July 30, 2009

Kuasa Fastabiqul Khairat..

Bagaimana kita melihat kekuatan umat-umat terdahulu?. Fokusnya adalah kepada para Sahabat Rasulullah s.a.w yang banyak berjasa dalam memperluaskan Islam itu ke seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Mereka sangat hebat dalam memperjuangkan Islam. Mereka mampu dan sanggup untuk mewakafkan segala apa yang ada pada diri mereka semata-mata untuk Islam. Mereka juga langsung tidak takut dengan risiko yang mereka terima dalam memperjuangkan Islam.

Mereka tidak takut untuk mati dalam medan peperangan.

Mereka tidak gentar apabila berhadapan dengan penguasa yang zalim.

Mereka mampu bertahan dengan penyeksaaan yang dilakukan.

Mereka sanggup menginfaqkan segala harta mereka di jalan Allah.

Terlalu banyak lagi sifat-sifat mereka yang hebat di pandangan kita.

Sudah tentu kita terlalu teruja dengan mereka. Masakan tidak, kerana kita tidak lagi mampu untuk melihat pejuang setanding mereka pada masa kini.Mereka diabadikan dalam sejarah ulung. Kita semua mengagumi mereka.

Apabila kita membaca kitab-kitab sirah, kita akan dapat mengetahui bagaimana uniknya mereka dalam perjuangan, sehinggakan musuh-musuh cukup gentar dengan mereka. Maka, dari kekuatan mereka tersebut dengan izin Allah mereka mampu untuk melebarkan wilayah takluk Islam seluas-luasnya.

Ke mana sahaja mereka pergi untuk berperang, mereka akan dapat menakluknya dengan kemengangan beserta kemuliaan. Satu persatu kuasa-kuasa besar suatu ketika dulu terpaksa tunduk dengan kekuatan Islam pada ketika itu.

Satu peradaban yang sempurna dan penuh bertamadun mampu untuk dibina oleh pahlawan agung pada ketika itu, lantas menjatuhkan dan menafikan tamadun-tamadun yang bercirikan rimba. Sejarah terukir dengan penuh kemasyhuran menyanjung jasa dan pengorbanan mereka.

Itulah kehebatan pahlawan terdahulu.

Keredhaan Allah

Namun, walaupun nama mereka terukir dalam sejarah peradaban manusia, apa yang kita harus tahu ialah pejuang Islam yang sejati seperti para sahabat terdahulu dan para pahlawan agung dalam sejarah Islam, mereka semua sama sekali tidak akan membuang tenaga mereka semata-mata untuk mengukir nama di dalam sejarah manusia sebenarnya.

Apa yang mereka fikirkan hanyalah bagaimana mereka ingin meraih posisi yang paling terhormat di sisi Allah s.w.t kelak. Itulah sejarah yang sebenar bagi mereka. Mereka meletakkan cita-cita mereka adalah untuk meraih keredhaan Allah semata-mata, bukan untuk dipandang manusia.

Adapun ketika sejarah manusia meletakkan mereka pada posisi yang kehormat, bagi mereka itu hanyalah 'berita gembira yang dipercepat' sebagaimana sabda Nabi.

Medan Kompetisi

Di atas cita-cita mereka yang sebenarnya iaitu untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t, akhirnya telah memberi satu kekuatan yang luar biasa buat mereka.

Hasil dari keredhaan Allah yang mereka mahu miliki akhirnya telah mendorongklan kepada lahirnya semangat kompetisi yang tidak berkesudahan.

Fastabiqul Khairat, itulah nilai kompetisi yang mereka bertarung di atas medannya.

Medan kompetisi yang mereka harungi ini bukanlah seperti medan kompetisi yang lain kerana medan kompetisi yang mereka harungi adalah medan yang tidak berkesudahan.

Mereka berpencak di dalam medan yang mengejar kebaikan. Mana mungkin kebaikan yang mereka kejar itu terbatas, dan akhirnya ia menatijahkan satu momentum yang luar biasa dalam mereka bergerak menuju cita-cita iaitu keredhaan Allah.

Nilai kompetisi inilah yang telah melekat pada diri pahlawan Allah s.w.t. Di atas kemulian medan kompetisi inilah yang mampu untuk mengeksploitasi segala potensi-potensi mereka.

Di dalam medan kompetesi ini, segala potensi-potensi mereka yang tersembunyi mampu untuk dikeluarkan secara tidak terbatas kerana ianya juga adalah pertarungan yang tidak terbatas.

Kompetisi dalam perlumbaan lumba lari berakhir apabila tamatnya garisan penamat.

Kompetisi dalam pelajaran akan berakhir apabila tamatnya peperiksaan.

Kompetesi dalam pilihan raya akan berakhir sebaik sahaja dinatijahkan kemenangan.

Di dalam mereka berada dalam kompetesi-kompetisi tersebut, potensi mereka terus meningkat. Terus dieksploitasikan dari dalam diri mereka. Malangnya ia hanyalah sementara. Maka potensi yang dilahirkan bukanlah secara optimum, kerana ia akan tamat sebaik sahaja tamat kompetesi yang terbatas itu.

Begitu hebatnya sifir Allah dalam melahirkan generasi umat yang hebat. Ia sekali gus telah melahirkan satu kekuatan besar buat umat Islam yang menyedarinya.

Di atas usaha mereka berkejar-kejar dalam membuat kebaikan, maka mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai posisi yang paling terhormat di sisi Allah suatu ketika nanti.

Di dalam medan kompetisi inilah, Allah telah meletakkan siapa yang paling berhak untuk mendapatkan tempatnya yang terbaik di sisiNya.

Maka golongan Assabiqunal Awwalun di beri pengiktirafan oleh Allah

Mereka semua akan mendapat nilai ganjaran yang berbeza-beza berdasarkan indikator-indikator tertentu.

Kualiti amal

Kuantiti amal

Manfaat amal

Maka, ahli Badar mendapat ganjaran yang tinggi berbeza dengan mujahidin dalam peperangan lain.

Konklusi

Selagi kita tidak punyai keinginan untuk berada dalam kompetisi yang ditawarkan oleh Allah ini, maka kita akan berada dalam perjuangan yang kurang nilainya.

Potensi terbantut

Ganjaran yang kurang

Tidak ramai yang sedar sifir Allah ini dalam melahirkan pahlawan yang hebat dan berkualiti. Kita melupainya kerana kita telah didoktrin dengan kompetisi yang sementara. Nilai ganjaran yang hanya di depan mata.

Kita berasa kompetesi dalam pilihan raya itu yang terbaik untuk diperjuangkan, kompetesi dalam peperiksaan itu yang mampu meningkatkan kecemerlangan kita, Kompetesi dari sudut keilmuan untuk melahirkan ulama' semata-mata. Itu sudah dirasakan memadai bagi kita.

Tapi kompetesi yang hakiki sebenarnya adalah kompetesi di dalam medan merebut kebaikan dan amal salih kerana ganjaran yang dijanjikan juga tidak terbatas. Dan itulah yang difirmankan Allah :

"… Berebutlah kamu dalam melakukan kebaikan…"

Itulah Fastabiqul Khairat…

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

July 28, 2009

Susah Dilaksana Walau Selalu Diperingatkan...

Hari ini suasana masyarakat Islam di dunia sibuk untuk membicarakan tentang bagaimana untuk kita mengembangkan kembali Islam yang semakin tercabar dan terhakis. Maka para agentur-agentur di dalam Islam cukup bersemangat dan lantang apabila berhadapan dengan sesuatu benda yang berunsur kekufuran dan kesyirikan. Mereka bangun berdemonstrasi, mereka lantang bersuara, mereka laju memberi kritikan serta mengutuk sekeras-kerasnya segala perkara yang batil dan menyalahi syarak.

Disetengah pihak lagi yang berperanan sebagai agentur siasah mula merangka strategi untuk memenangkan Islam. Pelbagai perkara disusun dan di‘brainstormkan’. Strategi yang maha dasyat diatur dalam usaha menumpaskan golongan yang batil baik secara berdepan ataupun secara saraf. Manakala puak yang lain pula bertugas mengikut tugasan mereka yang tersendiri. Semua memainkan peranan mengikut posisi masing-masing. Semua berjalan dengan penuh strategik. Semuanya adalah kerana satu misi. Misi untuk menegakkan kembali Khalifah Islamiyyah di atas muka bumi Allah ini.

Tapi ada satu perkara yang perlu kita ingat dan sedar. Islam itu tidak akan tertegak kerana kekotoran yang ada pada seorang muslim. Bagaimana kalau hanya seorang muslim yang bijak strateginya, yang bijak kepimpinannya, yang bijak pidatonya namun lupa akan zikir kepada Allah s.w.t.

Mereka lupa kerana zikir yang kurang itulah yang menyebabkan terbantutnya proses kemenangan Islam. Sibuk berjaga malam mengatur strategi, namun solat Subuh tidak dijaga. Sibuk berpidato ke sana ke mari, tetapi solat jemaah ditinggalkan. Bagaimana untuk kita memperoleh kemenangan?.

Kehebatan Mereka

Belajarlah dari kehebatan teori fikir dan zikir kerana kita dapat melihat kehebatan generasi yang telah mempraktikkan teori ini. Lihat kepada sirah ketika mana Rasulullah memimpin pasukan tentera menentang kaum Musyrikin. Mereka semua telah meletakkan keimanan yang sangat tinggi kepada Allah disamping merencanakan strategi-strategi yang membantu mereka untuk menewaskan musuh. Natijahnya kita dapat melihat kemenangan walaupun Islam pada ketika itu berhadapan dengan tentera Musyrikin yang berkali ganda ramainya.

Lihat juga kepada Sultan Muhammad AlFatih yang berjaya menawan Kota Contantinople setelah 800 tahun di janjikan oleh Rasulullah akan dibuka kota tersebut. Mereka meletakkan zikir mereka setaraf dengan fikir mereka. Mereka adalah golongan sebaik-baik tentera yang dikatakan nabi apabila mereka menjaga amalan-amalan mereka dan Sultan Muhammad Alfatih sendiri adalah sebaik-baik pemimpin apabila beliau menggabunggan 2 elemen terpenting iaitu zikir dan fikir dalam kepimpinannya. Kekuatan ruhiyahnya setanding dengan strateginya yang ‘gila’ dalam menjadikan daratan sebagai laut dalam melalukan 70 buah kapal dan akhirnya menatijahkan kemenangan kepada tentera Islam.

Begitu juga Salahuddin Al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan mengatakan bahawa arak sahaja yang mampu untuk menyembuhkan penyakitnya. Maka apabila para tenteranya gagal untuk memberikan arak tersebut sebagai penawar maka Salahuddin tahu bahawa tenteranya bersih dari sebarang kekotoran arak kerana beliau bimbang dengan kekotoran itu akan menatijahkan kekalahan buat mereka.

Muhasabah Bersama

Saydina Umar R.A pernah berkata “Aku tidak bimbang dengan kekuatan musuh, tetapi apa yang aku bimbangkan ialah dosa yang dilakukan oleh orang mukmin”. Hassan Hudaibi juga pernah berkata “ Tegakkan khalifah di dalam diri kamu sebelum tegakkannya di tempat kamu”. Bagaimana mereka berasa peri pentingnya untuk kita menjaga amalan dari dosa dan perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah. Berapa ramai pejuang Islam yang tahu dan semangat untuk berjuang tetapi hatinya kosong dengan zikir kepada Allah s.w.t. yang akhirnya membantutkan proses kemenangan Islam.

Sebagai akhirnya marilah kita renungkan kata-kata hebat daripada Abdullah Nasih Ulwan ; “Anakku, jangan sibuk ingin memenangkan Islam dengan strategi semata-mata sedangkan basirahmu semakin menumpul & Ibadahmu semakin berkurang. Teladanilah Abdullah Bin Mubarak yang menggandingkan semangat jihadnya dengan ketaqwaan yang mutlaq kepada Allah. Bukankah AlBanna itu seorang yang sufi lagi haraki?”

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

(Artikel ini dikeluarkan bagi Warkah Malaysia Syria (MYSY) keluaran ke-10)

July 26, 2009

Saya Sudah Malas Nak Jawab..

Letih apabila hampir setiap keadaan akan ada yang bertanya..

"Macamana plan anta kat Syria..? Lama ke sekejap saja?"

"Nta duduk kat syria ni, nta tasjil di Jamiah mana?"

"Kalau tempat nta blajar tu tak iktiraf, macamane nta nak buat?"

"Sekarang ini dunia perlukan kepada sijil, Takkan nta terus duduk macam ni?"

"Kalau nta nak balik malaysia pasni, nta pilih universiti apa pula?"

"Apa plan nta lepas ni? Dah habis daurah, apa nta nak buat?"

Kadang-kadang saya dah rasa meluat dengan setiap persoalan semacam ini yang diajukan kepada saya. Dan ia juga menyebabkan saya rasa nak 'makan' sahaja mereka yang bertanya lagi kepada saya soalan-soalan semacam itu.

Ini Persoalan Untuk Saya..

Saya cukup menghargai kepada setiap keprihatinan sahabat-sahabat terhadap 'masa depan' diri saya. Tetapi secara jelasnya, saya tidak gemar bagi mereka yang 'prihatin' ini agar menyorongkan jalan kepada saya sebagaimana apa yang mereka fikir secara tradisinya. Saya pernah bercakap soal ini dalam artikel Soal Membuat Pilihan.

Saya meraikan kepada mereka yang ingin berkongsi pendapat dan pandangan dengan saya, tetapi saya tidak suka kepada mereka yang mempengaruhi saya mengikut jalan kebiasaan mereka.

Saya tetap suka untuk berkongsi pandangan, saya tetap seorang manusia yang perlukan nasihat dan tunjuk ajar. Tetapi hanya mereka yang matang dan mampu untuk memberi idea-idea rasional yang saya kagumkan. Lagi teruja, apabila mereka juga adalah golongan yang berani menongkah arus dari kebiasaan untuk menjulang kejayaan. Mungkin saya boleh katakan mereka mampu untuk berfikir dan bertindak seperti lagenda Iskandar Zulkarnain. Saya suka berkongsi dengan mereka.

Saya ada pilihan saya sendiri. Saya ada matlamat saya yang tersendiri.

Semuanya saya fikirkan. Bukan ini hanya keputusan keinginan kosong ataupun keputusan 'kanak-kanak' yang tidak tahu mana baik buruknya. Apa yang saya lakukan sudah tentu saya sudah meneliti sehabisnya.

Apa Plan Saya?

Saya meyakini Allah bersama saya dalam setiap keputusan yang saya buat dan pilih. Cumanya pilihan itu bukanlah datang secara mubasyarah. Tetapi mengikut keinginan, keyakinan keadaan dan petunjuk tertentu. Jangan pula tersalah faham bahawa saya ini adalah wali Allah pula.

Berkemungkinan saya akan meneruskan pengajian di sini sehinggalah saya tamat belajar di dalam kuliah atau mana-mana pengajian di sini. Mungkin memakan masa 4 atau 5 tahun.

Tetapi tak mustahil juga saya hanya akan berada di sini dalam tempoh 2 atau 3 tahun kemudian saya akan menyambung baki pengajian saya di mana-mana universiti di Timur Tengah ini.

Dan tidaklah perlu terkejut seandainya sahabat-sahabat menemui saya di mana-mana institiusi pengajian dalam negara tahun hadapan. Hatta Ijazah di Darul Quran sekalipun. Saya tetap berbangga dengan sahabat-sahabat saya di sana.

Sehinggakan seandainya saya menyambung pelajaran di institiusi pengajian tinggi dalam negara pun saya tidak akan menyesal dengan pilihan yang saya buat dan pilih kerana semuanya ada pro kontranya, dan hikmahnya.

Bukannya saya tidak lagi boleh ke Timur Tengah selepas itu. Silap-silap sudah ada zaujah yang menemani saya pada ketika itu. Ahh, abaikan..

Apa yang nak dikatakan ialah, semuanya dalam perancangan Allah taala yang saya akan terjemahkan mengikut kehendak dan kemahuan saya. Dan setiap perkara yang saya sebutkan itu, sudah tersusun baik dan kemas dalam kepala saya ketika ini, malah banyak lagi yang saya tidak sebutkan.

Semuanya menunggu faktor masa dan keadaan. Kemudin ia akan diterjemahkan dan direalisasikan.

Yang paling jelas ialah, saya akan tetap meneruskan pengajian selagi mana saya mampu. Selagi hayat dikandung badan. Insya Allah.

Harapan

Saya tidak berkata bahawa saya ini begitu sombong untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut, tetapi ianya sangat merimaskan saya seolah saya tidak lagi reti dan punyai masa depan dalam hidup saya.

Saya tersangat mengalu-alukan lontaran pandangan dan idea dari semua, tetapi tidak sebagaimana yang saya katakan tadi, yang hanya mampu untuk mempengaruhi saya mengikut jalan kebiasaan tradisi mereka tanpa ada nilai rasional yang menyebabkan mengapa saya harus buat begitu.

Apa yang paling penting, saya harapkan ialah berkat doa dari sahabat-sahabat agar mengiringi perjuangan di sini dan di mana sahaja saya akan berada.

Tidak perlulah saya coretkan insan-insan yang sentiasa menjadi inspirasi buat saya. Tetapi sepastinya saya sangat menghargai jasa dan pengorbanan sahabat-sahabat seperjungan saya dalam Usrah Gegar. Kalian inspirasiku.

Semoga Mama dan Ayah sentiasa meredhai setiap tindakan anaknya yang degil dan 'mengada-ngada' ini.

Minta maaf, saya sudah malas untuk menjawab persoalan-persoalan ini lagi.

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

July 23, 2009

Saranan Buat Mereka Yang Berautoriti...

Teruja dengan penyampaianYB Dato' Dr Hasan Ali di dalam forum semalam. Satu harapan yang cukup besar untuk golongan pelajar agama di Timur Tengah. Satu keperluan bagi golongan ulama' yang ingin dilahirkan kini mesti beserta bersamanya nilai profesional. Mana mungkin Ulama' yang tidak mempunyai nilai profesional kini mampu untuk berhadapan dengan masyarakat di era globalisasi kini.

Abu Hasan Ali An Nadawi juga pernah berkata "Betapa perlunya kini dilahirkan golongan Ulama' Profesional dan Profesional Ulama". Sehinggakan Ustaz Fadhil Noor juga pernah membawa satu gagasan 'Ulama' Profesional' di dalam Pas suatu ketika dahulu.

Dr. juga menjawab persoalan apabila ditanya apakah ciri-ciri penjawat awam dikalangan ahli agama yang diperlukan dalam Kerajaan Negeri Selangor. Jawabnya mudah, beliau tidak mahu untuk mengambil ahli agama yang sekadar tahu untuk membaca kitab-kitab di masjid dalam masa yang sama tidak tahu untuk menjadi seorang pengurus yang baik di pejabat. Malah, beliau inginkan golongan agama yang faqih dalam agamanya serta apabila ditanya tentang isu-isu terkini yang mencakupi semua aspek, mereka boleh menjuarainya.

Tidak kurang juga Dr. 'mengetuk' kepala pelajar-pelajar disini supaya tidak hanya untuk belajar dan terus belajar, dalam masa yang sama tidak mengambil tahu apa perkara yang berlaku di sekeliling kita baik di luar dan dalam negara. Persatuan menjadi satu asas yang kukuh sebagai latihan dalam mendepani masyarakat kelak.

Di 'ketuk'nya lagi apabila beliau mempersoalkan isu-isu terkini di dalam negara untuk dijawab secara langsung. Masakan ada dikalangan pelajar ini yang mampu untuk menerangkan secara detail apabila ditanya tentang DEB,dasar ekonomi kapitalis, sosialis dan sebagainya. Walaupun mungkin ada, tapi sudah tentu jumlahnya tidak ramai.

Jadi bagaimanakah bakal ulama' ini ingin terjun ke dalam masyarakat jika hanya sekadar tahu untuk membaca kitab namun tidak mampu untuk menguasai keadaan dan suasana semasa?

Pengajian Agama Bukan Untuk Golongan Kelas Kedua

Secara peribadinya, untuk melahirkan golongan ulama' profesional bukannya mudah. Apatah lagi, untuk menguasai ilmu agama itu pun sudah banyak kerenahnya, masakan mereka begitu 'rajin' untuk menguasai bidang profesional pula, nak mengkaji isu-isu semasa, nak mendalami isme-isme yang melanda, semuanya memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi.

Sempat juga saya gunakan peluang di sesi soal jawab untuk saya mengutarakan saranan kepada Dr Hasan Ali. Saya meminta kepada Dr membawa pulang saranan ini kepada Kerajaan Negeri Selangor umumnya agar dapat membersihkan pemikiran masyarakat masa kini yang meletakkan pengajian agama sebagai pilihan terakhir. Mereka hanya akan memilih bidang pengajian agama setelah mereka tidak lagi layak untuk menempatkan diri di dalam mana-mana bidang pengajian selain pengajian agama. Seolah-olah pengajian agama hanyalah untuk 'golongan kelas kedua'.

Sedangkan, seandainya Dr ingin melihat gagasan ulama' profesional menjadi realiti, maka bidang pengajian agama kini harus dipelopori oleh golongan bijak pandai serta para cendikiawan, barulah agama itu dapat diperkembangkan dengan penuh variasi dalam membawa Islam kepada masyarakat kini.

Tidak Perlu Pertikai

Tak usahlah untuk kita pertikaikan apabila pendakwah kini gagal untuk memainkan peranannya dengan baik. Ini semua adalah berpunca kepada mentaliti masyarakat yang meletakkan bidang agama sebagai pilihan terakhir. Maka ilmuan yang lahir ialah sekadar ilmuan yang mampu untuk men'fotostat' ilmu secara langsung daripada kitab tanpa mampu untuk mengembangkannya dengan teori-teori yang lebih terkini dan tidak mampu untuk membaca suasana serta waqi' keadaan semasa.

Jangan dipertikaikan apabila timbulnya golongan mereka yang begitu 'syadid' dalam pandangan hukum hakamnya tanpa mengira masa dan keadaanya yang akhirnya akan menatijahkan 'perbalahan agama' apabila lahirnya satu lagi golongan yang syadid untuk menentang pandangan-pandangan golongan tersebut.

Hanya mereka yang mampu untuk berfikir jauh dan matang mampu untuk membina kembali generasi ummah yang gemilang setelah umat kini berpecah-belah di atas perselisihan pendapat dan pandangan. Justeru di situlah pentingnya golongan yang bijak pandai ini untuk menvariasikan dakwah mereka untuk meraih kembali kesepaduan dalam masyarakat Islam.

Jangan jadikan bidang pengajian agama hanya untuk 'Golongan Kelas Kedua'. Saya harap Dr. dapat membantu.

Sebagai akhirnya, terima kasih kepada Pak Duta dan Pihak Kedutaan Malaysia di Syria yang sungguh terbuka dalam pengajuran forum ilmiah ini, walaupun para panelis adalah dikalangan pihak pembangkang Pakatan Rakyat. Semoga usaha ini berterusan dan menatijahkan keberkatan kepada seluruh warga Malaysia di Syria Insya Allah.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar.

July 19, 2009

Jangan Ditanya Babi-Babi Di Syurga...

(Perkongsian Buat mahasiswa luar negara)

Pernah suatu ketika seorang Ustaz yang baru pulang belajar dari luar negara ditanya satu soalan yang agak aneh oleh orang kampung dalam kuliahnya.

“Ustaz, babi ni masuk syurga ke tidak ?”

Ustaz tersebut terpegun sebentar dengan soalan tersebut, mungkin kerana ia adalah satu persoalan yang tidak terfikir olehnya dan tidak juga terlintas jawapan dalam kepalanya.

Sudah pasti, kerana kadang-kadang kita tidak sempat untuk mengkaji persoalan-persoalan yang agak halus sebegini walaupun kita adalah lepasan pelajar Timur Tengah.

Sekiranya anda yang berada di tempat tersebut, agak-agaknya apakah respon anda dalam berhadapan dengan respon tersebut?.

Berdakwah Dengan Hikmah

Pernah terjadi di zaman Rasulullah dahulu, apabila para sahabat bertanyakan soalan, Rasulullah memberi jawapan yang berbeza walaupun soalannya adalah sama.

Apakah amalan dalam Islam yang paling Afdhal?

Ada masanya Rasulullah menyebut amalan yang berkaitan dengan jihad dan peperangan.

Ada masanya Rasulullah menyebut amalan yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Ada masanya Rasulullah menyebut amalan yang berkaitan dengan ibadat.

Jawapan Rasulullah semuanya menjurus kepada siapa yang bertanya dan lihatlah bagaimana Rasulullah menjawabnya dengan penuh hikmah.

Bayangkan seandainya jawapan yang diberikan tidak menjurus kepada siapa yang bertanya malah terus menjawab dengan satu jawapan tetap yang hanya sekadar untuk melepaskan tanggung jawab untuk menjawabnya. Susah pasti kita akan melihat kepincangan dalam amalan yang dilakukan oleh para sahabat yang bertanya tersebut.

Walaupun jawapan yang diberikan kepada Rasulullah itu adalah berdasarkan Ilham dari Allah ataupun di atas kebijaksaan baginda sendiri, tetapi Itulah hikmah. Setiap jawapan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan dan keadaan, bukan hanya dengan lemah lembut semata-mata.

Jadilah Dai’e Yang Proaktif

Dalam satu keadaan yang lain, pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w didatangi oleh seorang pemuda bagi meminta keizinan untuk berzina. Zina bukanlah perkara yang sukar mahupun sulit untuk difahami implikasinya pada ketika itu menyebabkan orang ramai yang ada disekeliling Rasulullah pada ketika itu menyerbu ke arah pemuda tersebut lantas memaki dan memarahinya.

Rasulullah pada ketika itu jelas menunjukkan sikap yang proaktif. Berfikir sebelum bertindak.

Pemuda tersebut telah dibawa mendekati Rasulullah.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi SAW. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Lihat bagaimana proaktifnya Rasulullah dalam menjawab persoalan pemuda tersebut. Boleh sahaja baginda untuk menjawab ‘Aku Rasulullah dan perkara yang aku bawa ini adalah benar, maka zina adalah haram ke atas kamu,’ tetapi Rasulullah menjawab dengan jawapan yang penuh manusiawi, menyentuh pintu hati agar dibuka kesedaran tentangnya.

Cara baginda menjawab tersebut masih kekal dan berpegang dengan prinsip kebenarannya, namun pendekatan dalam menyampaikan kebenaran tersebut penuh hikmah sekali.

Janganlah kita menjadi pendakwah yang hanya tahu untuk meletakkan hukum halal dan haram kerana ini bukan lagi zamannya. Jadilah pendakwah yang mu’tadil, pendakwah yang tahu bagaimana untuk menyatukan ummah dikala ummah kini dilanda perpecahan fikrah.

‘Kita adalah pendakwah, bukan penghukum’ – Albanna

Pendakwah yang proaktif ialah pendakwah yang mampu untuk berfikir sebelum bertindak. Pendakwah berlu berfikir apakah kesan yang akan terjadi dalam setiap tindakan yang diambil. Dalam masa yang sama, pendakwah juga perlu lebih meletakkan sesuatu implikasi yang terjadi adalah kerananya sendiri dan tidak pada orang lain. Barulah kita akan melihat peningkatan dan usaha dalam dakwah kita. Tidaklah hanya kita reti untuk menyalahkan orang lain sahaja walaupun dakwah kita sebenarnya yang kurang hikmahnya.

Konklusi

Pendekatan yang paling halus dan berkesan harus untuk kita pelajari terutamanya sebagai persediaan dalam kita menghadapi suasana mad’u yang pelbagai di Malaysia kelak. Masing-masing dengan gelagat tersendiri. Seandainya, berhadapan dengan golongan professional, bagaimanakah uslubnnya? Bila berhadapan dengan golongan orang kampung bagaimana pula kaedahnya?. Semuanya perlu kita kuasai. Sirah dan sejarah menjadi pelajaran dan panduan untuk kita semua.

Berdakwahlah dengan nilai manusiawi, bukan dengan emosi. ‘Masuk ke dalam kasut mereka’, mungkin itu antara istilah yang sesuai untuk menggambarkan bagaimana kita benar-benar perlu meletakkan diri kita ke dalam diri mereka bagi mudah untuk kita menyentuh dan mengetuk pintu hati mereka.

Jangan meminggirkan soal kreatif di dalam berdakwah ini, sebelum anda yang akan ditendang oleh masyarakat yang lebih bijak berfikir daripada anda kini.

Apabila anda berhadapan dengan situasi seperti ustaz di atas, agaknya apakah jawapan yang akan anda berikan kepada orang kampung tersebut. Mungkin anda semua akan buntu dan mengetepikan soalan tersebut, tetapi tidak bagi ustaz di atas kerana jawapannya sungguh berkesan sekali. Namun, ia hanya bersesuaian dengan sasarannya sebagai orang kampung bagi mengelakkan lagi persoalan yang sedemikian berulang dan mengajak untuk mereka berfikir persoalan-persoalan yang lebih besar dan penting. Jawab ustaz tersebut spontan ;

“ Pakcik ni duk sibuk kat babi plak, kita tu dah layak ke nak masuk syurga?!,”

Sama-sama fikirkan, bagaimana untuk menjadi pendakwah yang berhikmah dan proaktif.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan safar

(Artikel ini dikeluarkan bagi Warkah Malaysia Syria (MYSY) keluaran ke-10)

July 12, 2009

Melengkapi Sunnah Seorang Pejuang : Tribut Khas Buat Abang Farid Faizul..

* Sebenarnya saya fikir saya membatalkan sahaja niat saya untuk post artikel ini sehari selepas pemergian a.Farid atas sebab-sebab keselamatan dan sebagainya. Namun, saya fikir untuk post kan juga setelah mendapat saranan dari a.Khalidi.. Tanda penghormatan seseorang buat seseorang yang dianggap abang, guru dan pimpinannya..

...........................................................................................

Kehidupan disini memang penuh dengan ujian. Setiap orang mungkin akan menerimanya. Mungkin ini adalah ujian bagi mengukur sejauh mana tahap kesabaran dan keinginan untuk menuntut ilmu di tanah berkat ini.

Baru semalam saya menghantar kepulangan Abg Farid di Airport Dimasyq. Bagi saya, pemergian saya ke sana adalah sebagai penghormatan buat beliau. Penghormatan kerana kesungguhan, pengorbanan, kehebatan dan keberanian beliau.

Kepulangan beliau sebanar bukan adalah kerana beliau sememangnya ingin pulang ke Malaysia untuk bercuti atau habis belajar, tetapi beliau sebenarnya telah di ‘halau balik’ oleh Kerajaan Syria. Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana kesabaran beliau untuk meringkuk dalam penjara selama 4 hari selepas ditahan oleh pihak berkuasa.

Semuanya adalah gara-gara permasalahan visa dan seumpama dengannya. Apa yang penting, kesemuanya bukan masalah yang datang dari beliau sendiri tetapi adalah kecuaian dan kebobrokon sistem pengurusan pentadbiran di sini.

Abg Farid telah melengkapi sunnah sebagai seorang pejuang apabila ditangkap, dikawal dan ditahan semata-mata adalah kerana jihad ilmu beliau di sini. Saya doakan agar ujian yang beliau terima di sini telah menjadikan beliau sebagai seorang pejuang yang cukup matang dalam mengharungi sunnah perjuangan yang maha dasyat pada masa akan datang.

Saya adalah antara orang yang bersedih dengan ujian yang menimpa beliau. Walaupun saya tahu sudah tentu Abg Khalidi yang jauh lebih bersedih kerana kepulangannya. Abg Farid adalah seorang abang buat saya, beliau juga seorang pimpinan dan beliau jugalah seorang guru buat saya.

Beliau menjadi antara tempat untuk saya meminta nasihat, meminta bantuan dan meminta semangat di kala keresahan dan kegelisahan. Beliau juga adalah orang penting di dalam organisasi Persatuan Pelajar Malaysia-Syria (PPMS) apabila ditaklifkan sebagai Setiausaha Agung.

Saya pun tidak tahu bagaimana untuk membalas segala jasa pengorbanannya untuk saya, apabila beliau adalah seorang guru yang cukup-cukup banyak membantu pengajian saya di sini. Beliau adalah seorang guru yang sanggup berpagi untuk mengajar saya setiap hari. Setiap jam 5.30 pagi beliau sudah bersedia membuka kitab untuk saya, kerana saya mempelajari Bahasa Arab secara khususi dengannya setiap hari. Sehinggakan beliau pernah mengajar saya 3 jam tanpa henti walaupun beliau sibuk dengan urusan persatuan . Hanya Allah yang dapat membalas jasa beliau.

Ketika kami sedang menunggu beliau di lapangan terbang, beliau kemudiannya masuk ke lapangan terbang dengan dikawal rapi oleh pihak berkuasa menyebabkan kami tidak punyai peluang untuk berjumpa dan berbual dengannya. Ketika itulah terdetik di hati saya bahawa beliau telah melengkapi sunnah seorang pejuang. Sehinggalah akhirnya, kami hanya diberi peluang untuk bersalam dengannya.

Saya mendoakan agar Abg Farid terus kuat dalam menghadapi ujian yang menggila ini kerana saya sentiasa akan menantinya di sini.

Al Faqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

July 7, 2009

Semuanya Dalam Kenangan...

Kehilangan 2 orang ahli usrah dalam tempoh yang sekejap menyebabkan saya berfikir panjang dan bermuhasabah. Usrah menyebabkan saya rasa terlalu dekat dengan mereka. Kehilangan mereka sangat dirasai. Apatah lagi apabila kehilangan mereka secara serentak.

'Setelah Allah begitu cepat mengakhirkan perjuangan sahabat-sahabatku di atas dunia ini, adakah aku pula yang akan menjadi pilihanNya nanti'

Ammar Zulkifli & Nabil Marwan.. Semuanya dalam kenangan..

........................................................................................

Kita pernah sama-sama mengharungi detik-detik manis

Usrah bersama di DQ dahulu membuai memori bahagia

Masih terselit kenangan bersama

Rasa seperti baru semalam kita bersua

Namun kini, engkau telah meninggalkan kami

Jauh pergi meninggalkan perjuangan di alam fana ini

Perjuangan yang sentiasa menguji diri dan kehidupan

Destinasimu kini pula terlalu jauh

Jauh ke alam baru untuk menempuh suasana baru.

Di sinilah akan ku sambung perjuanganmu

Dan disinilah akan ku doakan

Agar engkau terus bahagia di sana

Senyumanmu di sana akan menggamit hatiku disini

Kerana kenangan kita masih mekar

Kukuh indah terpotret di atas dunia ini

Senyuman manismu takkan pernah aku lupakan

Doakan kehadiranku untuk bersama-sama denganmu

Akan kita bina kembali usrah di sana

Di taman indah nanti kita akan bersua

Ameen..