June 24, 2009

Untitled..

Suatu ketika saya bersama ahli bait saya pergi menziarahi Makam Arbai’n dan tempat pembunuhan pertama Habil Qabil di atas bukit berhampiran dengan Abu Nour. Perjalanan untuk mendaki bukit ke sana sungguh meletihkan kerana anak tangganya yang cukup banyak dan kadar pacaknya juga agak tinggi. Boleh saya katakan, untuk tiba ke puncak, keadaanya jauh lebih tinggi dari memanjat anak tangga di Kuil Batu Caves. Walau bagaimanapun, suasana di puncak menghilangkan rasa letih segalanya apabila dapat menyaksikan keindahan Kota Damsyik dari atas bukit.

Tiada satu cerita yang sahih baik dari Al-Quran dan Hadis mengenai sejarah Makam Arbai’n melainkan kisah yang di bawa mulut ke mulut sehingga hari ini. Dikatakan bahawa dahulunya, Kota Dimasyq adalah kota yang dipenuhi dengan maksiat dan kezaliman rajanya sehinggakan 40 orang ulama’ pada ketika itu telah bersepakat untuk beruzlah di satu bukit. Mereka telah mendaki satu bukit yang cukup tinggi sebagaimana yang saya alami sendiri malah saya yakin keadaan dahulu lebih sukar dari apa yang saya alami kini. Mereka beruzlah sehinggalah ke akhir hayat mereka yang kini Makam Arbai’n itu meninggalkan 40 mihrab yang mewakili bagi setiap ulama’.

Adapun, Ibnu Asakir pernah berkata bahawa Islam di Kota Damsyik ini bermula dengan 40 orang ulama’, tanpa diperjelaskan siapakah ulama tersebut. Namun ia juga tidak membuktikan kepada sejarah sebenar Makam Arbai’n tersebut.

Berpindah kepada Tempat Pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil yang juga di atas bukit tersebut, bersebelahan dengan Makam Arbai’n mengingatkan kita kepada beberapa potong ayat al-Quran yang menceritakan sendiri sejarah ulung pembunuhan pertama di dunia;

Maka nafsu (Qabil) mendorong untuk membunuh saudaranya (Habil), kemudian dia pun (benar-benar) membunuhnya, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang rugi.
Kemudian Allah mengutus seekor burung gagak menggali tanah untuk diperlihatkan kepadanya Qabil bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Qabil berkata, “Oh, celaka aku! Mengapa aku tidak mampu untuk berbuat seperti burung gagak ini, sehingga aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” maka jadilah dia termasuk orang yang menyesal.

Apabila saya tiba di sana, seolah-olah peristiwa pembunuhan tersebut bermain secara maya di dalam kepala apabila saya dapat menyaksikan sendiri batu bukit yang kelihatan terjelir lidahnya akibat terkejut dengan peristiwa tersebut dan bekas ‘tangan’ malaikat yang cuba menahan bukit dari menghempap Qabil sewaktu pembunuhan tersebut serta adanya batu replika senjata pembunuhan qabil terhadap Habil di sana.

Sebagaimana yang telah diterangkan oleh ayat al-quran, sejurus selepas pembunuhan tersebut allah telah mengutuskan burung gagak untuk menggali tanah, memberi pengajaran kepada Qabil bagaimana untuk menguburkan Habil. Sehinggalah dibawanya Habil ke satu tempat yang berhampiran di Buldan, satu pergunungan yang belum lagi saya sampai dan Habil telah dikuburkan di situ.

Sebelum pulang, sempat kami berbual panjang dengan penjaga tempat tersebut, Syeikh Fathi Saffi. Umurnya dalam lingkungan 60-an, seorang yang alim lagi wara’. Banyak kami mendapat nasihat dan semangat darinya, sehinggalah satu ketika dia bertanya kepada saya,

‘Apa nama kamu?,’

‘Muhamad Azan’ saya membalas.

‘Masya Allah,’ Beliau mula bercerita tentang saya.

‘Satu ketika Ibnu Sirin pernah di datangi oleh 2 orang manusia. Salah seorang darinya mengadu kepada Ibnu Sirin bahawa dia telah mendengar azan di dalam mimpinya. Maka Ibnu Sirin berkata,

‘Itu berita baik buat kamu, kamu akan pergi haji,’

Lantas Syeikh Fathi membaca satu ayat al-Quran yang bermaksud;

Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya meraka akan dating kepadamu dengan berjalan kaki atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari setiap penjuru yang jauh. (Al-Hajj : 27)

Dalam ceritanya lagi ‘Kemudian datang pula seorang lelaki yang lain yang mengatakan bahawa dia turut mengalami mimpi yang sama mendengar azan di dalam mimpinya.

Lantas Ibnu Sirin menjawab ‘tangan kamu akan dipotong’

‘Kenapa nasib saya tidak sama dengan lelaki tadi sedangkan mimpi saya sama dengannya,’ Tanya lelaki tersebut tidak berpuas hati.

‘Kerana dia seorang sahibuddin manakala kamu tidak’ Jawab Ibnu Sirin.

Syeikh Fathi membaca pula satu ayat lain yang bermaksud;

Kemudian berteriaklah sesorang yang menyerukan, ‘Wahai kafilah! Sesungguhnya kamu pasti pencuri,’ (Yusuf : 70)

‘Maka hari ini kamu telah membuat pilihan yang baik, kamu dipilih sebagaimana orang pertama tadi dan Syariah satu bidang yang terbaik untuk kamu dan pasti kamu berjaya dengannya,’ sambungnya sambil tersenyum.

Saya terkejut dan saya hanya tersenyum. Ini kali pertama ada seseorang boleh bercerita tentang nama saya. Saya teruja. Saya pun tidak tahu bagaimana beliau tahu bahawa Syariah adalah bidang pilihan saya dan sudah tentu sekali pengkhususan dalam bidang Usul Fiqh.

Di akhir pertemuan, saya berpeluk dengannya dan berbisik di telingany,

‘Jangan lupa doakan saya, Syeikh,’

Pertemuan yang cukup bermakna, moga-moga ada benar disebalik segala tafsirannya.

Al Faqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

June 10, 2009

Soal Membuat Pilihan..

Saya pernah berkata kepada beberapa orang sahabat saya di Malaysia bahawa kehidupan saya di sini pada mulanya agak kurang stabil. Mana tidaknya, berhadapan dengan satu suasana baru dari pelbagai aspek. Baik dari sudut iklim, masa, tempat tinggal, sistem pengajian, corak kehidupan, masyarakat, makanan dan lain-lain. Ada juga beberapa keadaan itu memberikan tekanan hebat kepada saya yang baru mengorak langkah mengejar impian di sini.

Alhamdulillah, saya punya abang-abang dan guru-guru yang sangat baik yang sudi untuk mewakafkan segala apa yang ada pada dirinya untuk saya. Mereka memberi bantuan dari segenap aspek, baik dari sudut kehidupan dan pengajian. Saya sangat berterima kasih kepada Abang Zool, Abang Khalidi dan Ust Wan Nor.

Namun kadang-kadang ada benda yang tak semuanya kita akan rasa cukup dengan bantuan orang lain atau dengan kata lain hanya membiarkan sahaja orang membuka jalan kepada kita tanpa kita yang menerokainya sendiri. Sampai bila kita ingin menjadi seorang yang manja tanpa mampu untuk berdikari membuat pilihan sendiri.

Saya punya cita-cita saya di sini. Saya pasang impian yang tinggi di sini. Saya mengimpikan sesuatu yang indah di sini. Saya buat perancangan, saya bina kekuatan agar impian saya tercapai. Namun semua apa yang akan kita tempuh akan berhadapan dengan soal pilihan.

Kadang-kadang ada beberapa perancangan saya yang menongkah arus kebanyakan orang. Tapi saya rasa bahawa itu target saya, itu perancangan saya maka saya berhak untuk buat keputusan. Namun, keputusan yang saya pilih adanya ditegur dan agak kontra dengan pandangan orang lebih berpengalaman di sini. Maka sekali lagi saya kena membuat pilihan.

Saya ada visi jelas yang saya tidak berkongsi dengan semua orang. Saya ada plan perancangan yang sampai sekarang saya rahsiakan. Ramai sahabat-sahabat dan kakak-kakak di sini yang bertanya tentang perancangan saya, dan saya hanya akan mengangkat bahu dan menjawab tengoklah keadaan.

Bukan saya tidak berkongsi, tapi saya hanya akan berkongsi kepada orang yang hanya mampu memberi reaksi yang rasional dan orang yang pandai untuk menilai orang lain. Saya tidak suka untuk berkongsi kepada mereka yang hanya melihat kepada kebiasaan serta takut dengan arus yang berlawanan serta hanya bertaqlid dengan apa yang mereka tempuhi.

Kalau saya tercampak ke Jordan, Mesir, ataupun pusat-pusat pengajian di Malaysia, sudah tentu tidak terlalu banyak pilihan yang perlu saya pilih. Namun kini saya berada di Syria, sebuah tanah berkat yang didoakan nabi, sudah tentu saya akan menempuh segala cabaran untuk beroleh keberkatan tersebut. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar keberkatan tidak hilang dalam diri saya dalam pengembaraan saya di sini kerana berkat tanah ini tak pernah hilang melainkan berkat dalam diri kita sahaja yang hilang.

Sehingga detik ini saya berhadapan dengan pelbagai benda untuk membuat pilihan. Semuanya kerana atas pertimbangan nasihat dan pandangan orang yang saya percayai dan yang lebih penting untuk menyelamatkan diri saya dari anasir yang menyekat cita-cita saya.

Tempat belajar ditutup. Rumah sesak. Jadual pengajian bertindih. Rakan seperjuangan.

Siapa sebenarnya yang harus dijaga?

Diri sendiri.

Pelajaran.

Kawan-kawan.

Kepuasan.

Kita selalu ingin memuaskan hati semua pihak. Walaupun sebenarnya tak dapat.

Kadang-kadang kita pun akan tertekan bila berhadapan dengan soal membuat pilihan. Kita tidak tahu yang mana akan memberi kesan yang baik dan yang mana pula akan memberikan kesan yang buruk. Semuanya hanyalah pilihan yang kita buat, apapun, natijah semuanya kembali kepada Allah yang menentukan.

Saya hanya ada masa 2 hari lagi.

Saya berdoa kepada Allah, moga-moga segala pilihan yang akan saya lakukan selepas ini adalah pilihan yang terbaik hasil petunjuk dari Allah.

Ameen.

Apa yang pasti, saya paling tak suka kepada perkara yang menyekat cita-cita saya dan melambatkan pergerakan saya. Saya sukakan kepantasan.

Siapa yang cepat, mereka di depan. Siapa yang mencari pasal, menjadi kepastian dia ketinggalan. Bagi saya, saya tidak akan menunggu lagi..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

June 9, 2009

Pertemuan Yang Tidak Disengajakan – Siri 3

Sebaik sahaja ketibaan kami di Lapangan Terbang Damascus, kami telah disambut oleh beberapa orang sahabat serta beberapa orang pimpinan PPMS yang juga senior saya di Darul Quran dulu. Antaranya Abg Nasir, Abg Hairul Faizal, Abg Zool Amali, Abg Izwan dan beberapa lagi kenalan baru di sini. Ketibaan saya di Syria pada jam 6 petang waktu Syria menyebabkan saya agak keletihan dengan perubahan waktu yang berbeza di Malayisa. Maklumlah, waktu di Malaysia awal 5 jam berbanding waktu di Syria. Bermakna sewaktu ketibaan saya di Syria jam 6 petang itu, di Malaysia sudah pun pukul 11 malam. Kebiasaan waktu di Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan badan yang menyebabkan saya sedikit keletihan selain daripada kesan berada di dalam kapal terbang selama hampir 10 jam.

Sebaik sahaja kami tiba di rumah sewa tempat kami bermalam pada jam 9 malam, Abang Nasir memberi pesan bahawa pada jam 5 pagi esok, kami akan mengikuti satu rombongan profesor-profesor dari UKM untuk melawat tempat-tempak menarik sekitar Hama, Homes dan Aleppo di Sempadan Syria-Turki yang memakan masa perjalanan hampir 5 jam. Saya pening kepala membayangkannya.

Perjalanan saya pada esok hari bermula dengan penuh kejutan. Baru saya tahu bahawa rombongan yang akan saya ikuti ini diketuai oleh Dr Kamaruzzaman Yusof atau dengan nama ‘glamour’nya Dr Kayu. Sebaik sahaja berjumpa, kami sama-sama terkejut.

‘Baru ni saya rasa baru jumpa kamu kat UKM, sekarang da kat sini dah. Sekejap di sana, sekejap di sini, hebat betul kamu,’ Dr. bergurau sebaik berjumpa.

Perjalanan yang pada mulanya difikir meletihkan menjadi seronok dan mengasyikkan. Mana tidaknya, berjalan bersama seorang pakar sejarah untuk melawat tempat-tempat bersejarah ialah perkara yang menyeronokkan. Kota Aleppo yang kami akan pergi ini adalah sebahagian daripada jajahan takluk Empayar Turki Uthmaniyyah dan Dr Kayu pula merupakan seorang yang sangat pakar dalam bidang sejarah terutamanya di era Empayar Turki Uthmaniyyah.

‘Saya ingat nak minta tolong Dr. Nak minta tolong Dr bantu saya menyelesaikan tesis diploma saya,’ Mohon saya sewaktu Dr Kayu datang berceramah di darul Quran suatu hari.

‘Apa tajuk tesis kamu,’ Tanya Dr.

‘Empayar Turki Uthmaniyyah : Satu Kajian Terhadap Keruntuhan Sistem Khilafah Islamiyyah Serta Kesannya Terhadap Masyarakat Islam Masa Kini,’ Balas saya.

‘Nanti bila ada masa free, kamu datang la ke pejabat saya. Kat sana ada banyak bahan tentang tajuk tesis kamu,’ Dr memberi respon positif.

Tiba-tiba saya terfikir untuk bertanya, ‘Apa tajuk tesis PHD Dr?’

‘Empayar Turki Uthmaniyyah di Mesir,’ Jawab Dr ringkas.

Saya terkejut sambil rasa bertuah kerana benar-benar mendapat seorang pembimbing yang benar-benar pakar dalam menyelesaikan tesis diploma saya. Memang betul Dr Kayu benar-benar pakar dalam sejarah di era Empayar Turki Uthmaniyyah sebagaimana saya menceritakan diskusi saya bersama Dr Kayu dalam artikel Bahan Kajian Tesis.

Perjalanan bersama Dr Kayu sehari semalam cukup bermakna. Teringat kata Dr Kayu sewaktu akhawat memberi pinjam kamera kepada kami untuk bergambar sepanjang lawatan tersebut ;

‘Tak payah simpan dalam kamera, simpan dalam otak je,’

Memang Dr Kayu menyimpan segala fakta di dalam otaknya. Hari pertama kami di Syria seolah-olah kami telah diterangkan segala-galanya olehnya tentang Syria. Pengalaman beliau selama 9 bulan berada di Syria sudah cukup untuk mensebatikan teori sejarah yang dipelajarinya dengan kesan peninggalan sejarah yang diterokainya.

Ziarah kami ke Qal’ah Halab (Aleppo Citadel) cukup menarik kerana kami diterangkan satu persatu tentang qal’ah yang paling sukar di tawan oleh Salahuddin Al-Ayyubi ketika bertempur dengan tentera salib suatu ketika dahulu. Bermula dari sejarah sehinggalah rahsia pertahanan srtuktur bangunan qal’ah serta strategi gempur Salahuddin untuk menawan kota tersebut. Saya dapat membayangkan peristiwa tersebut sedang berlaku secara langsung di dalam minda saya. Cukup mengagumkan.

Di sebalik taman kincir air tertua di dunia pula, yang terletak di Hama bersebelahan dengan masjid yang dibina oleh Nuruddin Al-Zanki juga penuh dengan sejarahnya yang tersendiri. Kali ini Dr Kayu membawa kepada penerangan sejarah yang lebih moden pula. Bagaimana Presiden Syria pada ketika itu Hafiz Assad iaitu ayah kepada presiden Syria sekarang telah melakukan pembunuhan ahli Ikhwan secara besar-besaran yang memakan nyawa hampir 100 ribu orang dan bagi untuk menutup kejadian dan kesan tersebut, mereka telah membina taman di sekitar kincir air tersebut yang kini menjadi taman rekreasi dan pelancongan. Akibat dari kejadian tersebut, ia telah memberi kesan yang cukup mendalam dalam suasana politik negara Syria kini. Panjang lagi sejarah yang di bawa oleh Dr Kayu sehingga boleh berlakunya kejadian tersebut yang tidak cukup untuk dicoretkan di sini.
Kepintarannya dalam sejarah tidak boleh disangkal. Bukan sahaja Dr Kayu sangat hebat tentang sejarah ‘purba kala’, malah sejarah di zaman mutakhir ini pun tersimpul kemas dalam kepalanya.

Banyak lagi tempat yang diziarahi bersamanya, disyarahkan sebagaimana syeikh-syeikh di sini mensyarah kitab. Kalau syeikh di sini hebat dalam bidang agama, tentu Dr Kayu pula setanding mereka dalam bidang sejarah.

Sepanjang perjalanan ke Aleppo, saya tidak lama terlelap walaupun sudah memasang niat pada mulanya hanya untuk berehat sahaja di dalam coaster akibat keletihan perjalanan dari Kuala Lumpur. Semuanya gara-gara seronok mendengar penerangan yang luar biasa dari Dr Kayu. Apa yang dimaksudkan dengan luar biasa ialah fakta yang dibawanya tidak semua orang tahu termasuk berkenaan susur galur politik, agenda presiden, special branch dan sejarah umum Dataran Syam sebelum dipecahkan kepada 4 buah negara sekarang.

Puas.

Pertemuan bersama Dr Kayu menjadi satu motivasi yang baik untuk mendalami segala rahsia tersirat disebalik Kota Anbiya’ ini.

Sehinggakan baru 1 minggu saya berada di sini, saya dipilih untuk menjadi pemandu pelancong bagi menerangkan Kota Aleppo kepada pelajar-pelajar senior di sini. Saya pun terkejut. Tetapi mungkin semuanya kerana pertemuan yang tidak disengajakan ini.

p/s : Saya nak masukkan gambar, tapi keadaan internet kat sini memang tak mengizinkan. Proxy membataskan saya untuk meng'update' blog ini dengan lebih baik. Huh. Cuma ada saya selitkan beberapa gambar di dalam flickr saya yang boleh dilihat sepanjang pengembaraan saya di Bumi Syam.

www.flickr.com/photos/azansafar/

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

June 7, 2009

Coretan Pertama Dari Bumi Syam..

Saya rasa inilah post pertama sejak saya datang ke Bumi Syam. Hampir 1 bulan saya tidak mengemaskini blog saya. Pada hari ini, baru terasa tangan ini sedikit laju meluncur di atas keyboard ini setelah sebelum ini masih agak berat lagi kerana ingin biasakan diri dengan kehidupan di Bumi Syam ini. Maklumlah kehidupan baru di tempat orang.

Masalah internet di sini juga memberi kesan. Saya tidak boleh membuka blog, Youtube, Facebook mahupun beberapa web yang lain secara direct dari Windows Explorer kerana disekat oleh internet di sini. Satu benda yang menyusahkan. Yang boleh hanyalah dengan saya menggunakan proxy untuk membukanya. Itupun dengan cara curi-curi. Mana tidaknya, hampir semua cyber cafe di sini akan tertulis 'Don't use proxy or intervoip programme'. Huh.

Kehidupan di sini agar mundur dari sudut teknologi. Mungkin saya boleh katakan Syria ini agak mundur 20 tahun dari Malaysia dari sudut teknologi. Tidak hairanlah kalau Syria melantik Tun Mahathir sebagai penasihat ekonomi negara mereka. Nak masuk Jamiah Dimashq pun hanyalah dengan ihsan Tun Mahathir sahaja. Banyak betul ragamnya!

Apa yang menariknya, dalam saya tidak sempat mengemaskini blog saya, dapat pula tawaran dari adik-adik saya di SBPI Rawang untuk menjadi author bagi blog badan dakwah mereka. Saya tengok blog mereka pun, dah jadi malu nak tunjuk blog saya kerana blog mereka agak mantap nak dibangdingkan dengan blog saya yang agak kosong. Sayang juga kerana saya terpaksa menolak kuliah terakhir saya di sana akibat terlalu sibuk dengan pengurusan ke Syria. Walau bagaimanapun, InsyaAllah saya akan berusaha untuk memberi pengisian yang terbaik buat mereka walaupun hanya di alam maya.

http://www.badarsepintar.blogspot.com

Apapun, Minta sahabat-sahabat doakan semoga saya terus thabat di sini untuk mengutip sebanyak mungkin cahaya yang terpancar di Dataran Syam ini. Mudah-mudahan..

Ameen..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar