October 25, 2008

Masjid Kini Perlu Mesra Kanak-Kanak..

Barangkali saya terlupa untuk masukkan artikel terbaru mengenai Program Bakti Huffaz di Pulau Perhentian baru-baru ini. Mungkin dalam entri yang akan datang.

Cumanya sewaktu kami berada di Kg. Pulau Perhentian ini, suatu persekitaran yang luar biasa yang saya dapat lihat. Kampung ini cukup ramai dengan kanak-kanak. Terlalu ramai. Pergi ke mana-mana pun, kita akan dapat melihat kanak-kanak di mana sahaja. Apa-apa majlis ataupun aktiviti yang kami lakukan, selain dari orang kampung, pasti akan ada kanak-kanak yang turut serta.

Saya teringat ketika mana saya diminta untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di sana, antara perkara yang saya sebut kepada mereka sebelum mengakhiri sesi motivasi tersebut,

“ Abang nak tengok selepas ni, adik-adik semua pergi ke masjid untuk solat jemaah setiap lima kali waktu solat,’

Selepas daripada itu, mungkin juga di atas faktor ajakan abang dan kakak angkat masing-masing, satu suasana yang jarang saya dapat lihat ataupun barangkali tidak pernah, kanak-kanak cukup ramai memenuhi ruang masjid tersebut dan yang lebih menarik jumlah mereka lebih ramai daripada jumlah orang dewasa yang bersolat di masjid tersebut jauh berbeza sewaktu saya pergi ke masjid tersebut seminggu sebelum program bermula. Tidaklah seramai yang saya lihat sepanjang program ini. Kalau ada pun dalam 3 ataupun 4 orang kanak-kanak sahaja.


Apa yang saya ingat, sewaktu abang saya, Ustaz Ihsan Fadhli memberi kuliah maghrib di masjid, saya akan mengumpul semua kanak-kanak di belakang masjid untuk ‘membuat kuliah khas’ kepada mereka. Bukan niat di hati untuk menduakan majlis ataupun membuka stesen yang lain bagi mengganggu kuliah maghrib yang di sampaikan, tetapi kita perlu faham jiwa kanak-kanak. Satu persoalan yang dilontarkan, apabila kita berada di alam kanak-kanak, adakah kita bila berada bersama dengan kawan-kawan kita yang lain, akan duduk di dalam mana-mana kuliah ilmu di masjid dan kita juga akan memberi perhatian sepenuhnya terhadap kuliah yang disampaikan, walaupun kita sebenarnya tidak faham apa yang disampaikan sebenarnya kerana mungkin pengisian yang disampaikan adalah untuk peringkat dewasa. Jadi, tujuan saya mengumpulkan mereka adalah untuk memberi pengisian yang bersesuaian buat mereka.

Alhamdulillah, mereka semua memberi respon positif terhadap apa yang telah disampaikan. Saya menceritakan tentang ayat-ayat al-quran, hadis-hadis nabi, kisah nabi-nabi dan lain lain. Tidak kurang juga ramai yang bertanya, dan saya akan cuba menjawab dengan bahasa yang serendah mungkin bagi mengelakkan daripada mereka tidak faham apa yang saya ingin maksudkan.

Keesokan harinya, saya bersama dengan kanak-kanak ini semua membuat saf di belakang dan kami ramai-ramai mengikuti bacaan Yaasin pada ketika itu. Mudah untuk saya menjaga mereka apabila saya duduk bersama-sama dengan mereka. Ada yang sudah boleh baca dengan fasihya, ada yang masih kurang lancar, yang terangkak-rangkak, dan ada juga yang langsung tidak mengenal. Kadang-kadang timbul rasa sedih di hati. Sehingga saya masih ingat kata-kata dari seorang sahabat saya

‘ Ana rasa selepas habis diploma, ana terus nak datang sini balik, nak memberi pendidikan kepada adik-adik di sini, mereka semua aktif dan berpotensi, sayang kalau mereka tak dijaga sebaiknya’


Cuma, kadang-kadang saya terasa bimbang, apabila kami meninggalkan kampung ini nanti, adakah mereka akan terus untuk pergi ke masjid. Satu perkara yang perlu kita fikirkan, apabila kanak-kanak pergi ke masjid dan mereka merasakan bahawa tiada manfaat kepada dirinya lagi untuk mereka ke masjid maka mereka akan meninggalkan dunia masjid selama-lamanya.

Lebih membimbangkan saya ialah masjid yang tidak mesra kanak-kanak. Bukan maksud saya masjid itu tidak sesuai untuk kanak-kanak, tetapi golongan ahli masjid tersebut yang tidak mesra kanak-kanak. Mungkin tidak di Kg. Pulau Perhentian tetapi mungkin di merata-rata tempat di negara ini. Kanak-kanak akan dimarahi, dipukul apabila membuat bising di belakang. Kadang-kadang yang sudah sedikit besar dan baligh, mereka pun tidak dibenarkan untuk bersolat dalam satu saff bersama jemaah yang lain, yang lebih menyedihkan ahli masjid yang langsung tidak menghiraukan kanak-kanak yang hadir ke masjid itu. Akhirnya, akan terdetik dalam hati kanak-kanak ini,

“Rupanya kalau kanak-kanak datang masjid kena marah, masjid ini untuk orang-orang tua je kot,”

“ahh, aku datang masjid je kena marah, aku datang masjid je kena pukul, baik aku tak payah datang masjid macam ini,”

“aku datang masjid, takde apa-apa pun yang aku dapat, orang kampung pun tak kisah je, baik sembahyang kat rumah, sama je,”

Dan selepas daripada itu, kita akan melihat kanak-kanak tersebut tidak lagi akan ke masjid sehingga dewasa. Andai mereka diberi hidayah oleh Allah, mereka akan datang ke masjid apabila dewasa, tetapi kalau tidak, sampai ke mati pun belum tentu mereka akan ke masjid ataupun tidak.

Semuanya tertakluk ke atas ahli masjid. Jawatankuasa masjid lebih berperanan bagaimana untuk memberi pengisian kepada kanak-kanak yang datang ke masjid, bagaimana untuk membuat tarikan kepda kanak-kanak untuk terus ke masjid. Jikalau dari kecil lagi kita tidak mesrakan kanak-kanak dengan masjid, kita bimbang kita tidak akan melihat lagi muka mereka di masjid selepas daripada itu. Jangan sekali-kali memandang remeh tentang kehadiran kanak-kanak di masjid, Lihatlah mereka dari perspektif yang berbeza kerana mereka adalah pelapis kita, pelapis pada masa akan datang. Sudah tentu kita tidak mahu melihat masjid kita kosong dengan anak-anak muda, dan masjid hanya dipenuhi dengan golongan ‘kubur kata mari, dunia kata pergi’ atau istilah yang lebih lembut, golongan ‘vateren’. Akhirnya, kita yang bersungut bahawa kampung kita ini sudah tiada pelapis yang boleh diharap, tiada lagi anak-anak muda yang sanggup turun ke masjid. Jangan salahkan mereka andai kata masjid tidak mesra kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak perlu dibentuk bagi menjadi insan yang berguna. Bak kata pepatah ‘ Lenturlah buluh bermula dari rebungnya’. Satu muhasabah untuk kita bersama.

Apapun, Saya berharap adik-adik saya di Kg Pulau Perhentian sana, semoga mereka terus istiqamah untuk ke masjid bagi mencari redha Allah.

Betul ataupun tidak, bagi saya masjid kini perlu mesra kanak-kanak kerana mereka adalah pelapis pada masa akan datang..

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

October 23, 2008

Bahan Kajian Tesis..

Sebagai langkah awal untuk memulakan penulisan tesis saya, saya telah berada di UKM selama dua hari untuk memenuhi temujanji saya bersama seorang prof madya di sana. Saya berkenalan dengan Prof Madya ini ketika mana saya menjemput beliau untuk memberi ceramah ‘Palestin Terjajah’ sempena menyambut Hari Al-Quds di kampus saya hampir dua bulan lalu. Oleh kerana saya tahu bahawa beliau merupakan salah seorang pakar sejarah di Pusat Pengajian Sejarah UKM, maka saya mengambil peluang ini untuk meminta bantuan beliau dalam menyelesaikan tesis saya. Alhamdulillah, Prof Madya Dr Kamaruzzaman Bin Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Dr Kayu ini bersetuju untuk membantu saya dalam menyempurnakan tugasan tesis yang saya terima. Cumanya saya yang perlu untuk mencari masanya kerana beliau amat sibuk dengan tugasan-tugasan luar.

Apapun, keberadaan saya di UKM di sambut baik oleh beliau. Setiba sahaja saya di bilik beliau kami terus sama-sama berdiskusi tentang bahan-bahan kajian asas yang diperlukan dalam tesis saya ini. Selain beliau turut membantu saya dalam menyelesaikan pembahagian bab yang lebih sesuai mengikut tajuk tesis saya ini. Banyak buku-buku yang diberikan kepada saya dan banyak juga buku-buku cadangan yang diusulkan untuk saya mencari sendiri di Perpustakaan UKM. Saya sendiri pun naik pening dengan buku-buku yang cukup banyak dalam bilik beliau. Mungkin kerana sebelum ini belum pernah saya mengenali mana-mana professor secara dekat sehinggalah ini kali pertama.

Di samping itu juga kami sempat berdiskusi secara ilmiah tentang Empayar Turki Uthmaniyyah ini sendiri. Pelbagai sejarah yang tersirat dan tersurat serta bagaimana Empayar ini mampu memberi pengaruh kepada lanskap masyarakat dunia termasuk Malaysia pada hari ini melalui 'Hetti Syarif'. Satu reformasi yang dilakukan sebagai memberi hak kebebasan kepada orang bukan Islam daripada tertakluk kepada undang-undang Islam termasuk tertubuhnya mahkamah sivil bagi menguruskan hal-hal orang bukan Islam. Bermula dari itulah pemisahan di antara mahkamah sivil dan mahkamah Syariah berlaku dan di Malaysia, Negeri Johor adalah negeri pertama yang mengamalkan sistem tersebut setelah Sultan Abu Bakar menghantar wakilnya untuk mempelajari sistem pentadbiran Turki Uthmaniyyah. Sungguh banyak sekali kesan sebelum kejatuhan dan selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah yang mempengaruhi keadaan masyarakat dunia pada hari ini.

Diskusi tersebut sedikit sebanyak membuka kotak pemikiran saya supaya menjadi lebih luas bagaimana kita ingin menerima sejarah bukan hanya sekadar sejarah semata-mata, tetapi bagaimana kesan dari peristiwa-peristiwa yang lepas mampu untuk mempengaruhi dunia.

Setelah habis berdiskusi, saya diminta sekali lagi hadir ke bilik beliau keesokan harinya untuk membahaskan secara terperinci lagi berkenaan huraian bahan-bahan kajian yang telah diambil. Yang paling penting saya diminta untuk study pada sebelah malam untuk memudahkan perbincangan pada keesokan harinya. Dalam 10 buah buku yang ada, saya rasa hanya 4 sahaja yang berbahasa melayu, selebihnya dalam bahasa Inggeris. Apapun, saya menganggap ini satu lagi peluang yang datang bergolek yang tidak boleh saya lepaskan.



Ketika saya bersama naqib saya, Ust Idris di dalam Perpustakaan UKM untuk mencari bahan-bahan kajian, semakin pening kepala saya untuk mencari bahan-bahan kajian yang terpencil. Bayangkan Perpustakaan universiti terbesar di Asia Tenggara perlu saya pusing untuk mencari beberapa buku kecil sebagai bahan rujukan saya. Hampir 2 jam saya menghabiskan masa saya di sana semata-mata untuk mencari buku sahaja.

Antara bahan-bahan rujukan asas yang saya perolehi sepanjang berada di UKM ini :

1) The Ottoman Empire & Its Successors by Peter Mansfield
2) Turkey A Modern History by Erik J. Zurcher
3) The Emergence Of Modern Turkey by Bernard Lewis
4) Khilafah Islamiyyah dan Masyarakat Melayu (Di sunting oleh : Farid Mat Zain)
5) The Ottoman Empire 1450 – 1700 by Andrina Stiles
6) Kertas Kerja ‘A Critical Analysys On Mustafa Kemal Ataturk’s Reformism:The Experience Of Turkey by Mohd Nor Bin Hj Manuty
7) Bediuzzaman Said Nursi : Sejarah Perjuangan Dan Pemikiran oleh Mohd Zaidin Mat
8) Turkey and Europe In History by Halil Inalcik
9) Sejarah Islam oleh Mahayuddin Hj Yahaya & Ahmad Jelani Halimi
10) Kertas Kerja ‘Penjajahan Eropah Dan Kemunculan Negara-Negara Bangsa di Timur Tengah oleh Mat Daud Ag. Hamat

Itu semua adalah antara buku yang saya perlu sentuh topik-topik tertentu di dalamnya untuk memudahkan diskusi keesokan harinya. Pening.



Saya mengharapkan Ia akan memberi manfaat yang sewajarnya dalam saya menyelesaikan tugasan saya. Persoalan sejarah adalah benda yang sangatkompleks. Anda perlu bijak mencari sumber dan bahan bagi membongkar segala maksud di sebalik sejarah itu sendiri.

Bagi saya.. Hari ini dalam Sejarah...

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

Tajuk Tesis Diterima...

Sebaik sahaja saya mendapat makluman tentang keputusan permohonan tajuk tesis telah dikeluarkan, saya terus menelefon penyelia tesis saya, Ustazah Zamzarina. Walaupun masih dalam suasana raya pada ketika itu, hati saya lebih memikirkan tajuk tesis yang telah saya cadangkan kepada Pihak Akademik.
Sebaik sahaja selesai menghubungi Ustazah Zamzarina, saya menghembuskan nafas lega kerana tajuk tesis saya telah diluluskan oleh Pihak Akademik. Alhamdulillah..

“ The Ottoman Empire : A Research On The Khalifah Islamiyyah System Decline And The Effects To The Islamic Society Nowadays ”

“ Empayar Turki Uthmaniyyah : Satu Kajian Terhadap Keruntuhan Sistem Khilafah Islamiyyah Dan Kesannya Terhadap Masyarakat Islam Masa Kini ”


Tajuk Ini Menjadi Pilihan

Semasa saya diminta untuk menghantar tajuk cadangan tesis, saya terus terfikir untuk membuat kajian di dalam bidang sejarah. Persoalan yang tinggal pada ketika itu ialah sejarah mana yang saya akan ambil untuk dijadilkan pilihan tajuk cadangan tesis.

Selepas saya berbincang dengan sahabat saya, Muiz, terlalu banyak tajuk cadangan yang menjadi pilihan. Sudah tentu kerana sahabat saya Muiz ini terlalu meminati sejarah. Barangkali saya boleh katakan bahawa Muiz ini juga menjadi pencetus inspirasi kepada saya untuk mengkaji sejarah. Saya pun menjadi pening kepala untuk membuat pilihan dengan tajuk-tajuk yang ada.

Selepas dinilai tajuk-tajuk yang ada, hati saya terdetik satu nama, TURKI. Ya, saya terlupa tentang kota bersejarah tersebut. Tiba-tiba hati saya rasa melonjak-lonjak ingin mengkaji tentang Kota Bersejarah Turki. Selepas berbincang sebaiknya dangan Muiz, akhirnya tajuk ini menjadi pilihan. Setelah mendapatkan restu ibu dan ayah, tajuk inilah yang telah dihantar kepada Pihak Akademik. Bagi saya, tajuk ini bukan hanya sekadar sejarah kosong semata-mata, tetapi sarat dengan nilai-nilai yang berguna dan bagaimana kita melihat sejarah itu sendiri memberi kesan yang mendalam terhadap persekitaran sekarang.



Kenapa Sejarah Menjadi Pilihan

Saya teringat dalam salah satu artikel Saifulislam.Com, Mengapa Sejarah Yang Ini Membosankan?, bagaimana diterangkan bahawa sejarah bukanlah hanya sekadar sejarah yang mngkaji apa yang terjadi, siapa pelakunya, dimanakah peristiwa tersebut terjadi, apa yang yang terjadi selepas daripada itu dan sebagainya tetapi sejarah sebenar adalah wadah untuk mengkaji manusia, memerhati kelakuan dan pemikiran manusia, agar kesimpulannya boleh digunakan untuk membentuk manusia.

Saya juga teringat kepada pesanan Dr Hamka kepada anaknya “Sejarah itu tidak berulang, tetapi sifat pelaku sejarah yang berulang”. Jadi sejauh mana kita bijak untuk mengambil pengajaran dari apa yang terjadi. Persoalannya adakah kita akan jatuh terjelupuk ke dalam lubang buat kali kedua? Islam sama sekali tidak mengajar kita begitu. Mungkin di atas faktor ini, mengapa saya memilih bidang sejarah dalam tesis saya pada kali ini.

Saya mendoakan kepada Allah S.W.T memberikan yang terbaik kepada hambaNya ini dalam meneruskan usaha seterusnya untuk menyiapkan tesis ini. Moga ia memberi manfaat kepada saya dan juga sahabat-sahabat dalam meniti perjuangan di atas muka bumi Allah ini.

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

October 22, 2008

Ex-MTDN Bersua Kembali..


Setelah sekian lama berpisah, akhirnya bertemu kembali. Mungkin itulah kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan pelajar-pelajar ex-MTDN yang bertemu kembali setelah sekian lama berpisah.

Reunion MTDN yang diadakan di rumah Solehuddin sempena rumah terbuka aidilfitrinya memberi satu kepuasan apabila dapat bertemu kembali sahabat-sahabat yang telah lama berpisah. Mana tidaknya, bermula tingkatan 3 lagi, sudah ramai yang membawa hala tuju masing-masing. Sehinggalah sekarang mereka semua berada di dalam pelbagai bidang di merata tempat pengajian seluruh Malaysia. Kadang-kadang tidak disangka sahabat-sahabat yang kita kenali dahulu, rakan bermain sekali, rakan bergaduh sekali, rakan ponteng sekali semuanya sudah matang dan mempunyai wawasan tersendiri.

Perjumpaan hampir setengah hari itu, menggamit kembali kisah silam semasa masih belajar di MTDN. Pelbagai cerita dibuka, pelbagai kisah diungkit kembali. Sedikit sebanyak menimbulkan rasa rindu untuk pulang ke sekolah lama. Bagaimana memori ‘gelaran’ diungkit kembali, memori memanjat bagunan masjid, memori bilik vip, memori tandas boleh menjadi pejabat, semuanya membuatkan kami tidak puas tersenyum.


Rata-rata mereka sekarang berada dalam bidang pengajian professional dan agama. Ukur bahan, business, accounting, tidak kurang juga yang menyambung bidang pengajian agama di USIM dan Mesir. Walaupun mungkin masih ramai yang belum bersua pada reunion kali ini, tetapi Insyaallah dengan titik permulaan ini, kita akan himpunkan seramai mungkin ex-MTDN selepas daripada ini.

Siapa kata mereka yang belajar pondok hafaz al-Quran tidak mempunyai kerjaya. Kami adalah produknya..

Rindu MTDN..

Mungkin ramai yang tertanya, apa sebenarnya MTDN itu.

Semasa saya di tingkatan 1 hingga 3, inilah sekolah yang memperkenalkan bidang hafalan al-Quran kepada saya. Walaupun saya sedikit nakal di sana, Alhamdulillah, saya masih mampu untuk menjadi insan berguna pada hari ini.

Maahad Tahfiz Daril Naim.. Namamu di dalam kenangan..

P/s : Sudah lama tidak menulis, otak pun sudah tidak ligat menyusun ayat, lagi hati merasa kekok untuk berada bersama dalam tulisan ini. Mungkin malu setelah sekian lama..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

October 14, 2008

Salam Pembuka Kata..

Setelah sekian lama.. akhirnya..

Sudah lama rasanya saya tidak mengemaskini blog ini. Seingat saya paling akhir ialah pada awal tahun ini. Taklifat yang agak berat tidak membenarkan untuk saya banyak mencoret di dalam blog ini. Apapun, AGM just round a corner. Bila-bila masa sahaja saya akan melepaskan taklifat yang saya tanggung sekarang. Dalam masa yang berbaki ini pun sudah ada tugas-tugas yang saya berikan kepada barisan pelapis sebagai persediaan untuk masa hadapan. Ringan sedikit bebanan saya rasanya. Barangkali, ini pun menjadi sebab mengapa saya sedikit berani untuk menulis pada hari ini.

Rasa sayang pula apabila terlepas untuk merespon isu-isu yang hangat sepanjang tahun ini, baik di peringkat kampus, nasional ataupun global. Terasa ‘jeles’ pula pada sahabat-sahabat saya yang sempat mengkaji dan merespon isu tersebut dalam blognya. Sudah tentu sudah banyak pengetahuan tentang isu-isu semasa yang dikaji oleh mereka. Saya buka blog Us.Ihsan, Us.Idris saya buka blog Us.Syafiq, Us.Yusuf, Us.Fatimah, rata-rata mereka mempunyai masa untuk mengemaskini blog mereka. Alangkah hebatnya mereka dapat menguruskan masa dengan baik sekali. Sedangkan saya masih tercari-cari bagaimana untuk memanfaatkan masa saya dengan sebaiknya. Bagaimana dengan masa untuk Al-Quran, akademik, persatuan, keluarga dan peribadi. Semuanya harus dibahagikan mengikut priority masing-masing.

Semoga dengan sedikit kekuatan yang ada ini, mampu untuk saya terus mencoretkan segala isi hati saya di dalam blog ini. Doakan saya agar terus istiqamah dalam menyebarkan dakwah, mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada semua.

Salam Mahabbah, Salam Mujahadah..

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar