November 23, 2009

Sekadar Perkongsian..

1.
Saya tidak dapat menahan kesedihan saya di atas kepulangan Ust Wan Nor ke Malaysia. Mungkin di atas sebab beliau yang terlalu ‘hampir’ dengan saya (atau kami) menjadikan ia sedikit terkesan. Tambahan pula, saya tidak berpeluang untuk bertemunya buat kali terakhir di Airport akibat beliau terlebih awal lagi ditangkap dan terus dibawa ke Airport oleh pihak berkuasa. Nampak gaya selepas ini, kami tidak lagi akan dapat merasa sentuhan keilmuan & motivasi dari Ustaz Wan. Juga senyuman dan gurauan bersama Busyra & Asma’. Mungkin juga sentuhan masakan dari Kak Majdiah. Apapun, kami akan tetap sentiasa merindui kalian.

6 bulan yang berlalu Ustaz telah membuka jalan untuk kami, maka bagi saya, untuk 6 bulan yang ke hadapan ini adalah
jalan untuk saya berjalan di atas kaki sendiri. Insya Allah. Terima kasih Ustaz !!

2.
Saya ingin mengucapkan ribuan kemaafan kepasa sahabat-sahabat dan teman-teman yang memberikan ucapan selamat hari lahir kepada saya baru-baru ini, namun saya tidak dapat membalasnya. Semuanya akibat saya kehabisan kredit Celcom dan MTN. Apapun, saya ucapkan ribuan terima kasih buat kalian. Saya benar-benar menghargainya.

Juga saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada teman-teman di Syria yang mengadakan ‘surprise party’ di dalam Jamuan Kesyukuran Bro Firdaus di rumahnya. Ketegangan dan tekanan saya untuk menghadapi muzakarah keesokan harinya sedikit terubat dengan jasa kalian. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih.

3.
Saya ingin mengucapkan tahniah dan takziah kepada barisan pimpinan PPMS sesi 09/10 yang telah dipilih dalam AGM baru-baru ini. Barisan Kepimpinan PPMS 09/10 yang diketuai oleh tuan sifu, Ustaz Nasruddin Noori, semestinya adalah barisan kepimpinan yang terbaik. Kalian adalah pilihan Allah yang terbaik untuk memegang amanah ini.

Saya ingin mengulas berkenaan AGM PPMS ini di dalam blog ini, tetapi mungkin dalam sehari dua lagi akibat saya masih ada satu muzakarah yang perlu saya hadapi esok iaitu bagi madah Nahu sebelum bermulanya cuti Eid Adha.

4.
Saya juga ingin mengucapkan salam tahniah dan takziah buat barisan kepimpanan PERKEMAT DQ yang baru bagi sesi 09/10 di atas pemilihan kalian di dalam PRK baru-baru ini. Moga-moga amanah yang dikendong akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Saya pasti akan merindui setiap detik dan setiap saat ketika bersama kalian di sana dahulu.

Apapun, salam juang buat kalian !!

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

November 13, 2009

Khadam Di Saat Yang Terakhir - Siri 2

Baru sahaja selesai imtihan bagi madah Tazkiyah dan Balaghah untuk 2 hari ini sebelum imtihan ini akan bersambung pada minggu hadapan. Saya kira baik juga kalau saya gunakan sedikit masa yang ada ini untuk menyambung artikel sebelum ini yang tidak berkesudahan. Bukan sahaja tidak berkesudahan, malahan tidak sempat untuk masuk ke dalam tajuk pun lagi akibat dari celoteh saya yang terlalu panjang.

Sebenarnya apa yang ingin saya khabarkan dalam tajuk yang saya bawakan ini ialah berkenaan dengan penyesalan dan kerugian yang saya rasakan pada masa ini. Ini semua adalah kerana mentor dan murabbi saya, Ustaz Wan Nor yang akan pulang ke tanah air tidak lama lagi.

Terlalu banyak manfaat yang masih belum sempat saya kutip daripada Ustaz walaupun kami sebenarnya hidup berjiran dan hampir setiap hari ustaz akan duduk bersama-sama kami.

Bila diungkap kembali daunan kenangan ketika bersama-sama dengan ustaz, saya rasakan terlalu banyak perkara yang telah mendatangkan manfaat untuk membina diri saya sehingga ke hari ini.

Bersama dengan Ustaz Wan lah, saya mula mengenali setiap susuk tubuh ulama’ di Syam ini khususnya dan dunia ini amnya. Bukan sekadar itu, saya juga mengenali cerita-cerita disebalik keizzahan yang ada pada mereka.

Saya telah dikhabarkan perihal sejarah dan detik-detik hitam yang pernah mencemari keizzahan dunia ulama’ di Syam dan dunia. Konspirasi beberapa pakatan ulama’ dan kerajaan untuk menjatuhkan Rabithah Ulama’ Syam yang pada ketika itu diketuai oleh Sheikh Hassan Habannakah.

Ustaz Wan juga membawa saya mengenali karya-karya mereka yang sehingga kini menjadi tatapan dan rujukan dunia. Keikhlasan dalam penghasilan karya mereka menyebabkan karya-karya mereka tidak mati ditelan zaman sehingga ke hari ini.

Saya turut di bawa untuk mengenali kitab-kitab utama yang penting dalam setiap kemahiran dan bidang serta kitab-kitab yang seharusnya saya miliki. Dari judul kitab sehinggalah kepada pentahqiq-pentahqiq yang ahsan dalam jurus tahqiq dan ta’liknya.

Saya di ajar bagaimana untuk bermuamalat dengan orang arab di sekeliling. Walaupun muamalat kita kadang-kadang dengan cara yang kasar, saya melihat Ustaz Wan pasti akan mengakhirkannya dengan senyuman dan kasih sayang.

Lagi seronok apabila ustaz menarik kami untuk tinggal bersamanya berdekatan dengan Jamik Manjak di jazmatiyeh. Satu kawasan yang paling strategik untuk mengikuti kelas pengajian umum di jamik-jamik seluruh Dimasyq, di samping mengambil keberkatan dari madrasah ( Jamik Manjak ) yang telah melahirkan ulama' kontemporari masa kini termasuk Sheikh Dr Said Ramadhan Al-Bouty, Sheikh Dr Mustafa Dib Al-Bugha, Syeikh Qurayyim, Dr Wahbah Zuhaili dan ramai lagi ulama' yang melata di Syam ini hasil didikan Sheikh Hassan Habannakah di sana.

Lebih dari itu, ustaz juga akan menjadi tempat untuk saya berkongsi rasa dan sumber mencari kekuatan serta semangat dikala kelemahan datang menjengah dalam diri. Berbeza sebenarnya apabila kita memperoleh nasihat dan taujihat dari orang yang benar-benar berpengalaman. Oleh sebab itu, banyak lontaran dari ustaz yang berjaya membuka paradigma jiwa saya untuk saya meneruskan survival keilmuan di sini.

Saya kira terlalu banyak sebenarnya untuk saya coretkan satu persatu perkara-perkara yang telah banyak banyak mendidik dan mengajar saya. Mudah untuk saya katakan bahawa Ustaz Wan telah mengajar diri saya bagaimana untuk hidup berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri di dalam alam yang penuh dengan cabaran ini.

Namun, segalanya tampak makin berakhir. Masa yang tinggal untuk saya bersama dengan Ustaz Wan berbaki tidak lebih dari 2 minggu sahaja lagi.

Saya masih ingat kata-kata saya kepada ustaz dalam 2 minggu yang lepas, “Ustaz kalau nak pegi mana-mana ajak ana sekali ya, terutama kalau ustaz nak pergi Halbuni,”

Semenjak dari itu, dalam seminggu, hampir tiga atau empat kali saya akan ke Halbuni (Markaz Penjualan Kitab) bersama-sama ustaz. Matlamat saya, selain dari dapat memberikan khidmat terakhir kepada ustaz, saya juga dapat berada bersama ustaz lebih lama disamping ingin mencari dan memperoleh thaqafah am, pengalaman dan skill yang kadang-kadang kita hanya akan perolehinya secara tidak formal.

Saya juga rasa bertuah apabila di bawa ustaz untuk ke kelas pengajian khususinya bersama Syeikh Abu Anas yang merupakan murid kanan kepada sheikh besar di Syam, Sheikh As’ad. Saya dapat melihat sendiri gaya pengajian dan adab berguru yang dipamerkan oleh ustaz bersama para masyaikh.

Yang pastinya, saya akan pergi ke mana sahaja bersama ustaz walaupun ke pasar untuk menukar duit kerana saya tahu itu adalah jalan yang saya akan memperoleh manfaat dari ustaz.

Saya masih berharap waktu dan peluang yang ditawarkan masih banyak walaupun saya hanya sempat menjadi khadam hanya di saat yang terakhir ini.

Mudah-mudahan, masa-masa yang terakhir ini akan menjadi kenangan yang abadi dan terindah dalam saya menyemai pengalaman dan keilmuan ketika berada di Bumi Syam ini.

Terima kasih di atas segala ilmu dan tunjuk ajar yang telah ustaz dberikan. Mohon maaf di atas setiap kesilapan dan kesalahan sepanjang bergelar murid dan adik. Moga Allah sentiasa akan memberkati kehidupan ustaz dan keluarga mudah-mudahan. Barakallahu fiikum.

“..Doakan ana berjaya seperti ustaz..”

Al-Faqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

p/s : Saya ingin berkongsi gambar-gambar kenangan bersama Ustaz Wan Nor di dalam blog ini, namun seperti biasa, kerenah internet di sini tidak mengizinkan untuk saya sertakan gambar-gambar tersebut. Mungkin saya akan kongsikan di dalam Flickr saya nanti.

November 10, 2009

Khadam Di Saat Yang Terakhir...

Sememangnya sudah terlalu lama saya tidak mengemaskini blog ini. Pengajian yang bermula sejurus tamat aidilfitri yang lalu memberi satu kejutan baru dalam jadual aktiviti kehidupan saya. Pengajian saya di tahun 3 Ta’hili Abu Nour melibatkan pengajian 19 madah dalam ruang masa 26 jam seminggu benar-benar menarik sebahagian besar masa saya sekarang untuk bergelumang dengan dunia baru ini.

Mana tidaknya, kefahaman yang sukar di dalam beberapa madah yang dipelajari memaksa saya untuk memberikan tumpuan tambahan kepada madah tersebut baik dengan cara bersifu khususi mahupun melalui pembacaan tambahan. Sepastinya, saya sudah lama tidak dapat berkongsi pengalaman mahupun cerita-cerita menarik yang dapat dimanfaatkan bersama di dalam blog ini.

Teringat kisah saya bersama salah seorang sahabat baik saya Ust Redzwan yang sekarang bermusafir ilmu di Bumi Indonesia. Saya menceritakan bagaimana saya sebenar di sini agak kekurangan rakan dan teman untuk berkongsi kisah suka duka. Begitu juga untuk berkongsi idea dan pendapat. Saya juga menceritakan, seandainya saya jatuh ataupun tersungkur di sini, belum tentu saya cukup kuat untuk bangun kembali kerana ketiadaan teman-teman disisi untuk memangkin kembali semangat yang hilang.

Jawab Ustaz Redzwan mudah, “Siapa cakap tiada teman untuk berkongsi? Ramai yang menanti perkongsian nta dalam blog tu, kenapa tak update?,”

Walaupun jawapan itu hanyalah satu jawapan yang mudah atau dengan kata lain slumber, tapi saya cuba untuk mengambil apa yang positif darinya. Saya tidak rasakan ramai yang menjadi pembaca setia untuk blog ini, tapi sekurang-kurangnya blog ini boleh menjadi teman buat saya berkongsi. Ya, bagi saya mungkin. Walaupun tidaklah saya akan menceritakan perihal peribadi dan masalah saya di dalam ini dari A sampai Z yang menyebabkan orang naik muak dengan penulisan saya tanpa sebarang percambahan faedah dan isi serta perkembangan idea.

Agaknya saya ini suka memberi alasan kerana saya masih lagi ingin berkongsi tentang kehidupan saya di sini sejak kebelakangan ini. (Untuk orang yang nak baca sahaja)

Permasalahan yang berlaku melibatkan pengguna kad ATM BSN di sini apabila gagal untuk melakukan transaksi pengeluaran wang sedikit sebanyak juga memberi kesan dalam kehidupan saya. Orang lain yang masih lagi mempunyai baki simpanan wang di tangan ataupun di dalam akaun bank yang lain menjadi satu kelebihan bagi mereka buat masa ini.

Yang lagi menekankan, apabila kad ATM Maybank saya juga gagal berfungsi tidak sebagaimana orang lain. Tidak dapat tidak, sudah 2 minggu saya hidup dengan ihsan orang lain walaupun hanya untuk membayar tambang menaiki servis ke kuliah yang bernilai 10 lira setiap hari.

Dalam keadaan yang sebegini, saya rasa tidak patut pula bagi saya mengorbankan duit kepada tuan cyber café untuk mengakses internet mahupun untuk melihat perkembangan isu semasa sedangkan tambang untuk ke kuliah pun tidak mencukupi.

Kebiasaannya, saya membaca blog sahabat-sahabat saya mahupun mana-mana blog yang menjadi tatapan setia saya hanya melalui Nokia N82 saya. Sepastinya saya rasakan, sayalah orang pertama yang akan membaca tulisan mereka setiap kali mereka mengemaskini blog kerana saya akan mendapat isyarat bahawa mereka sudah mengeluarkan post yang baru. Namun, di atas masalah ‘sekatan ekonomi’ yang berlaku ini menyebabkan hampir 2 minggu sudah saya tidak dapat mengikuti perkembangan sahabat-sahabat saya serta perkembangan isu-isu baru dan sensasi di Malaysia melalui blog-blog yang sentiasa menjadi tatapan di mana saya berada dengan Nokia N82. Semuanya gara-gara tiada lagi saki baki wang ditangan saya untuk menambah nilai dalam talian MTN saya.

Keadaan ini juga menyebabkan saya sudah lama tidak dapat online Yahoo Messanger. Saya mohon maaf kepada sahabat-sahabat di Syria yang tersangkut untuk menghubungi saya dan memaksa kalian untuk hanya menelefon ataupun menyampaikan pesan melalui orang lain sahaja.

Saya mengharapkan agar saya segera dapat mengatasi masalah ini supaya dapat meneruskan kehidupan saya seperti biasa dengan lebih tenang dan aman tanpa sebarang kebergantungan yang berlebihan kepada orang lain.

Dalam sudah lama saya tidak diizinkan untuk mengemaskini blog ini, sudah terlalu banyak coretan yang tertangguh yang mungkin saya akan kongsikan setiap kali bila tiba masa yang saya fikirkan sesuai.

Terasa iri hati pula kepada sahabat-sahabat saya di Jordan, Mesir dan Malaysia yang mempunyai akses internet yang mudah dan juga saya boleh katakan murah. Moga-moga saya sentiasa dapat mengikuti perkembangan mereka yang agak laju di sana.

Persoalannya, apa kena artikel ini dengan tajuk di atas?

Sebenarnya, sememangnya saya ingin menulis artikel ini berkenaan dengan Khadam Di Saat Yang Terakhir. Namun, akibat muqaddimah artikel ini sudah menjadi terlalu panjang, maka saya fikirkan tajuk ini akan saya ceritakan dalam post yang akan datang.

Saya harapkan post yang akan datang itu adalah dalam masa yang terdekat.

Mana tidaknya, kerana bermula esok pula, saya akan bermuzakarah (exam) bagi setiap madah dalam pengajian saya. 19 madah bermakna 19 hari pengajian akan saya tempuh untuk menghadapi peperiksaan awal tersebut. Nampak gaya, Ta’hili ini memang membawa saya masuk bergelumang di dalam dunianya. Namun saya bersyukur kerana dunia ini adalah dunia yang penuh dengan keberkatan bagi saya.

Mudah-mudahan Allah melemparkan kekuatan kepada diri ini untuk meneruskan perjuangan yang tidak berkesudahan ini.

Buat sahabat-sahabat, doakan buat saya agar terus istiqamah. Bukan hanya istiqamah untuk mengemaskini blog, tetapi istiqamah dalam perjuangan yang sedang saya berdiri di atasnya kini. Moga-moga Allah merahmati kalian.

Apapun, saya tetap menginsafi diri saya dengan satu kata-kata ;

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalil”

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

p/s : Ini kalau naqib saya di Malaysia terbaca, tentu mengeleng kepala sebab panjang dan banyak sangat alasan yang saya berikan. Apapun, mohon maaf ya Mr. President.

September 25, 2009

Kelas Intensif Untuk Saya..

Seusai selesai muqabalah Maahad Tahili beberapa hari sebelum Ramadhan berakhir, rasanya tidak sabar pula saya untuk menanti kelas yang akan dibuka tidak lama lagi. Maklumlah, telah lama berehat dari kelas rasmi sejak dari bermula Ramadhan yang lalu.

Selain dari pengajian rasmi di Abu Nour, saya juga mengikuti kelas khususi pengajian Bahasa Arab bersama 2 orang sifu bahasa saya, Ustaz Farid Faizul (Setiausaha Agung PPMS) dan Ustaz Nasruddin(Exco Dakwah dan Tarbiyah PPMS).

Bersama Abg Din, beliau akan membukakan kitab Durusun Nahwiyah kepada saya sebelum pada akhir sesi kelas, saya pula yang akan membaca kitab Muqaddimat Hadharahul Islam karangan Dr. Mustafa As-Sibai’ kepadanya untuk di semak bacaan saya.

Syawal Untuk Meraikan Kemenangan...

(Artikel ini ditulis bagi memenuhi kehendak WARKAH yang akan diterbitkan bagi Edisi Raya)

Setelah hampir sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, akhirnya Syawal menjelang tiba. Maka, seluruh umat Islam digalakkan bergembira untuk meraikannya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan takbir ketila tibanya Aidilfitri ini sebagai tanda kesyukuran kita yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta. Firman Allah di dalam Al-Quran;

"Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." - Surah Al Baqarah : 185

Banyak lagi perkara-perkara sunat yang telah dianjurkan oleh Nabi kita agar kita sama-sama meraikan Aidilfitri ini dengan penuh makna dan penuh rasa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Syawal Tanda Kemenangan

Hari Raya Aidilfitri ialah hari meraikan kemenangan dan kesyukuran kepada umat Islam sehingga 1 Syawal adalah hari yang tertegahnya kita berpuasa padanya. Setelah hampir sebulan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga, berterawih, bersedekah, dan pelbagai lagi amal kebajikan yang telah kita lakukan, mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran TAQWA yang telah ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada kita di bulan Ramadhan yang lalu.

Aidilfitri adalah hari perayaan dan dikatakan sebagai hari kemenangan buat umat Islam ialah sebagai tanda telah berjayanya kita menundukkan nafsu dan menewaskan sifat syaitan yang ada dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan.

Sebab itulah Hari Raya Aidilfitri ini disebut sebagai Eid Fitri. Ini adalah kerana Hari Raya Aidilfri yang disambut ini menunjukkan kembalinya manusia kepada fitrahnya setelah menjalani proses pembersihan selama sebulan di bulan Ramadhan.

Manusia menjadi kembali kepada bersih sebagaimana mula-mula dilahirkan setelah Madrasah Ramadhan telah mendidik jiwa dan nafsu mereka menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah.

Memaknai Syawal Dengan Taqwa

Firman Allah s.w.t ;

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” - Surah al-Baqarah : 183

Al-Quran menunjukkan bagaimana Ramadhan itu adalah proses yang sangat baik untuk mendapatkan TAQWA dalam diri manusia. Justeru, segala amalan dan ibadah kita di bulan Ramadhan sebenarnya adalah satu proses yang cantik dalam mendatangkan TAQWA dalam diri kita.

Sebagai hamba yang dijanjikan Taqwa di bulan Ramadhan, seharusnya kita juga adalah hamba yang benar-benar bertaqwa sejurus tamatnya Ramadhan. Taqwa tersebutlah yang akan menjadi benteng buat diri kita untuk menghadapi ujian nafsu dan syaitan di bulan-bulan yang lain.

Firman Allah di dalam Al-Quran;

Kitab (Al-Quran) itu tidak syak lagi menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. – Surah Al-Baqarah : 2

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Al-Quran adalah sebagai manual book dalam memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian kita khususnya buat orang-orang yang bertaqwa. Terlalu banyak pengajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Justeru, marilah kita sama-sama memaknai Syawal ini dengan sifat Taqwa yang diperolehi di bulan Ramadhan dengan mentaati segala perintah dan larangan Allah yang telah terkandung di dalam Al-Quran kerana ia menjadi satu simbol yang menunjukkan keberkesanan ibadah kita di bulan Ramadhan benar-benar menatijahkan Taqwa di dalam diri kita.

Namun seandainya perkara yang sebaliknya berlaku, percayalah sebenarnya kita adalah termasuk di kalangan orang yang rugi.

Hanya mereka yang menjadikan Ramadhan sebagai medan tarbiyah untuk meraih Taqwa sahaja yang akan menggamit kemenangan di Aidilfiri ini dengan penuh makna.

Jadi, kita pula bagaimana?

Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan mereka yang meraih Taqwa. Ameen

Al-Faqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

September 20, 2009

Salam Perantauan...





Selamat Hari Raya AidilFitri
Maaf Zahir Dan Batin
"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Min Salihil A'mal"
"..Kullu 'Am Wa Antum Bikhair.."

September 18, 2009

Berakhirnya Ihya' Ramadhan 1430H...

Seusai Majlis Khatam al-Quran & Majlis Penutup Program Ihya' Ramadhan 1430H di Pejabat Kedutaan Malaysia di Syria semalam, saya berasa lega.

Lega segala-galanya. Tetapi tidaklah bermaksud lega kerana tamatnya Ramadhan.

Teringat pesan Encik Fahmi, Ketua Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Syria dalam ucapan perasmiannya ;

"Saya menutup Program Ihya' Ramadhan ini, tidak bermakna kita menutup sudah segala usaha kita di dalam bulan Ramadhan ini, tetapi apa yang saya tutup ini ialah hanya sekadar formality program, tetapi usaha kita perlu diteruskan terutamanya dalam 10 malam terakhir Ramadhan ini,"

Kelegaan saya adalah kerana tamatnya taklifat saya di dalam program ini.

Bertindak sebagai Unit Penyelaras Program berseorangan di sebelah Syabab ketika mana hanya baru 4 bulan bertandang ke Bumi Syam ini benar-benar menguji kekuatan jiwa dan mental.

Maklumlah sebagai budak baru, sudah pasti situasi-situasi ini akan menyebabkan timbulnya rasa meluat atau tidak puas hati di kalangan pelajar-pelajar lama atau lebih senior di sini.

Mengurus Persepsi

Banyak langkah berjaga-jaga yang terpaksa saya ambil. Terutamanya urusan-urusan yang melibatkan perlunya untuk saya tampil ke hadapan.

Pernah saya mengadu kepada abang-abang bahawa saya agak kurang selesa dengan situasi sebegini menyebabkan saya agak pasif untuk membuat sebarang tindakan sebagai seorang programmer. Saya pernah berkata bahawa saya lebih rela untuk menjadi kuli sahaja untuk permulaan ini.

Namun saya tahu, itu bukan penyelesaiannya. Kekurangan ahli yang mampu untuk bekerja di dalam persatuan menyebabkan saya terpaksa juga mengambil bahagian untuk membantu.

Maka tidak dapat tidak, tindakan yang perlu saya ambil ialah mengurus persepsi ahli persatuan dan bukannya lari dari kerja persatuan.

Saya tidak pasti, apakah respon akhir dari seluruh ahli sejurus tamatnya Program Ihya’ Ramadhan 1430H ini, namun saya berharap semuanya baik-baik belaka.

Banyak kerja-kerja yang memerlukan penonjolan ke hadapan saya meminta bantuan dari sahabat-sahabat yang senior daripada saya untuk menguruskannya.

Tidak kurang juga arahan-arahan yang ingin dikeluarkan semuanya dengan uslub meminta pertolongan.

Sama juga untuk menguruskan urusan yang melibatkan pelajar-pelajar lama, maka kerendahan diri sangat-sangat diperlukan.

Semuanya adalah kerana adab kita. Dan yang lebih penting ialah bagaimana kita mengurus persepsi orang ramai terhadap kita.

Seorang pemimpin yang hebat ialah dia mampu untuk mengurus persepsi orang ramai.

Kadang-kadang tindakan yang terpaksa kita ambil mungkin akan menyentuh sensisitiviti mana-mana pihak, jadi bagaimana untuk kita mengurus hal tersebut agar ianya dilihat sebagai perkara yang neutral.

Kita merasa diri kita sudah cukup hebat apabila kita mampu bekerja dengan baik berserta mampu untuk membawa satu pembaharuan yang drastik.

Walhal, kesilapan kita adalah apabila kita menilai kehebatan kita dengan kaca mata kita, tetapi tidak pada orang ramai.

Kalaulah seorang tukang masak perlu mempunyai satu deria rasa yang cukup hebat untuk merasai kekurangan masakannya, begitulah juga seorang pemimpin yang perlu mempunyai deria rasa untuk mengurus persepsi orang lain terhadap dirinya.

Apapun tindakan yang dilakukan oleh pemimpin, seharusnya dilihat dari kaca mata orang ramai.

Persepsi dijaga bukan kerana untuk kepentingan diri, tetapi demi menjaga status pemimpin yang kita galas.

Mungkin tiba-tiba saya menulis catatan asas dan ringkas tentang persepsi ini setelah hampir sebulan otak saya sentiasa memikirkan cara untuk menguruskan persepsi ini.

Tidaklah semudah yang disangka. Kalau kita gagal mengurusnya, barangkali kita akan menjadi OVERaktif. Namun, andaikata tersilap mengurus, mungkin kita pula yang akan menjadi pasif.

Mudah-mudahan segala amal kerja saya sepanjang berlangsung di dalam Ihya’ Ramadhan ini diterima sebagai usaha kecil saya di sisi Allah.

Program telah selesai, sudah tiba pula masanya buat khususi diri.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

September 13, 2009

Catatan Pengembaraan Ke Bumi Mu'tah

Hampir satu minggu saya dalam kepeningan untuk memilih masa yang sesuai untuk merealisasikan pengembaraan ini akibat terikat dengan beberapa keadaan.

Sehinggalah akhirnya saya dan Arif meminta izin daripada Abg Pejai untuk bermusafir ke Jordan dan Abg Pejai benarkan.

Pada sebelah pagi keesokannya pula, saya meminta izin dari Pengarah Program Ihya' Ramadhan, Abg Zool Amali untuk mohon pengecualian dari gerak kerja untuk 3-4 hari. Juga dibenarkan. Hati mula berbunga.

Tetapi ia kembali kuncup diatas sebab-sebab tertentu.

Bermula Pengembaraan

Perjalanan pada 6 September 2009 bermula seawal jam 10 pagi di Sumeriyeh. Dengan menaiki teksi bersama 2 lagi orang Arab, kami menempuh perjalanan hampir 4 jam untuk tiba di Abdali,Amman.

Hampir 1 jam kami menghabiskan masa di Sempadan Syria-Jordan atas urusan imegresen dan sebagainya.

Bermula dengan urusan di Imegresen Syria di sempadan yang agak lebih bagus dari Imegresen Syria di Dimasyq memudahkan urusan kami.

Cuma ada satu perkara yang merimaskan kami.

Seusai urusan di Imegresen Syria, pemandu teksi kami menyeludup rokok-rokok untuk di bawa masuk ke Jordan. Yang pastinya beg saya menjadi salah satu mangsanya.

Puas kami bertekak. Kami hanya bimbang seandainya terjadi sesuatu kepada kami seandainya rokok yang diseludup ini dapat dikesan oleh Pegawai Kastam Jordan. Maka, setelah diberi jaminan kami akan selamat, dan dia akan menanggung segala risiko, maka kami pasrah.

Rokok bukan sahaja di simpan di dalam beg, tetapi di bawah pedal, di bawah kerusi, di dalam dashboard. Boleh saya kata, hampir segenap ruang di dalam kereta tersebut di gunakan.

Saya rasa semacam saya sudah tersalah pilih teksi.

Sebaik tiba di Balai Pemeriksaan Jordan, segala barang-barang yang dibawa di dalam kereta akan dikeluarkan. Itu prosedur biasa bagi sebuah kenderaan yang ingin melintasi sempadan negara yang lain.

Saya mula berdebar.

Bimbang juga kalau-kalau pegawai kastam dapat mengesan. Yang pertama, bimbangkan keselamatan kami sendiri. Yang keduanya ialah bimbang urusan akan menjadi panjang sedangkan saya perlu tiba di Queen ALIA Airport sebelum pukul 4 petang.

Setelah selesai semuanya, hati berasa lega. Serasa macam bersubahat pula. Namun jauh di sudut hati, saya berasa marah dengan tindakan pemandu tersebut.

Mencari Hala Sendiri

Sebaik sahaja kami turun di Abdali Amman, saya tidak terus menelefon Ket untuk mohon bantuan. Saya bimbang andaikata tindakan saya untuk ke Airport, tidak diperkenankannya. Maka kami mencari jalan sendiri untuk bergerak ke Airport.

Risiko yang paling besar ialah saya tidak punya kenderaan untuk pulang setelah tiba di Airport. Untuk menaiki teksi Airport sudah pasti ia berkali-kali ganda dari harga teksi biasa untuk pergi ke Airport. Saya kepeningan. Pasrah.

Dalam fikiran saya hanya satu waktu itu, perjalanan ke Queen ALIA Airport adalah semudah sebagaimana perjalanan ke Damascus Airport dari Baramkeh, Syria.

Namun sangkaan saya meleset. Saya perlu untuk menaiki teksi ke Mujamma' Syimal, dan menaiki bas dari sana. Dalam keadaan trafik yang sangat teruk, ditambah pula keadaan bas yang belum tentu ada di stesennya menyebabkan kami berfikir dua kali.

Akhirnya, datang seorang pakcik yang sudi untuk menghantar kami dengan bayaran 20 Dinar. Kami terkejut.

1 Dinar bersamaan RM 5. Seandainya 20 Dinar maka kami terpaksa membayar RM 100. Mahal.
Di Syria, untuk sampai ke Airport, duit yang diperlukan hanya 40 lira sahaja bersamaan dengan RM 3.

Setelah tawar menawar, akhirnya kami dapat bergerak ke Airport dengan nilai yang agak lebih kami boleh terima.

Kami tiba di Queen ALIA Airport tepat jam 3.30 petang. Semua yang berada di sekeliling kami hanya melihat kepada kami. Kami menggalas beg, kami juga membawa 2 plastik halawiyat yang besar, dalam masa yang sama saya membawa satu plastik almari zip yang dibungkus besar kiriman orang Syria. Mungkin mereka memandang kami agak pelik kerana dikala barang yang kami bawa banyak, tetapi kami tidak menuju ke arah Depatures Hall, tetapi ke arah Arrivals Hall!!.

Saya pun nak tergelak sebenarnya tetapi saya sudah tidak kisah lagi. Yang pasti saya lega saya telah tiba di Airport sebelum jam 4 petang.

Memaknai Sebuah Ukhwah

Sebaik penumpang pesawat Qatar mula beransur-ansur keluar. Saya mula mengintai kelibat insan yang dinanti.

Akhirnya, 2 beg diheret dikeluar dari balai ketibaan bersama insan yang dinanti.

Kami tersenyum.

Ustaz Ihsan juga tersenyum.

Kami berpelukan sesama sendiri. Hampir 4 bulan rindu hanya di curahkan melalui YM dan sms sahaja. Sehingga saya masih tidak dapat membayangkan detik pertemuan tersebut di Queen Alia Airport Jordan.

Semalam kami mengadu rindu,
semalam kami mencoret lagu,
semalam kami memasang harapan.

Alhamdulillah, akhirnya kita ketemu jua.

"..Moga ukhwah ini akan lestari selamanya..."

Perjalanan masih panjang di Bumi Syam Jordan ini.

Flight sahabat-sahabat DQ delay. Kami menghentikan kegilaan niat untuk menanti 12 jam di Airport. Kami terlebih dahulu pulang ke Mu'tah.

Yang pastinya, perjalanan selepas ini sudah tentu jauh lebih menarik. Kerana adanya dia di sisi. Menanti pula adik beradikku yang bakal kunjung tiba.

Dalam tidak kesabaran saya terus menanti hari yang bakal mendatang esok..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

P/s : Apakah wujud siri yang ke-2, saya pun tidak pasti.

August 31, 2009

Merdeka !!

Tahun ini pihak kedutaan mahupun pihak persatuan tidak membuat sebarang program bersempena Sambutan Kemerdekaan ke-52. Tetapi tidaklah melupakan saya bahawa hari ini adalah tarikh sambutan kemerdekaan ke-52 bagi tanah air tercinta.

Apa yang menarik adalah kemerdekaan pada tahun ini disambut di dalam bulan yang penuh berkat. Kalau keadaan di sini, mungkin suasana sambutan kemerdekaan tanah air telah ditenggelamkan oleh arus keberkatan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, sebenarnya ada terselit beberapa ibrah dan iktibar yang kita boleh kongsikan dalam menjadikan sambutan kemerdekaan kita adalah kemerdekaan yang hakiki yang berkebetulan dengan bulan Ramadhan ini.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa Ramadhan adalah bulan yang menatijahkan kemenangan kepada umat Islam. Terlalu banyak peristiwa lampau yang mencatatkan kemenangan Islam dalam nukilan sejarah.

Maka ada satu peristiwa besar yang turut berlaku dalam bulan Ramadhan yang saya kira kita boleh mengambil ibrah darinya dalam kita meraikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini dalam bulan Ramadhan.

'Kemerdekaan' Fathul Makkah

Fathul Makkah telah melihatkan bagaimana Rasulullah telah memberikan satu kemerdekaan yang hakiki kepada seluruh masyarakat di Mekah dan umat Islam secara khususnya.

Peritiwa yang bermula dari kebijaksanaan dan pragmatis Rasulullah di dalam perjanjian Hudaibiyah akhirnya mendatangkan peluang dan kemenangan yang sangat besar kepada Islam dan umat Islam.

Kemerdekaan hakiki yang sepatutnya kita mengambil ibrah dari peristiwa ini ialah bagaimana seusai Rasulullah berjaya masuk ke Mekah, Rasulullah telah menghancurkan 360 patung berhala yang menghiasi keliling Kaabah. Nabi juga memerintahkan agar dibuang berhala yang berupa gambar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail di dalam Kaabah.

Satu konsep kemerdekaan hakiki yang patut kita ambil ialah sebagaimana sabda Rasulullah ketika mana beliau sedang menghancurkan segala patung berhala tersebut.

Kata nabi ;

"Telah datang akan kebenaran dan telah terhapusnya kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu benar-benar terhapus,"

Itulah konsep kemerdekaan hakiki yang kita perlu raikan sebenarnya.

Penjajah Ghaib

Walaupun kita dikatakan telah bebas dan merdeka dari segala penjajah. Namun kita juga tahu bahawa kita sebenarnya masih belum benar-benar merdeka dan bebas dari penjajah ghaib. Itulah penjajahan pemikiran.

Pemikiran kita telah dijajah.

Walaupun penjajah telah meninggalkan tanah air kita secara zahirnya, namun mereka telah meninggalkan pemikiran mereka dan akhirnya segala tindakan kita adalah mengikut telunjuk tangan mereka.

Maka lahirlah segala jenis pemikiran barat yang disolek mengikut cara Islam.

Juga lahirnya golongan yang membedah Islam menggunakan pisau Barat.

Akhirnya, segala unsur inilah yang telah meracuni pemikiran umat Islam kini.

Konklusi

Maka, biarlah kita meraikan kemerdekaan pada kali ini dengan membebaskan diri kita kini dari segala penjajahan. Biarlah kita beroleh kemerdekaan yang hakiki dengan memurnikan dan membersihkan segala segala penjajahan Taghut di dalam diri dan istitiusi masyarakat kita.

Erti kemerdekaan sebenarnya adalah setelah kita mampu untuk mengatakan dan meluahkan ;

"Telah datang akan kebenaran dan terhapusnya segala kebatilan. Sesungguhnya kebatilan benar-benar telah terhapus"

Selagi kata-kata itu tidak terluah, kita akan perjuangkan kemerdekaan !!

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 29, 2009

Mencari-Cari jalan Yang Singkat Itu…

Seronok dapat berbual dengan Abg Pejai pada satu malam tersebut. Satu perbualan kosong yang lebih kepada perbualan ramah mesra akhirnya menghasilkan satu resolusi yang menarik di antara kami.

Sejurus itu, saya dan Abg Pejai kerap menghiasi status Yahoo Messager kami dengan resolusi yang terhasil pada malam tersebut.

Ramai juga yang memberi respon tentang status YM tersebut.

Ada yang tertanya-tanya, ada juga yang sebaliknya.

Pernah Abg Nasir yang juga Ahli Lembaga Penasihat PPMS memberi respon terhadap status tersebut. Beliau yang pada mulanya kurang bersetuju akhirnya bersetuju setelah saya menerangkan dengan jelas apa makna disebalik kata-kata tersebut.

Sebenarnya ia bukan hanya sekadar hiasan, tetapi sebagai inspirasi untuk dipraktikkan.

Maksud Di Sebalik Makna

Bila ditanya sahaja apakah yang dimaksudkan dengan jalan singkat yang dicari itu, maka saya hanya akan menjawab;

"Jalan yang singkat untuk menjadi orang yang hebat,"

Persoalannya ada ataupun tidak jalan yang singkat itu?

Maka ini hanyalah pandangan dangkal saya yang mengatakan bahawa sebenarnya memang ada jalan yang singkat untuk menjadi hebat. Malah, kita juga seharusnya untuk menemukan jalan yang singkat itu untuk membina kehebatan dalam diri kita.

Kenapa Begitu ?

Walaupun perbualan saya bersama Abg Pejai hanyalah sekadar perbualan kosong untuk beramah mesra namun ada juga isi dan manfaatnya.

Mungkin boleh kami katakan bagaimana dalam perbualan tersebut kami teruja dengan para ulama' yang pernah mencipta nama dalam sejarah Islam.

Bagaimana Imam Zahabi mampu untuk menghasilkan karya agung beliau Siyar 'Alam Al-Nubala' yang terlalu tebal sehingga berjilid-jilid serta karya-karya yang lain jika hendak dibaningkan dengan umurnya.

Bagaimana Imam Nawawi mampu untuk menghasilkan banyak karya agungnya dalam tempoh usianya yang agak singkat. Ini menunjukkan bahawa Imam Nawawi telah hebat sejak pada usia mudanya lagi. Begitu juga imam Syafie yang mampu untuk berfatwa pada usia seawal 15 tahun.

Lebih mengujakan kami ialah seorang ulama yang masih lagi berada di depan mata kami iaitu Dr Wahbah Al-Zuhaili yang mampu untuk mengarang Tafsir Munir, Mausu'ah Fiqh Islami dan Fiqh Islami Wa Adillatuh yang masing-masing berjilid-jilid panjangnya. Belum disebut tentang karya-karyanya yang lain.

Dan yang paling realiti bagaimana kami melihat kepada ketokohan yang dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang yang layak digelar sebagai ulama' di Malaysia. Bahkan, beliau juga salah seorang tokoh gerakan Islam yang sangat dihormati seluruh dunia. Bahkan, bagi saya beliaulah satu-satunya ulama' negarawan yang ada di negara kita.

Untuk menceritakan perihal Tuan Guru Haji Hadi, serasa saya mungkin sahabat-sahabat lebih makruf tentang kehebatan beliau. Bahkan, mungkin saya perlu untuk menyediakan satu post yang lain bagaimana Tuan Guru Haji Hadi bukan sahaja hebat di Malaysia tetapi juga menjadi ikon kepada ahli gerakan Islam di seluruh dunia.

Maka apa yang ingin diteliti, Tuan Guru hanyalah menjalani proses pendidikan Pengajian Islam secara formal sebagaimana kebanyakan orang pada hari ini. Setelah selesai pengajian ijazah di Universiti Islam Madinah selama 4 tahun, Tuan Guru menyambung pengajian master beliau dalam bidang Siyasah Syar'iyyah di Mesir selama 2 tahun.

Tetapi bagaimana Tuan Guru hari ini layak untuk disarungkan dengan panggilan Tuan Gurunya malah boleh saya katakan sebagai seorang tokoh gerakan Islam yang cukup hebat di mata dunia tanpa saya mengetepikan aspek pengajian unformal beliau bersama ayahnya Tuan Guru Hj Awang Muhamad.

Kenapa kadang-kadang mereka yang pulang dari pengajian Timur Tengah yang lebih bertahun lama-lamanya tidak dapat menandingi kehebatan yang ada pada seorang Tuan Guru ini.

Bagi saya, ulama'-ulama' hebat ini tidak akan mampu untuk mencipta nama pada hari ini melainkan beliau juga adalah orang yang sangat-sangat hebat pada usia mudanya.

Mereka tentu ada rahsia dan formula bagaimana mereka menjadi orang yang dipilih Allah untuk menjadi orang yang hebat seawal usia mereka malah menjadi lebih hebat pada peringkat yang seterusnya.

Walhal, kebanyakan orang mengikuti jalan pengajian yang sama dengan mereka, tetapi tidak semua yang mampu untuk hebat dalam tempoh tersebut. Mungkin boleh dikata tidak mampu untuk menjadi hebat seawal dan secepat mereka.

Mereka tentu ada jalan yang singkat.

Formula Jalan Yang Singkat Itu

Maka saya merasakan ada satu formula luar biasa yang mereka praktikkan untuk menjadikan mereka golongan yang terpilih walaupun melalui jalan yang kebiasaan.

Satu firman Allah di dalam Al-Quran ;

"…Dan bertaqwalah kepada Allah, dan Allah akan memberi pengajaran kepada kamu…" - Al-Baqarah :262

Soalnya, bagaimana pula dengan taqwa kita? Adakah kita layak untuk menerima jalan yang singkat itu ?

Mungkin boleh diteliti dan dihayati ayat ini.

Saya rasa formula ini akan saya panjangkan dalam post yang lain kerana mata saya sudah tidak larat untuk menaip. Keletihan mendaki bukit serta memanjat 540 anak tangga untuk sampai ke puncak Makam Arbain tadi cukup meletihkan. Tidak pernah terbayang untuk mendakinya di bulan puasa.

Akhirnya..

"…Moga akan kita temu jalan yang singkat itu…"

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 26, 2009

Akhlak Sang Penulis Maya..

Maka tiba-tiba saya terfikir. Mungkin juga bermuhasabah diri.

Semakin hari semakin banyak apa yang tercoret dalam blog yang tidak seberapa ini. Sejak 2007 saya menulis walaupun tidaklah ter‘update’ selalu.

Banyak juga yang saya coretkan. Entah pelbagai jenis tulisan yang telah saya coretkan.

Pengalaman.

Pengajaran.

Peristiwa.

Pengisian.

Cuma kalau saya nak kata ia bermanfaat, maka bimbang kalau-kalau saya sahaja yang terasa sebegitu. Walhal, di kalangan orang yang membaca, tidaklah seberapa pun. Mungkin sebenarnya bagi mereka, ini semua adalah omongan kosong belaka.

Mungkin sebagai tanda berjaga-jaga, saya telah maklumkan bahawa laman ini bukanlah satu laman ilmiah untuk dikongsi.

Bukan sebenarnya niat di hati untuk tidak berkongsi, sekiranya begitu, baik sahaja saya membuat blog yang saya seorang sahaja yang tahu alamatnya. Kemudian, hari-hari saya tulis apa yang saya suka, dan balik-balik saya sahajalah yang membaca blog saya seorang diri sehingga termuntah-muntah membaca tulisan sendiri.

Cuma makluman itu hanyalah tanda kebimbangan saya untuk menyampaikan sesuatu di dalam blog ini. Bimbang sekiranya ia sebenarnya langsung tidak mendatangkan manfaat buat orang lain.

Saya bukan ulama’ untuk membedah mana-mana kitab di dalam ini.

Saya bukan Profesor untuk membentangkan segala kajian saya di dalam ini.

Saya juga bukanlah ahli akademik yang mampu memberi analisis terhdap sesuatu isu.

Saya hanyalah insan kerdil yang masih merangkak-rangkak dalam mengenal sepak terajang dunia ini dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada. Dan ilmu ini jugalah yang saya harapkan ia membantu untuk membawa saya kepada keredhaan Allah kelak. Mudah-mudahan.

Apa yang lagi menarik, saya pun tidak tahu sebenarnya ada atau tidak pembaca di dalam blog ini. Cuma seandainya ada, moga mereka beroleh keberkatan dari Allah dan Allah ampunkan saya. Seandainya tiada, itu kehendak mereka. Mungkin tiada apa yang menarik ingin dilihatkan oleh mereka di sini. Moga saya juga terselamat dari dosa api neraka.

Akhlak Sang Penulis.

Apa yang saya bimbangkan juga, adalah dalam keralitan saya menulis dan menulis, apakah sebenarnya pembaca dapat mengetahui bagaimanakah sifat saya yang sebenar.

Adakah saya ini seorang yang beramal dengan apa yang saya tulis?

Semakin banyak saya menulis, semakin berat tanggungan saya terhadap apa yang saya tuliskan.

Sedap sahaja saya menulis. Memberi komen di situ, memberi cadangan di sini, mengkritik sesuatu isu, memuji pula
dalam keadaan yang tertentu.

Dan saya sebenarnya bagaimana? Adakah sudah cukup bagus sebenarnya?

Ya Allah, moga engkau ampunkan aku.

Kebimbangan saya bertambah apabila orang membaca blog saya tanpa mengenal siapa diri saya yang sebenarnya.

Bimbang dosa besar yang akan terpalit pada diri saya disebabkan orang yang membaca tidak dapat menegur diri saya kerana mereka tidak mengetahui adakah saya beramal dengan apa yang saya tuliskan.

Ya Allah, ampunkanlah hambaMu yang hina ini.

Hinanya aku seandainya setiap penulis di alam maya yang wujud kini adalah meraka yang beramal dengan apa yang mereka sampaikan dan jauh keimanannya kepadaMu, sedangkan aku sahaja yang menulis dan tidaklah pula dapat beramal secara keseluruhannya tentang apa yang aku sampaikan.

Kalaulah setiap orang yang membaca adalah orang yang mengenali diri aku yang sebenarnya, aku lebih bersyukur kepadaMu Ya Allah, kerana sudah pasti akan ada orang yang menegur di kala aku menyalahi dengan apa yang aku sampaikan.

Ya Allah, engkau jadikanlah aku dikalangan orang yang dapat beramal dengan apa yang aku sampaikan, mudah-mudahan
aku terselamat dari kepanasan api nerakaMu.

Ampunkan aku Ya Allah, ampunkan aku.

Moga ini adalah muhasabah yang baik untuk diriku.

Cukuplah untuk saya katakan bahawa apa yang saya coretkan selama ini hanyalah pandangan yang ada di sisi saya semata-mata. Moga Allah memberkatinya.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 23, 2009

Perancangan Kami...

Salam Badar, Salam Perjuangan..

Ini kali Pertama saya menyambut Ramadhan di luar negara. Suasananya cukup berbeza. Ditambah pula Ramadhan kali ini adalah di tanah berkat Dataran Syam. Moga keberkatannya memberi tempias dalam saya menagih keredhaan Tuhan di bulan yang mulia ini.

Sebenarnya, rasa teringin juga nak bercakap tentang Ramadhan. Tapi melihatkan list updated blog di tepi blog saya, begitu ramai sahabat saya yang sudah berbicara tentang Ramadhan Al-Mubarak ini.

Ada dalam bentuk bercerita, ada pula yang berbentuk puisi syair, ada juga yang bersyarah tentang Ramadhan dan ada yang memberi motivasi serta tidak tinggal juga yang mengajak untuk bermuhasabah. Tidak ketinggalan kartun juga ada.

Terasa kerdil pula rasanya saya untuk bercakap berkenaan Ramadhan melihat sahabat-sahabat saya yang suadah banyak memberi pengisian Ramadhan meraka dalam blog masing-masing.

Jadi, cukuplah saya menaqalkan beberapa kata-kata berkenaan Ramadhan ini. Moga-moga ada manfaatnya.

Imam Ghazali berpesan dalam karya agungnya Ihya' Ulumuddin. Ada 3 peringkat puasa yang dilalui oleh umat Islam.

Pertamanya ialah puasa umum, iaitu puasa yang berusaha menahan diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Keduanya pula ialah puasa khusus. Iaitu puasa yang bukan sahaja berlindung dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa malah turut berpuasa penglihatan, pendengaran dan anggota badan dari melakukan maksiat.

Ketiganya pula ialah puasa golongan khusus bagi yang khusus. Iaitu mereka bukan sahaja berpuasa dari melakukan maksiat, malah menghabiskan masanya dengan sentiasa berzikir kepada Allah.

Kata Nabi :

“Telah datang pada kalian Ramadhan bulan yang diberkati. Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan atas kalian untuk puasa di bulan ini. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan yang sangat jahat. Pada bulan ini Allah memiliki satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang terlepas untuk mendapatkan kebaikan malam itu maka sungguh ia telah terlepas.”

Saya menaqalkan analogi Abg Pejai (Presiden PPMS) dalam ucapan aluannya yang mengujakan ketika Majlis Perasmian Ihya' Ramadhan 1430H semalam :

"Tiba-tiba ada satu kedai di hujung Suuq Hamidi yang berhampiran dengan Pintu Jami' Umawi itu membuat promosi tergempar khusus untuk antum dengan membeli satu barangannya akan dapat 10 benda-benda beharga, bukan sekadar itu, Suuq Hamidi yang sesak dengan manusia sepanjang jalan itu tiba-tiba lengang memberi ruang kat antum, tambahan Dato' Duta pula memberi pinjam kereta untuk memudahkan lagi urusan antum, maka pada ketika itu saya tak dapat fikir orang yang tidak dapat menilai tawaran tersebut"

Natijah Kemenangan

Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Ramadhan menjadi motivasi dan inspirasi kepada umat terdahulu untuk beroleh kemenangan.

Perang Badar Kubra

Perang Ain Jalut

Perang Hittin

Pembukaan Kota Mekah

Pembukaan Andalusia

Soalnya, apakah kemenangan yang ingin dinatijahkan oleh diri kita pada Ramadhan kali ini.

Ramadhan tetap sama, tapi natijahnya selama-lamanya berbeza.

Perancangan Bait Khulafa'

Seronok kami berbincang sesama kami apa yang ahli bait boleh lakukan sepanjang Ramadhan.
Maka banyak perancangan yang didrafkan.

Tabarruk kepada jiran 3 hari sekali.

30 malam terawih, 30 Jamik berbeza.

Rakaman sepanjang Ramadhan.

Menyertai pertandingan Ihya' Ramadhan

Wajib khatam al-Quran.

Sebenarnya, perancangan ini bukanlah perancangan suka-suka, tetapi perancangan untuk membina kekuatan. Mengharap diri sendiri, bimbang kadang-kadang terlalai, maka ahli bait menjadi sandaran.

Nak buat amal, tidak perlu bersendiri. Selagi boleh menambahkan pahala dan amalan, apa salahnya kita usahakan beramai-ramai.

Moga natijahnya adalah kebaikan untuk semua amen.

Akhirnya

Jadikan Ramadhan sebagai tempat pembina dan pembongkar potensi diri sebagaimana pernah saya sebutkan dalam artikel Kuasa Fastabiqul Khairat.

Moga akhirnya Ramadhan kali ini menatijahkan kemenangan pada kita semua. Mudah-mudahan.

"Ya Allah, Berkatilah aku di dalam Bulan Ramadhan ini"

Salam Ramadhan, Salam Kemenangan

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 21, 2009

Catatan Di Pembaringan..

Hampir 3 hari saya hanya terkurung di dalam rumah. Semuanya gara-gara sakit kepala yang menyerang.

Tiba-tiba saya menjadi alah kepada kepanasan. Hanya melihat terik matahari sudah memedihkan. Tidak pernah serasanya mengalami sakit kepala sebegini.

Sakit kepala yang mencucuk.

Tidak dapat tidur malam.

Kekerapan hidung berdarah.

Batuk yang berpanjangan.

Badan yang panas sejuk.

Sudah lama rasanya saya tidak diuji oleh tuhan dengan keperitan demam.

Seingat saya, sekolah rendah adalah kali terakhir saya demam. Di sekolah menengah pula, hanya demam rindu berada di asrama, apabila pulang ke rumah semuanya baik sahaja. Di Darul Quran, serasanya tidak pernah demam melainkan keletihan-keletihan biasa.

Kata sahabat saya, orang yang berdarah 'O' memang payah untuk dapat penyakit.

Kata Ustaz Wan Nor pula, orang yang jarang dapat sakit, dia kena banyakkan bertaubat.

Aduh.

Biarlah kesakitan yang dihadapi kini adalah kaffarah bagi dosa-dosa saya yang lalu mudah-mudahan. Bukan juga bala dan malapetaka yang menimpa diri seiring virus yang menular kini.

Saya terpaksa mengabaikan tugas saya seketika sebagai programmer Ihya’ Ramadhan dan Team MySy. Mudah-mudahan saya diberi kekuatan untuk kembali bersama mereka.

Isyfini Ya Rabb..

Saya langkahkan juga kaki ini ke Internet Café terdekat kerana perlu membuat panggilan ke tanah air.

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 17, 2009

Mahasiswa Sebagai Pemuda : Teladan Buat Mahasiswa Luar Negara...

Hari ini terlalu banyak paparan yang menceritakan perihal kekuatan pemuda di dalam era kegemilangan Islam..

" Muhammad Al-Fatih membuka Kota Contatinople setelah 800 tahun dijanjikan Rasulullah S.A.W "

" Ashabul Kahfi yang lantang di hadapan pemerintah yang zalim dalam menegakkan kebenaran "

" Kisah Ghulam yang diceritakan oleh Rasulullah yang berani menentang raja yang zalim "

"Usamah Bin Zaid diarah Rasulullah memimpin pasukan tentera seawal umur 20 tahun "

Kita juga tahu bagaimana kuasa pemuda yang bergelar mahasiswa telah memimpin perubahan.

" Revolusi di Thailand pada 1930-an yang dipimpin mahasiswa untuk mengubah sistem pentadbiran Negara "

" Revolusi Iran 1979 telah didokongi oleh golongan mahasiswa "

" Kebangkitan mahasiswa di Algeria pada 1960-an "

" Kebangkitan di Afghanistan 1989 menonjolkan kekuatan mahasiswa "


Sejarah telah membuktikan kepada dunia bahawa mahasiswa yang melengkapi ciri-ciri pemuda yang berkualiti mampu untuk mencetuskan satu suasana dan fenomena baru dalam mecorak lanskap pemerintahan dan politik negara. Ini adalah kerana mahasiswa mempunyai daya intelektual dan kreativiti yang tinggi sekaligus menjadi aset yang terpenting bagi masyarakat dalam membantu poses perkembangan negara seiring dengan kemodenan peradaban kini.

Sejarah telah menukilkan begitu banyak kebangkitan anak-anak muda di nusantara ini untuk kita meneladaninya. Peristiwa Kebangkitan Nasional 1908, Sumpah Pemuda 1928, Proklamasi Kemerdekaan 1945, Aksi Order Baru 1966, sehinggalah ke Reformasi 1998, secara jelas telah menunjukkan anak-anak mudalah yang menjadi tulang belakang utama bagi setiap kebangkitan yang tercetus. Dengan jiwa yang idealis, nasionalis dan patriotik, golongan ini sangat tahu, hanya dengan berjuang bersama seluruh komponen agama dan bangsalah, maka akan terciptanya satu perubahan.

Mereka berjuang bukanlah kerana nama dan bukan juga dengan emosi dan semangat kosong semata-mata tetapi ianya adalah kerana sensitiviti keintelektualan dan idealisme yang ada pada mereka dalam mengubah unsur-unsur negatif yang muncul dalam peradaban kini bagi membawa satu gagasan baru yang lebih bersih dan berkualiti.


Ashabul Kahfi Sebagai Inspirasi Pemuda

Kita pernah menyaksikan suatu ketika dahulu apabila telah runtuhnya 3 tamadun serentak iaitu Hammurabi, Nebuchadezzar dan Namrud. Pada ketika itu jugalah timbulnya satu peristiwa yang besar yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran yang kita kenali sebagai peristiwa Ashabul Kahfi.

Runtuhnya 3 tamadun besar tersebut seiring dengan Allah telah 'mendiamkan' Ashabul Kahfi ini di dalam gua yang memakan masa secara khilafnya hampir 100 hingga 1000 tahun. Ini adalah gambaran yang diberikan, apabila 'diamnya' golongan pemuda maka kita dapat melihatkan kehancuran ketiga-tiga tamadun tersebut baik dari sudut sosial mahupun ekonomi serta rajanya yang zalim yang telah mengamalkan dasar-dasar yang menindas rakyat.

Allah telah memberi satu signal kepada kita bahawa pemudalah yang menjadi inspirasi perubah kepada sesuatu tamadun. Ini adalah kerana apabila Allah membangunkan Ashabul Kahfi ini, merekalah yang telah bangkit mengubah segala kerosakan dalam tamadun meraka sehingga akhirnya tamadun yang runtuh dahulu dapat dibangunkan kembali.

Satu perkara yang kita dapat simpulkan dari pengajaran di atas ialah apabila runtuhnya sesuatu tamadun adalah kerana telah 'diamnya' pemuda, tetapi sesuatu tamadun akan kembali membangun setelah bangkitnya pemuda.

Mahasiswa perlu peka

Walau bagaimanapun, Sejarah terdahulu bukanlah suatu perkara untuk kita bangga-banggakan. Cukuplah dengan kita mengambil intipati penting bagi setiap peristiwa-peristiwa hitam yang telah berlaku di sebalik tercetusnya kebangkitan perjuangan anak-anak muda di seluruh dunia.

" Bukanlah seorang pemuda andai hanya tahu untuk berbangga dan berkata inilah apa yang telah bapa dan saudara aku hasilkan, tetapi seorang pemuda ialah bagi mereka yang mampu untuk mengatakan bahawa inilah apa yang telah aku hasilkan "

Mahasiswa yang menjadi tunjang kepada pergerakan anak-anak muda perlulah sedar dan mempunyai satu sensitiviti yang cukup tinggi dalam meneliti dan membaca setiap keadaan yang berlaku di sekeliling kita. Penguasaan terhadap sesuatu isu cukup penting dalam memastikan setiap perkara yang berlaku adalah sesuai dengan peradaban masa kini.

Setiap mahasiswa mempunyai posisinya tersendiri. Itulah hebatnya gerakan anak muda. Mereka akan merancana segala tindakan berdasarkan kemahiran yang telah mereka miliki.

' Mengenal pasti potensi dan bertindak mengikut posisi bagi mencapai satu misi '

Mahasiswa dalam bidang ekonomi akan memainkan peranannya dalam meneliti segala isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi. Mereka akan memberi pendapat berdasarkan daya kemahiran yang tinggi dalam bidang yang mereka kuasai. Sama juga dengan mahasiswa-mahasiawa lain baik dari semua bidang samada undang-undang, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya.

Mahasiswa Islam secara khususnya hendaklah lantang dalam perkara-perkara yang melibatkan urusan agama ataupun sosial yang kita lihatkan bercanggah dengan norma-norma kehidupan masyarakat Islam. Tidak juga menjadi satu kesalahan bagi golongan ini untuk menampilkan pendapat-pendapat yang inteligen dan brilliant kepada mana-mana badan mahupun kerajaan dalam mamastikan kebangkitan semula ketamadunan Islam yang semakin pupus dari sehari ke sehari. Semuanya adalah kerana idealisme suci dan keintelektualan yang tinggi yang didokongi oleh golongan mahasiswa.

Mahasiswa tidak boleh bersifat dengan invidualistik yang tidak mengendahkan perkara yang berlaku di sekeliling kerana kita adalah aset terpenting bagi masyarakat. Maka, kepekaan terhadap sesuatu perkara di sekeliling kita khususnya isu-isu semasa adalah perkara yang amat penting untuk kita kuasai. Tidaklah kita menjadi golongan seperti 'katak di bawah tempurung' yang hanya menguasai ilmu tetapi tidak reti untuk membaca pergerakan dunia luar dan menterjemahkannya dengan ilmu yang dimiliki.

Soalnya, Dimanakah Kita?

Golongan mahasiswa luar negara khususnya di Timur Tengah kini dilihat sebagai mandom ataupun senyap dan diam seribu bahasa dalam mendepani isu-isu semasa berbeza dengan mahasiswa-mahasiswa di dalam negara. Secara jelasnya, kebanyakan mahasiswa luar gagal untuk menggerakkan posisinya dengan sebaiknya menjadikan pergerakan anak-anak muda sedikit kurang kesempurnaanya.

Biarlah mahasiswa-mahasiswa di dalam negara mendepani isu-isu terkini di negara kita dengan idealisme perjuangan mereka kerana mereka berhadapan dengan pentas realiti. Tetapi itu tidak bermakna untuk kita terus mendiamkan diri seribu bahasa tanpa sebarang tindakan. Berjuanglah kita dengan waqi' kita yang tersendiri kerana sahabat-sahabat kita di dalam negara sangat-sangat mengharapkan idea-idea lantang mahasiswa luar negara khususnya Timur Tengah dalam membantu mereka mendepani isu-isu agama dan sosial yang makin menggila di negara kita,

Bersedialah dengan sepenuhnya untuk kita menjadi mahasiswa yang sedar dan peka bagi mengulangi kembali kegemilangan sejarah anak muda sebagaimana Sultan Muhammad Al-Fatih membuka Kota Kontatinople setelah dijanji 800 tahun oleh Rasulullah dengan janjinya akan dibuka Kota Kontantinople oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Dan itulah dia Sultan Muhammad Al-Fatih dan tenteranya.

Moga kita dapat mengambil ibrah darinya.

Al Faqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

August 13, 2009

Cadangan Buku..

Seronok saya dapat berpusing di dalam pesta buku di Syria kali ini. Baru saya dapat lihat suasana sebenar himpunan jutaan kitab-kitab arab yang dikarang oleh para ulama’.

Sebelum ini beberapa kali juga saya ke ‘markaz kitab’ di Halbuni. Saya kira itu sudah mengujakan apabila dapat melihat pelbagai maktabah yang terdapat di sana. Rupanya di Pesta Buku Syria ini, ia jauh lebih mengujakan.

Kalau sebelum ini apabila dibuka kitab-kitab arab di Malaysia, tidak pernah pun terfikir oleh saya untuk meneliti latar belakang kitab-kitab tersebut, tapi apabila berada di sini, ia menjadi satu kepentingan untuk mengetahui semuanya.

Kualiti Maktabah.

Kualiti Kitab.

Penulis Kitab.

Pentahqiq Kitab.

Semuanya adalah untuk memperoleh sumber ilmu yang sahih serta terbaik.

Penangan Pesta Buku

Berkali-kali juga saya ke Pesta Buku Syria sejak ia bermula beberapa hari yang lalu. Sememangnya pelajar Malaysia di Syria ini akan turun ke pesta buku ini berkali-kali. Itu gayanya. Mereka ada cara yang tersendiri kerana untuk membeli kitab-kitab arab benar-benar memerlukan penelitian.

Tambah-tambahan bagi saya yang baru di sini, sudah tentu saya perlu untuk bersama dengan mereka yang jauh berpengalaman agar dapat mengetahui tentang latar belakang sesuatu kitab serta maktabah yang menjadi pilihan. Ia bukan hanya sekadar cukup melihat kepada tajuk yang menarik. Kitab tersebut mungkin bagus tetapi mungkin bukan yang terbaik.

Apapun, terima kasih pada Ustaz Wan Nor yang sudi menemani sepanjang di pesta buku.

Beberapa Pilihan Saya

Ada beberapa kitab yang rela saya korbankan duit untuknya. Kebanyakan kitab yang menjadi pilihan saya pada pesta buku pada kali ini adalah kitab-kitab yang sukar untuk saya dapati di Syria. Mudah untuk saya katakan adalah kitab-kitab yang dharamkan di Syria.

Jangan dipertikai atau terkejut sekiranya kitab-kitab turas bukanlah pilihan saya buat ketika ini.

Berikut adalah beberapa penulis dan kitab yang menjadi pilihan saya pada kali ini.

Sheikh Abdul Fatah Abu Ghuddah Rahimahullah. (Ulama’ Ikhwan)

Qimatuz Zaman ’Indal Ulama’.
Kitab perihal kepentingan masa di sisi ulama’. Bagaimana mereka memanfaatkan masa-masa mereka dan beberapa contoh dan kisah yang boleh kita meneladaninya.

Safhaat Min Sabril Ulama’.
Kitab yang menceritakan perihal kesabaran ulama dalam menuntut ilmu dan menghadapi pelbagai cabaran sehingga mereka ini wajar dan patut untuk digelar sebagai Ulama’.

Ulama’ Al-uzzab
Kitab ini menceritakan tentang para ulama yang mengagungkan ilmu sehingga tidak sempat untuk berkahwin. Antaranya Imam Zamakhsyari, Said Annursi, Imam Tabari dan puluhan ulama’ lain termasuk seorang muslimat.

Arrasul Wal Muaalim.
Kitab yang menceritakan bagaimana adab-adab nabi ketika mengajar dan menyampaikan dakwahnya.

Sheikh Fathi Yakan Rahimahullah

Saya juga sempat membeli koleksi keseluruhan kitab-kitab yang dikarang oleh Sheikh Fathi Yakan memandangkan saya melihat terlalu kurang kitab-kitab karangan Sheikh Fathi Yakan di Malaysia. Walhal di sini, kitabnya terlalu banyak yang amat penting di jadikan panduan buat ahli-ahli gerakan Islam di seluruh dunia. Mudah-mudahan saya mampu untuk menterjemahkannya kelak untuk dimanfaatkan buat ahli-ahli gerakan Islam di Malaysia. Ameen.

Mungkin tidak perlu saya sebutkan nama kitabnya kerana terlalu banyak untuk disenaraikan.

Sheikh Solah Abdul Fatah AlKhalidiy

Khulafa’ Arrasyidin Bainal Istikhlah Wal Istisyhad
Sebuah kitab yang membicarakan tentang Khulafa’ Arrsayidin. Bagaimana bermula dari pelantikan mereka sebagai khilafah sehinggalah kesyahidannya. Ini menjadi kitab permulaan pembacaan saya sekarang.

Gambaran Tentang Perjalanan Perang Jihad Nabi (Saya terlupa Tajuk Arabnya)
Kitab yang menceritakan perihal gambaran bagaimana jihad peperangan Nabi suatu ketika dahulu. Uslub penceritaan adalah dalam bentuk dialog dan cerita.

Dr Majid ’Arsan Kailani

Hujum Islam Wal Muslimin
Buku ini pula adalah pendedahan kepada serangan-serangan Yahudi dan Barat terhadap Islam Dan Umat Islam secara khususnya. Ini adalah antara karya hebat Dr Majid ’Arsan Kailani.

Ini Inspirasi Saya

Moga-moga buku ini menjadi inspirasi kepada saya untuk terus membaca. Yang paling penting, buku-buku ini juga menjadi inspirasi kepada saya untuk menguasai Bahasa Arab dengan sebaiknya dalam masa yang singkat ini.

Saya tidak bermimpi untuk ingin menghabiskan semuanya dalam tempoh yang sekejap. Sekurang-kurangnya saya mampu untuk merujuk serta tidak susah untuk saya memiliki kitab-kitab tersebut di lain hari kerana ianya sukar untuk mendapatinya di sini.

Fokusnya ialah kelaziman saya dalam membaca kitab-kitab arab, selain dari mengambil ibrah dari kitab-kitab tersebut

Saya juga masih ada beberapa buku lagi yang perlu saya habiskan dalam masa-masa yang tertentu. 7 buah buku pilihan Abang Idris, Abang Ihsan dan Syaukani yang dikirim pada bulan lepas masih sedang dalam pembacaan saya. Yang pastinya buku pilihan mereka itu adalah yang terbaik. Terima kasih kerana masih sudi untuk untuk memilihkan buku dikala semuanya sibuk dengan kerja-kerja Islam di sana.

Semoga saya terus istiqamah dalam pembacaan dan pencarian ilmu. Ameen.

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.
Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah.
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Surah Al-’Alaq : 1-5)


AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

# Sekiranya ada sahabat-sahabat di Malaysia yang memerlukan kitab-kitab tersebut mungkin saya boleh membantu untuk mendapatkannya sekadar yang boleh. Moga buku-buku ini juga memberi manfaat buat kalian.

August 11, 2009

Pemergianmu Ditangisi Seluruh Bumi Syam.

Tanggal 7 Ogos 2009, umat Islam sekali lagi kehilangan tokohnya..


Beliau adalah Sheikh Qura’ dunia Islam.


Beliau juga di antara 7 Sheikh Qura’ agung Bumi Syam.


Perjuangannya di alam ini genap 100 tahun telah berakhir.


Beliau adalah Sheikh Mahyuddin Al-Kurdi Abi Hasan.


Al-Fatihah..



Saya sempat melihat lautan manusia yang mengiringi jenazahnya dari rumahnya sehingga ke Jami’ Umawi untuk di solatkan.


Saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama dengan lautan manusia lain di Jami’ Umawi untuk mendirikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir buat Sheikh Mahyuddin Al-Kurdi.


Sheikh Naim berkata dalam kelantangan pidatonya yang penuh semangat sejurus selepas solat jenazah sebagai penghormatan terakhir buat Syeikh Al-Kurdi;


Segala amalan sebaik-baik manusia (Khairukum) yang telah disabdakan nabi, itulah yang terdapat pada diri Sheikh Mahyuddin Al-Kurdi.


Nabi pernah bersabda :


’Sebaik-baik manusia adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya’


“Dan itulah Syeikh Mahyuddin Al-Kurdi Abi Hasan,”


Nabi juga pernah bersabda :


“Sebaik-baik manusia ialah yang menghabiskan umurnya dengan amalan-amalan yang baik”


“Dan itulah Syeikh Mahyuddin Al-Kurdi Abi Hasan,”


Nabi pernah bersabda lagi :


“Sebaik-baik dikalangan kamu ialah mereka yang paling baik dengan keluarganya”


“Dan Syeikh adalah sebaik-baik orang kepada anaknya,”


“Sebaik-baik guru kepada pelajarnya,”


“Sebaik-baik contoh kepada orang yang mencintainya,”


“Sebaik-baik pemberi nasihat kepada yang menginginkannya,”


“Dan sebaik-baik mursyid kepada orang yang berhajat kepadanya,”


Nabi bersabda lagi :


“Sebaik-baik dikalangan kamu orang Islam ialah yang paling baik akhlaknya”


“ Dan Syeikh Abi Hasan ialah orang yang penuh adabnya, penuh dengan ahklaknya yang mulia”


Itulah kehebatan dan kemuliaan Syeikh Mahyuddin Al-Kurdi.


Sheikh Qurayim yang juga salah seorang dari Syeikh Qura’ Syam ada berkata dalam pidatonya;


“Syeikh Mahyuddin adalah dikalangan orang tidak bercakap soal dunia. Apa yang ada padanya, itulah yang diterima olehnya,”


“Siapa yang ditunjukkan oleh Syeikh Abi Hasan bahawa dia ialah orang yang baik, maka benarlah bahawa dia adalah orang yang baik. Sekiranya sebaliknya apa yang dikatakan syeikh, maka benarlah kata-kata syeikh,”


Bumi Syam benar-benar menangisi pemergiannya.


Antara kata-kata Syeikh Mahyuddin Al-Kurdi yang paling masyhur dalam melihatkan keizzahannya;


Apabila ditanyakan kepada Syeikh, “Kenapakah engkau ingin masuk ke syurga? ”


Beliau hanya akan menjawab “Kerana aku ingin untuk membaca Al-Quran di dalamnya”


Moga Allah melimpahkan rahmatnya kepadanya dan moga beliau ditempatkan bersama dengan para Nabi dan Rasul di akhirat kelak. Ameen.


Mungkin sebagai renungan, satu sabda Nabi yang tidak asing lagi buat kita semua ;

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara langsung dari hati-hati setiap hamba, akan tetapi ilmu itu diangkat dengan meninggalnya para ulama hingga tidak tersisa seorang alim pun. Maka manusia menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin, apabila ditanya, mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan.”

Alfaqir Ila Allah

Muhamad Azan Safar

August 8, 2009

Bila Diri Disayangi...

Ada satu lagu berunsur ketuhanan nyanian Ukays yang sentiasa saya pusingkan sejak dua tiga hari ini.


Mungkin kerana rasa rindu yang teramat sangat pada sahabat-sahabat seperjuangan yang saya tidak dapat bersama mereka dalam konvokesyen esok.


Nampak gaya saya benar-benar tidak boleh menipu diri sendiri, kerana saya amat-amat rindukan mereka.


Lagu inilah yang sentiasa kami pasangkan di dalam bilik SMUTEM.


Lagu ini jugalah yang menjadi peneman kepada saya dan sahabat-sahabat ketika memandu ulang alik perjalanan Kelantan – Kuala Lumpur yang hampir tiga kali dalam tempoh sebulan.


Lagu inilah yang menjadi peneman kami kemana-mana kami pergi.


Kini, saya persembahkan lagu ini sekali lagi untuk kalian. Untuk dikenangi. Untuk dihayati.


Salam cinta, kasih, sayang dan rindu dari orang yang jauh di mata.


Bila Diri Disayangi


Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut namamu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan
Kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap namamu, terasa diriku
Kembali dipandu

Engkau pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang mu
Ku berserah diri


(Klik untuk dengar @ download lagu ini)


AlFaqir Ila Allah,

Muhamad Azan Safar


Semangat Berkonvo di Syam...

Nampak gaya suasana Pesta Konvokesyen Darul Quran pada tahun ini terasa kehangatannya sampai ke Dataran Syam. Saya sendiri sejak semalam yang lalu tidak mampu untuk membuka buku mahupun membuat apa sesuatu yang sempurna.


Panggilan daripada kawan-kawan yang kegembiraan menyambuat suasana konvo.


Mesej dari anak usrah yang ’kehilangan’ naqibnya dikala semua berkumpul.


Ditambah dengan pengaruh ’aqrabians’ yang ada di sini yang setiap hari bercakap tentang konvo.


Abang-abang di sini pula menyakat dengan mempamerkan gambar-gambar konvo mereka.


Ditambah pula dengan temu ramah dari pihak PERKEMAT menanyakan suasana tidak pulang berkonvo.


Semuanya mengugat perasaan.


Saya tidak pernah merasai suasana berkonvo jadi saya tidak tahu untuk menggambarkan bagaimana keadaan saya.


Yang saya tahu, ketika saya meraikan konvokesyen abang saya di UIAM, mereka semua bergembira. Juga sahabat-sahabat saya yang pernah berkonvo di Darul Quran setahun, 2 tahun dan 3 tahun yang lepas.


Saya tidak menyertai konvokesyen pertama saya pada tahun ini menyebabkan saya tidak dapat berkumpul bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Itu perkara yang paling menyedihkan bagi saya kerana saya pun tidak tahu samada masih ada peluang atau tidak untuk berkumpul bersama mereka pada masa akan datang.


Walaupun saya sedih tidak berkonvo, tentu sahabat seusrah saya di sini, Izat yang juga Presiden MPP KUIN lebih sedih kerana tidak pulang untuk konvokesyen Ijazahnya baru-baru ini.


Semuanya kerana untuk jihad ilmu dan target diri yang ingin dicapai.


Nasib Ust Wan Nor ada sempat memberi tasyji' kepada kami yang dilihat 'kegelisahan' tidak pulang ke konvo ini. Tasyji' itu pula diberikan melalui YM apabila saya 'bermesej rindu' dengan ustaz, walaupun rumah ustaz hanyalah tingkat atas rumah kami.


'Dunia je konvo tu zan, mimbar ilmu dan dakwah tu yang penting zan,'


Apapun, saya hanya mampu untuk merakamkan jutaan tahniah kepada para graduasi Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat 06/09 dan para graduasi Persijilan Tahfiz DQ-UIAM 08/09.


Moga sekalung diploma dan sijil yang diperolehi itu bakal menjadi inspirasi dalam meraih kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.


Walaupun kita tidak dapat berkumpul dalam konvokesyen pada kali ini, moga-moga kita akan bertemu lagi dalam konvokesyen yang lebih besar nanti dalam meraih ijazah cinta Allah di Syurga kelak. Ameen.


Dan mungkin sebagai akhirnya, pesanan buat sahabat-sahabat di tanah air, dalam kegembiraan dan keseronokan meraikan pesta konvokesyen di sana, jangan dilupakan kami yang ‘bersendirian’ di sini.


Salam Tahniah dan Salam Rindu dari Dataran Syam.


AlFaqir Ila Allah,

Muhamad Azan Safar