October 24, 2007

Di Sebalik Evan Almighty







Dunia pada hari ini telah menjadikan hedonisme sebagai salah satu keperluan dan kepuasan bagi hidup. Lantaran itulah, generasi muda pada hari ini telah banyak leka dengan kehidupan dunia sehinggakan telah lari dari etika sebenar ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan kehidupan bagi seorang muslim sehinggakan ada di kalangan mereka yang terpesong akidahnya dek terpengaruh dengan dakyah-dakyah ajaran lain yang masuk menyerap ke dalam diri mereka dari pelbagai cabang dan ruang.

Kita tidak dapat nafikan bahawa dunia perfileman juga merupakan salah satu dari cabang hedonisme yang menyerang masyarakat kita pada zaman sekarang. Pertumbuhan filem-filem baru ibarat cendawan selepas hujan ini menyebabkan masyarakat kita khususnya anak-anak muda kita tidak menang tangan untuk memilih filem untuk ditontonnya baik di panggung wayang, dvd, vcd dan siaran televisyen itu sendiri. Pengaruh daripada filem-filem inilah yang akan memandu penontonnya untuk menjalani kehidupan selepas daripada ini melalui pengaruh dari segi akhlak, fesyen, budaya dan sebagainya.

Sehinggalah dunia perfileman pada hari ini telah menerbitkan satu lagi karya baru mereka yang berunsur komedi yang berjudul ‘Evan Almighty’. Mayarakat kita khususnya, berbondong-bondong beratur di panggung wayang untuk menonton filem komedi lakonan Steve Carell dan Morgan Freeman ini. Mereka tergelak ketawa bersama ‘couple’ masing-masing di panggung wayang apabila menonton filem ini. Walaupun hakikatnya, filem ini ialah filem yang diambil dari kisah pengorbanan dan ujian nabi kita Nabi Nuh a.s yang membuat persiapan untuk menghadapi bala Allah ke atas umatnya yang ditukar menjadi versi mereka sehingga menampakkan kebodohan ‘Nabi Nuh’ dalam versi mereka menghadapi banjir di New York sekaligus filem ini telah menghina Nabi Nuh dan Islam itu sendiri dan ketawa mereka khususnya orang Islam yang menontonnya adalah ketawa apabila melihat Nabi Nuh dan Islam itu sendiri dihina. Dimanakah maruah kita semua? Apa yang penting ialah sekiranya mayarakat kita sekarang mudah terpengaruh dengan budaya, fesyen, akhlak barat melalui serangan sebegini rupa, kita bimbang selepas daripada ini filem ini akan mempengaruhi akidah umat Islam kita pada hari ini.

Pelbagai pihak yang mempunyai kesedaran pada hari ini bangun bangkit menuntut pengharaman penayangan filem ini di Malaysia walaupun filem ini tetap ditayangkan awal Ramadhan yang lalu. Tetapi apa yang harus kita ingat bahawa pengharaman bukanlah hanya satu-satu jalan yang ada untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya filem ini diharamkan sekalipun, ia tetap tidak mampu untuk menyekat kemasukan filem ini di Malaysia terutama bagi penggemar Internet. Seharusnya pemupukan kesedaran adalah jalan yang terpenting untuk mengatasi masalah ini terutama kita sebagai golongan huffaz, golongan yang berautoriti untuk tampil ke dalam masyarakat untuk mendedahkan segala kecelaruan dan taktik-taktik kotor Yahudi dan Kristian dalam menyebarkan dakyah mereka. Jangan hanya apabila filem ini tidak diharamkan kita hanya berdiam diri seolah-olah redha dengan keadaan yang berlaku. Apakah kita akan biarkan sahaja Islam dihina dengan sewenang-wenangnya oleh golongan barat yang setiap hari memikirkan usaha untuk menjatuhkan Islam dan bagaimanakah pula usaha kita untuk mempertahankan Islam dan umatnya dari serangan luar? Sama-sama kita muhasabah kembali. Kembalikan kegemilangan Islam yang telah dirampas oleh mereka. Semuanya di tangan kita semua untuk menentukan kejayaan umat Islam itu sendiri.
Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

October 21, 2007

Kepimpinan Mengikut Kaca Mata Islam

Ketika cuti akhir semester pada bulan Ramadhan baru-baru ini, saya tidak terus pulang ke kampung saya di Besut Terengganu, tetapi saya telah berada di Kota Bharu selama 6 hari. Memandangkan saya bersekolah di Kelantan selama 5 tahun, jadi, ramailah kawan-kawan saya yang berasal dari Kelantan. Sepanjang saya berada di sana selama 6 hari, pelbagai aktiviti dan program yang saya turut serta dan tujuan utama saya ke Kota Bharu sebenarnya adalah untuk melihat adik-adik seperjuangan saya di sana.

Setelah 3 hari berada di sana, saya dijemput oleh sahabat saya Luqmanul Hakim untuk bersamanya dan Redzwan bagi memberi sedikit penerangan dan taklimat tentang kemasukan ke kampus yang saya belajar sekarang di sebuah sekolah di bawah naungan Yayasan Islam Kelantan di Kuala Krai. Sebenarnya kami telah dijemput oleh Ustaz Fakarudin sendiri yang merupakan mudir di sana dan merupakan bekas Pen. Kanan HEM ketika saya berada di Maahad Muhammadi dahulu.

Setibanya saya di sana, saya dapat melihat persekitaran suasana yang agak kelam kabut dan tidak terurus dari segi pelajarnya. Bermulalah dari saya menjejakkan kaki ke sekolah tersebut sehinggalah selesai sesi penerangan dan taklimat yang kami sampaikan kepada para pelajar.
Setelah selesai semuanya kami bertanya kepada Ustaz Fakarudin sendiri berkenaan dengan permasalahan yang berlaku di sini terutamanya dari sudut disiplin pelajar dan kami mendapat maklumat dari Ustaz Fakarudin yang permasalahan yang berlaku adalah kerana punca badan dakwah dan badan pengawas tidak bergerak aktif dan pergerakannya yang agak mandom. Puncanya adalah kerana tersalah memilih calon yang sesuai untuk jawatan ketua pelajar. Itu alasannya.

Oleh sebab itu, satu sesi dialog khas di antara kami dan pimpinan-pimpinan pengawas dan badan dakwah diadakan atas permintaan mudir. Apa yang menariknya, sesi dialog tersebut dipengerusikan oleh mudir sendiri dan bukannya guru disiplin dan guru badan dakwah sekolah itu sendiri. Begitu tingginya harapan Ustaz Fakarudin untuk melihat pimpinan-pimpinan pelajar kembali aktif seterusnya membantu pihak sekolah dalam proses pentarbiyahan pelajar.
Sepanjang sesi dialog tersebut berlansung, mereka dapat menerima dan memberi respon dengan baik, baik pelajar lelaki ataupun perempuan. Tetapi di dalam keadaan tersebut, terdapat seorang pengawas yang tidak senang duduk dengan sesi dialog yang diadakan. Sekejap pandang kiri, sekejap pandang kanan, sekejap tersenyum sindir dan apabila ditanya, diberi jawapan yang main-main dan yang malangnya, pengawas tersebut ialah ketua pelajar itu sendiri! Terdetik di hati saya, tidak hairanlah jikalau pelajar-pelajar di sekolah tersebut sememangnya tidak terurus kerana mereka mempunyai pemimpin yang tidak serius!

Pandangan Islam Terhadap Kepimpinan

Kepimpinan mengikut perspektif islam ialah satu proses kearah membentuk pengarahan dan penyusunan kerja yang tersusun. Sehingga organisasi dan pendukungnya terarah secara sedar dan sistematik, berwibawa dan berkeyakinan untuk meraih objektif perjuangan.

Jika dilihat dari pengtakrifan tersebut, kepimpinan merupakan satu perkara yang sangat penting, maka sesuatu organisasi Islam khususnya perlu memberikan perhatian serius mengenainya. Seluruh pergerakan dan penyebaran dakwah akan lumpuh jika soal-soal kepimpinan tidak diberikan perhatian khusus. Hal ini akan lebih jelas apabila kita tinjau dari sudut tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah sebagai khalifah (pemimpin) yang di amanahkan untuk menjaga syariat agama Allah di atas muka bumi ini.

Dari Abdul Rahman Bin Samurah (mafhumnya) :

“Rasulullah s.a.w berkata kepadaku, hai Abdul Rahman, Janganlah kamu meminta kedudukan imarah, kerana kalau kamu diberikan jawatan walhal kamu tidak memintanya, maka kamu akn diberi pertolongan (melaksanakan bebanan jawatan itu). Tetapi jika kamu diberikan jawatan lantaran kamu meminta, maka kamu akan dibebani.”

Abu Dzar pernah meminta Rasulullah s.a.w memberikan beliau satu jawatan. Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya) :

“Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah. Jawatan adalah satu amanah yang kelak di hari qiamat akan menyusahkan kecuali orang yang dapat menguasainya kerana haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tugasnya,” –Riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh kerana kepimpinan adalah amanah, maka ianya tidak diserahkan kecuali kepada orang yang layak memikulnya. Firman Allah s.w.t (maksudnya) :

“ Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya….” – Surah An-Nisa’ : 58

Mengikut Syiasah Syar’iyyah oleh Imam Ibnu Taimiyyah, menunaikan amanah di sini terdiri dari 2 perkara. Pertama ialah imarah (kepimpinan) dan keduanya ialah pengurusan dan pentadbiran harta. Justeru, walaupun kepimpinan di peringkat sekolah, ipt, tempat kerja dan sebagainya ianya masih lagi dalam konteks kepimpinan dan mereka yang menjadi pemimpin wajib untuk menunaikan amanah tersebut.

Firman Allah s.w.t (Maksudnya):

“ Apabila kamu memberikan kepercayaan kepada orang lain maka hendaklah orang yang diserahi amanah itu menunaikan amanahnya dan takutlah ia kepada Allah tuhannya.” – Al-Baqarah (283)

Al- Imamah atau Al-Imarah secara lebih umum, bertujuan untuk menggantikan tempat Rasulullah s.a.w dalam memelihara Ad-Din dan mengatur urusan dunia berlandaskannya. Oleh kerana tugas-tugas kepimpinan adalah menggantikan tugas-tugas rasulullah s.a.w, maka orang yang memiliki keupayaan dan sifat-sifat paling hampir dengan baginda Rasulullah adalah orang yang paling layak memegang tampuk kepimpinan dan akan beroleh kejayaan.

(Pengubahsuaian daripada buku Ulama’, Dakwah Dan Jemaah oleh Ustaz Mokhtar Senik)

Kesimpulan

Kesimpulan yang kita dapat ambil di sini ialah bagaimana aspek kepimpinan adalah sangat penting mengikut kaca mata Islam. Pemilihan seorang pemimpin terlebih dahulu perlu dinilai dari pelbagai aspek baik dari segi akhlak, penampilan, pengetahuan, kefahaman, kemampuan dan sebagainya. Mana mungkin seorang pemimpin yang sifatnya begitu jauh dengan akhlak para nabi mampu untuk memimpin sebuah organisasi Islam yang memperjuangkan dasar Al-Quran dan As-Sunnah kerana sudah tentu ia amat jauh sekali dari pertolongan Allah s.w.t. Mana mungkin seorang yang tergilakan kuasa mampu untuk memberikan yang terbaik untuk organisasinya kerana sudah tentu ia mempunyai kepentingan diri terhadap jawatan yang disandangnya dan mana mungkin juga seorang yang tidak amanah diberi tanggungjawab sebagai pemimpin kerana kepimpinan itu sendiri adalah amanah untuknya.

Satu perkara yang penting lagi, Mereka yang terpilih untuk diangkat sebagai pemimpin sesebuah organisasi, khususnya organisasi Islam perlu mengutamakan kepentingan organisasi berbanding kepantingan diri. Segala gerak kerja organisasi yang memerlukan kepada pengorbanan kepentingan diri harus ditunaikan bagi mencapai dan merealisasikan matlamat organisasi itu sendiri. Dengan matlamat dan tujuan yang jelas yang akan memandu perjalanan sesebuah organisasi itu, maka tetapkanlah matlamat dan tujuan yang membantu ke arah perkembangan Islam dan memperjuangkan dasar Al-Quran dan As-Sunnah.

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar



Muktamar BALKIS MML Kali-1


Alhamdulillah, Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke Kota Bharu setelah balik bercuti dari kampus, terus saya menuju ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan solat fardhu Subuh di sana. Perasaan gembira bertambah apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat di sana. Saya menghabiskan seharian saya di Masjid Muhammadi pada hari itu sehinggalah pada malamnya setelah selesai bersolat terawih, Ikram menghantar saya ke Asrama Taqwa untuk bermalam di sana.

Sehinggalah keesokannya, apabila Redzwan mengajak saya untuk menyertai muktamar BALKIS MML kali-1 pada keesokan harinya. Satu perkara yang tidak pernah berlaku sewaktu saya menjadi pelajar di sana dan ia merupakan satu perkara yang cukup boleh dibanggakan apabila ianya menjadi satu-satu badan di sekolah yang mengadakan muktamar di peringkat sekolah dan badan tersebut ialah badan dakwah. Walaupun saya bukanlah seperti Redzwan yang cukup aktif di sekolah dahulu dengan penglibatannya dalam MPP, dhobit, Balkis da sebagainya, tetapi terdetik juga keinginan di hati saya untuk menyertainya dan menyaksikan hari yang bersejarah itu kerana saya fikir tentu muktamar tersebut akan mencetuskan peningkatan yang besar dari sudut gerak kerja dan pergerakannya sebagai sebuah badan dakwah di sekolah yang bermatlamat menyalurkan mesej-mesej dakwah dan mengkader para pelajar bagi melahirkan peribadi muslim sejati. Di samping, keinginan saya juga yang ingin mengetahui pimpinan baru BALKIS yang bakal menggantikan kepimpinan Abdul Malik.

Walaupun saya menyedari saya ini tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk menyaksikan muktamar tersebut berlansung tetapi di atas keinginan yang teramat sangat, saya dan Hayyi pergi juga ke sana dengan muka yang tidak tahu malu. Setibanya di sekolah, ramai adik-adik seperjuangan yang bertemu bersua muka, bertanya khabar dan sebagainya. Melihat mereka sebagai perwakilan muktamar yang memakai baju melayu sepasang bersampin di samping tag nama yang dipakai menyebabkan terselit satu perasaan yang mengkagumkan di hati saya. Seolah-olah mereka sudah mampu untuk berhadapan dengan alam realiti dengan membawa usul-usul ke arah pembangunan Islam sejagat.

Selepas selesai solat Zohor secara berjemaah di Masjid Islah, muktamar bersidang kembali. Saya, Redzwan dan Luqman mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan hari bertuah tersebut. Sebaik sahaja masuk, kami disambut baik oleh Presiden BALKIS ketika itu, Abdul Malik. Mungkin kerana saya berjalan bersama dengan orang-orang hebat di sekolah dulu, ketua pelajar dan timbalannya, jadi saya tidak lebih dari orang yang menyibuk dan tumpang sekaki. Muktamar berjalan dengan sangat lancar dengan sidang muktamar memperbahaskan usul-usul yang dicadangkan. Setiap pimpinan dan perwakilan bangun untuk menampilkan hujah masing-masing. Ia sedikit sebanyak membantu perkembangan dan percambahan idea-idea yang bernas dari pimpinan dan perwakilan serta melatih diri mereka untuk tampil di hadapan orang ramai. Mereka telah didedahkan dengan suasana ini ketika mereka berada di peringkat sekolah menengah lagi. Diharapkan ia akan menjadi satu pengalaman dan pengajaran buat mereka pada masa akan datang yang akan menempuh alam kampus dan dunia realiti suatu ketika nanti.

Majlis yang dirasmikan oleh YB Mohd Zaki Bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran itu telah dimulakan dengan Ucapan Dasar Pengerusi Balkis. Walaupun saya sendiri tidak berkesempatan untuk mendengar ucapan tersebut, tetapi dengan hand-out yang diberikan ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa Balkis sudah melangkah dengan lebih jauh dengan menampilkan isu-isu nasional dan antarabangsa. Dengan menekankan pengurusan sistematik serta tarbiyah ruhiyah yang perlu ditingkatkan, saya yakin bahawa Balkis akan muncul sebagai satu badan dakwah yang bertunjangkan kepada dasar Al-Quran dan As-Sunnah yang akan merealisasikan matlamatnya menabur benih-benih tarbiyah di kalangan pelajar, guru dan suasana di bumi barakah Maahad Muhammadi Lelaki ini.

Di kesempatan itu juga, setelah selesai muktamar berlansung kami sebagai pemerhati di sana telah diberi peluang untuk menyampaikan sedikit sebanyak kata-kata semangat dan peringatan buat adik-adik seperjuangan di sana. Walaupun kami tidak diberi masa yang cukup panjang tetapi cukuplah dengan apa yang kami sampaikan itu mampu untuk menjadi bekalan buat adik-adik seperjuangan di dalam Balkis ini untuk meneruskan perjuangan bagi mengekalkan bi’ah solehah di Maahad Muhammadi ini.

Muktamar yang berlansung buat kali pertama ini harus diberi pujian dan pengiktirafan sebagai menghargai komitmen dan usaha mereka untuk membawa Balkis lebih jauh ke hadapan dan diharapkan ia menjadi ikutan badan-badan lain di Maahad Muhammadi serta menjadi role model di sekolah-sekolah agama khususnya dan setiap sekolah umumnya. Di samping ia akan menjadi sebagai pencetus semangat kepada pimpinan-pimpinan baru serta ahli-ahli yang dipimpinnya untuk meneruskan perjuangan oleh abang-abang terdahulu.

Tahniah dan takziah kepada seluruh pimpinan baru Balkis yang diterajui oleh Syed Ahmad Riduan di atas taklifat yang telah diamanahkan. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan jawatan yang disandang kerana kata pepatah arab ada menyebut ‘Setiap pemimpin sesuatu kaum itu adalah khadam bagi mereka’. Ini adalah kerana amanahnya merangkumi kepada seluruh aspek pergerakan organisasi itu sendiri termasuk ahli-ahli di bawahnya yang perlu ditunaikan hak-haknya. Apa yang perlu diingatkan, keberkesanan sesuatu organisasi itu apabila pemimpin mereka ialah pemimpin yang membawa orang di bawahnya ke arah tuhan yang maha kuasa, Allah s.w.t.

Adapun syabas diucapkan kepada seluruh bekas pimpinan Balkis yang siang dan malam bekerja dan berfikir dalam menangani masalah-masalah umat Islam khususnya para pelajar. Teruskan Istiqamah di atas jalan ini dan teruskan memberi komitmen yang jitu serta membantu pimpinan baru dalam membawa agenda dan risalah para nabi terdahulu untuk diterapkan di dalam diri setiap pelajar khususnya. Semoga segala usaha kalian akan membawa makna yang besar di dalam perjuangan menegakkan kalimah allah di atas muka bumi ini.

Salam Perjuangan,

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

October 16, 2007

Syawal Lahirkan Keimanan Yang Kental Menghadapi Tentera Ahzab

Dalam kita menyambut Aidilfitri yang mulia ini, marilah kita sama-sama merenung kembali sirah Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w di bulan Syawal ini dalam peperangan Ahzab. Setiap tahun di dalam bulan Syawal umat islam akan bertakbir raya dan setiap kali itulah umat Islam akan mengulangi menyebut وهزم الأحزاب وحده (Dan Allah membinasakan bala tentera ahzab dengan keesaanNya). Setiap kali umat Islam berhari raya mereka akan mengenang kembali kemenangan Islam dalam peristiwa Ahzab ini.

Setiap tahun dTanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.

Satu perancangan jahat telah diatur oleh beberapa pemimpin yahudi (termasuklah Bani Nadhir yang diusir keluar Madinah) untuk membuat serangan maut terhadap umat Islam dan Negara Islam Madinah. Mereka telah menghantar satu delegasi untuk bertemu dengan kabilah-kabilah yang memusuhi Islam termasuklah Quraish (di Mekah), Ghatfan dan beberapa kanbilah lain yang mencadangkan agar diadakan pakatan menyerang Madinah. Semua kabilah-kabilah yang ditemui itu bersetuju dan mereka berjaya membentuk satu pakatan seramai 10 000 tentera iaitu satu jumlah yang melebihi bilangan penduduk Madinah itu sendiri!

Apabila sampai sahaja berita tentang pakatan tersebut, Nabi terus mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya membincangkan langkah yang sepatutnya diambil. Akhirnya, mesyuarat bersetuju menerima cadangan Salman al-Farisi supaya digali parit (khandak) sebagai sekatan terhadap musuh dari memasuki Kota Madinah dan dengan itu, tentera Islam hanya bertahan di dalam Madinah sahaja. Nabi membahagikan tugas di kalangan sahabat di mana tiap-tiap 10 sahabat menggali sepanjang 40 hasta parit dengan kedalaman 7 hingga 10 hasta dan lebar 9 hasta lebih. Panjang keseluruhan parit ialah 5000 hasta. Nabi dan para ahabat bekerja keras walaupun ketika itu musim sejuk dan bekalan makanan amat kurang. Untuk member semangat kepada sahabat, Nabi telah bernasyid dengan disambut oleh para sahabat.

Pada masa itu, strategi benteng dengan parit belum pernah dipakai di tanah Arab. Maka apabila tentera bersekutu musuh (Ahzab) tiba, mereka tercengang kerana dihalangi oleh parit yang menyebabkan mereka tidak boleh melancarkan serangan sepertimana yang dirancang. Sementara itu, bala tentera Islam bersiap-sedia menunggu dan melihat gerak-geri musuh dengan melontar panah kepada musuh yang cuba menghampiri parit. Kegawatan dan kesibukan menghadapi musuh dalam peperangan Ahzab ini adalah terlalu hebat hingga Nabi dan tentera Islam terluput beberapa solat fardhu ( menurut musnad Imam Ahmad).

Dalam keadaan gawat itu, berlaku percubaan untuk belot dari puak Yahudi Bani Quraizah (yang tinggal dalam Madinah). Namun percubaan ini berjaya dipatahkan dengan keberanian seorang muslimah iaitu Sofiyyah bt. Abdul Mutallib yang membunuh seorang pengintip Yahudi yang mengintip di kawasan Kota Hasan bin Sabit yang menjadi tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak. Begitu juga dengan tindakan tentera Islam yang berjaya merampas bantuan yang dihantar oleh Yahudi Bani Quraizah kepada sekutu Ahzab melalui 20 ekor unta.

Untuk mematahkan serangan bersekutu Ahzab ini, Nabi juga merancang membuat perang secara psikologi iaitu :
a) Mencadang untuk membuat pendamaian dengan Kabilah Ghaftan melalui pimpinan mereka iaitu ‘Uyainah Bin Hasin dan Al-Harits Bin Auf dengan menawarkan 1/3 tamar Madinah supaya mereka menarik diri dari Kesatuan Ahzab, seterusnya tentera Islam hanya berhadapan dengan Quraish sahaja. Namun strategi itu disetujui oleh sahabat sehingga tidak jadi melaksanakannya.
b) Menghantar Nu’aim Bin Mas’ud Al-Asyja’ie (iaitu dari bani Ghaftan yang belum diketahui keIslaman oleh kaumnya) kepada sekutu-sekutu Ahzab untuk membuat propaganda bagi memecah-belahkan kesatuan. Secara diam-diam Nu’aim mula-mulanya pergi kepada pemimpin yahudi Bani Quraizah dan kemudiannya Quraish dan Ghaftan. Gerakan Nu’aim ini berjaya sehingga puak Ahzab berasa sangsi di antara satu sama lain dan menjadi porak peranda antara mereka.

Nabi dankaum Muslimin berdoa kepada Allah agar diselamatkan mereka dan dihancurkan bala tentera musuh. Allah memakbulkan doa mereka dan menurunkan bala tentera malaikat yang menghancurkan hati-hati musuh dan tiupan angin yang kuat serta sejuk sehingga menelingkupkan khemah-khemah dan periuk-periuk mereka. Akhirnya, tentera bersekutu Ahzab terpaksa pulang dengan kekalahan dan hati yang penuh kekecewaan setelah mengepung Madinah hampir sebulan.

Pengajaran yang boleh diambil di dalam siri peperangan Ahzab ini, Puak-puak Kafir ini tidak akan sesekali duduk diam dan akan sentiasa terus-menerus memerangi islam dalam keadaan bagaimana sekalipun. Pada hari ini, kita telah dapat menyaksikan tentera musuh Ahzab yang baru (hasil gabungan puak-puak Yahudi, Amerika, Kristian dan sebagainya) memerangi Islam. Sekiranya dalam Peperangan Ahzab 1423 tahun yang lalu, tentera Ahzab telah menyerang Islam dari segenap ruang, pada hari ini juga, tentera Ahzab telah menyerang Islam dari setiap sudut baik ekonomi, sosial, perundangan, pemerintahan dan sebagainya.

Justeru saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu, menyusun strategi, kukuhkan organisasi, mantapkan thaqafah, rela berkorban, terus berjuang walau diuji seribu rintangan. Ingatlah kita kepada janji Allah untuk menurunkan pertolongannya kepada mereka yang membantu agamaNya. Sesungguhnya janji tersebut akan tertunai dan sama sekali tidak akan diingkari. Hanya yang tinggal ialah sejauh mana keikhlasan dan usaha kita memperjuangkan agama Allah ini untuk kita mengharapkan pertolongannya.

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar

Selamat hari Raya Aidilfitri

Di kesempatan ini ana menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf serta mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada Mohd Idris Bin Yusof dan Mohd Izwan Bin Najib sebagai naqib ana. Tidak lupa kepada Syed Faris Bin Syed Roslan, Naqib ana sewaktu ana berada dalam program DQ-UIAM (gen 7), kepada Usrah Ar-Ruhul Jadid, Ihsan, Khalil, Hayyi, Kani, Hasyrul, Syahrul dan Yusran. Kepada Usrah Ulul Albab, As'ad, Nabil, Saufi, Nasrul, Shafiq, Nazir, Ammar zul, Azri. Kepada Usrah Junior, Wan, Taqi, Firdaus jr, Firdaus, Huzaifah, Haziq, hanif, Fazril. Sahabat-sahabat seperjuangan di Darul Quran JAKIM terutama (dip 06-09), ex-maahadian (batch 05'), maahadian student yang mengenali diri ini. Tidak lupa kepada ex-MTDN student (batch 01'-03'), ex-SKTM (batch 00') n untuk seluruh insan yang mengenali diri yang hina ini.. Doakan ana supaya terus thabat dalam perjuangan dan dapat bersama-sama kalian tika jatuh dan bangun dalam membina semula generasi Islam yang hakiki. Semoga raya pada kali ini kita manfaatkan dengan mengucapkan puji dan syukur pada Ilahi di atas nikmat yang diberi dan Ruh Ramadhan akan kita teruskan tanpa mengira waktu dan masa. Taqabbalallahu minna wa minkum salihal a'mal..Salam Aidilfitri.. Maaf Zahir Dan Batin..

October 1, 2007

Salam Pembuka Bicara

Alhamdulillah, Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia, Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum keluarganya serta para sahabat yang tidak pernah letih dan gusar dalam membawa risalah dan tabi’ tabiin yang telah menjadi rantai-rantai perjuangan sehingga Islam dapat tersebar ke seluruh pelusuk dunia para hari ini. Tidak lupa kepada insan-insan yang telah mencurahkan segala keringat dan darah dalam mempertahankan agama yang mulia ini dikala banyak anasir luar yang cuba untuk menjatuhkannya walaupun agama ini tidak akan runtuh selama-lamanya seterusnya sahabat-sahabat rakan seperjungan dan adik beradikku sekalian.

Pada hari ini saya rasa cukup bertuah kerana akhirnya saya dapat post juga artikel pembukaan saya yang pertama di dalam blog ini. Sebelum ini mungkin sudah ada blog saya yang dulu http://www.azansafar.blogspot.com/ dan http://www.elegan-mas.blogspot.com/ tapi kedua-duanya gagal untuk dimanfaatkan kerana ruang masa yang cukup padat untuk saya sentiasa mengemaskini blog-blog tersebut. Blog-blog tersebut pun sudah dimansuhkan sebagai memberi keutamaan kepada blog ini untuk menampilkan identiti barunya.

Diharapkan blog pada kali ini, saya diberi peluang untuk menjaganya dengan baik dan mudah-mudahan ia akan menjadi sebagai salah satu usaha dakwah yang mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. Bukan ingin dikatakan bahawa masa saya sekarang agak longgar atau banyak yang terluang malahan masa saya sekarang bertambah padat dengan aktiviti pembelajaran dan persatuan di Darul Quran ini, ditambah dengan aktiviti-aktiviti luar yang telah memenuhkan ruang-ruang kosong yang ada pada diari saya. Tetapi mungkin di atas faktor minat saya yang mendalam dalam bidang penulisan dan dakwah ini, akan menjadi motivasi kepada saya untuk terus menulis di dalam blog ini.

Saya fikir tanggungjawab saya bukanlah hanya disekitar pembelajaran semata-mata tatkala dunia pada hari ini boleh diibaratkan seperti penjara bagi umat Islam. seluruh dunia pada hari ini telah dikawal oleh suatu kuasa besar di sebalik tabir yang telah menjadikan banyak negara-negara Islam sebagai boneka mereka untuk merealisasikan dan mencapai matlamat mereka. Matlamat mereka tidak lain, hanyalah untuk meruntuhkan agama Islam. Perancangan mereka sudah terlaksana dengan jayanya apabila kita dapat melihat umat Islam pada hari ini cukup ramai bilangannya tetapi berapa ramai dikalangan mereka yang betul-betul dapat memahami dan menghayati Islam dengan sebaiknya. Lagi ramai kita dapat melihat umat Islam yang hanya berselindung disebalik nama Islam tetapi akhlak dan sifat mereka tidak kurang seperti syaitan durjana yang berusaha untuk menghancurkan Islam dari dalam. Justeru, saya fikir dunia pada hari ini sudah tidak layak untuk seorang pelajar Islam umumnya dan mahasiswa Islam khususnya untuk hanya memegang pen dan kertas, sentiasa dengan buku-buku pelajaran, serta nota-nota peperiksaan setiap masa tanpa mempunyai sensisitiviti untuk berjuang di dalam islam. Seharusnya pelajar-pelajar pada hari ini sudah bersiap sedia untuk turun ke medan jihad apabila mendapat arahan untuk berperang menggunakan kuda dan pedang serta berjuang rela berkorban terus maju dan tidak mundur lagi. Rela menghadapi setiap corak tentangan yang dihidangkan oleh musuh dengan berslogankan Allah matlamat kami, rasul petunjuk kami, al-Quran panduan kami, jihad jalan kami dan mati Syahid cita-cita tertinggi kami.

Sahabat-sahabat jangan tersalah anggap bahawa saya mengatakan ilmu dan pelajaran itu tidak penting tetapi sekiranya dengan pelajaran itu menyebabkan kita terus leka dan hilang ruh memperjuangkan Islam di dalam diri kita, itu adalah silap. Ilmu yang ikhlas dituntut seharusnya membangkitkan dan menghidupkan ruh perjuangan di dalam hidup kita tetapi sekiranya sebaliknya yang berlaku, mungkin kita perlu menilai kembali sejauh mana keikhlasan kita menuntut ilmu. Adakah untuk mencapai keredaan Allah ataupun kerana pengiktirafan dunia semata-mata. Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa sebagai seorang mahasiswa Islam, pelajaran tetap tanggung jawab mereka sebagai pengisian dan kekuatan kepada rohani tetapi agenda perjuangan secara praktikalnya tidak boleh dilupakan.

Perjuangan ini menagih kepada syabab-syabab yang kuat dan berjiwa besar untuk terus berjuang. Kita tidak hanya boleh mengharapkan kepada golongan veteran sedangkan kita yang mempunyai potensi yang cukup besar untuk menyambung perjuangan mereka. Teringat saya akan kata-kata hikmah Suharto, bekas Presiden Indonesia suatu ketika dulu “ Sekiranya engkau memberikan aku 10 orang pemuda, nescaya aku akan menggegarkan dunia ini, tetapi sekiranya kamu memberikan aku 100 orang tua sekalipun, aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa”. Sungguh besar jiwa, tenaga dan pengaruh seorang pemuda dan kitalah pemilik gerangannya. Tetapi ingatlah, sekiranya kamu tidak hendak untuk bersama-sama dalam perjuangan Islam ini, Islam pun tidak berharap untuk kamu sama-sama berada dalam perjuangannya kerana dalam hakikat kehidupan ini, kita memerlukan Islam dan bukan Islam yang memerlukan kita.

Diharapkan blog ini akan menjadi sebagai satu wasilah atau saluran dakwah dalam usaha kita semua sebagai pejuang-pejuang agama Allah untuk menjulang kembali kegemilangan Islam yang pernah kita kecapinya dulu. Janganlah kita sekali-kali lupa bahawa kita pernah memerintah dunia suatu ketika dulu dan kita mampu dan kita pastikan, kita akan memerintahnya sekali lagi dengan syarat kita mempertaruhkan seluruh jiwa kita di atas jalan perjuangan ini. Janji Allah yang berharga dan mahal ini tidak hanya akan dapat kecuali dengan kita membayarnya dengan harga yang mahal.

Akhir kata, sekalung penghargaan kepada naqib saya sendiri, Mohd Idris Bin Yusof di atas ilmu, pengalaman dan tunjuk ajar yang diberikan untuk mendidik insan yang hina ini menapak di bumi yang penuh rona ini, Semoga dirimu terus bersabar dalam menempuh liku-liku perjuangan di UKM sana. Kepada adik beradik usrah Ar-Ruhul Jadid, Ihsan, Syaukani, Yusran, Hayyi, Khalil, Hasyrul, Syahrul terima kasih di atas suntikan semangat yang tidak pernah putus untuk menjaga adik bongsu ini agar terus thabat dalam perjuangan. Tidak lupa kepada Usrah Junior, Firdaus hamid, Taqiudin, Wan, Hanif, Fazril, Haziq, Firdaus Noh dan Huzaifah di atas dorongan yang diberikan. Seterusnya kepada seluruh adik beradikku yang siang dan malam bekerja untuk Islam, semoga Allah membalas jasa kalian semua. Semoga blog ini akan memberi manfaat kepada kita semua. Wassalam. Takbir!!

Salam Taaruf, Salam Perjuangan..

Alfaqir Ila Allah,
Muhamad Azan Safar