December 12, 2008

Harapan Baru...

Genap setahun pemerintahan kami, maka berakhirlah amanah kuasa yang diberikan kepada kami. Saat telah tiba untuk menyerahkan tugas ini kepada orang yang selayaknya. Sememangnya hati ini sentiasa tertunggu-tunggu saat yang dinantikan ini. Bukan kerana ingin lari dari tanggungjawab, tetapi cukuplah dengan amanah yang terlalu berat, andai lama pula diusung dan dipikul, kalau jatuh nanti lain hal pula jadinya.

Bagaimanapun, Alhamdulillah, tanggal 29 November 2008 Penyelaras Pemilihan Calon 08’ telah mengumumkan secara rasminya mereka yang bakal memimpin PERKEMAT DQ bagi menggantikan kami. Barisan muda dan kecil-kecil molek ini tampil denan penuh kekuatan dan keyakinan. Sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada kami bahawa mereka mampu untuk menjadi pemimpin yang jauh lebih hebat daripada kepimpinan kami.


Sahabat saya, Ahmad Qutaibah yang bertindak selaku Yang Dipertua PERKEMAT DQ 08/09 pasti sudah menyusun 1001 perancangan dan strategi dalam menangani isu kebajikan pelajar baik dari sudut rohani dan material. Sekadar bercerita, sewaktu kami sama-sama dalam kepimpinan PERKEMAT 07/08 dulu, kami selalu bertekak kerja siapa yang lebih bagus. Seorang ini ingin meng’HEWA’kan ladar, seorang lagi mahu meng’LADAR’kan hewa. Bermacam-macam isu yang diperdebatkan. Sehingga sudah naik YDP sekarang pun masih ingin mengaku bahawa hewa lebih kuat daripada ladar. Nampak gaya saya memang kena akur dengan kekuatannya. Mana tidaknya, dia sudah naik YDP, siapalah saya ini, sekadar ahli biasa yang mendapat gelaran ‘mantan’ (mundar-mandir tanpa jawatan). Tapi mungkin satu perkara saya kena ingatkan pada YDP baru ini, takut-takut terlepas pandang, kalau tidak terlepas pandang pun, sengaja buat tak pandang, tahun ini LADAR hantar 5 wakil dalam kepimpinan baru PERKEMAT 08/09, agak-agak HEWA berapa ye? Satu lagi, exco-exco dalam HEWA sekarang, semua pernah mendapat tarbiyah dalam LADAR, Harap-harap saudara YDP boleh terima kenyataan tu, LADAR sebenarnya yang akan meng’LADAR’kan HEWA sebenarnya. Satu perkara lagi, pesanan khas untuk YDP, jangan lupa untuk membawa misi baru, ‘meng’LADAR’kan kepimpinan PERKEMAT’, itupun hanya sekadar andaikata ingin melihat pentadbiran yang hebat dan berkesan. Tentu merah muka kalau YDP baca artikel ini. Maaflah, sekadar gurauan kosong. Itu semua adalah kenangan yang bermakna buat saya sendiri, moga-moga ia menjadi pencetus semangat kepada kita bersama. Kalau kita melihat dari satu sudut yang berbeza tentang gurauan saya tadi, sebenarnya YDP baru ini sarat dengan misi yang ingin dilaksanakan, pemikirannya jauh ke depan, motivasinya cukup tinggi, yang lebih hebat daya optimisnya tidak mampu untuk dikalahkan. Semoga Berjaya buat sahabatku.

Kita tinggalkan dulu cerita YDP ini, banyak pula yang diceritakan pasal YDP ini. Sewaktu Induksi Exco PERKEMAT 08/09, sekali lagi saya yakin bahawa kepimpinan yang baru ini adalah kepimpinan yang cukup kreatif. Sewaktu slot taaruf, pelbagai gaya dan trademark yang ditunjukkan. Sehinggakan ada yang lari berdiri di atas meja dan menjerit memperkenalkan diri, ada juga yang menggoncangkan meja dan pelbagai lagi. Slot public speaking pula hebat-hebat belaka, barangkali kami pun kalah nak dibandingkan dengan mereka. Ada yang gaya lagaknya seperti penceramah politik, motivator, kalau yang muslimat, seperti Us.Aiman Athirah Aljundi pun ada. Yang jauh lebih mengharukan kami, sewaktu tamat sahaja induksi, tiba-tiba ada pula wakil pihak peserta menyerahkan kek tanda penghargaan. Mereka beli ketika mana pun saya tidak tahu. Mereka memang hebat. Sewaktu kami induksi dahulu pun, tak terfikir di hati kami nak buat macam tu. Belum apa-apa lagi, dah idea-idea baru yang ditonjolkan, harapnya ia mampu diterjemahkan dalam kepimpinan yang sebenar. Belum lagi saya menceritakan kisah Setiausaha Agung yang prihatin. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung bersamanya, banyak idea-idea baru yang saya dengan daripadanya untuk kepimpinan PERKEMAT kali ini. Sekali lagi, mereka memang hebat.




