May 4, 2009

Pertemuan Yang Tidak Disengajakan - Siri 2

Sebelum saya menyampaikan pengisian dalam 1 forum di Maahad Tahfiz Sains Tanah Mereh semalam, saya minta kepada pihak koordinator untuk benarkan saya mengambil masa 10 minit untuk melelapkan mata. Akibat daripada masa yang sentiasa berkejaran sejak semalam dengan keletihan perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan yang belum hilang memaksa untuk saya membuat permintaan tersebut.

Sebelum saya terlelap, saya terfikir siapakah sebenarnya panelis yang akan bergandingan dengan saya pada malam ini. Apa yang hanya saya tahu, beliau adalah seorang guru tahfiz di Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Saya menanti penuh debar. Terlelap.

Sebelum bermula majlis, sempat saya berkenalan dengan Ustaz Razlan Bakri yang menjadi panelis pertama dalam forum pada malam tersebut. Setakat berbasa-basi, saya tahu bahawa beliau juga sebenarnya adalah lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran Darul Quran JAKIM dan yang pastinya umurnya 9 tahun jauh lebih tua dari saya. Saya sedikit lega kerana beliau juga dari jurusan yang sama dengan saya tapi dalam masa yang sama saya terkejut dengan usianya. Mana tidaknya, sebelum forum saya dimaklumkan bahawa rakan penelis hanyalah berumur dalam lingkungan umur saya. Pandai budak-budak ni untuk kenakan saya pada malam itu.

Ketika di atas pentas, kami bertaaruf dengan lebih panjang. Perbualan saya dengan Ustaz Razlan seolah-olah merasakan bahawa kami sangat dekat sekali. Walaupun, jauh di sudut hati saya rasa segan dan malu untuk berada satu pentas dengannya. Ketika itu jugalah saya benar-benar dapat mengenali beliau bahawa beliau juga adalah penggerak tarbiyah di kampus sewaktu zaman mereka dahulu. Hati saya semakin lega dan puas pada malam itu.

Selesai forum kami berbual panjang. Untuk melepaskan rindu mungkin. Walaupun kami tidak pernah bersua tapi hati ini rasa dekat sekali. Perbualan pada malam itu banyak menjuruskan kepada perkembangan terbiyah di sekolah tempat beliau mengajar. Sebuah sekolah yang pernah melahirkan aktivis-aktivis kampus yang cukup hebat suatu ketika dahulu. Perbincangan kami terus melarat kepada permasalahan yang berlaku di sekolah beliau dan usaha-usaha serta strategi yang cuba dirangka oleh beliau dalam mengembalikan semula kegemilangan tarbiyah di Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Saya teruja dengan usaha dan kesungguhan yang beliau ada.

Sedang kami berkongsi cerita tentang perjalanan kami di kampus, datang lagi seorang ‘abang’ kepada kami, Ustaz Effendy. Beliau juga adalah penggerak kepada dakwah dan tarbiyah ketika di Darul Quran dulu. Saya tersenyum puas. Kami duduk bersama-sama berkongsi cerita, berkongsi pengalaman. Mereka sama sekali tidak melupakan bumi barakah yang pernah mendidik mereka dahulu. Saya cukup kagum dengan mereka. Sehinggakan kehadiran saya ke Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pada malam tersebut sudah termaklum oleh Ustaz Effendy sendiri.

Rupanya, kehilangan mereka selepas mereka meninggalkan kampus Darul Quran bukanlah ‘pemergian’ yang kosong, tapi sarat dengan bebenan tanggungjawab dakwah yang digalas oleh mereka hasil kesedaran didikan ketika mereka di kampus dahulu. Mereka ada di merata tempat. Hebatnya mereka, mereka kini menjadi ‘murabbi’ di setiap tempat yang mereka tinggal. Mereka menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya dalam meneruskan kesinambungan tarbiyah di mana sahaja mereka berada. Itu bukti keberkesanan dalam tarbiyah dan didikan yang mereka perolehi.

Saya teringat kata-kata Ustaz Fazlan sejurus kami selesai berforum.

“Apa yang ana sampaikan waktu forum tadi, semuanya adalah kata-kata dan nasihat yang ana dapat dari naqib ana semasa di Darul Quran,”

“Patut macam pernah terdengar,” Saya tersenyum.

Saya terfikir adakah kami pula akan dapat mengikut jejak mereka untuk terus istiqamah dalam menggalas beban yang dipikul ini selepas kami menjejak ke ‘bumi’ lain Andaikata ‘bumi’ yang dijejak selepas ini bukan lagi ‘bumi yang barakah’, adakah kami mampu untuk membina keberkatan baru di ‘bumi’ tersebut. Kalau kehebatan abang-abang dan kakak-kakak sebelum ini telah terbukti kesungguhan dan tekad mereka, saya berdoa kepada Allah s.w.t agar kami juga dikurniakan kekuatan yang sama malah lebih lagi untuk meneruskan perjuangan yang dibawa ini.

Pertemuan enam mata pada malam ini menggamit rasa ceria dan gembira hasil tautan hati di antara kami. Ia benar-benar menjadi satu inspirasi yang bernyawa buat saya. Moga-moga pertemuan ini, bukanlah pertemuan yang pertama dan terakhir walaupun hati ini sudah sedia terikat dengan kekuatan aqidah dan perjuangan yang terjalin.

Semoga ukhwah kita lestari selamanya..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

Pertemuan Yang Tidak Disengajakan…

Seketika sedang saya bersama sahabat-sahabat saya ralit menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran di Batang Kali, seorang ustaz datang bertegur sapa. Terkejut saya dibuatnya, kerana yang menegur itu ialah salah seorang ustaz di tempat kampus saya belajar.

Siapa tak kenal dengan Ust Najib di kampus kami. Seorang yang tegas dan cukup berdisiplin dalam mengajar dan menjaga anak-anak buah tasmiknya. Sesuailah dengan statusnya sebagai salah seorang pensyarah di Jabatan al-Quran di kampus tempat saya belajar.

Pertemuan yang tidak disangka itu menjadi satu pertemuan yang menarik. Dari kami duduk di meja yang berasingan, saya mula mencari tempat untuk berada bersama dengan ustaz. Sekadar ingin meminta nasihat, motivasi dan berkongsi pengalaman.

Banyak yang kami berkongsi, mula dengan borak-borak kosong tentang dunia bola sepak, sehinggalah kepada aspek kehidupan, pengajian dan sebagainya.

Barangkali saya boleh katakan bahawa Ustaz Najib juga adalah motivator yang baik sebenarnya, selepas berborak hampir sejam lamanya, saya tersenyum puas. Seolah-olah mendapat satu suntikan baru.

“InsyaAllah, memang kena jumpa ustaz sekali lagi sebelum saya ke Syria, minta nasihat,” telah saya.

“Nta kena jumpa dengan semua ustaz kalau boleh sebelum nta ke Syria,” Balas Ustaz.
Saya menanam tekad dalam hati. Saya akan cuba untuk bertemu dengan guru-guru saya sebelum berangkat ke Syria nanti.

Banyak perkara yang kadang-kadang kita lupa apabila kita berstatuskan seorang anak murid kepada seorang guru. Kita sebagai anak murid selalu lupa dan malas untuk meminta nasihat kepada gurunya.

Nak kata kita ni hebat, tidak.. Nak kata kita ni dah pandai sangat, pun tidak.. Tapi kenapa kita agak malas untuk gerakkan kaki untuk meminta nasihat daripada ustaz.

Mungkin faktor takut, tapi itu sebenarnya hanyalah persepsi kita. Kalau saya nak cakap, mungkin saya juga takut sebenarnya untuk berhadapan dengan Ustaz Najib, tapi selepas kami berkongsi banyak cerita, kami terasa perkongsian sebagaimana adik dengan abang.
Saya teringat salah satu dari pesan ustaz kepada saya,

“Kalau kita masa ni ialah seorang yang malas untuk berjumpa dan mendekati guru-guru, maka di sana nanti kita juga akan melakukan benda yang sama, tetapi kalau kita di sini sekarang suka untuk berjumpa dan mendekati guru-guru, InsyaAllah di sana juga kita akan buat benda yang sama,”

Saya terfikir-fikir, sepanjang keberadaan saya di kampus selama 3 tahun, berapa banyak saya menghabiskan masa saya untuk bersama dengan guru-guru. Berbincang, berdiskusi, berkongsi dengan para mu’allim. Berapa banyak masa saya penuhkan untuk berkhidmat kepada guru-guru.

Jangan disoal tentang keberkatan ilmu andaikata adab dengan guru pun kita tak dapat nak jaga.
Saya berharap agar kesalahan dan kesilapan saya kepada guru-guru di sini diampunkan moga-moga ilmu yang saya perolehi beroleh berkat dan moga Allah mencampakkan kurnia rahmat kepada para asatizah sekalian. Diharapkan saya akan menjadi seorang murid yang sentiasa mendampingi dan mendekati para ‘alim selepas daripada ini.

Banyak perkongsian antara saya dan ustaz pada malam itu yang tidak dapat saya coretkan semuanya dalam tulisan ini. Cukuplah pertemuan tersebut adalah pertemuan yang bertuah buat saya bagi seorang anak murid.

Terima kasih ustaz. Doakan saya untuk terus kuat dan thabat dalam pencarian ilmu sepanjang hidup ini..

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

Masa Semakin Hampir...

Suatu ketika ibu menelefon saya ketika dalam perjalanan saya ke Kedutaan Syria untuk mendapatkan endorsement bagi sijil-sijil kami untuk ke sana.

“Azan memang dah taknak balik rumah ke sebelum ke Syria ni ? ”

Hati saya mula terfikir-fikir dan berkira-kira. Nada suara ibu yang agak perlahan pada ketika itu sangat menyentuh hati saya. Saya serba salah.

“Ya Allah, tak baiknya aku,” dalam hati saya.

“Erm, kejap ye ma, Azan nak cek jap tarikh Azan balik kampung bila, InsyaAllah secepat yang mungkin,” Balas saya.

Sambil membelek planner yang saya bawa bersama di dalam kereta, saya meneliti tarikh mana yang agak sesuai untuk pulang ke kampung.

“adus, tak jumpa tarikh yang sesuai, Macam mana ni ?! ”Bentak hati saya.

“Erm, ma, kalau tak de apa-apa Azan akan balik dalam masa yang terdekat ni, apa-apa Azan akan contact ma balik ye,”

Gagang diletak. Banyak perkara yang bermain di dalam kepala. Sewaktu saya membelek planner, baru saya tahu yang sebenarnya saya sudah tidak punya banyak masa sebelum saya berangkat ke Syria.

Planner saya terisi dengan perkara-perkara yang saya perlu setelkan sepanjang keberadaan saya di sini. Saya jadi sangat serba salah. Bila diteliti, memang saya tidak punya masa yang banyak untuk pulang ke kampung melainkan saya terpaksa menolak urusan yang saya sudah janji dan terima untuk memenuhinya.

Diskusi di SBPI Rawang..

Ceramah di Bangi..

Diskusi modul pengurusan bersama bekas pelajar-pelajar MTS..

Usrah di DQ..

Termasuk MUET pada awal bulan nanti.

Pening kepala saya di tambah dengan urusan menyambung pelajaran ke Syria yang masih belum selesai-selesai. Urusan yang sepatutnya mudah tetapi menjadi sukar dan lambat atas banyak faktor.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya di dalam SMUTEM secepat yang mungkin walaupun sebelum itu saya sangat bertekad untuk berada di sana selama yang boleh untuk membantu sahabat saya Ustaz Ridzuan.

Dengan banyak urusan saya di luar termasuk urusan Syria yang tak selesai-selesai sehingga saya tak dapat memberi fokus yang penuh pada Smutem, bagi saya itu adalah yang terbaik untuk melepaskannya secepat yang mungkin, setelah saya menyusahkan sahabat-sahabat Smutem kerana hasil kerja saya di sana yang langsung tak memuaskan.
“Sorry for all Smutem members, wish all of you best of luck,”

Saya masih meneliti ruang masa manakah yang paling sesuai untuk saya pulang ke kampung bagi menjenguk kampung halaman dan saudara mara di sana sebelum berangkat. Urusan yang dijanji, sukar dan sayang untuk dibatalkan, sehinggalah sampai saat saya mengambil tiket penerbangan saya di rumah Ustaz Reza setelah dimaklumkannya.

Sejurus sahaja saya mengambil tiket dan meneliti tiket penerbangan tersebut, hati saya berdebar-debar.

Dan pada ketika itu juga saya terus bertekad untuk pulang ke kampung selepas berakhirnya bulan April ini walau apa cara sekalipun, seolah-olah baru saya tersedar bahawa saya akan berangkat Syria tidak lama lagi.

Urusan selepas dari tarikh itu terpaksalah saya mendapatkan bantuan sahabat-sahabat yang ringan untuk membantu kerana saya benar-benar perlu pulang ke kampung. Saya pasti ibu ayah dan nenek serta saudara mara pasti menanti-nanti saya di sana. Dan semuanya adalah kerana masa semakin hampir…

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar