah termasuk di kalangan orang yang rugi.

Hanya mereka yang menjadikan Ramadhan sebagai medan tarbiyah untuk meraih Taqwa sahaja yang akan menggamit kemenangan di Aidilfiri ini dengan penuh makna.

Jadi, kita pula bagaimana?

Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan mereka yang meraih Taqwa. Ameen

Al-Faqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

September 20, 2009

Salam Perantauan...





Selamat Hari Raya AidilFitri
Maaf Zahir Dan Batin
"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Min Salihil A'mal"
"..Kullu 'Am Wa Antum Bikhair.."

September 18, 2009

Berakhirnya Ihya' Ramadhan 1430H...

Seusai Majlis Khatam al-Quran & Majlis Penutup Program Ihya' Ramadhan 1430H di Pejabat Kedutaan Malaysia di Syria semalam, saya berasa lega.

Lega segala-galanya. Tetapi tidaklah bermaksud lega kerana tamatnya Ramadhan.

Teringat pesan Encik Fahmi, Ketua Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Syria dalam ucapan perasmiannya ;

"Saya menutup Program Ihya' Ramadhan ini, tidak bermakna kita menutup sudah segala usaha kita di dalam bulan Ramadhan ini, tetapi apa yang saya tutup ini ialah hanya sekadar formality program, tetapi usaha kita perlu diteruskan terutamanya dalam 10 malam terakhir Ramadhan ini,"

Kelegaan saya adalah kerana tamatnya taklifat saya di dalam program ini.

Bertindak sebagai Unit Penyelaras Program berseorangan di sebelah Syabab ketika mana hanya baru 4 bulan bertandang ke Bumi Syam ini benar-benar menguji kekuatan jiwa dan mental.

Maklumlah sebagai budak baru, sudah pasti situasi-situasi ini akan menyebabkan timbulnya rasa meluat atau tidak puas hati di kalangan pelajar-pelajar lama atau lebih senior di sini.

Mengurus Persepsi

Banyak langkah berjaga-jaga yang terpaksa saya ambil. Terutamanya urusan-urusan yang melibatkan perlunya untuk saya tampil ke hadapan.

Pernah saya mengadu kepada abang-abang bahawa saya agak kurang selesa dengan situasi sebegini menyebabkan saya agak pasif untuk membuat sebarang tindakan sebagai seorang programmer. Saya pernah berkata bahawa saya lebih rela untuk menjadi kuli sahaja untuk permulaan ini.

Namun saya tahu, itu bukan penyelesaiannya. Kekurangan ahli yang mampu untuk bekerja di dalam persatuan menyebabkan saya terpaksa juga mengambil bahagian untuk membantu.

Maka tidak dapat tidak, tindakan yang perlu saya ambil ialah mengurus persepsi ahli persatuan dan bukannya lari dari kerja persatuan.

Saya tidak pasti, apakah respon akhir dari seluruh ahli sejurus tamatnya Program Ihya’ Ramadhan 1430H ini, namun saya berharap semuanya baik-baik belaka.

Banyak kerja-kerja yang memerlukan penonjolan ke hadapan saya meminta bantuan dari sahabat-sahabat yang senior daripada saya untuk menguruskannya.

Tidak kurang juga arahan-arahan yang ingin dikeluarkan semuanya dengan uslub meminta pertolongan.

Sama juga untuk menguruskan urusan yang melibatkan pelajar-pelajar lama, maka kerendahan diri sangat-sangat diperlukan.

Semuanya adalah kerana adab kita. Dan yang lebih penting ialah bagaimana kita mengurus persepsi orang ramai terhadap kita.

Seorang pemimpin yang hebat ialah dia mampu untuk mengurus persepsi orang ramai.

Kadang-kadang tindakan yang terpaksa kita ambil mungkin akan menyentuh sensisitiviti mana-mana pihak, jadi bagaimana untuk kita mengurus hal tersebut agar ianya dilihat sebagai perkara yang neutral.

Kita merasa diri kita sudah cukup hebat apabila kita mampu bekerja dengan baik berserta mampu untuk membawa satu pembaharuan yang drastik.

Walhal, kesilapan kita adalah apabila kita menilai kehebatan kita dengan kaca mata kita, tetapi tidak pada orang ramai.

Kalaulah seorang tukang masak perlu mempunyai satu deria rasa yang cukup hebat untuk merasai kekurangan masakannya, begitulah juga seorang pemimpin yang perlu mempunyai deria rasa untuk mengurus persepsi orang lain terhadap dirinya.

Apapun tindakan yang dilakukan oleh pemimpin, seharusnya dilihat dari kaca mata orang ramai.

Persepsi dijaga bukan kerana untuk kepentingan diri, tetapi demi menjaga status pemimpin yang kita galas.

Mungkin tiba-tiba saya menulis catatan asas dan ringkas tentang persepsi ini setelah hampir sebulan otak saya sentiasa memikirkan cara untuk menguruskan persepsi ini.

Tidaklah semudah yang disangka. Kalau kita gagal mengurusnya, barangkali kita akan menjadi OVERaktif. Namun, andaikata tersilap mengurus, mungkin kita pula yang akan menjadi pasif.

Mudah-mudahan segala amal kerja saya sepanjang berlangsung di dalam Ihya’ Ramadhan ini diterima sebagai usaha kecil saya di sisi Allah.

Program telah selesai, sudah tiba pula masanya buat khususi diri.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

September 13, 2009

Catatan Pengembaraan Ke Bumi Mu'tah

Hampir satu minggu saya dalam kepeningan untuk memilih masa yang sesuai untuk merealisasikan pengembaraan ini akibat terikat dengan beberapa keadaan.

Sehinggalah akhirnya saya dan Arif meminta izin daripada Abg Pejai untuk bermusafir ke Jordan dan Abg Pejai benarkan.

Pada sebelah pagi keesokannya pula, saya meminta izin dari Pengarah Program Ihya' Ramadhan, Abg Zool Amali untuk mohon pengecualian dari gerak kerja untuk 3-4 hari. Juga dibenarkan. Hati mula berbunga.

Tetapi ia kembali kuncup diatas sebab-sebab tertentu.

Bermula Pengembaraan

Perjalanan pada 6 September 2009 bermula seawal jam 10 pagi di Sumeriyeh. Dengan menaiki teksi bersama 2 lagi orang Arab, kami menempuh perjalanan hampir 4 jam untuk tiba di Abdali,Amman.

Hampir 1 jam kami menghabiskan masa di Sempadan Syria-Jordan atas urusan imegresen dan sebagainya.

Bermula dengan urusan di Imegresen Syria di sempadan yang agak lebih bagus dari Imegresen Syria di Dimasyq memudahkan urusan kami.

Cuma ada satu perkara yang merimaskan kami.

Seusai urusan di Imegresen Syria, pemandu teksi kami menyeludup rokok-rokok untuk di bawa masuk ke Jordan. Yang pastinya beg saya menjadi salah satu mangsanya.

Puas kami bertekak. Kami hanya bimbang seandainya terjadi sesuatu kepada kami seandainya rokok yang diseludup ini dapat dikesan oleh Pegawai Kastam Jordan. Maka, setelah diberi jaminan kami akan selamat, dan dia akan menanggung segala risiko, maka kami pasrah.

Rokok bukan sahaja di simpan di dalam beg, tetapi di bawah pedal, di bawah kerusi, di dalam dashboard. Boleh saya kata, hampir segenap ruang di dalam kereta tersebut di gunakan.

Saya rasa semacam saya sudah tersalah pilih teksi.

Sebaik tiba di Balai Pemeriksaan Jordan, segala barang-barang yang dibawa di dalam kereta akan dikeluarkan. Itu prosedur biasa bagi sebuah kenderaan yang ingin melintasi sempadan negara yang lain.

Saya mula berdebar.

Bimbang juga kalau-kalau pegawai kastam dapat mengesan. Yang pertama, bimbangkan keselamatan kami sendiri. Yang keduanya ialah bimbang urusan akan menjadi panjang sedangkan saya perlu tiba di Queen ALIA Airport sebelum pukul 4 petang.

Setelah selesai semuanya, hati berasa lega. Serasa macam bersubahat pula. Namun jauh di sudut hati, saya berasa marah dengan tindakan pemandu tersebut.

Mencari Hala Sendiri

Sebaik sahaja kami turun di Abdali Amman, saya tidak terus menelefon Ket untuk mohon bantuan. Saya bimbang andaikata tindakan saya untuk ke Airport, tidak diperkenankannya. Maka kami mencari jalan sendiri untuk bergerak ke Airport.

Risiko yang paling besar ialah saya tidak punya kenderaan untuk pulang setelah tiba di Airport. Untuk menaiki teksi Airport sudah pasti ia berkali-kali ganda dari harga teksi biasa untuk pergi ke Airport. Saya kepeningan. Pasrah.

Dalam fikiran saya hanya satu waktu itu, perjalanan ke Queen ALIA Airport adalah semudah sebagaimana perjalanan ke Damascus Airport dari Baramkeh, Syria.

Namun sangkaan saya meleset. Saya perlu untuk menaiki teksi ke Mujamma' Syimal, dan menaiki bas dari sana. Dalam keadaan trafik yang sangat teruk, ditambah pula keadaan bas yang belum tentu ada di stesennya menyebabkan kami berfikir dua kali.

Akhirnya, datang seorang pakcik yang sudi untuk menghantar kami dengan bayaran 20 Dinar. Kami terkejut.

1 Dinar bersamaan RM 5. Seandainya 20 Dinar maka kami terpaksa membayar RM 100. Mahal.
Di Syria, untuk sampai ke Airport, duit yang diperlukan hanya 40 lira sahaja bersamaan dengan RM 3.

Setelah tawar menawar, akhirnya kami dapat bergerak ke Airport dengan nilai yang agak lebih kami boleh terima.

Kami tiba di Queen ALIA Airport tepat jam 3.30 petang. Semua yang berada di sekeliling kami hanya melihat kepada kami. Kami menggalas beg, kami juga membawa 2 plastik halawiyat yang besar, dalam masa yang sama saya membawa satu plastik almari zip yang dibungkus besar kiriman orang Syria. Mungkin mereka memandang kami agak pelik kerana dikala barang yang kami bawa banyak, tetapi kami tidak menuju ke arah Depatures Hall, tetapi ke arah Arrivals Hall!!.

Saya pun nak tergelak sebenarnya tetapi saya sudah tidak kisah lagi. Yang pasti saya lega saya telah tiba di Airport sebelum jam 4 petang.

Memaknai Sebuah Ukhwah

Sebaik penumpang pesawat Qatar mula beransur-ansur keluar. Saya mula mengintai kelibat insan yang dinanti.

Akhirnya, 2 beg diheret dikeluar dari balai ketibaan bersama insan yang dinanti.

Kami tersenyum.

Ustaz Ihsan juga tersenyum.

Kami berpelukan sesama sendiri. Hampir 4 bulan rindu hanya di curahkan melalui YM dan sms sahaja. Sehingga saya masih tidak dapat membayangkan detik pertemuan tersebut di Queen Alia Airport Jordan.

Semalam kami mengadu rindu,
semalam kami mencoret lagu,
semalam kami memasang harapan.

Alhamdulillah, akhirnya kita ketemu jua.

"..Moga ukhwah ini akan lestari selamanya..."

Perjalanan masih panjang di Bumi Syam Jordan ini.

Flight sahabat-sahabat DQ delay. Kami menghentikan kegilaan niat untuk menanti 12 jam di Airport. Kami terlebih dahulu pulang ke Mu'tah.

Yang pastinya, perjalanan selepas ini sudah tentu jauh lebih menarik. Kerana adanya dia di sisi. Menanti pula adik beradikku yang bakal kunjung tiba.

Dalam tidak kesabaran saya terus menanti hari yang bakal mendatang esok..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

P/s : Apakah wujud siri yang ke-2, saya pun tidak pasti.