Saya mendoakan agar kepimpinan yang baru ini dapat menjalankan amanah dengan sebaiknya. Buat yang terbaik, kerada anda semualah adalah generasi yang terbaik. Susun perancangan, bina kekuatan, tunjukkan kehebatan, bukan untuk riya’ tapi sebagai syiar bagi sahabat-sahabat yang lain yakin dengan kepimpinan kita. Pesanan buat exco-exco yang datang dari daerah Besut ni, Khairul Izuddin, Kailani, Syurahbil. Jangan malukan ‘company’. Buat kerja betul-betul dan kena ingat tugas dan kerja dakwah ini bukan hanya sekadar di DQ sahaja, malah di kampung halaman sendiri jangan ditinggalkan, banyak lagi misi yang kita ingin capai dalam kita nak melahirkan kader-kader yang hebat. Ana dan Abg Redzwan memerlukan tenaga dari antum semua. macamana la boleh ramai pula perwakilan dari Besut pada tahun ini, kebetulan pula, mengikut jejak abang-abang terdahulu barangkali.


Pesanan akhir kepada ‘adik-adik’ pimpinan yang baru, yang pertama, pelihara dan perkasakanlah biah solehah di bumi barakah ini, jangan biarkan ia terus dicemari dan terhakis. Itu adalah nikmat warisan kepada kita semua, jangan biarkan ia terlepas pergi. Itu adalah amanah kita semua. Yang kedua, variasikan agenda tarbiyah, agar Darul Quran terus subur dengan benih-benih tarbiyah yang akan membentuk nilai keperibadian kita semua.

Sebagai akhirnya, Salam kemaafan dipinta kepada seluruh pimpinan PERKEMAT 07/08 andaikata ada salah silap yang tidak disengajakan.Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama, sokongan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh sahabat-sahabat pimpinan, Itu semua menjadi bekalan semangat dan keazaman kepada saya sepanjang kepimpinan kita bersama. Anda semua adalah pimpinan yang cukup hebat. Walaupun sudah sampai masanya kita bersara wajib, jangan dilupankan kepada kepimpinan yang baru, mereka memerlukan sokongan daripada kita semua.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan di bumi barakah Darul Quran, berilah kerjasama dan sokongan yang terbaik kepada pimpinan PERKEMAT 08/09 dalam menjayakan segala agenda persatuan. Meraka adalah pimpinan kita semua.

Salam perjuangan,
Siiru ‘ala Barakatillah..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

AGM Yang Berbeza...

Seingat saya pernah hampir 11 bulan blog saya menyepi tanpa sebarang bicara. Hanya sekali sekala memberi respon di ruang chatbox dikala ada sahabat yang bertanya khabar. Untuk menambah post terbaru, jauh sekali. Kalau tak silap, post yang terakhir bertajuk Janji Kita..PERKEMAT 07/08. Artikel ini ditulis sehari selepas Annual General Meeting berlansung. Ramai yang mengadu bosan untuk membuka blog saya sebab tidak dikemaskinikan, asyik-asyik hanyalah artikel yang sama yang dapat dilihat, tetapi percayalah tiada apa yang saya boleh katakan melainkan saya betul-betul berada dalam kekakangan masa.

Cumanya, kalaulah boleh dibuka lembaran kenangan, saya masih ingat dalam AGM pada hari itu, saya bersama-sama 22 orang sahabat yang lain, telah mendapat satu taklifan yang cukup berat untuk dipikul. Kami telah diberi amanah untuk sama-sama memimpin dan menguruskan soal kebajikan pelajar secara keseluruhannya.

Bermula dari detik itu, saya bersama-sama sahabat-sahabat yang lain di bawah pimpinan Abg Ihsan bekerja keras dalam menyempurnakan amanah yang telah ditaklifkan ini. Kekangan masa, pengorbanan tenaga, cemuhan dari kawan-kawan, itu semua mula menjadi lumrah bagi kehidupan kami pada saat ini. Walau bagaimanapun, Bagi merealisasikan setiap perancangan yang telah dirangka, kami bergerak mengikut posisi-posisi yang telah ditetapkan agar proses perjalanan gerak kerja berjalan dengan lancar dan baik.

Bagi saya sendiri, amanah untuk menguruskan hal ehwal kebajikan dakwah dan tarbiyah di Darul Quran agar terus terpelihara bukanlah satu tugas yang ringan. Melewati keadaan sosial yang semakin membarah di luar, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada keharmonian biah solehah di Darul Quran. Bagaimana untuk menepis kepelbagaian anasir luar yang ingin masuk dalam masa yang sama bukan hanya sekadar ingin mengekalkan malah memperkasakan dan mempertingkatkan nilai dakwah dan tarbiyah agar ia terus subur di bumi barakah ini. Kalau ditanya adakah saya sudah menguruskan amanah ini dengan baik. Mungkin saya hanya boleh menjawab, saya sudah cuba buat yang terbaik, apapun penilaian sebenar hanyalah di sisi Allah.
Saban hari, Saban bulan, sehingga kini genap setahun kami menggalas amanah ini. AGM sudah sampai masanya. AGM pada kali ini masih AGM yang sama, Cuma bagi saya ia hadir dalam keadaan yang cukup berbeza. Kalaulah setahun yang lepas, di saat ini kami menerima tugasan amanah yang perlu dilangsaikan, tetapi di saat ini sekarang, adalah masa untuk kami berhadapan dengan rakyat bagi menjawab kepada setiap persoalan yang berkaitan dengan soal tanggung jawab yang diberikan kepada kami setahun yang lepas.

Sebelum bermula majlis AGM, saya menyendiri. Dalam keadaan perasaan yang bercampur baur, saya cuba meneliti setiap usul dan cadangan bagi kepimpinan kami pada kali ini serta membuat final check bagi laporan yang saya akan sampaikan selapas daripada ini. Sewaktu itu juga saya mencari dan mengumpul kekuatan.

Sewaktu itu saya berfikir, pada hari ini aku akan berdiri dihadapan ahli-ahli yang dipertanggung jawabkan ke atasku, untuk menjawab kepada setiap persoalan dan hak-hak mereka yang tidak tertunai, Walaupun mungkin amanah selama setahun ini kebanyakannya sudah terlaksana, tetapi hati ini tetap resah kerana kita bimbang andaikata usaha yang kita lakukan untuk menyempurnakan amanah ini bukanlah usaha yang terbaik dan masih ada cacat celanya. Persoalan yang lebih berat yang saya fikirkan, kalaulah begini keadaan untuk berhadapan dengan manusia, bagaimana aku untuk berhadapan denganMu kelak bagi menjawab amanah yang diberkan untuk digalas sepanjang hayat. Kerdilnya rasa diri ini.

Ya Allah, engkau ampunilah dosa-dosa hambaMu ini yang hatinya begitu kotor dengan maksiat kepadaMU, Engkau pimpinlah hati ini agar ia terus kekal dijalanMu, Ya Allah, engkau berikanlah kekuatan kepada insan yang hina dan daif ini untuk aku menyempurnakan amanah yang telah ditetapkan sejak aku dilahirkan dari perut ibuku.. Ya Allah, engkau tetapkanlah hati ini di atas jalan perjuanganMu.. Ameen..

Alhamdulillah, AGM sudah pun selesai dengan jayanya.. Diharapkan setiap ahli persatuan jelas dan berpuas hati terhadap penjelasan yang kami berikan.

Di kesempatan ini, saya memohon ribuan kemaafan kepada semua sahabat-sahabat andaikata saya tidak menjalan tugas dan amanah ini dengan baik serta ada hak-hak sahabat-sahabat yang tidak tertunai. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah memberi sokongan, cadangan, kritikan dalam memperkemaskan dan memperkukuhkan lagi agenda PERKEMAT DQ 07/08. Doakan agar amanah ini tidak menjadi asbab kepada gagalnya kami untuk melangkah ke syurgaNya, dan biarkanlah amanah inilah yang membantu kepada kejayaan kami untuk berhimpun di dalam syurgaNya kelak..

Salam kemaafan, salam muhibbah, salam perjuangan..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar