December 16, 2007

Sahutlah Cabaran Demi Islam…

Memikirkan amanah yang ditanggung, bukanlah ia sesuatu benda yang mudah dan ringan untuk dihadapi. Menjalankan satu-satu amanah yang kadang-kadang kita tidak pernah terfikir untuk menanggungnya, tetapi itulah yang terpaksa kita hadapi. Walaupun ia perit untuk diterima, demi Islam kita terpaksa pertaruhkan juga.

Bukanlah menjadi keinginan hati kami semua untuk berada di dalam keadaan seperti ini, tetapi Allah telah menentukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Setiap apa yang Allah rencanakan tetap ada hikmahnya. Hanya kitalah yang akan menjadi pemandu ke mana tujuan ataupun arah yang hendak kita bawakan dalam memegang amanah yang telah ditaklifkan ini. Andai apa yang kita bawa ke arah kebaikan, nescaya Allah akan memberi pertolongan pada kita semua dan menaungi mereka yang telah dipertanggungjawabkan pada pimpinan tersebut, andai ke arah keburukan apa yang kita bawa, terimalah kecelakaan yang Allah akan berikan.

Tidak pernah terlintas di benak fikiran kami bahawa kamilah yang akan memegang tampuk kepimpinan kampus pada hari ini, mereka yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan seluruh pelajar-pelajar kampus baik dari segi rohani dan fizikal. Belum pernah satu bebanan yang cukup berat yang terpaksa kami pikul seperti hari ini untuk memastikan kebajikan sahabat-sahabat bahkan kebajikan seluruh kakitangan kampus kami terjaga. Kebajikan dari sudut kerohanian adalah apa yang terpenting dalam pembentukan sahsiah diri yang cemerlang. Di samping kami juga tidak sekali-kali mengabaikan kebajikan dari sudut fizikal atau material.

Bukanlah menjadi matlamat kami untuk memegang jawatan di dalam persatuan ini tetapi tidak lain dan tidak bukan ia hanyalah sebagai salah satu wasilah dalam kami ingin meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang perlu difikirkan kembali, bukanlah Rasulullah memegang tampuk pemerintahan di Madinah sekadar untuk kepentingan diri semata-mata, tetapi ia adalah sebagai salah satu wasilah dalam menyebarkan dakwah Islam pada seluruh lapisan masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Taklifat yang diberikan pada kami bukanlah hanya sekadar kami menjaga kebajikan pelajar-pelajar semata-mata, tetapi tanggungjawab yang telah digalas dibahu kami juga adalah untuk menyebarkan dakwah Islamiah di dalam kampus mahupun di luar kampus.

Tidak juga jawatan yang kami sandang pada hari ini menjadi satu lambang kemuliaan atau kebanggaan, tetapi tidak lain hanyalah bebanan yang terpaksa kami pikul. Kami mengambil risiko dan peluang ini untuk sama-sama berada di atas landasan ini, tidak lain hanyalah meneruskan perjuangan menyebarkan risalah dakwah para nabi terdahulu. Sudah pasti ujian yang bakal kami terima setinggi langit menggunung dan masalah seluas lautan berapi tetapi itulah hakikat sebuah perjuangan. Sebagaimana kata bermadah Syed Qutb,kita bukanlah orang yang memulakan sebuah perjuangan, dan kita juga bukanlah orang yang mengakhiri sebuah perjuangan, tetapi kita ialah mata-mata rantai penyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. Segala apa rintangan yang dihadapi akan kami tempuh bersama, segala apa cabaran yang mendatang akan kami hadapi bersama. Apa yang penting kami akan melakukan yang terbaik dan sehabis baik bagi menjamin kegemilangan Islam mampu digapai kembali. Ayuh sahabat-sahabat, marilah kita sama menyahut cabaran ini demi Islam tercinta !!!

AlFaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

Janji Kita… Pimpinan PERKEMAT 07/08..

1hb Disember 2007,Seluruh siswa dan siswi kampus menunggu detik ini. Dengan harapan mampu untuk membawa arus perubahan, pada hari ini, satu saff kepimpinan baru PERKEMAT telah dilantik bagi menggantikan saff kepimpinan yang lepas di bawah pimpinan al-Akh Zool Amali Bin Muhd Noor. Dengan membawa amanah untuk mengekalkan biah solehah di kampus dan menjaga kebajikan pelajar kampus dari segenap aspek, Saff kepimpinan PERKEMAT 07/08 yang diterajui oleh al-Akh Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min telah memikul amanah bebanan ini di pundak masing-masing bagi menjaga kepentingan seluruh pelajar kampus.

Pimpinan baru ini telah mengikat janji kepada Allah bersaksikan seluruh pelajar kampus, untuk memberi ketaatan sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya dan melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan penuh rela hati dan tanggungjawab. Disamping sanggup bekorban masa, tenaga harta, jiwa dan raga untuk kepentingan Islam serta bersatu hati di antara satu sama lain, baik dalam keadaan senang mahupun susah.

Membawa visi membentuk generasi huffaz yang mampu merealisasikan intipati Al-Quran dan As-sunnah dalam kehidupan serta misi menjana pentarbiyahan yang konsisten dalam membentuk generasi Al-Quran yang cemerlang dari sudut rohani, jasmani dan akademik, ia bukanlah satu tugas ringan yang harus dipikul oleh pimpinan baru ini.

Seluruh kerjasama dan komitmen dituntut dari kita semua, baik di peringkat pimpinan dan pelajar bagi merealisasikan matlamat dan cita-cita yang didokong oleh pimpinan PERKEMAT ini bagi memelihara biah solehah di kampus dan menjaga kebajikan pelajar seluruhnya. Yakinlah dengan pimpinan yang baru ditabalkan, bantulah sekadar apa yang kita mampu, sokonglah dengan ketulusan hati sepenuhnya, Insya Allah mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada pimpinan baru PEREKEMAT 07/08 ini untuk menjalankan amanah yang telah tertanggung ke atas mereka.

Sekalung ucapan tahiah dan takziah kepada Yang DiPertua PERKEMAT 07/08, Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min, serta seluruh barisan Majlis Tertinggi dan Exco di bawah pimpinannya. Ingatlah, hari ini gendang perang akan dipalu,tonjolkan syiar kekuatan, bukan untuk riak,tetapi satu syiar untuk sahabat-sahabat yakin dengan kepimpinan kita. Sekalung Penghargaan buat abang-abang dan kakak-kakak di peringkat pimpinan PERKEMAT 06/07, kami sentiasa memerlukan nasihat dan tunjuk ajar dari kalian semua. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan, berilah kami dorongan dan sokongan yang sepenuhnya, agar kita semua sama-sama mendapat manfaatnya.

Salam Tahniah, Salam Takziah. Teruskan perjuangan, persiapkan perancangan, bina kekuatan kerana di hadapan kita adalah rintangan.

Al-Faqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar