November 20, 2007

Cuba Yang Terdaya Selagi Termampu..

Sewaktu Seminar Animasi 3D MHT yang diadakan terpaksa dibatalkan oleh kerana masalah teknikal, Tiada apa yang mampu untuk kami melakukan selain melepaskan setiap peserta untuk melihat pameran-pameran yang diadakan di Dewan Muktamar. Peserta terdiri dikalangan pelajar kampus saya sendiri dan pelajar MRSM yang berhampiran. Apa yang menjadi masalah apabila jarak masa di antara seminar yang pertama dan kedua agak lama, menyebabkan kami terpaksa mencari jalan alternatif untuk mengisi ruang masa kosong yang ada. Akhirnya, selepas satu mesyuarat diadakan, satu keputusan ‘menarik’ telah diputuskan.

Kami terus mengumpulkan seluruh peserta MRSM ke dalam Smart Lab untuk mengikuti satu seminar ringkas bagi menggantikan Seminar Animasi 3D yang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir. Mereka akan mengikuti seminar ringkas tentang ‘Bagaimana Untuk Menghasilkan Blog’. Mereka semua nampak tertarik dengan seminar ini, mungkin kerana penghasilan blog ini adalah satu benda yang baru bagi mereka. Apa yang menarik, penceramah bagi seminar ringkas yang diadakan ini adalah saya sendiri! Satu benda yang langsung tidak diduga oleh fikiran saya.

Bagaimanapun, dengan berbekalkan dengan sedikit pengalaman dan ilmu yang ada tentang penghasilan blog, saya cuba untuk memberi penyampaian yang terbaik walaupun sebelum ini belum pernah saya berceramah tentang topik ini dan apa yang lebih teruja buat saya apabila saya dapat memberi sedikit sumbangan untuk program ini walaupun saya ini bukanlah seorang tenaga pengajar yang profesional.

Walaupun saya terpaksa menggantikan satu seminar yang besar yang mempunyai tenaga pengajar yang professional, saya tetap berusaha untuk menarik perhatian setiap peserta yang terlibat dengan topik yang dibincangkan. Saya cuba mendedahkan kepada para peserta semua tentang apa itu blog?, perbezaan blog dan website, kepentingan dan faedah blog, serta bagaimana untuk menghasilkan satu-satu blog. Saya cuba untuk menyempurnakan sebaik mungkin amanah yang diberikan kepada saya dan saya amat berpuas hati dengan penerangan yang saya sampaikan kerana saya fikir saya telah beri yang terbaik yang mampu dilakukan oleh saya.

Apa yang penting buat saya dan sahabat-sahabat, selagi mana kita mampu untuk memberikan sumbangan walaupun sedikit dengan kemampuan yang kita ada, kita harus berkorban untuk membantu setakat yang termampu. Mungkin dengan sedikit kelebihan yang kita ada mampu untuk memberikan banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan. Kalau bukan generasi kitalah yang menjadi generasi yang yakin dan berani untuk tampil menghulurkan jasa sumbangan dalam apa setiap masa, tempat dan keadaan, siapa lagi yang kita boleh harapkan. Sebuah tamadun tidak akan terbina dengan nostalgik-nostalgik semata-mata, sebuah empayar tidak akan wujud dengan kita hanya berbangga dengan tokoh-tokoh lama.

“Bukanlah seorang pemuda yang mengatakan, inilah bapaku, inilah saudaraku. Akan tetapi pemuda yang sebenar ialah yang berkata : Inilah aku!

Minggu Huffaz Teknokrat Melabuhkan Tirainya


Manusia hanyalah merancang, tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Manusia tidak mempunyai kekuatan untuk menjamin kecemerlangan dan kejayaan sesuatu benda, melainkan Allah sendiri yang mengurniakan kecemerlangan dan kejayaan tersebut kepada kita. Kita sebagai hamba perlulah menerima apa sahaja ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kita.


Sebentar tadi Minggu Huffaz Teknokrat (MHT) baru sahaja melabuhkan tirainya. Pelbagai cerita pahit manis, suka dan duka telah terpahat kekal di dalam memori ketika menjayakan MHT ini. Adakalanya kita telah merancang untuk melakukan yang terbaik untuk program ini, tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Sebelum program kita telah melakarkan satu gerak kerja yang penuh strategi, tetapi masih ada kekurangan yang perlu dinilai kembali. Walaupun program ini tidak sepenuhnya berjalan seperti yang dirancang tetapi sekurang-kurang ia mencapai objektif yang kita pertaruhkan. MHT membawa misi untuk mendedahkan dunia ICT kepada para pelajar dan saya fikir ia telah mencapai matlamatnya.


MHT ialah program yang pertama kali dianjurkan dan bukanlah mudah untuk seseorang itu merealisasikan sesuatu benda yang belum pernah diadakan sebelum ini. Pada hari ini MHT membawa satu kelainan dari setiap program yang telah kita anjurkan. Dengan membawa tema ‘Teknologi Beninformasi Pencetus Huffaz Berkualiti’ barisan Koordinator berusaha keras bagi menjayakan program yang julung-julung kali diadakan ini. Hasilnya terletak ditangan sahabat-sahabat sendiri untuk menilai sejauh mana keberkesanan program yang telah dianjurkan ini.


Barisan koordinator pada kali ini haruslah rasa bertuah dan bersyukur kerana telah dipilih Allah untuk menjadi ‘front liner’ bagi program yang dianjurkan ini. Kita juga telah menjadi pencetus kepada program MHT ini, semoga ianya dapat diteruskan oleh generasi-generasi pada masa akan datang dengan membawa misi dan matlamat yang lebih besar. Apa yang penting, kita telah pun melakukan yang terbaik dan berusaha sedaya mungkin untuk mencapai objektif dan matlamat kita di dalam program ini. Setiap koordinator telah memainkan peranannya masing-masing dengan cukup baik sekali dan semangat itulah yang hendak kita lahirkan bagi menghasilkan sesuatu gerak kerja yang berkualiti dan berkesan. Bukan kerja yang senang untuk menjadi pemula kepada sesuatu benda berbanding dengan mereka yang meneruskan apa yang telah kita mulakan.


Satu kelebihan yang kita dapat pada hari ini ialah ilmu dan pengalaman sepanjang kita menguruskan dan menjayakan MHT ini. Satu ilmu yang belum tentu kita dapat di dalam kelas-kelas pengajian akademik ataupun kuliah-kuliah ilmu di masjid, tetapi kita hanya akan dapat apabila kita sendiri yang mentadbir sesuatu organisasi sebagaimana MHT pada hari ini. Berapa ramai mereka yang terlepas untuk merebut peluang ini dan bagi mereka yang terpilih haruslah mengambil peluang ini sebagai kesempatan yang terbaik untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang telah ditawarkan.


Akhir kata, sekali lagi sekalung penghargaan buat pengarah dan timbalan pengarah, Abg Syafiq dan Kak Dafiqah. Ahli Majlis Tertinggi, Tarmizi, Mursyid Us Fatihah dan Us Azma, Programmer program, Muhammad Isa, Us Fatimah dan Us Zuraida. Seluruh barisan koordinator program, seluruh ahli jawatankuasa, Tidak lupa kepada barisan koordinator Minggu Kesihatan dan Bulan Penghayatan Islam, dan seluruh mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga Allah mengurniakan kepada kita semua limpahan rahmat yang tidak terhingga nilainya dan memberi kita kekuatan yang mantap dan keazaman yang unggul untuk kita terus mampu berdiri di atas jalan perjuangan ini, dengan harapan Kalimatul Haq Lailaha Illa Allah akan tertegak di atas muka bumi allah yang tercinta ini. Jangan terpengaruh dengan sebarang provokasi dan celaan, kerana kita adalah pejuang agama Allah yang sebenarnya. Jangan mudah untuk berputus asa, kerana ingatlah pesanan As-Syahid Sayyid Qutb bahawa kita bukanlah orang yang memulakan, dan juga bukan orang yang mengakhirkan tetapi kita ialah mata-mata rantai perjuangan. Semoga terus istiqamah dalam memperjuangkan Islam. Takbir!!


Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

November 14, 2007

Di Sebalik Tirai Aqrab Raya Lagi...

Tiada apa yang menggembirakan hati saya pada malam ini. Murung. Tidak tahu kenapa ada satu perasaan yang serba tidak kena pada malam ini. Walaupun sebentar tadi baru sahaja menyambut Aqrab Raya Lagi, tetapi masih belum mencukupi untuk menenangkan hati ini. Sahabat-sahabat sibuk bertanya khabar, bimbang saya tidak beberapa sihat. Terima kasih kalian tetapi mungkin bukan di atas faktor kesihatan saya jadi begini. Mungkin kerana taklifat yang diberikan di dalam Aqrab Raya Lagi ini tidak dapat saya jalankan dengan baik. . Faktor masa, tenaga, komitmen? Entah, saya pun masih belum menemui jawapannya. Timbul rasa bersalah di dalam hati. Mungkin saya telah menyusahkan sesetengah pihak akibat keadaan saya yang sebegini. Mungkin juga ada suara yang tidak berpuas hati dengan komitmen yang saya berikan. Namun tiada apa yang boleh saya luahkan selain ungkapan maaf buat kalian semua.

Namun di kala keresahan yang menyelubungi hati, saya masih mampu tersenyum walau hakikatnya saya sendiri tidak mengerti sejauh mana ketulusan di dalam senyuman saya. Melihatkan gelagat kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang berada di dalam satu semester menjadikan hati saya sedikit terubat. Mungkin inilah satu-satunya program yang boleh menyatukan hati kami bersama. Program yang melahirkan satu perasaan kebersamaan dalam diri yang menunjukkan bahawa kami semua mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Cuma terdetik di hati kecil saya, adakah hanya program ini sahaja yang mampu untuk menyatukan kami semua? Bagaimana dengan program-program dan situasi-situasi yang lain? Adakah masih akan rasa kebersamaan di dalam diri sebagaimana program ini? Sedangkan program ini hanya diadakan sekali tahun sahaja. Adakah kita perlu menunggu untuk satu tahun yang akan datang untuk merasakan nikmat ukhuwah yang dirasakan pada hari ini? Penuh persoalan yang timbul didalam benak fikiran saya. Akhirnya saya sendiri yang buntu. Persoalan ditinggalkan tanpa jawapan.

Kepala saya kembali runsing bila memikirkan keadaan ini kembali. Bimbang. Tidak keruan.

Apapun, saya tahu bahawa jawapan bagi setiap persoalan ini tidak mampu untuk saya jawab seorang diri dan jawapan bagi setiap persoalan ini hanyalah akan terjawab apabila kita semua yang berusaha untuk menjawabnya dan menterjemahkannya dalam jawapan yang praktikal. Saya hampir menemui puncanya. Semoga hati yang rungsing inilah yang akan menjadi hati yang bahagia kekal abadi.

Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya, marilah kita sama-sama bergandingan bahu, tinggalkan segala permusuhan lama, Buangkan sejauhnya perasaan ego di dalam diri, taburkan benih kasih sayang kerana Allah, Tiada taraf di antara kita semua, baik tua dan muda, baik pimpinan dan ahli biasa. Hakikatnya kita adalah makhluk yang serupa, yang berpegangkan kepada akidah yang sama, berpandukan kepada Rasul yang sama, yang berpaksikan tinggalan yang sama, yang bermatlamatkan syahid yang sama, yang merindui tuhan yang sama. Selagi kita memikirkan perjuangan Islam tiada akhirnya, selagi itulah hati-hati kita akan bersatu kerana Allah untuk memperjuangan agama yang tercinta ini.

Sebagai akhirnya, Sekalung syabas dan tahniah buat mereka yang telah menjayakan Aqrab Raya Lagi, terutama perwakilan semester 3 AQRAB. Seluruh ajk yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan kepada seluruh warga AQRAB, semoga ukhuwah kita lestari selamanya. Maaf dipinta kepada seluruh warga AQRAB andai tersalah cara dan terkasar bahasa, terimalah saya seadanya.

“Bersatu kita adalah kerana kita, bercerai kita juga adalah kerana kita,” Renung-renungkan..

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

November 2, 2007

Bulan Yang Menguji...

Jika dilihat di dalam diari saya penuh dengan jadual aktiviti setiap hari. Sungguh padat. Sehinggakan saya sendiri pun pening kepala dengan jadual tersebut. Setiap hari mesti ada meeting yang dijadualkan dan bayangkan dalam masa 4 hari saya sendiri terpaksa menghadiri 9 meeting!! Agak meletihkan untuk menghadapi situasi ini dalam keadaan sesi kuliah yang berjalan seperti biasa. Tetapi mungkin itulah hakikat yang terpaksa diterima oleh saya sendiri buat masa ini.

Bulan November ini adalah bulan yang agak kritikal kerana dalam plan asalnya sebanyak 4 program berjalan serentak, Bulan Penghayatan Islam, Konvensyen Usrah, Minggu Huffaz Teknorat,dan Minggu kesihatan. Dan saya terlibat dalam 3 dari 4 program tersebut (BPI,KU,MHT) dan untuk ketiga-tiga program tersebut saya diberi taklifat sebagai programmer. Beratnya taklifat yang ditanggung, berat lagi hati untuk menerima.

Sehinggalah saya dikecualikan daripada program BPI dan KU kerana di atas keprihatinan pihak yang terlibat untuk memberi laluan kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada programmer MHT. Walaupun hakikat tersebut, saya masih lagi terpaksa untuk menjadi setiausaha bagi program semester saya iaitu Aqrab Raya Lagi. Mujurlah saya masih mempunyai orang yang mampu untuk membantu saya sepenuhnya dalam Aqrab Raya Lagi ini iaitu timbalan saya sendiri.

Bila sebut sahaja tentang Minggu Huffaz Teknorat (MHT) banyak cerita pahit dan manis disebalik program ini. Walaupun program ini baru hendak dilansungkan pada 12 hingga 17hb November ini tetapi sepanjang menguruskan untuk membentuk program ini sendiri, terlalu banyak ujian yang terpaksa dihadapi oleh saya dan sahabat-sahabat saya sebagai programmer kepada program ini. Walaupun program ini telah dirancang sekian lama, tetapi di atas faktor-faktor yang tertentu bagi menjayakan lagi program ini, MHT terpaksa diubah tentatif dan aktivitinya sehingga 3 minggu yang terakhir. Bayangkan satu program yang besar yang telah dirancang untuk 4 bulan yang lalu dan akhirnya terpaksa ditukar pada masa-masa akhir. Seolah-olah kami baru sahaja merangka satu program baru. Terlalu banyak perkara yang menguji kami di kala ini, dan hanya sahabat-sahabat di sekeliling sahajalah yang diharapkan memberi suntikan semangat dan motivasi untuk kami terus berusaha untuk menjayakan program ini. Walaupun kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko untuk menjayakan program ini sebenarnya.

Dalam perbincangan untuk menetapkan aktiviti program yang baru, banyak cadangan-cadangan yang telah diutarakan oleh MT-MT Laterinfo dan MHT. Oleh sebab tersebut, berlakulah perbahasan yang berkaitan dengan cadangan-cadangan yang diutarakan untuk mendapatkan satu keputusan yang terbaik dan itulah sebenarnya keistimewaan kepada mesyuarat itu sendiri kerana ianya akan membawa kepada satu hasil dan jawapan yang terbaik. Mungkin sekiranya kita berfikir secara sendirian kita tidak akan mampu untuk mencari satu keputusan yang terbaik kerana kita tidak nampak secara keseluruhannya dalam setiap aspek, tetapi sekiranya kita adakan mesyuarat, semua ahli mesyuarat dapat berfikir dan menampungi di antara satu sama lain dan akhirnya ia akan membawa kepada satu keputusan yang paling dekat dengan yang terbaik. Itulah kepentingan mesyuarat walaupun kebanyakan orang pada waktu ini menganggap mesyuarat tidak lebih dari membuang masa yang tidak membawa sebarang faedahnya.

Akhirnya setelah 3 kali meeting diadakan, dan sudah banyak kali tentatif bertukar, akhirnya satu keputusan yang tetap telah diputuskan walaupun waktu tersebut tinggal lagi hanya 2 minggu sebelum program. Walau bagaimanapun degan keputusan yang telah ditetapkan tersebut, telah memberi laluan kepada semua KD untuk bergerak menjalankan tugas masing-masing. Sehingga detik ini, Proses persediaan program ini sudah sampai kepada 75% dan semoga minggu depan kami dapat meningkatkan persediaan kami kepada 100% sebelum program bermula pada 12hb nanti.

Banyak pengajaran yang telah mengajar diri kami sepanjang kami menguruskan program ini. Apa yang penting, komunikasi dan kerjasama dari seluruh KD-KD programlah yang akan menjamin kejayaan sesuatu program. Disamping cara penerimaan kita terhadap pendapat orang lain kerana kita bukanlah orang yang terbaik dan mungkin ada pendapat lain yang lebih baik dari kita. Walaupun kadang-kadang ianya agak sukar diterima oleh perasaan sendiri. Tetapi apa yang penting, kita perlu beri yang terbaik dan kita akan terus buat yang terbaik untuk program ini. Bak kata seorang sahabat saya “Manusie bkn sumenye perfect…”. Semoga kita tergolong dalam orang yang berlapang dada. Saya memahami keadaan sahabat-sahabat saya sebagai programmer, tentu agak tertekan dengan penukaran tentatif berkali-kali. Walau apapun situasi yang berlaku, kita akan terus menjayakan program ini. Jika ingin dilihat kepada dugaan yang ditempuhi, anggaplah ia sebagai salah satu ujian dari tuhan buat hamba kesayanganNya untuk mengetahui sejauh mana pergantungannya kepada Allah. Andai kita berasa susah, anggaplah ini satu-satunya sumbangan kita untuk Islam untuk menggemilangkannya kembali.

Apapun, sekalung penghargaan buat Abg Syafiq, dan Kak Dafiqah di atas peranannya sebagai think thanker ke atas program ini. Juga penghargaan di atas segala komitmen, kesungguhan, pengorbanan, pertolongan yang diberikan oleh Muhammad, Us Fatimah dan Us Zuraida selaku programmer bersama saya walaupun mereka dibebani dengan banyak komitmen daripada program-program lain, satu pengorbanan yang besar dan berharga bagi saya. Buat unit perhubungan yang sentiasa pening kepala memikirkan syarikat-syarikat yang hendak dipanggil, semoga penat dan letih mereka menjadi kesaksian kepada kesungguhan mereka itu. Dan seluruh KD-KD MHT semoga usaha kalian akan dibalas oleh Allah dengan balasan yang setimpal dengannya dengan mengurniakan kejayaan kepada MHT kita ini.

“ Ya Allah, aku jualkan sedikit pengorbananku untuk perjuangan AgamaMu, berikan daku kejayaan di dalam program ini kerana aku yakin dengan janjiMu, ‘In Tansurullah,Yansurkum..’.”
amen…

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar