February 21, 2009

Teori Piramid dan Piramid Terbalik ...

Pernah suatu hari, saya bersama anak-anak usrah saya mendengar satu taklimat di masjid. Tetapi malangnya taklimat tersebut tidak mendapat perhatian dari orang ramai. Kadang-kadang sampai timbul simpati dari saya. Cuba kita bayangkan, jika seseorang sedang berucap di hadapan, dan audien tidak member perhatian, itu mungkin tak apa lagi, tapi kalau audiens lari meninggalkan majlis sementara seseorang itu masih bercakap di hadapan, maka ia satu benda yang mengaibkan. Seolah-olah, orang yang bercakap di hadapan itu tak penting pun.

Maka seusai majlis tersebut, saya berbincang bersama-sama anak usrah saya. Sekadar perbincangan kosong tentang keadaan majlis tadi. Rata-rata mereka melihat antara punca majlis tersebut menjadi agak hambar kerana ucapan yang agak tidak bermaya dan kurang menarik perhatian.

Maka saya bertanya kepada mereka, andai mereka yang berada di hadapan adakah mereka dapat mengatasi masalah berikut. Akhirnya mereka hanya tersenyum.

Saya teringat di kala saya mula-mula belajar untuk bercakap di hadapan. Bermula dengan debatnya kemudian menjadi moderator forumnya. Sebenarnya tak reti pun nak bercakap tapi sebab motivasi yang terlalu tinggi saya nak masuk juga walau dah tau komfem dapat aib je. Tapi tak salah untuk mencuba kan. Dan seperti yang dijangkakan, memang satu keaiban yang besar la untuk kedua-dua performance saya pada ketika itu.

Akhirnya saya pernah meminta nasihat pada naqib saya, Abg Idris. Abg Idris la yang melatih saya untuk reti bercakap di hadapan. Walaupun tak sehebatnya sekurang-kurang kalau orang kasi mic, boleh la kalau saya nak bercakap.

Antara banyak-banyak nasihat dan teori yang diberikan yang diberikan, ada satu teori yang saya kongsikan bersama anak-anak usrah saya pada malam tersebut.

Teori pengucapan piramid dan teori pengucapan piramid terbalik..

Teori pyramid terbalik ini hanya sesuai kepada orang-orang yang sudah terkenal dalam bidang pengucapan ini. Apa yang dimaksudkan dengan pyramid ini adalah, walaupun intro permulaannya bermula dengan perlahan ataupun biasa, tetapi di akhirnya pasti ia akan menjadi tetap menarik kerana orang sudah mengenali dengan orang yang sedang menyampaikan ucapan atau ceramah.

Sebagai contoh, kita mengambil contoh Tuan Guru Nik Abdul aziz Nik Mat, walaupun intro ucapannya agak perlahan, tetapi orang akan sentiasa menunggu apakah yang seterusnya ingin disampaikan. Ini adalah kerana orang ramai sudah mengenali siapakah yang sedang memberi ucapan tersebut. Seorang tokoh besar.

Cuba kita bayangkan apabila kita berada di situasi untuk member ucapan di hadapan orang yang tidak dikenali, andaikata ucapan kita pada mulanya sudah gagal untuk attrack audiens yang hadir, sudah pasti akan ada audiens yang tidak teragak-agak untuk meninggalkan majlis kerana di peringkat mula-mula ucapan kita lagi, kita sudah gagal untuk menarik minat mereka. Walaupun sebenarnya dalam hati kita yakin bahawa ucapan ataupun ceramah kita mantap sebenarnya di akhir-akhirnya (perasan lebih la tu).

Jadi teori pyramid yang kecil di dibahagian atas dan besar di bahagian bawah itu hanyalah sesuai untuk orang-orang yang sudah terkenal dalam bidang pengucapan mereka.

Maka teori yang sesuai untuk mereka yang seperti saya ini, yang tiada siapa pun yang kenal dalam bidang pengucapan ini, maka kita kena gunakan teori pyramid terbalik.

Mafhum mukhalafah kepada teori pyramid, maka teori pyramid terbalik dimulakan dengan satu intro yang cukup menarik. Ala-ala bombastik gitu.

Motifnya adalah untuk attrack audiens seawal ceramah lagi. Sebagai contoh kita mulakan ceramah ataupun ucapan kita dengan teknik penceritaan, huraian hadis @ ayat al-Quran dan sebagainya. Apabila satu kelainan yang kita cuba tonjolkan, maka audiens akan tertarik. Di dalam Buku Metodologi Dakwah, antara metod yang digunakan untuk berdakwah adalah dakwah melalui saluran attention. Dakwah melalui saluran attention ini adalah kaedah bagaimana untuk menarik mad’u kita dalam kita menyampaikan dakwah. Dan salah satu ciri yang terkandung di dalam metod ini adalah cirri ‘pelik’. Kebiasaan mad’u kita akan rasa tertarik andai kaedah yang kita ingin gunakan untuk mereka adalah satu kaedah yang baru ataupun unik. Dalam kata lain pelik la. Ala, kalau kita pun tengok satu benda yang pelik , pasti kita akan tertarik. Tapi kalau kita tengok cerita ‘pelik- pelik’, tak tahu la pulak responnya bagaimana. Tapi sudah tentu menarik juga, kalau tidak tak ada la ramai yang tengok kan.. Itu bukti keberjayaan ciri pelik tersebut dalam menarik perhatian orang ramai. Kan dah terbukti.

Maka apabila kita sudah dapat menarik audiens seawall ucapan kita lagi, maka audiens akan sentiasa menanti apa yang ingin kita sampaikan. Dan mungkin tak timbul la orang nak lari dari majlis kot. Agak-agak saya saje la..

‘Patut la abang mula dengan cerita waktu taaruf bersama anak usrah ana tadi,’ kata Humaidi.

Saya hanya tersenyum.

AlFaqir Ila Allah

Muhamad Azan Safar

Selamat Hari Lahir.. Humaidi & Asyraf..

Petang semalam anak-anak usrah saya selain Asyraf dan Humaidi rancak memikirkan plan untuk menyambut hari lahir Humaidi & Asyraf. Dipanggilnya saya untuk berbincang sekali tetapi saya tidak pergi kerana ada urusan yang peru diselesaikan. Sebaik sahaja saya tiba di tempat perbincangan tersebut, perbincangan telah pun tamat. Jadi, anak-anak usrah saya menceritakan modul yang hendak dilaksanakan dan apakah peranan saya dalam modul tersebut. Setelah diterangkan, saya hanya mendiamkan diri agak sedikit tidak bersetuju.

Sebenarnya, modul itu dah menarik, tapi sengaja saya buat tidak bersetuju. Mungkin barangkali itu adalah modul yang biasa kita gunakan untuk sambut hari lahir disini. Niatnya bukanlah apa, Cumanya nak melatih pemikiran anak-anak usrah supaya menjadi lebih rencam dan kreatif.

Pada mulanya mereka tidak berpuas hati apabila saya katakan bahawa saya tidak setuju. Mana tidaknya, mesyuarat tak pergi, tiba-tiba tak setuju pula. Kalau saya pun, saya marah.

Saya tidak menceritakan kerelevenan kenapa saya tidak bersetuju sehinggalah seusai solat Maghrib. Barulah mereka terangguk-angguk memahami. Akhirnya modul bertukar.

Apa yang diceritakan kepada saya selepas dari itu, modul itu agak menarik. Kita akan buat perang tepung di tepi tasik, dan saya sebagai umpannya, dan ahli-ahli usrah yang lain sebagai tenteranya.

Apabila tiba saat yang dinantikan, perang tepung berlaku. Tetapi yang saya hairannya, yang menjadi tenteranya bukanlah anak-anak usrah saya tetapi anak-anak usrah Humaidi. Dan akhirnya anak-anak usrah saya keluar dari belakang sambil membawa kek dan makanan yang lain.

Jangkaan saya meleset, Saya ingatkan majlis ini hanya akan dihadiri oleh usrah saya sahaja, tapi tak disangka mereka benar-benar rencam apabila membuat satu perancangan lain di sebelah belakang berpakat dengan anak-anak usrah Humaidi untuk memeriahkan lagi majlis. Akhirnya, kami berkumpul bersama dalam satu keluarga yang besar meraikan hari lahir mereka.

Dalam hati saya, jauh dari sudut hati seorang naqib, walaupun yang diraikan dan dikejutkan adalah Asyraf dan Humaidi, tetapi saya sebanarnya juga turut terkejut dengan perancangan yang dilakukan. Kalau saya bergembira boleh berkumpul bersama dengan ‘cucu-cucu’ usrah. Tentu A.Idris jauh lebih gembira rasanya apabila ada peluang untuk bekumpul dengan ‘cucu cicitnya’ nanti.

Belajarlah untuk menjana pemikiran yang rencam dan kreatif kerana kita adalah agen perubah.

Apapun, semoga dipanjangkan umur buat mereka, dimurahkan rezeki dan terus istiqamah dalam perjuangan. Buat Asyraf, minta maaf andakaikata terpaksa menunggu selama 2 bulan untuk menantikan hari ini. Maklumlah hari lahir bulan 12, tapi disambut pada bulan 2. Sabar je la ye..

Semoga ukhwah kita lestari selamanya..

AlFaqir ila Allah

Muhamad Azan Safar

Kenapa Dengan Bahasa Arab..

Antara ilmu yang manusia agak malas nak kuasai ialah bahasa. Betul ataupun tidak, saya pun tak tahu, itu hanya pendapat peribadi saya. Tidak tahulah kalau sahabat-sahabat saya yang lain minat untuk belajar bahasa, kalau macam itu mungkin sebab saya bersahabat dengan orang yang hebat-hebat belaka, saya sahaja yang tidak hebat.

Hari ini terdetik di hati saya nak menulis tentang bahasa. Lebih-lebih lagi bahasa arab. Saya menulis ini tak bermakna saya pandai, tapi sebab saya nak tulis, maka saya akan tulis. Ramai orang tahu bahasa arab adalah bahasa al-Quran, indah bunyinya. Sebut sahaja bahasa arab, orang akan katakana bahawa ini adalah bahasa syurga. Sehingga ada pakcik makcik di kampong terasa risau, kerana bimbang tidak dapat masuk syurga kerana tak pandai bahasa arab. Aduh, pakcik makcik ni..

Kata Allah dalam al-Quran :

“ Sesungguhnya kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa arab, agar kamu memahaminya”

(Surah Yusuf : 2)

Bagi saya sendiri, bukanlah saya nak syarah ayat ini. Kalau pasal tafsir-tafsir ayat ini, kena cari mufassir-mufassir yang hebat la. Sahabat-sahabat saya ramai rasanya, tapi tak pasti pula samada boleh diiktiraf ataupun tidak. Saya ni bukanlah mufassirin, apatah lagi muhaddisin, sudah tentu jauh sekali. Saya ini hanyalah muslimin.

Apa yang saya nak katakan ialah kenapa perlunya seseorang itu menguasai ilmu bahasa arab terutama bagi mereka yang meletakkan pengajian agama dalam pilihan utama hidup mereka. Sebenarnya ayat di atas sudah menunjukkan bukti yang jelas. Kita kena menguasai bahasa arab untuk kita memahami agama. Hari ini kita tidak boleh nak pertikaikan tentang kalau macam tu, kenapa al-Quran ini tidak diturunkan sahaja dalam setiap bahasa, kan mudah, lagi semua orang faham. Apa yang jelas, semua inilah adalah berkaitan dengan bagaimana pemilihan umat Nabi Muhammad, pemilihan tanah tempat diletakkan Nabi akhir zaman di situ dan banyak faktor lagi. Mungkin kita boleh merujuk Fiqh Sirah sedikit sebanyak.

Sebagai seorang yang meletakkan bidang pengajian agama sebagai pilihan pertama kehidupan mereka, maka tidak dapat tidak kita kena kuasai ilmu bahasa arab. Kalaulah kita katakan, nak faham al-Quran pun kena faham bahasa arab, baru selesa nak belajar dan mengaji, apatah lagi bagi ilmu pecahan kepada al-Quran, baik Fiqh, Sirah, Tauhid, Balaghah, Usul Fiqh dan sebagainya. Fikir-fikirkan…

Kata guru saya ketika saya masih berada dalam persijilan di kampus saya. Kalau kita nak sambung pengajian agama, tuntutlah agama tersebut di tempat asal ia diturunkan, sudah pasti di sana penuh khazanah-khazanah tersirat dalam pengajian agama yang kita cuba pelajari. Kata-kata guru saya itu, bagi saya sendiri ada relevannya. Contohnya, Buah Strawberry ataupun serbuk teh, kalau kita diberi pilihan, sudah tentu kita akan lebih berminat untuk memborong di Cameron Highland dari memborong di supermarket. Masakan tidak, di Cameron Highland adalah lubuk buah strawberry dan serbuk teh, pelbagai jenis dan pilihan ada disana jika hendak dibandingkan dengan supermarket biasa. Jadi hujah di atas bagi saya ada relevannya.

Kita tak payah pergi jauh la, hatta kalau kita belajar dalam Malaysia sekalipun, kalau kita nak belajar agama, sudah tentulah bahan rujukan yang nak ditelaah adalah kitab arab. Saya yang belajar diploma dekat sini pun, kitab yang digunakan adalah kitab-kitab arab. Kalau ingin menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah dan master apatah lagi. Lebih-lebih lagi PHd. Kalau kita hanya menguasai ilmu agama dari kitab-kitab melayu, ia tetap memberi manfaat tapi agak terbatas. Kitab – kitab muktabar kampir kesemuanya adalah bahasa arab, takkanlah kita nak tunggu diterbitkan terjemahan dulu baru hendak kita menguasainya, sudah tentu kita akan jadi ulama’ menunggu. Kalau kita dapat menguasainya sekalipun dalam bahasa ibunda kita, tapi hakikatnya pasti kelebihan tetap pada mereka yang menguasainya dalam bahasa arab, asal usul bahasa kitab tersebut ditulis. Kalau tidak pun, kita tengok sahaja ulama’- ulama’ besar yang ada di Malaysia ini, kalau mereka tidak kuasai bahasa arab, masakan tidak mereka akan dapat gelaran seorang ulama’.

Kesimpulanya, Bagi saya sendiri yang tidak pandai berbahasa arab ini, perlulah menguasainya untuk menjadi seorang yang hebat dalam keilmuan agamanya. Kerdil rasa diri ini bila berada bersama-sama dengan mereka yang petah berbahasa arab, apatah lagi yang membaca buku arab semacam buku novel. Aduh, hinanya rasa diri..

Hipotesis yang saya boleh buat, semakin hebat kita menguasai bahasa arab, semakin mudah untuk kita menguasai ilmu agama.

Artikel ini satu tulis sebab saya geram tak dapat jawab exam madah tafsir tadi. Serasanya muqarrar Tafsir Munir karya Dr Wahbah Zuhaili itu telah dikuasai sedikit sebanyak pemahamannya dalam bahasa melayu, tak disangka pula di dalam dewan saya terkial-kial untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa arab.. aduhh, apalah nasib badan..

Merenung jauh angan-angan dan impian di hadapan, moga-moga Allah perkenankan hasrat hati ini menjejakkan kaki di Bumi Syam untuk melayari bahtera seorang penuntut ilmu. Aku mengharapkan Ihsan mu Ya Allah…

Alfaqir ila Allah,

Muhamad Azan Safar

Ilmu Dakwah : Antara Teori Dan Praktikal…

Seketika saya mendapat borang kaji selidik untuk diagihkan kepada sahabat-sahabat sebelah muslimin, saya tertarik dengan tajuk kaji selidik tersebut. “Ilmu dakwah : Antara teori dan praktikal. Satu kajian terhadap pelajar syukbah dakwah semester 6 Darul Quran JAKIM”.

Memang sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali sejauh mana praktikalnya ilmu pengajian khususnya dalam bidang dakwah yang kita pelajari di kampus pada hari ini. Bagaimanakah kita menggunakan ilmu tersebut untuk meningkatkan kesedaran dakwah dalam diri kita dan bagaimanakah ilmu yang kita perolehi itu dapat kita salurkan kepada masyarakat di sekeliling kita.

Kalau ditanya kepada saya, sudah tentu jawapan yang saya akan berikan ialah banyak faktor yang kurang praktikal untuk membantu proses percambahan ilmu tersebut serta bagaimana untuk menguasai ilmu tersebut seterusnya dimanfaatkan untuk diri sendiri dan orang lain.

Apa yang saya maksudkan banyak faktor tersebut salah satunya ialah faktor suasana kita sendiri. Ya, suasana membudayakan ilmu.Kalau dilihat disini budaya ilmu seakan-akan tidak hidup. Kalau dikatakan kampus ini dihiasi dengan biah solehah, mungkin saya boleh katakan saya bersetuju. Tapi kalau dikatakan kampus ini juga turut dihiasi dengan budaya ilmu, maka saya akan menafikannya. Berbeza di antara biah solehah dan biah ilmu dalam konteks kita sekarang. Walhal antara biah solehah yang kita canang-canangkan juga sepatutnya mempunyai budaya ilmu di dalamnya. Samada masa tidak sampai lagi atau memang suasana ini tidak pernah hidup, Wallahua’lam.

Kita melihat realiti pelajar kita sekarang, hari ini kita masuk ke kelas, kita mendapat ilmu baru, keluar kita daripada kelas ilmu itu telah hilang ke mana. Itulah yang berlahu sehari hari. Dan akhirnya apabila tiba musim peperiksaan segala apa yang telah hilang ke mana itu, kita kumpul kembali dan kita lepaskan sepenuhnya di dalam kertas jawapan peperiksaan. Maka selepas daripada itu, ilmu tersebut kembali ghaib. Ilmu hanyalah sekadar untuk peperiksaan sahaja, bukan untuk penghayatan diri kita sebenarnya.. Tak percaya?? Tepuk dada, Tanya diri sendiri..

Pernah suatu ketika di dalam kelas pertama tutorial dakwah, tutor menanyakan bagaimana kaedah atau skill pembelajaran yang menarik yang kita nak gunakan agar proses pembelajaran menjadi lebih berkesan. Maka apabila terkeluar cadangan-cadangan yang agak idealistik tapi realistik, ramai-ramai akan berkata “tak payah buat susah-susah, buat biasa-biasa je, pembentangan pun dah ok dah,”. Saya tidak menafikan bahawa pembentangan juga adalah skill yang menarik, tapi kalau sudah ada idea-idea dan cadangan-cadangan baru yang agak praktikal, apakah salah kita mencuba. Pembentangan pun sekadar nak lepas syarat sahaja. Inilah pemikiran pelajar kita, tiada kesungguhan dalam membudayakan ilmu. Tapi saya tidak kata pelajar tersebut bersalah, yang diperlukan ialah penerapan budaya ilmu tersebut agar pemikiran pelajar kita dapat diubah.

Hari ini di kampus kita sendiri ramai pensyarah-pensyarah yang faqih dalam ilmu pengajiannya, tetapi kalau nak dikira berapa ramai sebenarnya yang mengambil manfaat dan kelebihan daripadanya. Saya fikir memang ada, tapi majoriti besarnya tidak. Selagi budaya ilmu tidak diterapkan, maka budaya ingin menuntut ilmu akan payah untuk hidup dalam diri pelajar-pelajar. Perkara inilah antara perkara besar yang perlu kita atasi agar ia tidak merugikan kita semua.

Kadang-kadang saya kasihan melihat kepada sesetengah pensyarah, mereka begitu telus dalam menyampaikan ilmu mereka, tetapi tidak pernah diambil serius oleh pelajar-pelajarnya dalam mempelajarinya. Tetapi tidak kurang juga ada pensyarah yang seolah-olah nampak terikat untuk menghabiskan silibus yang telah ditetapkan sehingga kualiti pengajian benar-benar terjejas. Ia seolah-olah membentangkan kulit ilmu itu sahaja, tanpa membedahnya dengan lebih dalam. Mungkin itu juga menjadi faktor kepada kurangnya tertarik pelajar untuk mempelajarinya. Tapi mungkin para pensyarah mempunyai alasan yang tertentu mengapa mereka terpaksa berbuat demikian, mana tidaknya kita adalah satu institusi besar di bawah kerajaan bukannya seperti sebuah madrasah. Itu kita kena ingat. Walau bagaimanapun ia bukanlah kata akhir yang perlu kita putuskan, tentu ada jalan yang terbaik untuk mengatasinya.

Bagi saya, walaupun silibus yang kita pelajari masih boleh dipertingkatkan lagi, tapi cukuplah dulu dengan bagaimana untuk kita menghidupkan suasana kebudayaan ilmu di bumi barakah ini. Budaya ini bukan hanya sekadar perlu diterapkan dalam jiwa-jiwa pelajar kita, malah ia perlu disokong kuat oleh para pensyarah dan pihak autoriti. Jangan salahkan pelajar kita yang menjadi graduan yang tidak berkualiti andai tiada sebarang anjakan perubahan dalam menghidupkan suasana keilmuan di sini.

Aduh, hebat benar saya mengkritik, dan sememangnya saya adalah pengkritik yang hebat. Mungkin anak-anak buah dan sahabat-sahabat yang pernah bekerja bersama saya tahu tentang kehebatan saya ini. Kehebatan mengkritik. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati saya, ini adalah pandangan ikhlas dari hati saya sebagai seorang pelajar.

Kita bayangkan kalau kampus kita ini menjadi satu tempat kebudayaan ilmu yang hebat. Sambil berjalan,al-Quran ataupun buku mesti berada di tangan, di masjid penuh dengan kelas-kelas talaqqi oleh guru di kampus sendiri, sambil menunggu, bahan bacaan menjadi santapan, apabila kita menziarahi bilik kawan, diadakan diskusi-diskusi ilmiah, usrah dihidupkan dengan begitu hebat. Masya Allah kualiti yang akan dilahirkan oleh kita pun adalah kualiti pelajar yang hebat.

Mustahil?? Bagi saya tidak.. Cumanya ia memerlukan keberanian untuk membuat perubahan. Buanglah kuasa eksekutif, jadilah pemimpin yang benar-benar merendah diri, murabbi yang berkualiti, pelajar yang berdikari dan berdedikasi.

3 tahun kita belajar di sini dengan mendapat segulung diploma, andai orang lain membedah diploma yang ada, agak-agaknya apakah yang terisi di dalamnya?? Fikir-fikirkan…

AlFaqir Ila Allah,

Muhamad Azan Safar